TELUK INTAN: Walaupun risikonya tinggi tetapi itu tidak menghalang Abdul Halim Shah Kamaruddin, 33 menjadikan kegiatan berkuda sebagai kerjaya sepenuh masa yang diusahakannya sejak dua tahun lalu.
Beliau mengambil keputusan menceburi bidang sukan kuda selepas tamat mengikuti latihan intensif menunggang kuda selama dua tahun di Perth, Australia.
Abdul Halim berkata, pengalaman selama dua tahun menunggang kuda di luar negara menjadi suntikan semangat kepada beliau untuk membuka gelanggang menunggang kuda di sini, sebagai kerjaya sepenuh masa.
Katanya, dengan wang simpanan yang ada beliau membelanjakan kira-kira RM250,000 bagi membeli tanah seluas 0.5 hektar sebagai gelanggang menunggang kuda di lot 8652 Lorong Haji Tahir Kampung Padang Tembak, dekat sini.
Beliau berkata, di samping itu, beliau turut membeli lapan ekor kuda iaitu masing-masing dua betina dan enam jantan dari kacukan luar negara.
"Melalui usaha ini saya ingin memberi peluang dan pendedahan kepada penduduk setempat menunggang kuda sebagai kegiatan riadah yang digalakan oleh Rasulullah SAW," katanya ketika di temui di sini, baru-baru ini.
Sehubungan itu, beliau mewujudkan gelanggang Sukan Kuda lntan (SKl) yang beroperasi dari jam 9 pagi hingga 6 petang menawarkan pakej tiga kategori iaitu asas menunggang, peningkatan tahap satu dan dua untuk kanak kanak dan dewasa.
"Saya menawarkan pakej berharga RM10 dan RM15 untuk kanak-kanak menunggang kuda bagi empat pusingan, RM20 dan RM30 untuk orang dewasa selama 30 minit," katanya.
Beliau berkata, bagi orang dewasa yang berminat belajar menunggang kuda sehingga mendapat sijil mereka disyaratkan menjadi ahli SKI seumur hidup dengan yuran RM50 seorang.
Katanya, tiga fasa kaedah pembelajaran menunggang kuda akan diajar dengan setiap fasa dikenakan bayaran RM300 seorang selama lapan jam bagi tempoh dua bulan saja.
"Mereka yang tamat belajar menunggang kuda akan menerima sijil masing-masing," katanya yang mengesahkan setakat ini 37 peserta sudah menerima sijil kelayaklan menunggang kuda," katanya.
Beliau juga turut menyewakan kudanya untuk mengarak pasangan pengantin, majlis sambutan hari jadi atau untuk menyambut ketibaan tokoh kenamaan ke majlis perasmian.
"Saya mempelawa orang ramai melawat ke tapak gelanggang untuk diberi taklimat sebelum menunggang kuda yang boleh membuka minda dan mencerdaskan pergerakan badan," katanya.
Orang ramai yang ingin belajar menunggang kuda boleh menghubungi Abdul Halim menerusi talian 014-6436380 atau e-mel:i_horseriding@yahoo,co.uk.
Tuesday, 24 March 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)









0 comments:
Post a Comment