Thursday, 10 September 2009

Bagan Pinang: Salahudin pengarah, Pakatan serah PAS pilih calon



Zulkifli Sulong


KUALA LUMPUR, 9 Sept: Selepas PAS melantik Naib Presidennya, Salahudin Ayub sebagai Pengarah Pilihanraya Kecil Bagan Pinang, Telok Kemang, Pakatan Rakyat Negeri Sembilan pula memutuskan PAS akan bertanding di kerusi itu.

Keputusan melantik Salahudin dibuat oleh Lajnah Politik PAS yang bersidang di sini Isnin lepas. Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Presiden PAS sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Di Seremban, keputusan memberi mandat kepada PAS untuk meletakkan calon di situ dibuat dalam mesyuarat bersama PAS, PKR dan DAP.
Dalam sidang media bersama mereka, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefli Mohd Omar memaklumkan keputusan itu.
Turut serta dalam mesyuarat itu adalah Ketua Perhubungan PKR Negeri Sembilan, Datuk Kamarul Baharin Abbas dan Pengerusi DAP negeri yang juga Anggota Parlimen Rasah dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Loke Siew Fook.
Datuk Kamarul yang juga anggota Parlimen Telok Kemang berkata, PKR akan memberikan sokongan penuh kepada mana-mana calon yang dipilih oleh PAS.
Sebelum ini, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Telok Kemang meminta agar calon PKR diletakkan dalam pilihan raya kecil itu.
(Gambar: Tokoh-tokoh penting di Bagan Pinang. Dari kiri Isa (Ketua Umno Bahagian), Ramli Ismail (YDP PAS), Husam (AJK PAS) dan Zulkefli (PJ PAS Negeri)
Dalam pilihanraya umum tahun lepas, Azman Mohd Nor, 54, yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan undi 6,430 menewaskan calon PAS, Ramli Ismail yang memperoleh 4,097 undi. Majoriti kemenangan adalah 2,333.
Halangan besar calon Pakatan dalam pilihanraya ini adalah undi Pos yang melebibihi 5,000 orang atau kira-kira 30 peratus dari pengundi kawasan ini.
Sementara itu, PAS Negeri Sembilan dikatakan mempunyai empat nama untuk menjadi calon di sini.
Mereka adalah Zulkefli sendiri di samping bekas Pesuruhajaya PAS Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakob, Ketua Dewan Ulama negeri, Kassim Tahir dan bekas calon dalam pilihan raya lalu, Ramli Ismail. Ramli adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Telok Kemang.
Di pihak Barisan Nasional pula, nama bekas MB Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad disebut-sebut bakal menjadi calon.
Namun menurut satu sumber lain, bagi meringankan tekanan kepada calon yang mempunyai rekod tidak baik itu, nama anak beliau Mohd Najib disebut-sebut sebagai ganti.
Keputusan untuk menyerahkan kepada Umno Telok Kemang yang dipimpin Mohd Isa untuk membuat keputusan menamakan calon di situ dibuat oleh Datuk Seri Mohamad Hassan, MB Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Negeri.
__________________

Wednesday, 9 September 2009

PAS tidak akan bersama Umno pertahankan perkauman


Bagan Datoh, 9 Sept: PAS menyifatkan, perlawaan Umno bertalu-talu kepada PAS agar bekerjasama dengan parti yang kini terjebak dengan isu perkauman sebagai satu tindakan tersepit.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub dalam satu program majlis berbuka puasa di rumah Sdr Tuan Hj. Arifin Husin di kampung Parit 1, Sungai Sumun berkata, Umno kini terlalu tertekan dengan isu perkauman ini dan sangat memerlukan PAS untuk mengesahkan tindakan mereka.
Jika PAS tidak menyokong tindakan Umno maka masyarakat akan menganggap tindakan Umno sebagai berdasarkan perkauman dan bukannya berasaskan Islam.
Ini adalah huluran tangan yang kesekian kalinya oleh pemimpin Umno agar PAS bersama-sama dengan mereka sejak pilihan raya umum 2008 lalu.
Bagi Salahudin, Umno hanya akan menghulurkan tangan ketika mereka tersepit tetapi selepas selesai masalah mereka, PAS akan ditendang sebagaimana yang dialami oleh PAS sebelum ini.
"Ketika negara hadapi isu perkauman 1969, PAS diajak bersatu demi Melayu dan Islam. Tetapi apa berlaku selepas Umno kuat kembali?" soal Salahudin.
Bagi beliau, Umno tersepit sekali lagi kini. Selepas kalah teruk dalam pilihan raya 2008, Umno menjadikan isu perkauman sebagai pendekatan untuk mengikat sokongan orang Melayu kepada mereka. Kononnya bangsa Melayu tertekan kini.
"Yang tertekan bukan bangsa Melayu tetapi Umno," kata beliau.
Apabila aktivis-aktivis Umno di Seksyen 23, Shah Alam memainkan isu perkauman dan agama sempit sehingga sanggup membawa kepala lembu yang masih berdarah ke Pejabat SUK Selangor, Umno sekali lagi tersepit.
"Mereka ingat PAS akan menyokong mereka atas dasar mereka memperjuangkan Islam dan Melayu dan melawan agama Hindu.
"PAS berpendirian tidak menyokong mereka kerana Islam tidak mengajar begitu. Hampir kesemua pemimpin PAS mengambil pendekatan yang diajar Al Quran iaitu jangan kamu menghina tuhan-tuhan mereka kerana dibimbangi mereka juga akan menghina Allah," kata Salahudin.
Kini, katanya Umno tersepit dan mengharapkan PAS bersama-sama mereka. "Umno kini telah menjadikan perkauman sebagai makanan ruji mereka. Kita tidak akan bersama dengan mereka," kata Salahudin.
Dalam majlis itu juga beliau sempat menyampaikan bantuan hamper hari raya kepada lebih 40 orang dari golongan fakir miskin dan ibu tunggal serta duit raya kepada anak-anak yatim.

Friday, 4 September 2009

Isteri Blogger Pas Bagan Datoh Masuk Hospital

Isteri kepada Blogger PAS Bagan Datoh saudara Ustaz Mohammad Fairuz (http://m5rose69.blogspot.com/) dan (http://pasbagandatoh53.blogspot.com/) iaitu (Norizah) telah dimasukkan ke hospital kerana mengalami keguguran kandungan. Beliau mengharapkan teman2 dan semua umat Islam mendoakan isterinya yang pada mulanya telah mengalami keadaan koma setelah mengalami kematian bayi di dalam kandunganya..

Sempena di bulan Ramadhan yang punya seribu barrakah dan keberkatan ini beliau mengharapkan doa2 dari sahabat2 semua semoga isterinya cepat sembuh..kini isterinya dirawat di Ipoh Specialist ..

Pemuda PAS Bagan Datoh berharap Saudara Ustaz Fairuz sabar dan tabah dengan ujian Allah pada bulan Ramadhan ini..kami disini mendoakan semuanya akan selamat..

Ruang Forum DPPK Bagan Datoh

jambori amal kuala kangsar 2008