pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Sabtu, 27 Ogos 2011

SALAM I'DUL FITRI : DPPK BAGAN DATOH

DEWAN PEMUDA PAS BAGAN DATOH
mengucapkan



SELAMAT HARI RAYA I'DUL FITRI 1432


KEPADA SELURUH UMAT ISLAM & KHUSUSNYA DI KAWASAN BAGAN DATOH

" TARBIYYAH RAMADHAN MEMBINA TAQWA,
KEJAYAAN AIDILFITRI MENYUCIKAN JIWA"

MAAF ZAHIR DAN BATIN
ikhlas : Dewan Pemuda Pas Bagan Datoh

Jumaat, 26 Ogos 2011

BERHATI - HATI DI JALAN RAYA : PEMUDA PAS


BAGAN DATOH : Dewan Pemuda Pas Bagan Datoh ( DPPK ) ingat mengingatkan dan berpesan kepada seluruh perantau yang berada di luar kawasan Bagan Datoh agar berhati - hati di jalan raya ketika kembali ke kampung masing - masing sempena sambutan Hari Raya Idulfitri yang akan menjelang tidak lama lagi.

Mengikut laporan kemalangan dan kematian akan meningkat pada setiap tahun sempena perayaan ini. Pengguna jalan raya diingatkan agar menjadi pemandu yang berkhemah dan tidak mengabaikan keselamatan ketika berada di jalan raya.

Pihak Dewan Pemuda Pas kawasan juga ingin mengingatkan kepada semua warga perantau Bagan Datoh agar tidak melupakan tanggungjawab sebagai muslim untuk menunaikan kewajipan zakat fitrah pada tahun ini.

DPPK mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa dan selamat hari raya idul fitri kepada seluruh perantau Bagan Datoh yang akan kembali berhari raya di kampung masing - masing.

Berhati - hati di jalan raya dan ingatlah orang yang tersayang.

TAZKIRAH RAMADHAN : RAMADHAN BULAN KEMENANGAN - 3

Siri 3 :

Setelah tiba di Madinah, Rasulullah SAW bermesyuarat dengan para sahabat berhubung dengan tawanan Quraisy. Saidina Umar RA mencadangkan agar mereka dibunuh. Pun begitu, Baginda SAW menerima cadangan Abu Bakar RA supaya mereka dijadikan tebusan. Tidak lama selepas itu, turun ayat bagi menegur Baginda SAW dan mengakui bahawa pendapat Saidina Umar RA lebih tepat. Hal ini kerana apabila mereka ditebus oleh musyrikin Mekah, mereka akan bebas kembali dan akan kembali menentang Islam.



Peristiwa tersebut dinyatakan dalam al - Quran melalui surah Al- Anfal ayat 67- 69.

Kemenangan pertama ini telah menjadi perintis utama kepada kemenangan dalam peperangan- peperangan selepasnya yang berlaku di dalam bulan ini.

2. Pembukaan Kota Mekah

Pembukaan Mekah berlaku pada 21 Ramadhan tahun kelapan Hijrah bersamaan dengan 630 Masihi. Peperangan ini berpunca daripada pencabulan Quraisy terhadap perjanjian Hudaibiyah. Dalam perjanjian itu ada dinyatakan bahawa setiap kabilah Arab diberikan pilihan samada menggabungkan diri ke dalam barisan Rasulullah saw atau ke dalam barisan Quraisy. Maka Bani Bakar memilih untuk bergabung dengan Quraisy manakala Bani Khuza'ah memilih untuk bersama denga Rasulullah saw.


Tidak lama selepas itu, Bani Bakar telah melakukan pencerobohan ke atas Bani Khuza'ah sehingga mengakibatkan korban seramai 20 orang dengan mendapat bantuan senjata daripada Quraisy. Apabila berita ini sampai ke pengetahuan Rasulullah saw, Baginda saw begitu marah lalu secara sulit Baginda saw mempersiapkan bala tentera Islam yang berjumlah seramai 10 000 orang untuk bersemuka dengan Quraisy.


Akan tetapi perancangan Rasulullah saw bocor juga selepas itu apabila Hatib bin Abi Balta'ah Al Badry mengirim sepucuk surat rahsia kepada Quraisy di Mekah menceritakan rancangan Rasulullah saw untuk menyerang Mekah. Akan tetapi, belum pun sempat surat itu sampai ke tangan Quraisy, Allah SWT telah membongkarkan rahsia surat itu kepada Rasulullah saw. Maka dengan serta merta Rasulullah saw menghantar beberapa sahabat untuk mendapatkan perempuan yang membawa surat itu. Setelah mereka menjumpai perempuan tersebut dan membaca isi kandungan suratnya, maka terbongkarlah pengkhianatan Hatib bin Abi Balta'ah.


Rasulullah saw bertanya kepada Hatib : " Apakah yang menyebabkan engkau melakukan pengkhianatan ini?" Lalu dia menjawab : " Wahai Rasulullah ! Demi Allah sesungguhnya aku beriman kepada Allah dan Rasulnya. Aku tidak berubah dan tidak pula menyeleweng. Akan tetapi aku sebatang kara, tidak ada sanak saudara dan juga keluarga di kalangan kaum muslimin melainkan orang - orang Quraisy di Mekah. Perkara ini kulakukan supaya mereka menghormati dan menghargai keluargaku."


Akan bersambung dalam siri 4.


Disediakan oleh :
Pen. Setiausaha 3,
Dewan Pemuda Pas Bagan Datoh 


Khamis, 25 Ogos 2011

ULAMA BUKAN " PENUMPANG " DALAM PENTADBIRAN: PAS


Ulama bukan ‘penumpang’ 
SHAH ALAM – Peranan ulama yang terlibat dalam politik perlu diiktiraf agar segala pandangan, teguran dan cadangan diambil kira dalam memastikan pentadbiran parti dan kerajaan berlandaskan hukum syarak.

Ketua Penerangan Pas, Da­tuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ulama yang terlibat dalam politik tidak boleh dianggap sebagai ‘penumpang’ sebaliknya peranannya sebagai ‘peman­du’ kepada kepemimpinan.

Katanya, ulama yang menyartai politik bukan dengan hasrat mencari kepentingan peribadi, sebaliknya berdakwah dengan cara tersendiri.

“Ulama ada tanggungjawab dan amanah tetapi peranan­nya dalam politik perlu diiktiraf kerana dengan peng­iktirafan itu, segala pandang­an dan nasihat akan didengar dan diambil kira,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir sebagai ahli panel Wacana Sinar Harian Siri 6 bertajuk Ulama Politik, Untuk Dakwah atau Parti di Audi­torium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini, semalam.

Dua lagi anggota panel dalam wacana itu Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria dan ulama muda Umno Fathul Baru Mat Jahya. Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin bertindak sebagai moderator.

Menurut Tuan Ibrahim pandangan dan nasihat ulama politik tidak harus dipencilkan sebaliknya perlu memainkan peranan penting dalam sesebuah parti politik bagi emastikan perjuangan tidak tersasar dari ajaran Islam.

“Sebelum ini ada pihak menggelar ulama politik tertentu sebagai ‘terompah’ atau ‘periuk nasi elektrik’ yang hanya menjatuhkan kredibiliti ulama berkenaan. Tuduhan itu juga seolah-olah pandangan ulama berkenaan hanya diperlukan apabila terdesak,” katanya.

Menurutnya, ulama di dalam politik mesti berlandaskan syariat Islam bukan mengejar kepentingan tertentu.

“Ulama pada asas maknanya ialah orang yang berilmu, tetapi dari sudut istilah penggunaan ulama dikaitkan dengan sifat takwa kepada ALLAH. Malah ALLAH mengangkat darjat manusia disebabkan dua perkara, iaitu iman dan ilmunya.

“Oleh itu dalam konteks ini, orang berilmu yang diangkat oleh ALLAH ialah golo­ngan beramanah dalam ilmu,” katanya.

Beliau berkata, orang yang melakukan khianat dalam ilmu akan menyebabkan kesan memudaratkan, iaitu boleh menyebabkan masyarakat dan generasi musnah.

Menurutnya, Pas adalah satu-satunya parti politik di negara ini yang memberi peng­iktirafan kepada ulama.

Rabu, 24 Ogos 2011

KEDIAMAN GADDAFI DISERANG PEMBERONTAK


Serangan besar-besaran di kediaman pemimpin Libya


TRIPOLI - Para pemberontak Libya semalam melancarkan satu serangan besar-besaran ke atas pekarangan kediaman pemimpin Muammar Gaddafi di sini.
Sebelum ini mereka memberi amaran bahawa akan melancarkan serangan di kawasan itu dengan bantuan kereta kebal.
Bunyi pertempuran kedengaran selepas para pemberontak mara ke bandar ini pada Ahad lalu.
Bunyi mortar dan jet-jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) turut kedengaran.
Laungan Allahuakbar juga kedengaran dari masjid-masjid.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama turut meminta satu peralihan kuasa dilakukan di Libya dengan menuntut Gaddafi menyerahkan kuasanya.
Menteri Pertahanan Perancis, Gerard Longuet kelmarin menyatakan menerusi sebuah stesen radio bahawa rejim Gaddafi sudah tumbang tetapi situasi di Libya masih belum menemui jalan penamat. - AFP

ZAKAT 10 PPK ZON SELATAN MENINGKAT


Zakat 10 PPK meningkat 

BAGAN DATOH - Pembayaran zakat perniagaan pada tahun ini dilihat lebih tinggi berbanding sebelumnya apabila sebanyak 10 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Zon Perak Selatan membayar zakat itu kepada Majlis Agama lslam Perak (Maipk) yang mencecah RM500,000. 

Pegawai Penyelia Daerah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Perak Selatan, Ramli Zainal berkata, peningkatan pembayaran zakat perniagaan itu membuktikan kebanyakan PPK mencatat keuntu�ngan mencecah RM1 juta dalam urus niaganya sepanjang tahun lalu. 

Menurutnya, sebanyak 10 PPK yang telah membayar zakat perniagaan kepada Maipk iaitu PPK Bagan Datoh, Hutan Melintang, Sungai Manik, Langkap, Kampung Gajah, Parit, Seberang Perak, Bota, Tapah dan Slim River. 

Katanya, purata sebuah PPK memperoleh keuntungan antara 10 peratus hingga 15 peratus kerana projek yang dijalankan mendapat pasaran menggalakkan. 

“Oleh yang demikian, PPK di kawasan Perak Selatan, di saran memberi kesedaran kepada ahli untuk menambah modal saham. 

“Saham PPK minima RM100 bagi setiap ahli dan mereka digalakkan menambah modal saham bagi membolehkan PPK dapat merancang projek yang memberi pulangan kepada ahli itu sendiri,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan zakat perniagaan PPK Bagan Datoh sebanyak RM80,326.83 kepada Maipk, di sini, petang kelmarin. 

Hadir sama, Pengerusi PPK Bagan Datoh, Che Ros 0sman yang turut menyerahkan zakat perniagaan kepada Pegawai Baitulmal Daerah Hilir Perak, Ahmad Fadzil Mustaffa. 

Ramli berkata, bagi menarik minat ahli PPK untuk menambahkan saham mereka, hadiah galakan diberikan kepada ahli yang paling banyak menambah saham. 

Katanya, PPK yang memperoleh keuntungan tinggi boleh mewujudkan Tabung Wang Kebajikan, Pendidikan, Kemajuan Ahli dan Kebajikan Ahli. 

“Setiap tabung diberi dividen 10 peratus dan pulangannya dinikmati oleh ahli sendiri. 

“Oleh itu, saya mengharapkan PPK Perak Selatan mengambil insentif sendiri untuk memastikan ahli mereka menambahkan bilangan saham mereka yang akan memberikan pulangan baik kepada organisasi itu sendiri,” katanya.

Selasa, 23 Ogos 2011

TAZKIRAH RAMADHAN : RAMADHAN BULAN KEMENANGAN - 2

Siri 2 



......" Tiada seorang pun di antara kami yang gentar untuk bersama - sama engkau menemui musuh kami besok. Sesungguhnya kami akan tetap tabah menjalani peperangan, kami akan tetap benar sewaktu berhadapan dengan musuh, mudah - mudahan Allah SWT memperlihatkan kepada engkau pendirian kami yang boleh menenangkan hati dan menyejukkan mata engkau. Teruskanlah bersama kami dengan keberkatan daripada Allah."

Alangkah gembiranya Rasulullah saw mendengar jawapan itu. Lantas Baginda saw bersabda :" Pergilah kamu dengan keberkatan daripada Allah dan bergembiralah kamu, kerana sesungguhnya Allah telah menjanjikan daku dengan salah satu daripada dua pasukan, samada pasukan unta yang membawa barang dagangan mahupun pasukan perang." Kemudian berjalanlah Rasulullah saw hingga sampai di satu telaga kecil yang ada di Badar itu, lalu Baginda saw berhenti di situ.

Al Habbab bin Al Munzir RA berkata kepada Rasulullah saw : " Wahai Rasulullah! Adakah tempat ini telah ditentukan oleh Allah kepada engkau dan tidak boleh diubah lagi atau ia hanya suatu pilihan engkau sebagai tipu helah peperangan?" Kemudian Al Habbab mencadangkan agar berpindah ke suatu tempat lain yang lebih selamat dan kemungkinan kaum muslimin untuk menyekat sumber air daripada kaum musyrikin. Rasulullah saw dan para sahabat bersetuju dengan cadangan Al Habbab dan terus menuju ke tempat yang ditujukkan olehnya.


Sebelum peperangan bermula, Baginda saw sendiri tampil mengatur dan menyusun barisan tentera Islam, memberi perangsang kepada mereka agar terus berjuang, memberi galakan kepada mereka supaya mencapai syahid dalam pertempuran itu. Kemudian terjadilah peperangan dengan sengitnya dan pertempuran itu berakhir dengan kemenangan di pihak Islam. Dalam peperangan ini, seramai 70 orang musyrikin terbunuh termasuklah Abu Jahal. 70 orang yang lain pula berjaya ditawan oleh tentera - tentera Islam.


Akan bersambung dalam siri 3.


Disediakan oleh :
Pen. Setiausaha 3,
Dewan Pemuda Pas Bagan Datoh.

Isnin, 22 Ogos 2011

KENALI PERLEMBAGAAN MALAYSIA - 1

Perlembagaan Malaysia, dikenali juga sebagai Perlembagaan Persekutuan mengandungi 183 perkara, adalah undang-undang tertinggi di Malaysia. Ia merupakan satu dokumen undang-undang bertulis yang telah dibentuk berasaskan kepada dua dokumen terdahulu iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan tahun 1957.

Sejarah

Perlembagaan ini telah dirangka berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid yang telah melakukan kajian dalam tahun 1956. Perlembagaan berkenaan berkuatkuasa sejurus selepas kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Ia bermula daripada satu persidangan perlembagaan yang telah diadakan di London pada 18 Januari hingga 6 Februari 1956 yang dihadiri oleh satu rombongan delegasi daripada Persekutuan Malaya, yang mengandungi empat wakil pemerintah, iaitu ketua Menteri Persekutuan (Tunku Abdul Rahman) dan tiga menteri-menteri lain, dan juga Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya dan penasihat-penasihatnya.

Pindaan

Untuk meminda perlembagaan, satu majoriti dua pertiga (2/3) bersetuju kepada pemindaan ini memerlukan persetujuan pada kedua-dua dewan di parlimen. Merujuk kepada pakar perlembagaan Shad Saleem Faruqi, perlembagaan ini telah dipinda 42 kali semenjak 48 tahun selepas kemerdekaan sehingga 2005. Bagaimanapun, seperti mana beberapa pindaan telah dibuat setiap kali, beliau menganggarkan bilangan sebenar pindaan individu adalah pada sekitar 650. Beliau menjelaskan bahawa "semangat dokumen sebenar telah dicairkan".

Ahad, 21 Ogos 2011

TAZKIRAH RAMADHAN : RAMADHAN BULAN KEMENANGAN - 1


Sejarah telah membuktikan bahawa Ramadhan merupakan bulan kemenangan buat umat Islam. Puasa tidak sedikit pun menghalang mereka untuk mengharungi dan meneruskan perjalanan menegakkan kemakrufan dan mencegah kebatilan walaupun bekalan sumber tenaga lahir mereka tiada di sisi. 

Bahkan, mereka sebenarnya menggunakan bekalan sumber tenaga dalaman yang lebih kuat terutamanya semasa berdepan dengan hawa nafsu. Tidak hairanlah apabila peperangan demi peperangan yang berlaku di dalam bulan ini berakhir dengan kemenangan di pihak Islam.

Dibawah ini disenaraikan contoh kemenangan Islam dalam bukan ini sebagai iktibar dan pengajaran buat kita bersama :

1. Peperangan Badar Al- Kubra

Peperangan ini berlaku pada 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah bersamaan dengan 624 Masihi berpunca daripada arahan Rasulullah saw supaya para sahabat keluar menyekat satu rombongan dagang Quraisy yang sedang menuju ke Kota Mekah dari negeri Syam tetapi bukan bertujuan untuk berperang.

Akan tetapi rombongan dagang yang dipimpin oleh Abu Sufyan tersebut berjaya melepaskan diri daripada sekatan itu setelah mereka menggunakan jalan pesisir pantai untuk sampai ke Mekah. Sebelum itu, Abu Sufyan sempat mengutus seorang utusan ke mekah untuk meminta perlindungan. Jesteru itu, keluarlah kaum Quraisy dengan kekuatan tentera seramai 1000 orang, 600 ekor kuda dan 700 ekor unta. Turut sama dalam angkatan tentera Quraisy ialah para penyanyi wanita yang menyanyikan lagu - lagu dengan seni kata yang bertujuan untuk mengejek - ngejek kaum muslimin dengan paluan rebana - rebana mereka.

Adapun bagi pihak muslimin, bilangan mereka hanya 313 atau 314 orang sahaja. Kebanyakkan mereka daripada golongan Ansar. Bersama - sama mereka hanya 70 ekor unta dan 3 ekor kuda. Sebelum peperangan bermula, Rasulullah saw mengadakan mesyuarat terlebih dahulu dengan para sahabatnya, terutamanya daripada golongan Ansar untuk mendapatkan pandangan - pandangan mereka berhubung dengan kumpulan manakah yang akan berada di barisan hadapan. Lantas golongan Muhajirin tampil menawarkan diri. Golongan Ansar yang faham bahawa Rasulullah saw ingin mendengar pandangan mereka lantas bangun menyatakan pendirian mereka.

Sa'ad bin Mu'az RA selaku ketua golongan Ansar berkata :

" Wahai Rasulullah saw! Sesungguhnya kami telah beriman dengan engkau, kami telah membenarkan engkau, kami telah bersaksi bahawa apa yang engkau bawa itu adalah benar. Kami telah berikan engkau janji - janji dan kepercayaan kami untuk patuh setia kepada engkau. Maka jalankanlah wahai wahai Rasulullah apa yang engkau mahu. Kami akan tetap bersama engkau. Demi Allah yang mengutuskan engkau dengan kebenaran, sekiranya engkau mahu mengharungi lautan ini bersama kami, nescaya kami harunginya bersama engkau....


Akan bersambung dalam siri 2

Disediakan oleh:
Pen. Setiausaha 3,
Dewan Pemuda Pas Bagan Datoh.

TERPAKSA PULANG KERANA SERANGAN ISRAEL : RADIG 2


Serangan bertubi Zionis paksa peserta pulang

GAZA - Peserta rombongan Ramadan Di Gaza (Radig 2) terpaksa keluar serta-merta dari Genting Gaza, semalam berikutan serangan berterusan Israel yang menggegarkan hotel penginapan mereka di tengah-tengah bandaraya itu sekaligus membahayakan keselamatan masing-masing. 

Ketua misi anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) itu, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, semua peserta selamat meninggalkan bumi Gaza tepat jam 1 tengahari (waktu Palestin) semalam dan dijangka akan tiba di Malaysia Rabu ini (24 September). 

Menurutnya, mereka mendengar lebih 10 letupan bom yang digugurkan tentera Israel di beberapa tempat awam di wilayah Palestin itu sehingga mengorbankan penduduk tempatan termasuk wanita dan kanak-kanak. 

“Suasana menjadi kelam-kabut dan mencemaskan apabila kami terdengar bunyi letupan kuat bom yang digugurkan hanya kira-kira satu kilometer dari tempat penginapan ketika kami sedang khusyuk mendengar tazkirah kira-kira jam 4.40 pagi tadi (semalam),” katanya. 

Azmi berkata, ahli rombongan sebelum itu dibenarkan melawat tempat letupan bom pertama digugurkan Israel di Gaza dengan diiringi pasukan keselamatan tempatan. 

Menurutnya, bangunan perpustakaan awam Gaza yang sedang dalam pembinaan musnah teruk dalam serangan itu dan sebuah masjid bersebelahan turut terjejas.

Jumaat, 19 Ogos 2011

TAZKIRAH JUMAAT : AKHLAK TERPUJI - AKHIR

Siri Akhir :

Kisah Sa'alabah menunjukkan bahawa kemewahan hidup serta sifat tamakkan dunia biasa menggugat ketaqwaan serta keimanan seseorang.



Dalam sebuah hadis sahih, seseorang yang bertanya kepada Nabi Muhammad saw mengenai perbandingan antara kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat, maka jawab Baginda : " Ketahuilah kamu bahawa jika dibandingkan kenikmatan yang ada di dunia ini dengan kenikmatan di dalam syurga, maka sebenarnya dunia adalah tidak lebih seperti seketul bangkai yang ditarik atau direbut oleh beberapa ekor anjing."


Sementara dalam sebuah hadis lain, bertanya pula seseorang kepada Rasulullah saw mengenai perbandingan antara dunia dengan akhirat, maka jawab baginda :" Celupkan jarimu ke air laut, maka air yang menitis dari hujung jarimu itulah dunia, manakala air yang selebihnya tertinggal di lautan itulah akhirat."


Mutiara kata & wasiat :


" Dunia ini bagaikan lautan yang dalam yang mana sudah ramai mereka yang sudah ditenggelamkannya. Oleh itu, jadikanlah taqwa sebagai kapalnya dan iman pula sebagai air yang menyirami tanaman."


( Wasiat Lukman al - Hakim )


Disediakan oleh :
Pen. Setiausaha 3,
Dewan Pemuda Pas Bagan Datoh.

Khamis, 18 Ogos 2011

ADUHAI DATUK ZAHID !!!


BAGAN DATOH - Dewan Pemuda Pas Bagan Datoh ( DPPK ) amat kesal terhadap kenyataan Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid b. Hamidi yang juga merupakan Menteri Pertahanan Malaysia berkenaan isu fatwa larangan membaca al - Quran menggunakan pembesar suara yang telah diputuskan oleh Majlis Fatwa negeri Pulau Pinang baharu- baharu ini.

Kenyataan akhbar beliau itu adalah tidak lain dan tidak bukan berniatkan jahat untuk menghentam serta berunsurkan politik busuk hati. Juga adalah tidak keterlaluan sekiranya beliau juga boleh dianggap ' kurang cerdik ' dalam agama. Oleh kerana kepentingan politiknya, beliau sanggup mengeluarkan kenyataan tersebut mengikut emosi semata - mata.

Berdasarkan ulasan beliau itu, pihak pemuda Pas Bagan Datoh melihat keberanian penyataan Menteri Pertahanan tersebut ianya kerana hanyalah tidak lain, kerajaan Pulau Pinang dipimpin dan ditadbir Pakatan Rakyat iaitu Ketua Menterinya, Lim Guan Eng.

Kononnya sejak pentadbiran kerajaan Pulau Pinang diambil alih Pakatan Rakyat, sensitiviti kaum dan agama di negeri tersebut menjadi semakin tenat. Lim Guan Eng seolah - olah punca perpaduan antara kaum serta kepercayaan agama terganggu kerana ketua menteri itu dituduh anti Melayu- Islam.

Terbaharu, isu fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Pulau Pinang yang tiada kait mengait pun kerajaan negeri juga menjadi isu dan fitnah kepada Ketua Menterinya, Lim Guan Eng.

Sedangkan dalam agama Islam sendiri tiada hukum wajib membesarkan suara untuk bacaan al - Quran apatah lagi ketika umat manusia lain sedang berehat. Konsep beribadah dalam Islam ialah beribadah sehingga jangan menganggu orang lain.

Maka jelaslah kenyataan ahli parlimen itu hanyalah mengikut emosi semata - mata dan hanya membuat tuduhan jahat terhadap Pakatan Rakyat.



SAMBUTAN BADAR AL- KUBRA 1432 H

SELEKOH, BAGAN DATOH - " Dalam kita menjalani ibadah berpuasa di bulan Ramadhan ini, jangan kita lupa untuk menghayati dan menyilami perjuangan Rasulullah saw dalam peperangan Badar dan juga peristiwa amat bermakna iaitu penurunan al - Quran ( Nuzul Quran )." demikian antara ucapan yang disampaikan oleh YB Hj. Salahuddin b. Ayub ketika menjadi penceramah jemputan sambutan Badar al- Kubra anjuran Pas kawasan Bagan Datoh.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian juga Naib Presiden Pas Pusat menyatakan banyak pengajaran dan iktibar melalui sirah peperangan Badar yang perlu untuk umat Islam hayati dan selami. Melihat suasana kehidupan masyarakat umat Islam semakin jauh daripada ajarannya amat membimbangkan semua pihak, beliau mengingatkan supaya umat Islam khususnya di Malaysia kembali merujuk kepada panduan al -Quran dan Hadis serta melihat sirah nabi sebagai pedoman.

" Perjuangan umat Islam hari ini mestilah perpandukan kepada ajaran Nabi Muhammad saw. Peperangan Badar sebagai contohnya amat memberi pengertian tinggi sebagaimana Nabi dan sahabat - sahabat ketika itu mempertahankan Islam." ujar beliau ketika mengulas sirah Nabi Muhammad saw berjuang mempertahankan dan mengembangkan Islam.

Ucap beliau lagi, perjuangan Islam semestinya tidak akan melalui jalan mudah kerana sememangnya Allah SWT akan menguji setiap mereka yang sanggup untuk mempertahankan agama Allah SWT tersebut. Ianya di buktikan melalui sirah dan cerita - cerita yang terkandung dalam kitab suci al -Quran.

Pilihanraya Umum mungkin dalam tahun ini

Ahli parlimen Kubang Kerian itu juga menyatakan kemungkinan besar bahawasanya Pilihanraya Umum ke 13 akan berlangsung pada tahun ini juga. Ianya berdasarkan keadaan dan situasi negara dan kerajaan UMNO- BN yang semakin banyak memberikan petunjuk - petunjuk hampirnya pilihanraya tersebut.

" Kita perlu bersedia daripada sekarang. Jangan mudah tertipu helah UMNO - BN lagi. Saya menyeru semua kawasan dan jentera pilihanraya bersedia kerana ada kemungkinan pilihanraya umum hujung tahun ini setidak - tidaknya dalam bulan 10 ini." tegas beliau berkaitan isu - isu terkini.

Beliau juga mengharapkan semua pengundi dan penyokong Pas supaya sedar segala apa yang berlaku disekeliling negara kita ini. Banyak kerosakkan dan keburukan telah dilakukan UMNO - BN sejak akhir - akhir ini apabila mereka sudah mula lupa daratan dan hak rakyat yang sebenarnya.


YB. Salahuddin telah membangkitkan isu - isu terkini dan segala isu yang gagal untuk kerajaan UMNO- BN atasi dan tangani. Ianya merupakan bukti kelemahan ujar beliau terhadap kerajaan pimpinan perdana menteri, Datuk Seri Mohd Najib b. Tun Abdul Razak yang sentiasa dibayangi isterinya, Datin seri Rosmah bt. Mansor.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan rakyat agar sedar seterusnya bangkit menentang kezaliman kerajaan UMNO- BN sepanjang tempoh memerintah negara ini.


Rabu, 17 Ogos 2011

BUKTI DITEMUI LAGI : PEMUDA PAS

Pas temui tiga bukti lagi 


SHAH ALAM - Pemuda Pas menemui tiga lagi ‘bukti’ yang didakwa penyelewengan data pilihan raya membabitkan tiga individu, dua di Perlis dan seorang di Kedah. 

Pengerusi Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat berkata, pihaknya curiga apabila mendapati dua individu bernama sama, Azhar Bin Ahmad de-ngan nombor kad pengenalan yang hanya berlainan pada dua digit terakhir, didaftarkan sebagai pengundi di tempat yang berbeza di kawasan Parlimen Padang Besar, Perlis. 

“Selain Azhar Ahmad, ada dua lagi individu iaitu Besah Mat dan Mansor Ahmad kita temui dengan ciri-ciri yang sama,” katanya. 

Suhaizan berkata, apa yang mencurigakan pihaknya ialah identiti setiap individu itu hanya dibezakan dengan dua digit terakhir pada nombor kad pengenalan mereka. 

“Nama, tarikh lahir, kod negeri, digit kesembilan dan digit ke-10 adalah serupa. Ini membuktikan ia bukan kebetulan, sebaliknya lebih mirip kepada suatu manipulasi pilihan raya,” katanya. 

Lebih daripada itu, Suhaizan mendakwa, ketiga-tiga individu terbabit masing-masing mungkin mempunyai dua kad pengenalan dan boleh mengundi dua kali dalam satu pilihan raya. 

“Mereka juga masing-masing mempunyai dua keahlian UMNO cawangan dan boleh mengundi dua kali pada mesyuarat UMNO,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau mendesak SPR dan JPN memberikan penjelasan segera berhubung perkara itu yang disifatkan satu manipulasi yang sangat serius.


Selasa, 16 Ogos 2011

KONVENSYEN SEKRETARIAT DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

GOMBAK - Bertempatkan di Dewan Dato' Hj. Fadzil Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Taman Melewar, Dewan Pemuda Pas Malaysia ( DPPM ) telah menganjurkan Konvensyen Sekretariat Dewan Pemuda Pas di bawah kelolaan Jabatan Setiausaha Dewan Pemuda Pas Malaysia. Konvensyen tersebut bertujuan untuk membentuk kesetiausahaan yang cemerlang dari segi menguruskan dan mentadbir pejabat.

Majlis perasmian telah di lancarkan oleh Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi. Bertarikhkan 14 Ramadhan 1432 bersamaan 14 Ogos 2011, hari Ahad majlis tersebut telah menghimpunkan para setiausaha dan penolong setiausaha Dewan Pemuda Pas Negeri dan Kawasan seluruh Malaysia.

Dewan Pemuda Pas Kawasan Bagan Datoh juga tidak ketinggalan menghantar wakil ke kovensyen tersebut. Mereka terdiri daripada Ketua Dewan Pemuda Kawasan, Ust. Ahmad Najib, Setiausaha Dewan Pemuda Kawasan, Sdr. Ahmad Nordin b. Samrin dan Penolong Setiausaha 3, Ust. Mustaid b. Saifuddin.














MURTAD : MISKIN DAN JAHIL JADI PUNCA


Jahil, miskin punca murtad

SHAH ALAM - Masalah jahil dan miskin dikenal pasti antara punca ada orang Islam di negara ini yang murtad. 

Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan berkata, angka disebut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Parlimen bahawa dalam tempoh 10 tahun sejak 2000, seramai 863 individu me-ngisytiharkan diri murtad tidak boleh dipandang remeh. 

“Itu secara rasmi, yang tidak rasmi kita tak tahu. Jadi ini masalah berat,” katanya. 

Menurutnya, murtad bukan isu baru di negara ini. 

“Pada 1988, Presiden Pas sekarang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah bangkitkan isu ini di Dewan Rakyat tetapi ditolak. Pada 1999, juga ditolak. Pada 2006, Salahuddin Ayub (Naib Presiden Pas sekarang) pernah cadangkan isu murtad dibincang, tidak berjaya juga,” katanya. 

Nasruddin berkata, sehingga kini, pihaknya tidak pasti mengapa kesemua usul dibawa Pas ditolak. 

“Bagi kami, ia sangat penting kerana kita tak boleh biar orang tinggalkan Islam. Ia perlu disekat,” katanya. 

Menurutnya, isu murtad bukan berlaku di Malaysia sahaja tetapi menjadi kebimba-ngan sepanjang masa di selu-ruh dunia.

DNA BABI : MENTEGA IMPORT


Mentega mengandungi DNA babi

KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan mentega jenama ‘Pure Creamery Butter-Golden Churn’ yang dipasarkan di Malaysia adalah tidak halal.

Ketua Pengarahnya, Othman Mustapha berkata, keputusan itu dibuat selepas, mendapati produk itu datang dari kilang yang sama dengan yang diedarkan di Sarawak walaupun pengimportnya berbeza.

“Perkara ini disahkan wakil syarikat Ballantyne Food dari New Zealand. Berikutan itu, umat Islam diminta tidak menggunakan produk tersebut,” katanya dalam satu kenya­taan di sini.

Othman juga meminta pemegang dan permohonan baru Sijil Pengesahan Halal dari Jakim atau jabatan agama Islam negeri yang menggunakan produk tersebut, menukarnya kepada yang mempunyai sijil halal serta mengemukakan resit pembelian bahan ramuan baru.

Othman berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada syarikat pengimport dan mereka bersetuju menarik balik produk terbabit dari pasaran.

Pada 19 Julai lepas, Jabatan Agama Islam Sarawak mengisytiharkan produk itu yang digunakan segelintir pengusaha kek lapis sebagai tidak halal kerana dikesan mengandungi DNA (asid deoksiribonukleik) babi, menyebabkan industri makanan itu terjejas.- Bernama

PM TIDAK PERCAYA POLIS ?


PM Britain ‘tampar’ polis 

LONDON - Keputusan Perdana Menteri Britain, David Cameron melantik pakar jenayah jalanan Amerika Syarikat (AS) sebagai penasihat selepas rusuhan ganas tercetus di London menjadi tamparan hebat kepada pasukan polis Britain. 

William Bratton, ketua polis yang dikenali kerana kejayaan mengekang jenayah jalanan di bandar besar AS seperti New York, Los Angeles dan Boston akan membantu kerajaan Britain merangka strategi untuk berhadapan rusuhan dan budaya gangster di negara Eropah itu. 

Pelantikan Bratton diumum Cameron selepas pemimpin itu menuduh kumpulan samseng sebagai punca rusuhan ganas empat hari di seluruh negara, minggu lalu. 

Pengerusi Persekutuan Polis Manchester, Ian Hanson yang mewakili polis Britain menyelar keputusan Cameron itu. 

“Britain tidak memerlukan seseorang yang tinggal sejauh 8,000 kilometer (untuk jadi penasihat) tetapi polis hanya memerlukan peruntukan kewangan mencukupi. 

“Polis Britain menerima tamparan hebat apabila Perdana Menteri ingin membawa masuk Bratton untuk memperbaiki dasar keselamatan negara,” katanya. 

Kenyataan itu dijangka mencetuskan lebih banyak perselisihan antara polis dan kerajaan apabila Cameron sebelum ini mendakwa tindak balas pasukan keselamatan itu semasa rusuhan ibarat pengecut. 

Kerajaan Britain di bawah merancang memotong peruntukan polis sehingga 20 peratus dan memberhentikan 16,000 pegawai sepanjang empat tahun bagi mengawal defisit negara itu. 

Sementara itu, seorang lelaki, Joshua Donald, 26, dan remaja berumur 17 tahun dihadapkan ke mahkamah, semalam berhubung kematian tiga lelaki semasa mangsa melindungi kejiranan mereka daripada pencuri semasa rusuhan di Birmingham.

jambori amal kuala kangsar 2008