pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Khamis, 29 Disember 2011

KEKALUTAN PAS SELESAI : PAS

Isu Hasan, Nasharudin selesai
Pas
BACHOK - Kemelut membabitkan pimpinan Pas dengan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dianggap selesai selepas mereka mengadakan pertemuan di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan, kelmarin.
 
‘Pertemuan muhibah’ itu juga menyaksikan Hasan menarik balik kenyataannya sebelum ini yang dilihat mengkritik parti secara terbuka dan mengatakan parti Islam itu telah lari daripada landasan asal dengan memperkenalkan konsep Negara Berkebajikan, walaupun dipersetujui dalam muktamar lalu.
 
Akibat itu, Hasan dikritik secara terbuka oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali yang mendakwa beliau terperangkap dengan agenda Umno.
 
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau bersyukur kerana Hasan menarik balik kenyataan sensitif dalam pertemuan tersebut.
 
Menurutnya, isu pemimpin Pas yang lantang mengkritik parti itu dianggap selesai dan tidak berbangkit lagi.
 
“Ini tanda kelakian, dia ikhlas menarik balik kenyataan dan memohon maaf, ini ajaran agama dan bukan senang untuk mana-mana individu yang buat salah untuk minta maaf dan menarik balik kata-kata itu,” katanya ketika meninjau Pantai Irama yang terhakis teruk akibat ombak besar di sini, semalam.
 
Pertemuan muhibah itu turut di sertai timbalan mursyidul am, Datuk Dr Haron Din dan presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang diadakan di kediaman Nik Aziz.
 
Sebelum ini, Hasan dan Nasharudin mengkritik Pas dengan menyifatkan ia lari daripada perjuangan terutama isu Negara Berkebajikan.
 
Hasan menarik balik kenyataan dibuatnya pada 20 Disember dengan menyifatkan ulasan beliau sebagai keterlanjuran.
 
Katanya, sebagai ahli dan pimpinan dalam parti beliau bersetuju dengan konsep Negara Berkebajikan seperti diputuskan pucuk pimpinan.
 
Bagaimanapun Hasan tetap dengan pendirian bahawa teguran tersebut dibuat untuk memperbetulkan perjuangan Pas yang semakin tersasar dari landasan asal kerana terlalu ‘akomodatif’ demi kepenti-ngan parti komponen. 
 
Manakala bagi Nasharudin, dalam kenyataannya sebelum ini, beliau tetap tidak akan meninggalkan parti itu bagi menyertai UMNO.
 
Ahli Parlimen Bachok itu berkata, dakwaan kononnya beliau terperangkap dalam agenda UMNO adalah tidak berasas dan terlalu jauh menyimpang dari kebenaran.

SAYA MOHON MAAF: HASSAN ALI

Hassan bertemu pimpinan, mohon maaf
hassan ali

SHAH ALAM- Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamad Ali telah bertemu pemimpin tertinggi Pas dan memohon maaf serta menarik balik segala kenyataannya terhadap parti itu sebelum ini. 
 
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pertemuan Hassan bersama pimpinan itu perlu dicontohi. 
 
"Saya melahirkan rasa syukur di atas rasa rendah diri Datuk Hassan Ali yang bersedia memohon maaf serta menarik balik kenyataan negatifnya terhadap parti sebelum ini.
 
"Bukan mudah bagi orang yang melakukan kesalahan serta mengakuinya dan memohon maaf. Jadi tindakan beliau itu begitu mengharukan saya. Saya juga berharap, orang lain yang mempunyai masalah seperti ini berlapang dada seperti Datuk Hassan," katanya dipetik Harakahdaily. 
 
Pertemuan itu berlangsung di JKR 10, Kota Bharu Kelantan semalam di mana Hassan dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa bertemu pemimpin tertinggi iaitu Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mursyidul Am dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din.
 
Selain itu, Nik Aziz berkata, pertemuan yang dianjurkan Pas Pusat ini katanya, "jika PAS Pusat tak atur pun, saya akan panggil dia.
 
"Saya sendiri akan membuat kenduri makan tengahari kecil-kecilan di JKR 10 hari ini tanda kesyukuran penyelesaian kes ini.
 
Saya berharap Pas Pusat boleh menganjurkan kenduri besar-besaran untuk meraikannya. Ahli-ahli Pas boleh memberi sumbangan untuk menjayakan kenduri kesyukuran ini," cadangnya. 

Rabu, 28 Disember 2011

PENDUDUK KECEWA KUALITI JALANRAYA TERUK

BAGAN DATOH : Walaupun sudah hampir 10 tahun lebih, pelbagai aduan dan laporan telah dilakukan kepada pihak berwajib namun seolah - seolah ianya hanya satu tindakan sia - sia bagi penduduk di sekitar Bagan Datoh - Hutan Melintang apabila keadaan jalanraya utama yang menghubugkan antara pekan tersebut masih ditahap teruk dan membahayakan para pengguna.



Melihat situasi tersebut, penduduk melahirkan rasa kesal dan kecewa apabila tiada tindakan serta usaha bersungguh dari pihak - pihak yang sepatutnya. Menurut pengguna jalanraya utama itu turut menyatakan rasa kebimbangan kerana keadaan jalanraya tersebut boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna terutamanya penunggang motorsikal.

Keadaan juga semakin membimbangkan apabila waktu malam kerana kekurangan lampu jalan di sepanjang jalan tersebut. Walaupun terdapat usaha untuk membaiki jalan dengan menampal dan menurap semula dibahagian yang rosak, ianya tiada memberikan keselesaan pengguna sebaliknya menambahkan kerisauan kerana jalan menjadi beralun dan tidak rata.



Seorang pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 27,  mendakwa bahawa beliau  akan melalui jalan tersebut untuk kemana - mana  kerana ianya merupakan jalan utama di mukim ini. Dakwa beliau lagi, disebabkan keadaan jalan yang tidak rata dan beralun telah banyak kemalangan berlaku di kawasan ini.

Penduduk berhampiran juga menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kualiti jalan tersebut memandangkan ianya menjadi jalan utama anak - anak mereka pergi ke sekolah. Antara punca kerosakkan ialah disebabkan kenderaan berat lalu lalang untuk mengangkut keluar ke kilang   hasil ladang dan kebun di sekitar Bagan Datoh dakwa penduduk setempat.

Manakala menurut seorang Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh, Mustaid, 25, mengharapkan tindakan segera akan diambil pihak berkenaan kerana memandangkan kesulitan tersebut telah lama berlaku dan tidak seharusnya aduan rakyat dan penduduk diambil ringan. Ini soal kebajikan dan keselamatan pengguna serta melibatkan nyawa rayu beliau lagi.

" Saya harap perkara ini tidak mempolitikan keadaan. Kami sendiri sebagai pengguna, minta semua pihak melihat perkara ini demi menjaga kepentingan rakyat," ujar beliau lagi.


PEMUDA PAS MENYELAR KENYATAAN ISMA

Pemuda Pas selar kenyataan Isma

Nasrudin Hassan
SHAH ALAM – Pemuda Pas menyelar kenyataan Ikatan Muslim Malaysia (Isma) yang mendakwa Pas menghadapi krisis identiti dan mengalami kekeliruan terhadap hala tuju parti. 
 
Ketua Pemudanya, Nas­rudin Hassan berkata, kenyataan Isma itu adalah berpunca dari salah faham terhadap matlamat dan objektif perjuangan Pas dalam pelan membentuk Negara Berkebajikan.
 
Beliau berkata, sudah jelas penubuhan Pas adalah berasaskan kepada agama Islam dan Negara Berkebajikan yang dirancang adalah komponen asas dalam merealisasikan hasrat berkenaan.
 
“Dokumen negara Islam yang diterbitkan adalah pelan induk Pas bagi menjayakan hasrat mendaulatkan syariat ALLAH dan fasa kedua pula akan memastikan ia bergerak dengan lebih praktikal.
 
“Ia adalah pengisian dan pelaksanaan yang bakal menjawab pelbagai tohmahan kononnya negara Islam adalah negara hukum semata-mata,” katanya dalam kenyataan media, di sini.
 
Nasruddin berkata, Isma perlu membuka dan melihat pelan lengkap projek Pas bagi memahami keseluruhan fasa yang dirancang.
 
Katanya, Negara Berkebajikan bukan krisis identiti tetapi pengukuhan identiti. Justeru ia dapat memantapkan lagi pengenalan dan jati diri Pas dalam usaha membina sebuah negara Islam yang adil.
 
“Negara Islam ialah negara yang dibina berasaskan bimbingan syariat Islam, sementara elemen utama dalam syariat Islam ialah adil, telus, integ­riti dan amanah selain ubudiyyah pengabdian diri kepada ALLAH . 
 
“Ini menepati pembentukan pentadbiran baik yang menjadi sendi utama bagi Negara Berkebajikan yang mahu dibangunkan oleh Pas,” katanya.

Kerosakan jalan Kampung Sungai Siput, Sungai Batang.

Jalan kampung Sungai Siput ini, sangatlah teruk dan uzur sangat, Tak de sesiapa dari kalangan yang bertanggungjawab nak bawa naik ke atas keadaan jalan jalan ini.. Sekiranya anda melalui jalan ini dengan menaaiki kereta, anda pasti akan kecut perut kerana jalan ini amat senget ke parit yang luas sebelahnya tu..... Rasanya dah banyak kali orang sungai batang melaporkan kepada pihak yang berwajib tetapi tiada tindakan sehingga kini... "Kepada DPPK bagan Datoh, penduduk sg batang dan sg siput berharap agar dapat mengusahakannya bersungguh-sungguh. Moga berkat usaha DPPKBD kami akan dapat jalan baru," kata seorang penduduk yang tak mau disebut namanya.... Tuan puan lihatlah gambar yang terpapar... dan rasailah seksanya penduduk setempat...












Siasat segera dakwaan Shahrizat - Pemuda Sabah



| Print |
Mohd Firdaus   
KOTA KINABALU, 27 Dis: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah mendesak Polis dan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar segera membersihkan kepimpinan negara daripada sebarang salah laku rasuah, korupsi dan salah guna kuasa.

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, pendedahan terbaru yang dibuat oleh Datuk Seri Shahrizat Jalil telah mengundang pelbagai andaian negatif rakyat terhadap integriti pemimpin kerajaan sedia ada.

“Jika benar dakwaan Shahrizat, polis dan SPRM perlu segera membuat siasatan rapi terhadap sebarang salahlaku tidak kira kepimpinan peringkat negara mahupun negeri.

"Sangat malang jika wujud pemimpin yang makan rasuah, hipokrit dalam memimpin, salah guna kuasa dan kedudukannya,” jelasnya.

Beliau  mengulas  kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu pada 25 Disember lalu yang mempersoalkan “siapakah pemimpin Umno yang tiada masalah”, yang dilihat seperti ada sesuatu yang tidak kena.
Shahrizat berkata demikian bagi membela dirinya yang sedang ditekan ekoran skandal Pusat Fedlot Kebangsaan (NFC).
Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu berpendapat, bukan Shahrizat sahaja yang salah dalam hal ini tetapi yang lebih bersalah adalah bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika projek itu diberikan, Tan Sri Muhyidin Yassin.
“Seolah-olah ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh beliau.

“Maklumlah, beliau sedang terpalit dengan ‘projek lembu kondo’ dan ramai rakan-rakannya yang mendesak beliau meletak jawatan. Takkan beliau seorang yang ada masalah,” kata Lahirul lagi.

Sementara itu, rakyat juga ujarnya tidak perlu berasa senang hati dengan tindakan ke atas Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohd Khir Toyo yang didapati bersalah baru-baru ini oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Baginya, itu hanya kes terpencil malah yakin banyak lagi kes yang lebih besar yang sepatutnya diambil tindakan.

"Banyak lagi skandal Menteri Besar, Ketua Menteri, Bekas Menteri dan sebagainya.

"Ini perlu dibersihkan dan dihadap ke muka pengadilan dengan kadar segera,” ujarnya.

Sabtu, 24 Disember 2011

BELA MAHASISWA : PEMUDA PAS

Pemuda PAS ikrar bela mahasiswa
KUALA LUMPUR, 24 Dis: Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia memuji keberanian para mahasiswa baru-baru ini yang menurunkan satu kain bercetak wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di hadapan ibu pejabat Umno sebagai simbolik tuntutan mereka terhadap kempen kebebasan akademik yang diperjuangkan selama ini.
Pengarahnya, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi  berkata, tindakan para mahasiswa tersebut sebenarnya rentetan daripada rasa mual mereka terhadap dunia akademik di Malaysia yang semakin lesu dan terkongkong oleh sikap Kerajaan Umno Barisan Nasional yang terus menekan para ahli akademik yang berani bersuara demi kebenaran.
Katanya, Juham melihat tindakan para mahasiswa tersebut adalah tindakan yang berani dan merupakan suatu manifestasi kepada hak dan kebebasan mereka untuk bersuara sepertimana yang dibenarkan oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, jelasnya mahasiswa harus menjadikan perkara itu sebagai suatu momentum untuk terus maju ke hadapan tanpa gusar dan takut dengan ugutan-ugutan bacul dari Umno Barisan Nasional dan konco-konconya.
Malah, ujarnya Juham melihat perarakan kumpulan pelajar pro-Aspirasi yang menjadi budak-budak suruhan Umno berdemonstrasi di hadapan bangunan kementerian pengajian tinggi baru-baru yang menuntut Datuk Saifuddin Abdullah supaya meletakkan jawatan kerana didakwa "terlalu mesra" dengan pelajar pro-Mahasiswa, tidak lain dan tidak bukan adalah tindakan terdesak Kerajaan Umno Barisan Nasional yang malu apabila kain bercetak wajah Presiden mereka diturunkan.
“Sekiranya mereka benar-benar berani dan yakin dengan pendirian mereka, kenapa kumpulan pelajar pro-Aspirasi tersebut enggan untuk berjumpa Datuk Saifuddin Abdullah walaupun telah diminta berbuat demikian,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Juham selanjutnya, kata beliau mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang telah menyerahkan notis kepada aktivis pelajar Adam Adli Abdul Halim supaya menghadiri sesi pendengaran tatatertib pada 9 Januari berhubung insiden menurunkan bendera tersebut.
Tegasnya, Juham melihat tindakan UPSI tersebut seumpama menghina keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, tambahnya UPSI dan lain-lain institut pengajian tinggi seharusnya mengambil sikap menghormati keputusan mahkamah tersebut yang mengiktiraf hak kebebasan bersuara mahasiswa.
Tambahnya lagi, tindakan UPSI tersebut jelas mencerminkan tindakan terdesak Umno Barisan Nasional bagi menakut-nakutkan mahasiswa kerana Umno sedar bahawa mahasiswa merupakan kuasa perubah yang besar dan mampu menggulingkan mereka dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti.
Juham, jelasnya dari dulu, kini dan selamanya tanpa jemu sentiasa berpegang dan berpegang teguh kepada kebebasan untuk bersuara di mana ia adalah suatu hak asasi kepada semua rakyat Malaysia dan ia jelas termaktub di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, namun dinafikan oleh Kerajaan Umno Barisan Nasional.
“Justeru, Juham yang terdiri daripada barisan peguam-peguam di seluruh Malaysia berikrar akan membela dan menyokong para mahasiwa ini sekiranya mereka didakwa di mahkamah,” katanya.
Malah, ujarnya Juham bersedia untuk memberikan khidmat nasihat guaman percuma kepada para mahasiswa sekiranya mereka dipanggil untuk menghadiri tindakan tatatertib sebagai bukti sokongan padu pihaknya kepada gerakan mahasiswa yang mendokong kebenaran dan keadilan.
“Akhirnya, Juham mengucapkan syabas kepada seluruh mahasiswa atas keberanian mereka dan Juham menyeru mahasiswa sekalian supaya terus maju ke hadapan tanpa rasa gentar dan takut dalam menyuarakan kebenaran yang merupakan hak asasi anda semua dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara,” tegasnya.

HASSAN ALI MOHON MAAF

Saya tarik balik kritik Negara Berkebajikan - Hasan Ali
KUALA LUMPUR, 24 Dis: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali hari ini mengakui kesilapannya mengkritik pendekatan Negara Berkebajikan yang mahu dibawa PAS seperti diputuskan dalam Muktamar tahunan parti itu Jun lalu.


Ekoran itu juga, beliau yang juga exco kerajaan Selangor pada satu sidang media di kediamannya hari ini menarik balik kritikannya itu dan memohon maaf kepada pimpinan dan ahli parti.

“Sebagai ahli PAS dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat, saya mengakui terdapat unsur keterlanjuran saya waktu membuat ulasan mengenai perkara itu. Dengan ini saya menarik balik komen mengenai Negara Berkebajikan tersebut.

“Saya memohon maaf kepada saf kepimpinan dan ahli-ahli parti terhadap keterlanjuran saya itu,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini.

Sebelum ini pada satu sidang medianya juga, beliau mendakwa perjuangan PAS sudah menyimpang apabila mengangkat Negara Berkebajikan berbanding Negara Islam sejak sekian lama.

Sehubungan itu beliau menolak konsep Negara Berkebajikan dan mendesak parti itu kembali kepada matlamat asal menubuhkan sebuah negara Islam.

Mengakui ulasannya sebelum ini sebagai terlanjur kata, Hassan hari ini juga menyatakan pendirian bahawa beliau bersetuju dengan konsep Negara Berkebajikan yang diperjuang PAS kerana sebahagian dari initipati dan matlamat ke arah menubuhkan sebuah negara Islam.

“Saya sebagai ahli dan pimpinan, saya menyetujui apa yang dikemukakan dan pada masa sama saya melihat pengisian Negara Berkebajikan sama seperti negara Islam yang dikemukakan parti sebelum ini.

“Kemungkinan besar sama apa yang ada dalam konteks negara Islam dengan Negara Berkebajikan,” katanya.

Sementara itu, Hasan juga berkata beliau bersedia bertemu kepimpinan parti bila-bila masa bagi merungkai permasalahan yang timbul yang turut mengaitkan dirinya.

KHIR TOYO BERSALAH

Bekas Menteri Besar Selangor dijel 12 bulan
Dr Mohamad Khir Toyo
SHAH ALAM – Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam didapati bersalah menggunakan pen-garuhnya sebagai Menteri Besar untuk membeli dua lot tanah dan sebuah banglo bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Mohtaruddin Baki juga memerintahkan perlucutan hak terhadap hartanah milik Mohamad Khir dan diserahkan kepada kerajaan.

Bagaimanapun, beliau membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu sehingga kes rayuan selesai.

Mohtaruddin dalam penghakimannya berkata, hukuman tersebut dibuat dengan mengambil kira faktor kepentingan awam tambahan pula kesalahan itu dilakukan penjawat awam berjawatan tinggi.

“Mahkamah tidak bertolak ansur dalam kes berbaur rasuah dan hukuman berat perlu dalam kes seperti ini dan kepentingan awam perlu diutamakan.

“Hukuman denda tidak sesuai dikenakan dalam kes ini,” katanya.

Menurutnya, Mohamad Khir ada rancangan memiliki harta tersebut dan faktor ini amat jelas berdasarkan keterangan saksi pendakwaan.

Sebelum itu, peguam M Athimulan mewakili Mohamad Khir merayu memohon mahkamah menjatuhkan huku-man ringan atas alasan memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika soal siasat dijalankan.

Athimulan dalam hujahnya mahu mahkamah menilai jasa yang dilakukan oleh anak guamnya sepanjang beliau menjadi Menteri Besar.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd Daud berhujah agar mahkamah mengambil kira kepentingan awam berbanding kepentingan Mohamad Khir.

“Kesalahan seperti ini seharusnya dicegah dan penjawat awam perlu berhati-hati ketika menjalankan tugasan mereka.

“Mohamad Khir bukan secara tidak sengaja, tetapi dia ada perancangan untuk membeli hartanah tersebut,” katanya.

Dalam kes ini, Mohamad Khir, 46, didapati bersalah kerana mendapatkan untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, 46, dua lot tanah dan banglo di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/ 1L, disini daripada Pengarah Ditamas Sdn Bhd melalui Shamsuddin Hayroni dengan harga RM3.5 juta sedangkan harta tersebut dibeli syarikat itu dengan harga RM6.5 juta pada 23 Disember 2004.

Perbuatan itu dilakukan Mohamad Khir dalam keadaan dia mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Khamis, 22 Disember 2011

AKAN TERUS BERJUANG BERSAMA PAS: USTAZ NASHARUDIN

Tiada niat masuk Umno: Nasha
Nasharudin Mat Isa
SHAH ALAM - Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa menyangkal dakwaan, beliau terperangkap dalam agenda politik Umno dan menyifatkan dakwaan itu tidak berasas.

Menurutnya, sepanjang pembabitan di dalam Pas, beliau belum pernah menyatakan hasrat menyertai Umno.

“Buat kesekian kalinya saya tegaskan, saya tidak mempunyai niat menyertai Umno.

“Janganlah gunakan alasan seperti ini untuk menyimpulkan tindakan atau perhitungan politik ketika kita mengharung gelombang percaturan politik jauh lebih mencabar,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Nasharudin berkata, kenyataan itu dikeluarkan rentetan beberapa dakwaan, tuduhan dan tohmahan dilemparkan secara langsung oleh beberapa pihak terhadapnya, menerusi media massa, blog dan laman Facebook serta Twitter.

“Saya perlu mengeluarkan kenyataan ringkas untuk menjelaskan kecelaruan berlaku. Saya harap ia memadai mengukur kesetiaan saya terhadap perjuangan Pas.

“Saya tegaskan di sini, saya adalah adalah ahli Pas, perjuangan saya kekal bersama Pas untuk menjunjung risalah Islam serta memberi sumbangan kepada ummah,” katanya.

Tambahnya lagi, sebagai seorang terdidik dalam dua dunia dan latar belakang berbeza iaitu bukan agama sebelum berpindah kepada pengajian Syariah dan Perbandingan Undang-Undang, beliau menyedari pembabitan di pentas politik nasional mengundang pelbagai cabaran dan dugaan.

“Dalam dunia dakwah, kita dididik dengan hakikat bahawa laluan dakwah ini tidak dibentang dengan permaidani merah, jauh sekali untuk sentiasa direnjis dengan wangian bunga. Saya akur sepenuhnya dengan Tariqud-Dakwah yang lalui ketika ini.

“Jalan dakwah ini ditempuh oleh para anbiya’, sahabat dan ulama terdahulu daripada kami yang memilih Pas sebagai pentas politik dalam konteks sistem demokrasi berparlimen sedia ada di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustaffa Ali dalam kenyataannya berkata, bekas pemimpin Pas, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan Nasharuddin Mat Isa terperangkap dalam agenda politik Umno.

PROJEK PEMBINAAN DEWAN PAS BAGAN DATOH

PROJEK PEMBINAAN BANGUNAN DEWAN BAHARU
PAS KAWASAN BAGAN DATOH, PERAK
Markaz Tarbiyah PAS Selekoh, Bagan Datoh

Selekoh, Bagan Datoh : Hasil daripada sumbangan dan kerjasama ahli dan masyarakat setempat, akhirnya impian PAS Kawasan Bagan Datoh untuk memiliki sebuah dewan akan menjadi kenyataan. Ketika ini, masih giat kerja - kerja penyiapan bangunan tersebut dilakukan. Pastinya, ianya adalah sebagai mercu tanda kemegahan PAS kawasan apabila menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 nanti.

Bangunan dewan tersebut akan menempatkan sebuah pejabat, bilik mesyuarat dan dewan utama sebagai memudahkan segala urusan gerak kerja parti. Ianya dibina berdasarkan 3 fasa yang mana fasa 1 melibatkan tapak dan tiang telahpun selesai disempurnakan. Ketika ini adalah sedang giat menyiapkan fasa 2 iaitu menyiapkan pejabat dan dewan utama.

Ruangan pentas utama masih lagi belum sempurna.


Ruang yang bakal menempatkan pejabat utama PAS Kawasan.

Bahagian dewan utama sedang dalam proses penyiapan.


Jumaat, 16 Disember 2011

KENALI SEJARAH PAS

SEJARAH PARTI PAS



Parti Islam SeMalaysia (PAS)


pas01


Kemunculan PAS dalam sejarah politik tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951 apabila para ulamak yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya. Nama persatuan ini kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 24 November 1951, dalam satu persidangan ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai. Itulah sekelumit permulaan sejarah PAS yang diasaskan oleh para ulamak yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah yang penting di negara ini. Penglibatan dan sumbangan PAS dalam politik negara bermula sebaik sahaja ia ditubuhkan walaupun ramai pengkaji mengatakan PAS hanya menyertai politik menjelang pilihan raya 1955.
Kemunculan PAS ini dikatakan hasil daripada silang pengaruh yang berlaku antara beberapa gerakan Islam yang lebih awal seperti Ikhwanul Muslimun di Mesir, Masyumi di Indonesia dan Jamaat Islami di Pakistan. Ketiga-tiga pengaruh ini telah menyerap masuk ke Tanah Melayu melalui para ulamak yang belajar di Mesir, Mekah, India dan Indonesia. Ksedaran yang awal ialah para ulamak atau umat Islam memerlukan sebuah pertubuhan atau badan yang boleh mewakili mereka dalam semua aspek kehidupan terutama dalam keadaan Tanah Melayu sedang dijajah oleh British ketika itu. Longgokan ksedaran ini kemudiannya menghasilkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947 diikuti oleh Hizbul Muslimin pada 1948 kesan daripada usaha gigih Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Walau bagaimanapun, gerakan Islam yang berpusat di Gunung Semanggol ini terkubur ekoran penguatkuasaan Ordinan Darurat pada Jun 1948.
Para ulamak mengambil beberapa sikap selepas tragedi darurat ini. Ada yang ’tawakuf’ daripada politik kepartian tetapi menggerakkan kesedaran rakyat melalui institusi pendidikan atau media massa. Dalam fraksi yang lain, para ulamak telah mengambil sikap untuk menyertai parti nasionalis UMNO bagi membolehkan isu-isu umat Islam diperkatakan. Beberapa tokoh Hizbul Muslimin seperti Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, seorang lepasan Maahad Ihya Assyariff, Gunung Semanggol telah menyertai UMNO pada 1950 dan dilantik mengetuai Bahagian Agama dan Pelajaran UMNO. Bahagian ini kemudiannya mengaturkan beberapa persidangan untuk membolehkan ulamak menubuhkankan persatuan. Dalam tulisannya, ”Ulamak Malaya Belum Bersatu dan Belum Punya Persatuan”, Haji Ahmad Fuad menyifatkan kedudukan ulamak ketika itu umpama sampah yang tidak dihargai kerana tiada kekuatan. Lebih-lebih lagi ketika itu ulamak telah muak dengan sikap UMNO yang mengabaikan isu pemurtadan Natrah, pengajuran judi loteri, fun fair, kaberat dan lain-lain. Dalam satu persidangan ulamak yang dipimpin oleh Sheikh Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang di Seberang Perai pada 1951, mereka telah mengeluarkan fatwa mengharamkan judi loteri anjuran UMNO.

Sheikh Abdullah Fahim
Antara pengasas Persatuan Ulamak
Dalam konflik pelbagai yang dihadapi oleh para ulamak dan situasi politik semasa yang masih tidak menuju kepada jalan Allah itu, maka para ulamak membuat pendirian untuk menubuhkan PAS. Haji Ahmad Badawi, seorang ulamak di Seberang Perai telah mengeluarkan satu manifesto yang dinamakan ’Manifesto al-Badawi’ dengan tema ”Ulamak ke Jalan Allah” bagi menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24 November 1951. Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Alah. Para ulamak menolak bentukbentuk perjuangan yang diasaskan berdasarkan ideologi ciptaan manusia yang dibawa masuk oleh penjajah.
Semenjak itulah, PAS muncul sebagai sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara, kemudian menyertai pilihan raya demi pilihan raya. PAS juga menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan mesej dakwahnya termasuk membentuk beberapa kerjasama politik dengan orang bukan Islam semenjak 1953. Di bawah kepemimpin Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan Dr Haji Abbas Alias, PAS bercakap soal kemerdekaan yang boleh ditegakkan hukum Islam. PAS menolak kerakyatan jus soli yang merugikan peribumi dan PAS mendesak supaya Islam dijadikan dasar negara yang merdeka.

Dr. Burhanuddin Al Helmy
Pelopor Perubatan Homeopathy dan Bekas Pimpinan PAS
Apabila Dr Burhanuddin al-Helmy mengambil alih kepemimpinan PAS pada akhir 1956, PAS mula memperincikan sikapnya terhadap kemerdekaan yang hendak dicapai yang dianggap ’masih kosong’ dari matlamat sebenar kerana mengabaikan kebangsaan Melayu dan ketuanan Islam1. Hal ini tergambar daripada hasrat Dr Burhanuddin,

”Dalam perjuangan kita (PAS) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terusmenerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha suci”2.
 Penyertaan PAS dalam pilihan raya 1959 telah memberikan kejayaan besar apabila Terengganu dan Kelantan berjaya dikuasai. PAS membentuk kerajaan yang dipimpin oleh Mohd Daud Abdul Samad di Terengganu dan Ustaz Ishak Lotfi Omar di Kelantan sebagai Menteri Besar. PAS memulakan langkah sebagai kerajaan di dua negeri Pantai Timur untuk menterjemahkan ideologi perjuangannya yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Namun begitu, kerajaan PAS di Terengganu telah dijatuhkan pada Oktober 1961 hasil permainan politik kotor Perikatan. Di Kelantan, PAS berjaya bertahan sehingga BN mendaruratkan Kelantan pada akhir 1977. Dalam konteks ini, PAS-lah satu-satunya pembangkang yang diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah kerajaan negeri di negara ini.
Selepas kejatuhan Terengganu pada hujung 1961, PAS mulai menerima tekanan-tekanan politik seperti penyalahgunaan ISA, penahanan Dr Burhanuddin al-Helmy diikuti oleh sekatan politik, keganasan Pemuda Tahan Lasak Umno dan beberapa siri pembunuhan politik. Perjuangan PAS untuk memartabatkan kebangsaan Melayu Raya berasaskan Islam telah dijadikan kambing hitam dalam Konfrantasi Indonesia pada 1963. PAS menolak pembentukan Malaysia kerana mahukan sebuah negara Melayu yang lebih besar meliputi seluruh alam Melayu dibentuk. Dalam masa yang sama Umno mencanangkan isu-isu perkauman yang akhirnya membawa kepada beberapa siri perbalahan kaum di Pulau Pinang, Perak dan Singapura antara 1964 hingga 1969, dan kemuncaknnya tercetus Tragedi 13 Mei 1969 yang mengubah landskap politik negara. Selepas tragedi ini, Datuk Mohd Asri Muda yang memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS semenjak 1965 telah dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 1971.

Datuk Asri Muda
Pemimpin PAS yang bertanggungjawab membawa PAS ke dalam BN
PAS memasuki era baru dalam politik negara apabila PAS mula meneroka kerjasama dengan Umno bagi menjamin kestabilan politik negara, mengekalkan ketuanan Melayu dan menyerapkan Islam dalam pemerintahan. PAS menyertai beberapa parti lain telah membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1973, kemudian sama-sama mengasaskan Barisan Nasional (BN) pada 1974. BN mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya 1974 dan PAS sendiri telah berjaya menembusi ruang-ruang yang baru sehingga membolehkan Islam di sampaikan ke corong telinga rakyat dengan lebih berkesan. Walau bagaimanapun, keterbukaan PAS dalam membentuk kestabilan politik negara telah disalahgunakan oleh musuh-musuh politiknya dengan melaga-lagakan pimpinan PAS sehingga terjadi krisis politik Kelantan pada 1977. Akibatnya, PAS telah menolak Akta Darurat (Kelantan) 1977 yang menyebabkan PAS bukan sahaja disingkirkan dari BN, tetapi turut kehilangan Kelantan.
Setelah melalui tempoh yang mencabar antara 1978 hingga 1982 di mana PAS terpaksa berhadapan dengan perpecahan, kehilangan kuasa pemerintahan, tekanan ISA dan krisis kepemimpinan, akhirnya PAS telah mengasaskan kepemimpinan ulamak pada Oktober 1982. Tuan Haji Yusof Rawa telah diangkat untuk memimpin PAS bagi menggantikan Datuk Mohd Asri yang meletakkan jawatan. Permulaan era kepemimpinan ulamak memperlihatkan PAS kembali kepada asas perjuangannya untuk mendaulatkan Islam dan memberikan penekanan terhadap kwajipan tersebut. Gerakan dakwah PAS berkembang dengan lebih tersusun melalui pendekatan haraki dan dalam masa yang sama PAS terus membina jambatan dakwah dengan non-Muslim sehingga terbentuk Majlis Perundingan Cina (CCC). Di sudut yang lain, pendekatan PAS telah disambut oleh kerajaan dengan melaksanakan juzuk tertentu daripada Islam seperti Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, Dasar Bersih, Cekap dan Amanah serta penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa dan lain-lain.


Us. Fadzil Noor memimpin perubahan besar dalam PAS
Beliau membawa PAS ketengah-tengah masyarakat.
Paling mencabar pada era kepemimpinan ulamak ialah beberapa siri penyalahgunaan ISA yang berlaku pada 1984, 1987 dan 1989, ketimbang dengan desakan PAS untuk diadakan Debat Terbuka PAS-UMNO pada 1984. Dalam kemelut ini, tercetus pula tragedi Memali pada November 1985 yang mengorbankan 14 orang ahli PAS. Tetapi, pada 1987, UMNO pula menghadapi krisis kepemimpinan sehingga parti tersebut diharamkan. Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor memanfaatkan kesempatan ini dengan mewujudkan kerjasama politik dengan serpihan Umno, Semangat 46 yang membolehkan PAS berkuasa semula di Kelantan. Ketua Dewan Ulamak PAS (kemudian Mursyidul Am PAS), Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat diberikan kepercayaan untuk memimpin kerajaan Kelantan semenjak 1990. Dengan dasar ’Membangun Bersama Islam’, PAS berjaya melaksanakan tanggungjawabnya untuk menegakkan hukum Allah yang berada dalam bidang kuasana.

Ku Li keluar daripada UMNO lalu menubuhkan Semangat 46 dan bekerjasama dengan PAS dalam pilihan raya.


Pada 1996, PAS mula berkrisis dengan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang menyebabkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dibentuk pada 1989 berpecah. Dua tahun kemudian, Umno sekali lagi menghadapi perpecahan ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebabkan wujudnya gerakan Reformasi. PAS telah memimpin Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) bagi menuntut keadilan kepada rakyat, kemudian menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada 1999. Melalui BA, PAS berjaya merampas semula Terengganu. Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang diamanahkan untuk mengetuai kerajaan Terengganu sehingga 2004. Selepas pencapaian lemah PAS pada 2004 kerana momentum Perdana Menteri baru, PAS bangkit semula pada 2008 dengan mengetuai tiga kerajaan negeri dan turut serta dalam kerajaan di Selangor. Kini, PAS dilihat sebagai pencabar utama Umno dalam menguasai politik orang Melayu Islam. 


Tuan Guru Hj. Nik Aziz
Ulama' dan Pemimpin yang disegani
Sepanjang tempoh 1951-2008 ini, PAS telah dipimpin oleh tujuh orang Yang Dipertua Agung/Presiden iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Dr Haji Abbas Alias (1953-1956), Profesor Dr Burhanuddin al-Helmy (1956-1969), Datuk Mohd Asri Muda (1969-1982), Tuan Haji Yusof Rawa (1982-1988), Dato’ Fadzil Mohd Noor (1988-2002) dan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (2002 hingga sekarang).

Tuan Guru Hj Abdul Hadi
Presidan PAS
Para pengkaji yang menganalisis perkembangan PAS ini mengatakan PAS telah mengalami empat jenis kepemimpinan iaitu kepemimpinan ulamak tradisi (1951-1956), kepemimpinan nasionalis kiri (1956-1969), kepemimpinan nasionalis kanan (1969-1982) dan kepemimpinan ulamak haraki (1982-sekarang)3. Dalam pada itu juga, mereka mengatakan PAS telah melalui empat tahap perkembangan iaitu tahap kemunculan (1951-1959), tahap kebangkitan (1959-1973), tahap kemuncak (1973-1977), tahap kejatuhan (1977-1990) dan tahap kebangkitan semula (1990-sekarang)4. Dari sudut pembinaan ideologi perjuangan PAS, dikatakan berlaku tiga fasa iaitu fasa penubuhan dan pembentukan ideologi (1951-1958), fasa pencernaan ideologi (1958-1982) dan fasa pengukuhan idelogi (1982-1995).

jambori amal kuala kangsar 2008