pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Selasa, 31 Januari 2012

SENARAI RAGU DIGUGURKAN - SPR

42,025 pemilih digugur senarai pengundi PRU13
GEORGETOWN - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengugurkan sebanyak 42,025 nama yang sebelum ini tersenarai sebagai pemilih berdaftar setelah rekod mereka didapati meragukan.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, jumlah itu adalah daripada senarai 42,051 nama pemilih berdaftar yang rekodnya meragukan dan dipamerkan suruhanjaya itu sejak November lepas.

Katanya, setelah senarai itu dipamerkan selama dua bulan dan berakhir hari ini, hanya 50 orang atau waris sahaja tampil membuat pengesahan mengenai status rekod pemilih mereka atau warisnya.

Daripada jumlah itu, 27 orang di Kelantan dan 10 daripadanya adalah pemilih aktif, Terengganu (13) dan 10 pemilih aktif, Pahang (empat) dan tiga adalah pemilih aktif, Kedah (tiga) dan seorang daripadanya adalah pemilih aktif, Negeri Sembilan seorang sahaja dan didapati pemilih tidak aktif serta masing-masing seorang pemilih dan disahkan aktif di Perlis dan Selangor.

"Kita telah memberi tempoh yang lama iaitu selama dua bulan atas  permintaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (mengenai Penambaikan Proses Pilihan Raya) walaupun pada asalnya senarai itu akan dipamerkan selama sebulan dan sepatutnya berakhir 31 Dis lepas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Talimat Persediaan Pilihan Raya Umum ke-13 kepada Pegawai Pengurus/Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya di sini.
   
Abdul Aziz berkata, bagi tempoh suku tahun ketiga tahun lepas, jumlah pemilih berdaftar di seluruh negara kini adalah sebanyak 12,400,437 orang.

Katanya, jumlah rakyat yang berumur 21 tahun ke atas bagi tempoh itu ialah sebanyak 16,131,571 orang dan ini bermakna 3,7341,134 orang atau 23 peratus daripada warga yang layak mengundi masih tidak berdaftar sebagai pemilih.

Berdasarkan pecahan kaum pula, kaum Melayu yang mencapai usia 21 tahun ke atas adalah yang paling ramai tidak mendaftar sebagai pemilih.

Beliau juga meminta pemilih yang berpindah alamat supaya mengambil inisiatif untuk mengemaskinikan rekod dengan melaporkan pertukaran alamat kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan kemudiannya menghubungi SPR bagi mengelak kekeliruan tempat mengundi kelak.

Katanya, jumlah pemilih di negara ini meningkat kira-kira 300,000 orang pada setiap suku tahun dan jika pilihan raya umum ke-13 diadakan pada Jun tahun ini, jumlah pemilih berdaftar yang digunakan adalah bagi tempoh suku tahun pertama tahun ini.  
   
Mengenai terdapat cadangan agar rakyat Malaysia di luar negara dibenarkan mengundi, beliau berkata, setakat ini Wisma Putra telah menyatakan bahawa mereka tidak sanggup untuk menggendalikan proses mengundi di luar negara.

"Ini kerana jumlah rakyat Malaysia di luar negara adalah ramai dan mereka berada di merata tempat, selain itu SPR juga akan berbincang mengenai takrifan siapakah rakyat Malaysia dan satu garis panduan mengenainya haruslah diwujudkan," katanya.

Mengenai desakan kerajaan Pulau Pinang yang terus mendesak SPR menggendalikan pilihan raya kerajaan tempatan di negeri ini, Abdul Aziz berkata beliau telah menjelaskan secara bertulis kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng bahawa SPR tidak mempunyai kuasa berbuat demikian ekoran pemansuhan undang-undang mengenai pilihan raya itu.

Katanya, bagaimanapun kerajaan negeri ini bebas untuk membuat pilihan raya kerajaan tempatan itu dan mereka boleh menggendalikannya sendiri tanpa penglibatan SPR seperti yang pernah dilakukan oleh sebuah negeri bagi tujuan pemilihan ketua kampung.- Bernama

PAS BUKAN PARTI PECAT ORANG - NAIB PRESIDEN

Pas: Kami bukan parti suka pecat orang
Salahuddin Ayub
KUALA LUMPUR - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub menolak pandangan media bahawa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan menjadi sasaran susulan pemecatan Datuk Dr Hasan Ali awal bulan ini, berhubung tindakan penggantungan lima penuntut Kolej Universiti Insaniah (Kuin).

Sambil menegaskan isu melibatkan Azizan dan Hasan jauh berbeza, Salahuddin berkata, Pas juga bukan satu parti yang mengamalkan budaya suka memecat ahli dan pemimpinnya.

"Pas bukan (parti) suka pecat orang. Itu mainan politik media arus perdana kerajaan, yang melihat siri pemecatan dari Pas. Jadi, kita bukan budaya pecat orang, bukan menjadi amalan dan budaya suka pecat orang atau mengambil tindakan disiplin ke atas seseorang.

"Ia hanya dibuat pada waktu-waktu dan ketika yang cukup kritikal. Jadi saya rasa ini hanya mainan media untuk menggambarkan perkara-perkara negatif mengenai Pas," katanya dalam pertemuan dengan Sinar Harian Online, semalam.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, tidak timbul isu kononnya Azizan, yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah, akan dipecat sebagaimana kes Hasan, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor.

"Ia sama sekali isu yang berbeza. Apa yang disebutkan oleh Datuk Azizan adalah dari segi teknikal (berkenaan) pelaksanaan Auku (Akta Universiti dan Kolej Universiti) di Kuin.

"Isu Hasan Ali melibatkan penentangan beliau terhadap parti dan dasar parti, dan menggunakan media musuh untuk menyerang parti. Jadi, saya rasa ia harus dibezakan.

"Datuk Azizan isu teknikal sahaja. Kita harus melihat dari perspektif yang berbeza, isu Datuk Hasan Ali," katanya lagi.

Hasan, yang juga Exco Kerajaan Negeri, dipecat oleh Pas pada 8 Januari lalu.

Salahuddin berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan sebuah akhbar mingguan kelmarin, yang antara lain mengatakan sebagaimana Hasan, bekas Timbalan Presiden Pas Nasharudin Mat Isa, Timbalan Mursyidul Am Datuk Dr Haron Din dan ramai lagi yang dilabel pro-BN, Azizan juga sudah terkena tempias.

Pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari baru-baru ini meminta Pakatan Rakyat mengambil tindakan ke atas Azizan atas alasan melanggar prinsip Buku Jingga dibawa perikatan itu.

Aziz mahu Azizan dikenakan tindakan tegas kerana pendirian Menteri Besar Kedah itu bertentangan dengan kesepakatan pembangkang untuk menghapuskan Auku yang juga termaktub dalam buku jingga mereka.

Selepas Hasan yang dikenakan tindakan sejurus PKR membuat desakan, apakah mungkin Azizan akan mengalami nasib sama, soal pandangan akhbar tempatan itu.

Bagaimanapun dalam kenyataan kepada Sinar Harian semalam, Azizan berkata, lima pelajar Kuin dikenakan tindakan tata tertib termasuk digantung pengajian mengikut peruntukan Akta IPTS 1996, bukannya Auku seperti yang diuar-uarkan pihak luar.

Azizan berkata, oleh itu beliau menasihatkan pihak luar supaya tidak mencampuri isu dalaman kolej universiti tersebut kerana tidak mahu menimbulkan kekeliruan.

"Kedua-duanya berbeza, walaupun hampir sama. Saya harap selepas ini jangan lagi ada pihak yang pertikai keputusan yang dibuat,” kata beliau yang juga Pengerusi Kuin.

USTAZ HARON DIN BERTANDING PRU 13 - PAS PERLIS

Haron Din tanding PRU13, ketuai Pas Perlis
Haron Din
KANGAR - Pas Perlis mengesahkan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din akan bertanding pada pilihan raya umum ketiga berturut-turut sekali gus mengetuai Pas negeri itu dalam usaha menawan Perlis dari tangan Barisan Nasional (BN).
Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin berkata, pengesahan itu dibuat bagi menutup desas-desus pelbagai pihak mendakwa Haron Din tidak akan bertanding lagi pada pilihan raya umum (PRU) kali ini disebabkan masalah kesihatan.
Menurutnya, Pas Perlis sudah mengemukakan tawaran bertanding PRU kepada tokoh pengamal perubatan Islam itu sejak setahun lalu dan baru menerima jawapan positif beberapa minggu lalu.
“Haron Din bersedia bertanding buat kali ketiga walaupun dua kali tertewas dalam PRU terdahulu dan Pas bersedia menyerahkan mana-mana kerusi yang dirasakan sesuai untuknya.
“Bagaimanapun, saya yakin beliau akan menawarkan diri untuk bertanding di Parlimen sahaja dan mampu menang pada kali ini berdasarkan sokongan padu ditunjukkan rakyat Perlis,” katanya pada sidang media di Kompleks Pas Perlis semalam.
Hashim berkata, Pas menaruh keyakinan penuh mampu menawan Perlis kali ini berdasarkan trend sokongan padu ditonjolkan rakyat sehingga ramai pihak yang berebut-rebut menyampaikan sumbangan kepada parti bagi persiapan PRU.
Menurutnya, trend itu merupakan sesuatu yang tidak pernah dijangka apabila boleh dikatakan setiap hari ada sahaja yang datang berjumpa dengan pemimpin Pas negeri untuk menyampaikan sumbangan sehingga kadang-kadang mencecah ribuan ringgit.
Hashim turut menyifatkan Pas dan Pakatan Rakyat (PR) kini mendapat jaminan padu rakyat bukan Islam Perlis untuk bersama-sama mereka setelah bosan dengan pentadbiran Kerajaan Negeri sedia ada.

Isnin, 30 Januari 2012

PRESIDEN PAS JIWA BESAR

Hadi berjiwa besar, kata pemimpin Pas
Salahuddin Ayub
SHAH ALAM – Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub (gambar) menyifatkan tindakan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhasrat untuk berundur dan bersedia tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar.
Menurutnya, Abdul Hadi dilihat sanggup berundur ketika berada di puncak dalam karier politiknya walaupun beliau masih diperlukan berada dalam parti.

“Kenyataannya menggambarkan beliau seorang pemimpin yang memperjuangkan parti dan memiliki visi penting dalam konteks politik di Malaysia,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan Abdul Hadi menawarkan untuk berundur berdasarkan pada khidmatnya yang disifatkan sudah terlalu lama menyandang jawatan sebagai Yang Berhormat.

Salahuddin berkata, sumbangan Abdul Hadi kepada negara dan parti masih diperlukan.

“Abdul Hadi tidak mengutamakan jawatan sebaliknya fokus kepada matlamat hidupnya tercapai dan antaranya ialah apa yang diperjuangkan dalam Pas.

“Saya berterima kasih kepadanya kerana mengajar kami (ahli Pas) mengenai jawatan dalam politik bukanlah segalanya,” katanya.

Pas akan membincangkan hasrat pengunduran Abdul Hadi pada mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja parti itu 12 Februari depan.

Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau tidak dimaklumkan secara rasmi tetapi pemimpin tertinggi Pas itu pernah menyuarakan hasrat itu untuk memberi peluang kepada muka baru.

Menurut beliau, Abdul Hadi sebenarnya masih diperlukan dalam Pas kerana pengalamannya yang berjaya membawa parti itu ke kemuncaknya.

Sementara itu, Ketua PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman menyifatkan keputusan mahu berundur itu sebagai sikap pemimpin Pas yang amanah.

Fauzi berkata, sebagai rakan seperjuangan beliau memuji Abdul Hadi kerana berjaya membawa Pas kepada pentadbiran yang lebih kukuh.

“Ini satu kemuliaan dalam pemimpin Pas, sanggup berundur dan bersedia memberi peluang kepada muka baru,” katanya.

Beliau juga percaya Pas Terengganu akan kukuh di bawah pelapis baru dan mengekalkan persahabatan dalam Pakatan Rakyat.

Rabu, 25 Januari 2012

PAS LAWAT KAWASAN BAGAN CINA - YDP PAS TURUN SAMA

ZIARAH YDP PAS KE KAWASAN BAGAN CINA

Merapati pengundi kaum Cina sempena Sambutan Tahun Baharu Cina di sekitar kawasan Bagan.

BAGAN DATOH : Sempena Sambutan Tahun Baru Cina baharu – baharu ini, PAS Kawasan Bagan Datoh telah menganjurkan program jelajah pengundi kaum cina di sekitar DUN Rungkup. Misi tersebut telah diketuai oleh Yang Dipertua PAS Kawasannya, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki. Ziarah tersebut telah berjaya dilakukan hasil kerjasama ahli PAS dan penduduk sekitar tersebut.


Pada 22 Januari tersebut, misi mendekati pengundi kaum cina adalah bertujuan untuk menyelami kehidupan masyarakat cina dan memastikan sokongan mereka kepada PAS dan Pakatan Rakyat apatah lagi menjelang pilihanraya umum akan datang. Selain itu, tujuan ziarah juga untuk menjelaskan isu semasa serta penerangan berkaitan politik, ekonomi dan menyelesaikan aduan  masalah – masalah penduduk di situ.


“ Kita juga mahu lawatan ini memberikan satu kesedaran rakyat, bahawa masih lagi ada golongan miskin perlu untuk dibantu,” menurut Misbahul Munir selaku ketua misi jelajah tersebut.

Dalam jelajah tersebut, pihak PAS Bagan Datoh juga memberikan sedikit hadiah berbentuk  ‘ang pau’ kepada masyarakat cina di sini. Antara kawasan yang terlibat ialah Pekan Simpang Tiga, Pekan Bagan Datoh, Kawasan Bagan Ikan dan Bagan Sungai Burung yang sememangnya merupakan kawasan majority penduduknya berbangsa cina.


Bermula misi penyerahan ‘ang pau’ tersebut pada pukul 10 pagi dan berakhir jam 6 petang yang diserahkan sendiri oleh Mohd Misbahul Munir selaku Yang Dipertua PAS Bagan Datoh juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak.


Rata – rata masyarakat cina terbabit, melahirkan rasa gembira apabila menerima kunjungan Mohd Misbahul Munir serta ahli – ahli PAS yang turut sama dalam program tersebut.  



Selasa, 24 Januari 2012

MESIR : PARTI ISLAM MENANG BESAR

Parti Islam kuasai dua pertiga Parlimen Mesir

KUALA LUMPUR, 22 Jan: Keputusan pilihanraya Parlimen Mesir menepati ramalan pelbagai pihak dengan parti-parti beraliran Islam mencatat kemenangan dan menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di negara itu.

Keputusan akhir pemilihan Parlimen pertama Mesir setelah jatuhnya Presiden Hosni Mubarak turut menepati ramalan beberapa pihak apabila parti politik milik Ikhwanul Muslimin, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) mencapai kemenangan besar dengan meraih 47.18 peratus undi. 

Dengan perolehan yang turut mengejutkan sesetengah pihak itu, Suruhanjaya Pilihanraya Mesir semalam mengumumkan, FJP akan menguasai 235 kerusi di Majlis Rakyat.  

Tempat kedua diduduki oleh kubu konservatif, Parti Salafi al Nur dengan 25 peratus undi atau 121 kerusi, sementara parti beraliran liberal, Parti Wafd meraih 36 kerusi dan parti sekular, Koalisi Mesir memiliki 33 kerusi.     

Semasa pemerintahan Presiden Hosni Mubarak, Ikhwanul Muslimin merupakan organisasi yang dilarang bergiat dalam politik dan dengan keputusan tersebut, parti-parti Islam kini telah berjaya menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di Mesir.

Dengan keputusan itu juga, FJP kini sudah memutuskan untuk melantik seorang ahli politik kanannya, Saad al-Katatni sebagai ketua (speaker) Majlis Rakyat. 

Wartawan BBC di Kairo, Jon Leyne dalam laporan terkininya berkata, Presiden Mesir yang akan dipilih nanti bagaimanapun bukan parti pemenang pilihanraya itu.

Sebaliknya, pemilihan presiden akan dilangsungkan pada bulan Jun nanti, setelah segala proses lain yang berkaitan dengannya diselesaikan. 

Berdasarkan sistem pemilihan Mesir, warganegara itu akan memilih dua pertiga anggota Parlimen berdasarkan parti yang memiliki daftar calon masing-masing dan hanya sepertiga calon individu yang dipilih secara langsung.

Pemilihan Majlis Tertinggi Parlimen akan diadakan pada bulan Februari nanti dan selepas itu akan dipilih 100 anggota dari Majlis Tertinggi dan Majlis Rendah yang ditugaskan untuk menyusun perlembagaan baru Mesir.

Pilihanraya Parlimen Mesir itu diadakan setelah kebangkitan rakyat yang turun ke jalan-jalan raya di negara itu sehingga berhasil menjatuhkan Presiden Mubarak pada bulan Februari 2011 lalu.

Warga Mesir memberikan suara dalam tiga tahap pilihanraya yang berlangsung selama enam minggu untuk memilih 498 anggota Majlis Rakyat (Parlimen), sementara 10 anggotanya diperuntukkan untuk Dewan Tertinggi Tentera yang kini memerintah negara itu untuk sementara waktu.

Sementara itu, Agensi pula melaporkan, keputusan rasmi pusingan pertama pilihan raya Mesir menunjukkan parti Islam mencapai kemenangan besar, termasuk kumpulan Salafi yang terkenal kerana bersifat radikal.

Kumpulan Ikhwanul Muslimin yang berfahaman sederhana memenangi 36.62 peratus diikuti oleh Parti An-nur yang mewakili kumpulan Salafi, 24.36 peratus sementara Al Wasat, sebuah lagi parti Islam berfahaman sederhana meraih 4.2 peratus undi, berdasarkan carta yang disediakan oleh Setiausaha Agung Jawatankuasa Pilihan Raya, Yusri Abdel Karim.

Menurut carta itu, Parti Kebebasan dan Keadilan (AJP) yang mewakili Ikhwan, memenangi 3.56 juta daripada 9.73 undi, An-Nur, 2.37 juta dan Al-Wasat, 415,590.

Keputusan itu adalah untuk kawasan yang mengundi pada Isnin dan Selasa lalu dan ia mengesahkan ramalan awal bahawa parti berhaluan Islam akan memenangi sekurang-kurangnya dua pertiga undi.

Satu-satunya parti sekular yang mencatatkan kemenangan besar ialah Blok Rakyat Mesir yang memperoleh 13.35 peratus undi.

Jurucakap Ikhwan seperti yang dilaporkan oleh Agensi berkata, “Rakyat memilih calon yang mewakili identiti Islam dan dipercayai pengundi." 

Beliau menegaskan, FJP jauh berbeza dengan kumpulan Salafi yang menurutnya mencapai kemenangan memeranjatkan dalam pilihan raya itu.

“Kami berharap orang ramai akan dapat membezakan antara pergerakan yang berbeza dan tidak menganggap semua aktivis Islam berada dalam satu ‘kapal’,” katanya.


Ahad, 22 Januari 2012

TIADA MASALAH ISYTIHAR HARTA SAYA : NIK AZIZ

Nik Aziz: Saya tiada masalah isytihar harta
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan kesediaannya untuk mengisytiharkan harta jika undang-undang memerlukan beliau berbuat demikian.
Isu pengisytiharan harta, menurut Mursyidul Am Pas ini, sudah lama dibangkitkan tetapi malangnya sehingga kini rasuah berleluasa kerana manusia tidak bertakwa kepada ALLAH s.w.t.
"Kalau kena isytihar, saya isytihar tapi yang pentingnya takwa kepada ALLAH. Kalau hakim atau polis tidak bertakwa contohnya, maka berlakulah rasuah," kata beliau di sini hari ini.
Nik Aziz berkata, isu pengisytiharan harta oleh semua penjawat awam, termasuk pemimpin kerajaan merupakan isu lama.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Pertubuhan Angkatan Generasi Muda Melayu Kelantan (Agenda), Arif Hakimi Zulkifli yang  mendesak beliau dan keluarganya mengisytiharkan aset mereka kepada SPRM bagi memastikan mereka benar-benar telus dan bersih daripada kegiatan rasuah.
Menteri Besar berkata, sebelum ini, beliau pernah membuka pintu siasatan seluas-luasnya kepada SPRM untuk menyiasat ke atasnya.

DAP BUKAN PARTI RASIS - MELAYU MASUK DAP

Penyertaan Melayu bukti DAP bukan rasis
IPOH – Penyertaan dua orang muda Melayu dalam DAP menangkis dakwaan Umno yang meletakkan parti itu sebagai perkauman dan komunis serta sengaja memberi laluan mudah kepada wakil parti untuk menjadi Menteri Besar.
Pengerusi DAP Negeri, Datuk Ngeh Khoo Ham berkata, pihaknya masih memberi sokongan penuh kepada mantan Menteri Besar, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin menjadi Menteri Besar sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum kali ini.
Menurutnya, penglibatan golongan muda itu membuktikan DAP merupakan parti pelbagai bangsa yang masih bertunjangkan kepada kesetiaan agama, bangsa dan Raja-Raja Melayu.
“DAP tidak mengamalkan diskriminasi terhadap Melayu seperti yang didakwa oleh Umno dan pandangan orang muda dengan memilih DAP sebagai parti yang sedia membela rakyat adalah bertepatan.
“Mohammad Nizar tetap menjadi Menteri Besar setelah beliau berjaya membuktikan kredibilitinya dalam memimpin dan efektif mengendalikan pentadbiran negeri serta menyatukan perpaduan bangsa,” katanya dalam sidang media di Wisma DAP di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengusaha Komoditi, Fairuz Azhan Amiruddin, 26, dan peguam Dyana Sofya Mohd Daud, 25, sepakat menyertai DAP Negeri setelah melihat kekuatan ideologi dan kejayaan Kerajaan DAP Pulau Pinang mengurangkan kadar kemiskinan tegar.
Fairuz Azhan berkata, DAP sudah lama mengamalkan ideologi demokrasi sosial dengan terus memberi perkhidmatan dan membela rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“Hanya propaganda Umno menyebabkan rakyat meletakkan DAP sebagai sebuah parti diskriminasi bangsa. Kejayaan Pulau Pinang berjaya mengatasi kemiskinan tegar menjadi contoh terbaik kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Bagi Dyana Sofya, visi DAP yang menawar kesaksamaan, kerajaan demokrasi dan memerintah berteraskan undang-undang serta menentang rasuah menariknya menyertai parti itu.
“DAP menggambarkan Malaysia yang saya inginkan. Penyertaan saya menunjukkan DAP adalah terbuka kepada semua bangsa. Melihat kejayaan Kerajaan Pulau Pinang, saya berharap ia boleh direalisasikan di peringkat persekutuan menerusi Pakatan Rakyat,” katanya.

SEDIA DIALOG MANA - MANA PIHAK : PAS

Husam: Pas terbuka dialog dengan mana-mana komponen BN
Datuk Husam Musa
SHAH ALAM - Pas sentiasa terbuka untuk mengadakan sesi dialog bukan sahaja dengan Umno, malah dengan mana-mana komponen parti Barisan Nasional (BN).
 
Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata, sesi dialog yang bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian masalah tertentu adalah digalakkan dan ia tidak perlu dilakukan secara tertutup.
 
"Kami terbuka dan setuju sangat dengan dialog ini. Cuma sekarang yang tinggal, Umno boleh berdialog atau tidak?
 
"Jika mahu lakukan, perkara ini (dialog) tidak perlu tertutup sangat. Tidak perlu sembunyi-sembunyi sebab banyak benda akan disalahtafsirkan. Dunia kita sekarang dunia yang telus. Semua isu nasional telah diketahui rakyat. Saya tiada masalah jika untuk berdialog," katanya kepada Sinar Harian Online.
 
Bagaimanapun, Husam menegaskan, mengadakan sesi dialog dan melakukan perundingan perpaduan antara Pas dan Umno adalah dua perkara berbeza.
 
Semalam, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau bersetuju dengan cadangan seorang bekas pemimpin tertinggi PAS supaya kedua-dua parti berdialog untuk kebaikan negara.

Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa ketika menjawab soalan peserta Persidangan Antarabangsa Pergerakan Kesederhanaan Global Selasa lalu berkata, isu cadangan perbincangan antara Umno dan parti Islam itu bukan mengenai pembentukan sebuah pakatan tetapi hanya sebagai saling interaksi demi kebaikan negara.

Zahid berkata, Umno mungkin bersetuju menyertai dialog itu sekiranya perbincangan berkenaan lebih menjurus kepada membentuk perpaduan umat Islam di negara ini.

Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, ia merupakan cadangan yang baik demi perpaduan ummah dan kepentingan menegakkan perjuangan syiar Islam di negara ini.

Jumaat, 20 Januari 2012

ROAD SHOW HASAN ALI TIADA MEMBIMBANGKAN PAS

Pas tidak bimbang road show Hasan Ali - Nik Aziz
Nik Aziz
KOTA BHARU - Pas tidak bimbang dengan cadangan jelalah ke seluruh negara oleh bekas pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Hasan Ali, kata
Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata Hasan kini bukan lagi anggota Pas dan beliau boleh berbuat apa sahaja yang bukan atas nama parti itu.

"Beliau (Hasan) bebas berbuat apa sahaja atas sifatnya sendiri dan bukan atas nama parti kerana beliau tidak lagi menjadi anggota Pas," kata Nik Abdul
Aziz ketika ditanya mengenai cadangan "road show" itu untuk Hasan menjelaskan kedudukannya dalam politik selepas dipecat dari Pas.

Menteri Besar Kelantan itu bercakap kepada pemberita selepas menerima kunjung hormat lima anggota Parlimen dari China diketuai Menteri Pembangunan Pusat Bandar Kampung Baru dan Kewangan China, Thao Guang Qing, di pejabatnya di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Dalam pada itu Nik Abdul Aziz mengalu-alukan pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai anggota Exco Selangor yang baru menggantikan Hasan. 

Sebelum digugurkan Hasan memegang Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor. - Bernama

PEMUDA BAGAN DATOH SEDIA HADAPI PRU 13

ANAK MUDA SEDIA HADAPI UMNO- BN PRU 13

Jentera Pemuda siap sedia untuk tumbangkan kezaliman BN kepada rakyat

BAGAN DATOH : Kehadiran kira – kira 200 orang anak muda pada Himpunan Anak Muda Bagan Datoh anjuran Dewan Pemuda Pas Bagan Datoh,13 Januari lalu menggambarkan bahawa pemuda Pas telah bersedia bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 nanti.  Melihat bertapa pentingnya sokongan serta pengundi golongan muda, pemuda Pas telah mengambil langkah  menganjurkan aktiviti seumpamanya bertujuan merapati serta mendekatkan mereka kepada Pas dan Pakatan Rakyat.


Menurut pengarah program tersebut, Ustaz Mustofa Saifuddin bahawa himpunan itu telah berjaya mencapai matlamat dan sasaranya. Katanya lagi, walaupun himpunan demikian lebih kepada acara santai serta bersahaja, namun ianya adalah bertujuan menghimpunkan pemuda sekitar Bagan Datoh sebagai persiapan jentera Pilihanraya akan datang.


“ Kita bukan hanya mahu menarik golongan muda sokong Pas dan Pakatan Rakyat sahaja, malahan kita mahu mereka menjadi jentera pada Pilihanraya nanti. Itu lebih utama sebagai persiapan kita ( Pas ),” katanya lagi mengulas tujuan himpunan tersebut dianjurkan.


Antara cara yang berlangsung pada himpunan berikut adalah jamuan santai BBQ ayam, pertandingan gusti lengan dan Slide Show Pemuda. Turut hadir, Yang Dipertua Pas Kawasan Bagan Datoh, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki beserta barisan pimpinan Pas Kawasan. Pada majlis ucapan perasmiannya, beliau mengingatkan peranan golongan anak muda dalam memastikan perjuangan Pas tidak akan terhenti kerana perjuangan ini masih jauh dan tidak akan berhenti.


“ Semangat muda amat penting dalam semua perkara. Kerja pilihanraya bakal kita hadapi, makanya perlu tenaga yang kuat sebagai cara memenangi PRU nanti.” Katanya lagi ketika berucap pada majlis tersebut.

jambori amal kuala kangsar 2008