pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Sabtu, 28 September 2013

JASA MU DIKENANG : HILANGNYA PEMIMPIN YANG HEBAT, ALMARHUM USTAZ AZIZAN.

Fadzil, Azizan banyak persamaan

ALOR SETAR - Allahyarham bekas Presiden Pas, Datuk Fadzil Mohd Noor dan bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak mempunyai banyak persamaan walaupun pendekatan mereka berbeza.

Bekas Speaker Dun Kedah, Datuk Dr Abd Isa Ismail berkata, selain menerajui Pas Kedah pada era masing-masing, kedua-dua pemimpin itu banyak menyumbang kepada pembangunan parti.

“Mereka adalah golongan ulama dalam parti, selain mempunyai latar belakang dalam dunia pendidikan. Mereka adalah pendidik di mana Allahyarham Fadzil bekas pensyarah di UTM, manakala Azizan di UKM,” katanya.

Abd Isa yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Kubang Pasu berkata, kedua-duanya juga melanjutkan pengajian di Mesir namun hanya Azizan menyambung pengajian di United Kingdom selepas itu.

“Mereka bagaikan abang dan adik yang juga merupakan tokoh agamawan. Mereka ibarat saling memerlukan dan mempunyai impian yang sama, untuk membangunkan ummah dan parti,” katanya.

Malah, kehidupan seharian pemimpin ulung ini amat sederhana umpama rakyat biasa, tanpa diulit kemewahan dan status.

Abd Isa berkata, yang membezakan mereka hanya pendekatan yang dibawa dalam memimpin parti dan negeri.

“Perwatakan dan pendekatan Azizan lebih tegas berbanding Fadzil yang bersikap lemah lembut. Ketegasan Azizan juga menyebabkan beliau serius dalam kerja manakala Fadzil lebih suka mendengar pandangan dan tidak beri komen secara terbuka,” katanya.

Namun, katanya, resipi yang digunakan mereka itu berjaya mencapai matlamat dalam perjuangan Pas Kedah yang dilihat bangkit tahun demi tahun.

Pada PRU 1995, hanya dua kerusi dimenangi Pas Kedah iaitu Dun Bukit Raya (Tokai) dan Dun Sala (Sungai Limau), seterusnya menyaksikan hanya dua wakil rakyat Pas dalam Sidang Dun Kedah, berdepan dengan 34 Adun BN.

Azizan menang di Sala manakala Fadzil di Bukit Raya.

Hanya dua pemimpin Pas bergelar Yang Berhormat ketika itu.

Kelmarin, kedua-dua pemimpin tersohor ini disemadikan berhampiran, di Tanah Perkuburan Muassasah Darul Ulum, yang cukup sinonim dengan mereka.

Abd Isa turut menyifatkan lautan manusia ketika majlis pengebumian Azizan seolah-olah nostalgia mengingati semula pemergian Fadzil pada 2002, iaitu hampir sedekad lamanya.

“Suasana hampir sama kerana ribuan manusia datang menziarahi sama ada kawan mahupun lawan. Saya akui. selepas Fadzil, baru kali inilah senario itu berulang,” katanya.

Azizan dikatakan menjadi tunjang utama Pas Kedah selepas pemergian Fadzil.

Azizan mula menyertai Pas pada 1978 di England.

Pada 1986 beliau bergiat aktif dengan Pas di Malaysia.

Beliau juga pernah dilantik Naib Presiden Pas (2003-2005), Ketua Penerangan Pas Pusat (2001-2003), Ahli Majlis Syura Ulama Pas (1991 hingga kini), Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat (1993 hingga kini) serta Pesuruhjaya Pas Kedah (2000 hingga 2013).

Selasa, 24 September 2013

OBAMA DATANG MALAYSIA: BUKANLAH SATU KEBANGGAAN!

Kedatangan Obama bukan satu kebanggaan: Nik Aziz 
  • Nik Aziz - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
 1 / 1 
SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Abdul Aziz Nik Mat, menyifatkan kedatangan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Malaysia bukanlah satu kebanggaan buat rakyat negara ini.

Sebaliknya kunjungan Obama ke Malaysia hanyalah dianggap sebagai lambang kerjasama yang telah terjalin sejak sekian lama antara kedua-dua negara tersebut.

"Tiada yang membanggakan jika Malaysia dikunjungi Presiden Amerika kerana ia hanyalah mengesahkan hubungan baik antara kedua-duanya yang telah terjalin sekian lama.

"Kunjungan tersebut juga hanyalah tanda terima kasih Amerika Syarikat kepada Malaysia yang selama ini menyokong pendirian Amerika dalam pelbagai isu antarabangsa termasuk
dalam isu rampasan kuasa tentera di Mesir yang mana Malaysia hanya sanggup menyatakan tidak setuju dengan kadar yang paling minimum sahaja," katanya menerusi laman Facebook hari ini.

Dalam laporan media tempatan baru-baru ini, Obama akan melawat Malaysia dalam rangka lawatan empat negara Asia pada Oktober ini..

Obama dijangka akan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu pertemuan yang disifatkan sebagai “mengukuhkan hubungan dua hala yang semakin berkembang” di antara kedua-dua negara.

Kenyataan daripada Rumah Putih turut menyebut bahawa Obama akan menyampaikan ucaptama pada Persidangan Keusahawanan Global yang akan diadakan di ibu negara pada 11 hingga12 Oktober.
 Kali terakhir Malaysia menerima lawatan Presiden Amerika Syarikat ialah pada 1966, oleh Presiden Lyndon Johnson
.

Jumaat, 20 September 2013

NAJIB PERLU LETAK JAWATAN, RAKYAT TAK SUKA NAJIB LAGI ?

Kajian: Rakyat mahu Najib letak jawatan?

Nazri Abdullah,19 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Pembentangan hasil kajian 'Politik Malaysia Pasca PRU13', oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel) hari ini menarik perhatian para wartawan terhadap satu slide yang tidak disertakan peratus keputusannya.

Slide yang hanya diletakkan tanda soal itu adalah keputusan survey yang diperolehi terhadap soalan "Adakah Datuk Seri Najib perlu melepaskan jawatan kerana gagal mendapat majoriti 2/3 dalam PRU13?"

Ketika diasak wartawan untuk mendedahkan angka peratusan tersebut, Pengarah UMcedel Prof Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman berkata, sukar baginya untuk mendedahkannya kerana ianya boleh menyebabkan hidup beliau bermasalah.

"Cuma saya mahu kata, result ini tidak mengembirakan dan boleh meletakkan saya dalam masalah kalau saya dedahkan," katanya.

Memberi penjelasan lanjut berhubung slide yang penuh persoalan itu, beliau berkata, harapan rakyat termasuk ahli Umno cukup tinggi terhadap Najib untuk mendapatkan kembali 2/3 penguasaan BN di parlimen selepas jatuh teruk pada 2008.

Rakyat juga katanya yakin bahawa Najib boleh "deliver" dengan baik.

"Sudah ada precedent zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dulu ya, beliau meletak jawatan (perdana menteri) kerana gagal dapat 2/3 majoriti.

"So you boleh jangka apa rakyat mahu," katanya sambil menunjuk kepada slide tersebut.

Sementara itu, hasil yang dibentang UMcedel hari ini adalah kajian yang dijalankan pada 15 Ogos hingga 10 September lalu iaitu kira-kira tiga bulan selepas PRU13 berlalu.

Kajian yang dibuat secara bersemuka itu melibatkan 1546 responden selaku pemilih berdaftar, terdiri daripada Melayu, Cina dan India di seluruh Semenanjung Malaysia.

Turut serta mendengar pembentangan UMcedel tersebut adalah bekas Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah.
 
 
Anwar kekal
 

Dalam pada itu, soalan serupa turut ditanya membabitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Soalan berbunyi "Adakah Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melepaskan jawatan kerana PR gagal menerajui Putrajaya?, itu bagaimanapun disertakan dengan keputusan.

Dalam keputusan kajian itu, 55 peratus menyatakan tidak bersetuju, 28 peratus bersetuju dan 18 peratus lagi tidak pasti.

Daripada 55 peratus yang tidak bersetuju itu, 72 peratus adalah dari kaum Cina manakala 52 peratus dari kaum Melayu.

Selain itu, kajian juga menunjukkan 69 peratus responden mahukan kerajaan BN mewujudkan kesepakatan nasional dengan Pakatan Rakyat.

"Mungkin masyarakat sudah agak penat dengan perbalahan politik sebelum PRU13.

"Ini pandangan rakyat, namun caranya sudah tentu orang politik lebih tahu," kata Prof Redzuan.

Khamis, 19 September 2013

PEMUDA PAS DISERU TURUT SERTA IJTIMA TARBAWI PEMUDA PAS DI JOHOR BULAN HADAPAN!

IJTIMA’ TARBAWI PEMUDA PAS : DPPK BAGAN DATOH SARAN DAN GALAK AHLI PEMUDA TURUT SERTA MANTAPKAN ILMU

Lajnah Tarbiyyah dan Kepimpinan ( LTK ) mengharapkan seramai mungkin Pemuda PAS turun dan bersama di program tarbiyyah peringkat pusat tersebut.



BAGAN DATOH, Selekoh- 19 Sept : Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh melalui Lajnah Tarbiyyah dan Kepimpinannya menyeru kepada seluruh ahli Pemuda PAS Kawasan tersebut untuk menghadiri program Ijtima’ Tarwabi Dewan Pemuda PAS Pusat yang akan berlangsung daripada 4 sehingga 6 September dan bertempat di Pagoh, Johor.

Program anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia ( DPPM ) tersebut adalah merupakan anjuran kali ke 3 pada tahun ini setelah 2 kali sebelum ini telah dilakukan bertempat di Terengganu dan Selangor.

Menurut pemangku Pengerusi Lajnah, Ustaz Khairi Abdullah berkata bahawa adalah sangat perlu dan penting untuk seluruh Ahli PAS terutamanya golongan anak muda untuk menghadirkan diri ke program ini. Ini adalah kerana merupakan ruang dan kesempatan kepada Pemuda PAS untuk mendalami serta memahami perjuangan PAS yang adalah merupakan sebuah gerakan Islam di Malaysia.


Sehubungan itum beliau amat mengharapkan kepada seluruh Ahli Pemuda PAS di Kawasan Bagan Datoh dapat bersama menghadiri Ijtima’ Tarbawi yang akan berlangsung di Ledang, Pagoh, Johor.

Selasa, 17 September 2013

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PAS KAWASAN BAGAN DATOH KALI KE 30 : SUASANA DI HARI MESYUARAT

Para perwakilan sedang mendaftarkan diri masing-masing mengikut cawangan PAS di Kawasan Bagan Datoh.

Pimpinan dan perwakilan berdiri menyayikan Lagu Negara Ku dan Lagu Tema PAS dengan penuh semangat.

Ucapan alu-aluan oleh YDP, Ustaz Misbahul Munir Masduki.

Turut hadir YB. S. Kesavan ( ADUN Hutan Melintang ) di majlis perasmian mesyuarat kali ini.

Perasmi, YB. Ustaz Abu Bakar Hussin duduk bersama Timbalan YDP, Tn. Hj. Ariffin Husien di atas pentas utama mesyuarat di dalam dewan.

Para perwakilan mendengar ucapan alu-aluan dan perasmian dengan penuh perhatian dan teliti.

Ustaz Abu Bakar sedang menyampaikan ucapan perasmian.

Perasmian mesyuarat telah disempurnakan oleh Ustaz Abu Bakar Hussin, Pesuruhjaya PAS Perak.

Pengerusi Tetap telah memulakan sesi mesyuarat kali ini dengan penuh ceria dan santai namun padat dan bererti kepada semua perwakilan dan pimpinan PA Kawasan.

Salah seorang perwakilan mengajukan persoalan kepada pimpinan sebagai muhasabah bersama.

Ucapan penggulungan oleh Ustaz Misbah selaku YDP PAS Kawasan setelah kekal memegang jawatan tersebut bagi penggal 2013-2015.

Bendahari PAS Kawasan sedang tekun meneliti soalan para perwakilan.

Barisan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan Bagan Datoh penggal 2013-2015 di akhir mesyuarat mengambil peluang bergambar bersama-sama.

USTAZ MISBAH KEKAL SEBAGAI YDP PAS KAWASAN BAGAN DATOH, PERWAKILAN BERIKAN KEPERCAYAAN.

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN : YDP DAN KETUA URUSAN ULAMA’ KEKAL, TIMBALAN DAN NAIB BERUBAH SERTA BEBERAPA MUKA BAHARU TERPILIH SEBAGAI AJK PAS KAWASAN BAGAN DATOH PENGGAL 2013-2015

Ustaz Misbah mengekalkan jawatannya sebagai Yang Dipertua setelah pencabarnya, Ustaz Mohd Yazid menarik diri yang juga merupakan Ketua Urusan Ulama’ PAS Kawasan dalam pemilihan kali ini.


BAGAN DATOH, Selekoh-14 Sept : PAS Kawasan Bagan Datoh telah berjaya melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 30 baru-baru ini yang bertempat di Dewan Besar PAS Bagan Datoh, Selekoh. Mesyuarat pada kali ini telah dihadiri seramai 150 orang perwakilan daripada 33 cawangan PAS bagi kawasan Bagan Datoh dan 50 orang pemerhati daripada pelbagai pihak.

Majlis perasmiannya telah pun disempurnakan oleh YB. Ustaz Abu Bakar Hussin selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Perak juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Titi Serong. Kehadirannya bersama isteri ke majlis perasmian tersebut telah disambut oleh Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan dan para perwakilan yang telah hadir.

Terdahulu dalam ucapan alu-aluan Yang Dipertua PAS Kawasan Bagan Datoh, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki menyatakan pendirian PAS tetap dalam memperjuangkan Islam berlandaskan demokrasi yang diamalkan di dalam Negara ini. Demikian itu, beliau mengingatkan supaya seluruh ahli dan penyokong PAS terus bekerja keras serta berusaha selain berdoa dan bertawakkal kepada Allah S.W.T. dalam memenangkan PAS dalam pilihan raya.


Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu juga lagi beryakinan bahawa Islam akan menang pada suatu hari nanti kerana itu telah dijanjikan oleh Allah S.W.T. Cumanya perjuangan ini memerlukan kesabaran dan strategik yang mantap sebagaimana yang pernah diperlihatkan oleh Rasulullah S.A.W.

“ Kita juga perlu ingat, bahawa kekuatan PAS adalah Islam. Makanya, seluruh ahli mestilah kuat dan bersatu dengan memahami dasar perjuangan PAS. Tidak perlu bersangka buruk dan melebalkan golongan-golongan tertentu dalam PAS.” Peringatannya kepada seluruh perwakilan mesyuarat pada kali ini.

Manakala dalam ucapan perasmian oleh Ustaz Abu Bakar Hussin lebih memberikan motivasi dan kata-kata semangat kepada seluruh perwakilan agar terus bekerja dan berusaha dalam langkah memenangkan PAS dan Islam itu sendiri melalui sistem pilihan raya di negara ini. Menurut beliau sememangnya dalam perjuangan Islam pastinya akan menghadapi pelbagai ujian dan cabaran sama ada daripada luaran mahupun dalaman PAS itu sendiri. Demikianlah hakikat perjuangan Islam sebagaimana yang pernah dihadapi oleh Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat terdahulu yang lebih hebat tekanannya.


Ustaz Abu Bakar juga berpendapat dalam ucapannya, kesukaran untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke 13 lalu perlulah dimuhasabahkan oleh pihak PAS dalam semua peringkat. Bukan sahaja para pimpinan bahkan seluruh pendokong PAS perlulah mengambil kira kekalahan tersebut sebagai pengajaran dan panduan untuk lebih berusaha dalam masa hadapan. Walaupun hakikatnya PAS dan rakan dalam Pakatan Rakyat gagal membentuk kerajaan di Perak juga di peringkat persekutuan bukanlah bererti PAS itu kalah tetapi pastinya ada hikmah disebalik kekalahan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Titi Serong itu juga mengajak seluruh ahli PAS terutamanya supaya mendekatkan diri kepada Allah SWT dan tidak sesekali meninggalkan tuntutan wajib di dalam Islam. Selain itu, beliau juga mengharapkan kepada seluruh pendokong dan ahli PAS memahami dan mendalami sebenar perjuangan PAS dengan menghadirkan diri ke program-program pentarbiah dan pencerahan fikrah.

Dalam mesyuarat kali ini juga telah berlangsungnya pemilihan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan bagi penggal 2013-2015 sebagaimana yang telah ditetapkan dalam perlembagaan PAS itu sendiri.


Ustaz Misbahul Munir yang sebelum ini memegang jawatan Yang Dipertua berjaya mengekalkan jawatan tersebut dengan memenanginya tanpa bertanding setelah pencabarnya Ustaz Mohd Yazid Abdul Hamid menarik diri. Walau bagaimana pun, Ustaz Mohd Yazid masih mampu untuk mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan setelah mengetepikan lawanya, Ustaz Ahmed Najeb Saffar dengan majoriti nipis.

Manakala bagi jawatan Timbalan dan Naib Yang Dipertua memperlihatkan persaingan hebat apabila berlaku pemilihan empat penjuru bagi jawatan Naib Yang Dipertua. Begitupun bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua telah dimenangi oleh Kapten ( B ) Tn. Hj. Mohamad Aris bin Bakri dengan tanpa bertanding setelah 2 calon lagi bagi jawatan tersebut telah menarik diri lalu memberi laluan kepada beliau menyandang jawatan tersebut.

Adapun bagi jawatan Naib Yang Dipertua telah disandang oleh Tn. Hj. Ariffin @ Ramlee bin Husein setelah mengalahkan 3 pencabarnya yang lain dengan majoriti sedikit. Manakala bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja seramai 16 orang adalah terdiri daripada muka lama seperti Ustaz Mohd Abduh Sukirman, Ustaz Dzahrullail Dardiri, Ahmad Zakaria, Hj. Nor Zaman Samuri, Ahmad Tarmizi Mansor , Baharudin Mat Yit, Ahmad Fauzi Hashim, Zulkaifle Ariffin, Zulkifli Mohamad, Fathillah Hj. Salleh, Dr. Nurul Huda Jaid, Nafiaton Khailani dan Ustaz Ahmed Najeb Saffar.

Manakala muka baharu terdiri daripada Rosilawati Mahyuddin dan Azam Sood. Bagi jawatan Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap telah disandang oleh Mohd Yaakob Mohd Nasir dan Mokri Abdul Jalil. Mengisi jawatan sebagai Pemeriksa kira-kira ialah Kapten ( B ) Ustaz Hj. Muhamad Umar  Hj. Md. Nor dan Hj. Ibnu Fajar Abd. Kadir Jailani.


Turut hadir ke mesyuarat kali ini ialah wakil Badan Perhubungan PAS Negeri daripada PAS Kawasan Pasir Salak, YB. S.Kesavan ( ADUN Hutan Melintang ) dan En. Shamsul ( AMK Bagan Datoh ) bertindak selaku pemerhati mesyuarat. 

Khamis, 12 September 2013

MAT DPPK BD KALI 30 : BERJALAN PENUH MAHABBAH DAN MESRA ANTARA AHLI

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN DPPK BAGAN DATOH KALI KE 30 PENUH MAHABBAH DAN DEMOKRASI

Suasana mesyuarat dan pemilihan berjalan dengan lancar dan baik. Terima kasih kepada semua perwakilan dan hadirin.


Bacaan doa pembukaan majlis perasmian. Ustaz Hasnizam telah membacakan doa tersebut memohon petunjuk dan kekuatan kepada seluruh perwakilan dan PAS itu sendiri. 

Ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Majlis, Tn. Hj. Muhammad Haidzir Ajid mengucapkan selamat datang dan berterima kasih kepada seluruh perwakilan dan hadirin di dewan.

Ustaz Khairi Abdullah selaku Pengarah Panitia mesyuarat kali ini menyampaikan ucapan alu-aluannya dengan penuh tawadhuk dan beliau mengaharapkan keputusan terbaik dapat dicapai melalui mesyuarat agung tahunan ini.

Antara pemerhati daripada pihak PAS Kawasan Bagan Datoh yang turut hadir mendengar ucapan perasmian.

Ucapan Timbalan Ketua, Ustaz Khairy Jamaluddin mengingatkan kepada seluruh perwakilan agar menjadikan mesyuarat agung tahunan ini sebagai medan muhasabah dan membina kekuatan pemuda PAS.

Kaunter pendaftaran dibuka seawal jam 8 malam.

Perasmi, Ustaz Muhammad Mujahid menyampaikan ucapan seterusnya merasmikan mesyuarat agung tahunan kali ini.

Turut hadir bersama ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Bagan Datoh, Ustaz Misbahul Munir Masduki.

Penghargaan buat Ustaz Misbahul Munir Masduki.

Mesyuarat Agung Tahunan DPPK Bagan Datoh sedang berlangsung yang dipengerusikan oleh Ustaz Abduh Sukirman.

Dua orang pencatat minit mesyuarat yang dilantik.

Para perwakilan sedang tekun meneliti minit mesyuarat dan perbahasan.

Barisan AJK baharu yang telah dilantik.



MAT DPPK BD KALI 30 : MEMPERKASAKAN TARBIYYAH MEMANTAPKAN PERJUANGAN

DPPK BAGAN DATOH : KETUA PEMUDA TAMAT TEMPOH, GANTI BAHARU DENGAN SOKONGAN PENUH PARA PERWAKILAN

Pemilihan Ahli Jawatankuasa kali ini menyaksikan Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh menerima Ketua baharu manakala Ketua lama telah akhiri tempoh kepemudaan.


BAGAN DATOH, Selekoh-7 Sept : Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Kawasan ( DPPK ) Bagan Datoh kali ke 30 telah menyaksikan perubahan tampuk pimpinan yang baharu apabila 3 jawatan tertinggi dewan tersebut diterajui orang baharu. Jawatan tersebut ialah Ketua, Timbalan Ketua dan Naib Ketua iaitu mereka terdiri daripada Ustaz Mustofa Saifuddin, Ustaz Amir Hamzah Ibrahim dan Ustaz Hasnizam Hasan.

Jawatan Ketua tersebut telah dimenangi tanpa bertanding oleh Ustaz Mustofa setelah jawatan tersebut yang sebelum ini telah disandang oleh Ustaz Ahmed Najeb Safarr tidak lagi mempertahankannya apabila telah menamatkan tempoh di dalam Dewan Pemuda PAS kerana umurnya melebihi 40 tahun. Berikutan itu, para perwakilan telah bersetuju dengan sebulat suara menyokong jawatan tersebut diamanahkan kepada Ustaz Mustofa.


Demikian juga yang berlaku bagi jawatan Timbalan dan Naib Ketua apabila penyandangnya sebelum ini, Ustaz Khairy Jamaludin dan Ustaz Khairi Abdullah tidak lagi mempertahankan jawatan tersebut lalu memberi laluan kepada Ustaz Amir Hamzah dan Ustaz Hasnizam menduduki jawatan tersebut dengan sokongan perwakilan yang hadir.

Selain jawatan tersebut, pemilihan seramai lapan orang Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kawasan turut menyaksikan beberapa muka baharu telah dilantik melalui pencadangan dan sokongan para perwakilan. Mereka yang terpilih adalah terdiri daripada Ustaz Shakir Mat Tahir, Muhammad Haidzir Ajid, Ahmad Syukri Md. Suhot, Ustaz Imran Ajmain, Khairul Faiz, Mustaid Saifuddin dan Zulhelmi.

Manakala majlis perasmian mesyuarat kali ini telah disempurnakan oleh Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohd Fadzil, Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Jadikan PAS sebagai medan perjuangan Islam sebenar, jangan malu jadi Ahli PAS : Ustaz Mujahid

Perasmian yang berlangsung pada seawal jam 9 malam tersebut dimulai dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Adik Mohd Aiman Mohamad Fairos, 12 tahun, yang membaca secara hafazan telah menarik perhatian para perwakilan dan hadirin. Sebelum itu majlis dimulakan dengan bacaan doa, nyayian lagu Negara-ku, nasyid Asma’ ul Husna dan lagu tema PAS.


Dalam perucapan alu-aluan oleh Pengarah Panitia mesyuarat kali ini, Ustaz Khairi Abdullah menyatakan bahawa para perwakilan mestilah menjadikan mesyuarat sebagai medan kekuatan PAS itu sendiri. Ini kerana adalah para pimpinan perlu dimuhasabahkan dan juga para perwakilan boleh memberi serta berkongsi pendapat dan hujah untuk menguatkan Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh.

Manakala Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh, Ustaz Khairy Jamaludin mengingatkan agar para perwakilan dan seluruh ahli pemuda PAS seluruh kawasan dapat memberi komitmen terbaik demi perjuangan Islam di bumi Malaysia ini. Katanya lagi, PAS merupakan gerakan Islam yang wajib untuk umat Islam bersamanya dalam memperjuangkan menegakkan Islam.

Demikian itu, beliau menyeru kepada seluruh anak muda khususnya di Bagan Datoh supaya tidak takut dan malu bersama PAS dalam niat memperjuangkan agama Allah yang suci yakni Islam yang sebelum ini telahpun diperjuangkan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat serta umat terdahulu.

Majlis perasmian mesyuarat kali ini telah dilengkapkan dengan ucapan perasmian oleh Al- Fadhil Ustaz Muhammad Mujahid selaku perasmi jemputan daripada Dewan Pemuda PAS Perak. Beliau dalam ucapannya banyak menyentuh beberapa sirah perjuangan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Katanya, sirah telah jelas membuktikan bahawa kepimpinan Ulama’ meletakkan Islam di tempat yang tertinggi.


Menurutnya lagi, PAS sehingga kini masih tidak lari dan tersasar dasar perjuangannya sebagai mana yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW pada suatu ketika dahulu. Kewujudan PAS adalah sangat penting kerana ianya menyambung perjuangan Islam dan sebagai sebuah gerakan Islam dalam negara ini yang bermatlamatkan menegakkan sebuah Negara Islam.

Oleh demikian itu, beliau menyeru kepada para hadirin supaya memahami benar-benar dan mendalami dasar perjuangan PAS kerana adalah sangat penting. Katanya lagi, ramai di kalangan ahli  hanya memahami PAS merupakan sebuah parti politik yang bertanding dalam pilihanraya, bahkan bersama mempunyai niat berkempentingan diri sendiri. Seluruh ahli perlulah mentarbiahkan dirinya agar tidak mudah terpedaya tipu helah dunia dan musuh.


Menjelaskan kepimpinan Ulama’, beliau menyatakan para ahli adalah sangat memahami dasar PAS ialah berpandukan Al-Quran, Hadis, Ijmak Ulama’ dan Qias yang memerlukan kepakaran di dalam bidang ilmu tersebut. Makanya, selayaknya kepimpinan sebuah gerakan Islam itu ialah dikalangan Ulama’ dan bukanlah ianya satu keperluan bahkan ianya satu kemestian bagi kepimpinan Ulama’ diteruskan.

Selasa, 10 September 2013

SAMBUTAN EIDULFITRI PR BAGAN DATOH MERIAH !

SAMBUTAN EIDULFITRI : MERIAH DAN HARMONI SERTA KEHADIRAN PIMPINAN TERUS MEMBANGKITKAN SEMANGAT UNTUK BERHADAPAN BN

Kira-kira 500 tetamu hadiri majlis sambutan Eidulfitri anjuran Pakatan Rakyat Bagan Datoh di Parit 1 bersama pimpinan utama PR negeri.

BAGAN DATOH, Sg. Sumun- 01 Sept :  Kehadiran para pimpinan utama Pakatan Rakyat Perak seperti Dato’ Seri Hj. Mohammad Nizar Jamaluddin, Dato’ Ngeh Koo Ham dan beberapa pimpinan lain ke Majlis Sambutan Eidulfitri Pakatan Rakyat Bagan Datoh telah menambahkan seri dan kemeriahan majlis tersebut.


Majlis yang berlangsung di perkarangan rumah Tn. Haji Arifin Ramlee, Parit 1 Sg. Sumun itu telah dihadiri kira-kira 500 orang yang terdiri daripada pelbagai kaum. Majlis tersebut adalah hasil kerjasama PAS dan PKR Bagan Datoh. Penganjuran bersama itu bukan sahaja sebagai langkah penjimatan kos, bahkan ianya adalah sebagai bukti kekuatan kerjasama antara parti kompenan dalam Pakatan Rakyat khasnya di Bagan Datoh.

Selain bermatlamatkan menyambut perayaan Eidulfitri di peringkat kawasan, ianya juga adalah merupakan sambutan bagi peringkat zon selatan negeri Perak pada kali ini. Kehadiran para tetamu daripada berbilang kaum menunjukkan bahawa sokongan rakyat adalah semakin kukuh dan kuat walaupun tewas dalam pilihan raya yang lalu. Ini adalah kerana mereka percaya dan yakin bahawa Pakatan Rakyat telah memenangi pilihan raya tersebut pada hakikat apabila bilangan peratus sokongan rakyat kepada PR adalah lebih tinggi berbanding Barisan Nasional ( BN ).


Majlis yang telah berlangsung seawal jam 2.30 petang itu dihadiri para tetamu dan pimpinan PAS dan PKR kawasan Bagan Datoh  serta beberapa pimpinan negeri. Antara pimpinan yang hadir dan berucap ialah YB. S. Kesavan ( ADUN Hutan Melintang ), Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin ( ADUN Changkat Jering/ AJK PAS Pusat ), Dato’ Ngeh Khoo Ham ( ADUN Sitiawan/ Pengerusi DAP Perak ), Ustaz Misbahul Munir Masduki ( YDP PAS Kawasan Bagan Datoh/ Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak ) dan Madhi Hasan ( Ketua Cabang PKR Bagan Datoh/ Pimpinan PKR Perak ).
Sementara itu para petugas sibuk untuk menyiapkan hidangan dan tapak jamuan di majlis tersebut. Antara hidangan yang disediakan ialah sate, ketupat, rendang, lemang, kuih muih, mee goreng, dan pelbagai jenis minuman lain-lain. Terlebih dahulu sebelum itu para tetamu mendengar ucapan dan penjelasan isu-isu terkini dalam dan luar Negara oleh para pimpinan yang hadir.



Petisyen PRU 13 : Rakyat cuba ditipu mahkamah apabila alasan tidak munasabah tolak petisyen digunapakai.

Sdr. Madhi Hj. Hasan selaku Ketua Cabang PKR Bagan Datoh yang juga merupakan mantan calon PKR bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh dalam PRU 13 menyatakan kekesalan terhadap sistem kehakiman dan mahkamah Pilihan raya yang menolak petisyen yang dilakukan oleh parti-parti bertanding dengan menggunakan alasan tidak munasabah dan kejam.

Katanya dalam ucapan tersebut menyatakan perkara itu adalah amat pelik dan dianggap tidak adil sama sekali apabila pihak pemetisyen langsung tidak diberi ruang oleh pihak mahkamah untuk berhujah hanya kerana masalah teknikal yang kecil. Sekiranya perkara itu adalah permasalahan teknikal, makanya perlu pertimbangan yang adil memandangkan ianya perkara remeh .

Beliau juga percaya bahawa adalah tidak mustahil perkara itu telahpun disepakati serta dirancang terlebih dahulu oleh pihak tertentu bagi menentukan keputusan itu diguna pakai seluruh mahkamah-mahkamah pilihan raya seluruh negara. Ianya kerana adalah untuk menghalang perbicaraan pemetisyen itu berlaku dan memastikan kepincangan pilihan raya lalu dituutup.

Salah Umno/ BN : Mengapa rakyat tidak bersemangat mengibarkan bendera sempena hari kemerdekaan.

Rakyat bakal menyambut hari kemerdekaan kali ke 56 namun timbul persoalan mengapa rakyat kurang bersemangat untuk mengibarkan jalur gemilang. Itulah hakikat yang berlaku di seluruh negara apabila kelihatan fenomena tersebut dirasai sendiri oleh pemimpin kerajaan termasuk kementerian itu sendiri.

Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki, YDP PAS Kawasan Bagan Datoh menyatakan dalam ucapannya di majlis sama bahawa perkara itu berlaku adalah kerana salah pihak UMNO/ BN sebagai kerajaan selama ini. Mereka dilihat telah menjadikan sambutan hari kemerdekaan negara sebagai seolah-olah hari sambutan parti UMNO/ BN.

“ Realitinya, mereka ( UMNO/BN ) terlalu mempolitikkan sambutan tersebut sehinggakan rakyat merasakan sambutan tersebut untuk meraihkan kejayaan mereka dalam perjuangan kemerdekaan. “ ujarnya dalam ucapan beliau.

Selain itu, banyak fakta sejarah yang sebenar berkaitan perjuangan kemerdekaan cuba diseleweng serta dinafikan oleh pihak tertentu kerana demi menjaga kuasa politik mereka. Demikian itu, rakyat tidak menerima hakikat sejarah yang sebenar melalui fakta tepat yang diterima mereka. Beliau turut menyeru kepada rakyat agar memahami makna sebenar merdeka terutamanya kemerdekaan pemikiran dan jiwa sebagai umat Islam yang sejati.

Kerajaan negeri tidak bertanggungjawab: YB Hutan Melintang kecewa EXCO tidak jawab soalan di DUN Perak

Manakala dalam ucapan YB. S. Kesavan ( ADUN Hutan Melintang ) menyatakan rasa kecewanya setelah bersidang 5 hari. Bagi wakil rakyat buat penggal kedua ini, sidang DUN Perak adalah amat mengecewakan apabila banyak soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri  ( ADUN ) Pakatan Rakyat tidak dijwab oleh pihak Exco kerajaan negeri terutamanya isu-isu rakyat dan pilihan raya yang lalu.

Ianya adalah sangat tidak sihat dan baik untuk sebuah kerajaan kerana ianya berkaitan hak rakyat di negeri ini untuk menerima segala kemudahan. Beberapa persoalan bertulis dan lisan yang dibawa oleh ADUN Pakatan Rakyat kebanyakkannya tidak dijawab oleh pihak mereka.

Pengerusi DAP Perak : Jenayah meningkat angkara siapa sebenarnya

Dato’ Ngeh Khoo Ham, Pengerusi DAP Perak yang turut hadir ke majlis ini juga menyampaikan ucapannya. Dalam ucapannya, beliau menyentuh isu keselamatan dan jenayah bunuh serta samseng yang berluasa dalam negara adalah amat membimbangkan. Demikian itu, beliau mengharapkan pihak kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri untuk menyelesaikan masalah berat tersebut.

Jelasnya lagi, beliau turut mendesak pihak kerajaan hari ini untuk membuktikan kesungguhan mereka dalam menangani masalah ini.

ADUN Changkat Jering : Rakyat diminta mohon doa untuk kemenangan Pakatan Rakyat di Perak dan Malaysia

Kehadiran mantan Menteri Besar Perak, Dato Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin ke majlis kali ini memeriahkan lagi suasana sambutan. Beliau disambut mesra oleh para tetamu kerana beliau yang sememangnya terkenal sifat ramah mesranya amat disenangi rakyat.

Ketika berucap beliau menyentuh beberapa isu terkini yang sedang berlaku di sekitar dalam negeri dan negara. Beliau yang juga merupakan selaku ketua pembangkang di dalam DUN Perak menyatakan rasa hairan dan pelik dengan sikap pimpinan kerajaan negeri khas dan umumnya UMNO/ BN yang gagal menjawab persoalan daripada ADUN Pakatan Rakyat ketika bersidang.  Sedangkan persoalan itu adalah demi kepentingan rakyat di negeri ini namun kerana sifat ego dan sombong mereka telah menafikan hak suara rakyat yang di bawa oleh wakil rakyat PR.

Dato’ Seri Nizar juga menyatakan harapan untuk memenangi petisyen juga adalah dilihat  tipis kerana berlakunya komplot jahat di peringkat mahkamah. Semua petisyen yang dibawa telah ditolak bulat-bulat kerana hanya masalah teknikal yang kecil. Namun beliau tetap percaya atas usaha dan doa semua rakyat pasti dengan izin Allah SWT adalah tidak mustahil kemenangan akan dicapai.


Demikian itu, beliau berpesan kepada seluruh rakyat untuk terus berdoa dan bekerja keras bagi memastikan Pakatan Rakyat dapat semula menawan negeri ini.

Isnin, 9 September 2013

YDP : SARANKAN IBU BAPA MEMILIH PASTI SEBAGAI PUSAT ASUHAN AWAL ANAK-ANAK

JADIKAN PASTI PILIHAN UTAMA ANAK-ANAK KITA : USTAZ MISBAH

YDP PAS Kawasan Bagan Datoh menyarankan supaya para ibu bapa menjadikan PASTI  sebagai pilihan utama untuk anak-anak.


BAGAN DATOH, Selekoh- 25 Ogos : Pusat Asuhan Tunas Islam ( PASTI ) Kawasan Bagan Datoh telah bejaya menganjurkan Majlis Alam Ria PASTI untuk meraihkan kira-kira 100 orang murid PASTI dari sekitar kawasan tersebut. Majlis yang diraikan bersama Sambutan Eidulfitiri tersebut itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran tetamu yang terdiri daripada ibu bapa dan masyarakat sekitar.

Pelbagai acara telah dipertandingkan dan disertai oleh murid-murid di majlis yang dilangsungkan di Dewan Utama Markaz PAS Selekoh. Antara acara tersebut ialah hafazan Al-Quran, Azan, Sajak, Nasyid dan beberapa acara sukaneka untuk semua peringkat umur murid-murid. Sebanyak 6 buah PASTI telah mengambil bahagian dalam majlis tersebut.

PASTI tersebut terdiri daripada PASTI Al-Ikhwan, PASTI Al- Hilal, PASTI Al- Hidayah, PASTI Al- Amin, PASTI Al- Kamaliyah dan PASTI Al-Huda.

Majlis yang bermula seawal jam 8 pagi tersebut telah dirasmikan oleh Ustaz Misbahul Munir Masduki selaku Yang Dipertua PAS Kawasan Bagan Datoh. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa betapa pentingnya pendidikan awal bagi anak-anak kerana di sini bermulanya pengenalan ilmu-ilmu kepada mereka. Demikian itu, pendidikan ilmu agama adalah sangat diutamakan untuk menjadikan anak-anak lebih mengenali Allah SWT dan Islam itu sendiri.

Dalam ucapan perasmian beliau juga menyatakan dengan adanya majlis sedemikian ini adalah untuk membuktikan bahawa PAS bukanlah hanya semata-mata sebuah parti politik yang bertanding dalam pilihanraya di Negara ini. Ianya adalah tidak tepat kerana PAS merupakan gerakan Islam yang melaksanakan dakwah dan tarbiah serta merangkumi semua aspek keperluan dan tuntutan Islam itu sendiri seperti pendidikan, ekonomi, pentadbiran dan lain-lain.

Menurutnya lagi, pihak PAS sendiri setakat ini telahpun berjaya mendirikan beberapa buah institut pendidikan yang bermula daripada peringkat pra pendidikan sehinggalah peringkat universiti dan kolej seperti Kolej Universiti Islam Dr. Zulkiefli ( KUIZM ) di Taman Melewar, Gombak sebagai contoh.  Selain PASTI, PAS juga berjaya menubuhkan beberapa buah sekolah peringkat rendah dan menengah di seluruh negara. Ianya adalah sebagai membuktikan PAS amat mengambil berat tuntutan Islam iaitu pendidikan dikalangan umat manusia.

Selain isu pengenalan pendidikan yang dibawa PAS, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu juga menjelaskan beberapa perkara serta langkah PAS untuk memajukan sistem pendidikan sebagai mana contoh yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Maka melihat perkara yang besar itu, beliau berpendirian bahawa adalah sangat penting untuk semua pihak bersatu dan bekerjasama  dalam memastikan sistem pendidikan di negara ini menuruti tuntutan syariat Islamiah yang sebenar.

Mengulas penganjuran majlis tersebut, beliau mengucapkan tahniah kepada pihak PASTI dan Pemuda PAS Kawasan kerana mampu dan berjaya mengadakan majlis ini. Katanya, ianya boleh memperkenalkan PASTI itu sendiri kepada masyarakat bahawa terdapat pusat pendidikan kanak-kanak oleh PAS. Selain itu, PASTI itu dapat dilihat masyarakat sebagai pilihan utama untuk anak-anak mereka menerima pendidikan awal yang terbaik daripada PASTI kawasan tersebut.

Terdahulu sebelum itu, para hadirin dihiburkan dengan pelbgai persembahan oleh para murid-murid PASTI. Antaranya ialah persembahan nasyid, azan, bacaan sajak, hafazan dan beberapa sukaneka yang turut dipertandingkan di majlis kali ini. Seusai perasmian dan penyampaian hadiah kepada penerima, para hadirin dijamu dengan hidangan jamuan hari raya.

Turut hadir ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan, Ustaz Najib, Pengerusi PASTI Bagan Datoh, Ustaz Hasnizam , Ketua Dewan Muslimat PAS kawasan, Pn. Hjh. Rahimah dan beberapa pimpinan PAS Kawasan Bagan Datoh.


Ruang Forum DPPK Bagan Datoh

jambori amal kuala kangsar 2008