pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Isnin, 31 Mac 2014

SUDUT TARBIYYAH : ADAB KITA BERJEMAAH

Ikhlas kerana Allah

Sebelum kita pergi lebih jauh, kenapa kita berjuang di dalam PAS. Sudah PASti jawapannya ialah tidak lain dan tidak bukan kerana Allah SWT. Jika kita berjuang kerana dunia belum tentu kita akan peroleh apa yang kita hajat. Jika kita sertai PAS kerana hendak bertanding di dalam pilihan raya, belum tentu nama kita tersenarai sebagai calon. Misalnya di dalam satu kawasan hanya dua atau tiga orang sahaja yang dipilih sebagai calon daripada beribu ahli PAS di satu kawasan. Rugi kita di sisi Allah SWT jika matlamat kita lain daripada apa yang diizin oleh Allah SWT yang bermaksud: 

"Pada hal mereka hanya diperintah menyembah Allah, dengan ikhlas dengan mentaati perintah agama-Nya" (Al-bayyinah : 5)

Ikut Arahan Jemaah

Tidak molek, jika bersama dengan jemaah, tiba-tiba tidak mahu ikut arahan jemaah. Apabila kita berintima' dengan jemaah maka wajib kita mengikut arahan jemaah. Sebuah jemaah tidak akan maju jika mempunyai ahli yang ikut kepala sendiri, tanpa mahu ikut arahan jemaah. Mana-mana jemaah akan mengalami masalah jika mempunyai ahli sedemikian rupa. Manusia ini sebenarnya tidak boleh bersama jemaah. Jenis manusia yang tidak boleh berkawan dengan manusia lain. Sebenarnya manusia ini ada penyakit di dalam dirinya iaitu penyakit tidak boleh ikut arahan. Peringatan Nabi SAW:

"Bahawa sesiapa yang taat kepada aku, maka ia sudah taat kepada Allah. Dan bahawa sesiapa yng derhaka kepada Aku, maka ia derhaka kepada Allah. Dan barang siapa yang taat kepada Amir (Ketua), maka ia telah taat kepada aku. Dan barang siapa yang derhaka kepada ketua, maka ia derhaka kepada aku" (Muttafaqun Alaih)



Tidak Mengabaikan Amanah Jemaah

Apabila kita menyertai jemaah PAS, maka kita mempunyai tanggungjawab untuk memikul amanah yang diarahkan oleh jemaah. Jika kita tidak melaksanakan amanah yang dipikul kepada kita, siapa lagi yang akan melaksanakan amanah ini. Perlu diingat, jika kita tidak melaksanakan amanah jemaah, maka akan dipersoal oleh Allah SWT di akhirat nanti. Di atas dunia lagi kita melakukan jenayah dengan jemaah, sehingga musuh kita bermaharajela. Sifir mudah, kita telah membantu Umno secara percuma apabila kita tidak membantu PAS dengan melaksanakan amanah yang sepatutnya. Tidak ada makna kita marah kepada Umno, sedangkan kita sendiri membantu Umno secara tidak langsung.

Merasakan Jemaah Milik Bersama

Semangat ini akan merasakan kita sayang kepada jemaah melebihi segala-galanya. Pada kita, PAS bukan hak Mursyidul Am, bukan hak Presiden, tetapi milik bersama. Maju mundur perjuangan PAS atas daya usaha kita (biiznillah). Jika ada perasaan ini jemaah akan selamat. Kita akan terasa jika ada yang memfitnah PAS, lantas kita akan membetulkan fitnah tersebut. Bukannya kita menokok tambah untuk menabur fitnah. Siapa lagi yang hendak memikirkan tentang perjuangan PAS, jika tidak kita?.

Kerja Dengan Penuh Tekun

Sabda Rasulullah SAW, "Sesungguhnya Allah suka kepada seorang yang bekerja dengan penuh ketekunan". Kita mesti yakin bahawa bekerja di dalam jemaah adalah ibadah dengan syarat ikhlas kepada Allah. Kita mesti rasa malu dengan penegak mungkar yang tidak jemu-jemu mencari formula bagaimana hendak menarik orang kepada program mereka. Sedangkan kerja mereka tidak diredhai oleh Allah SWT. Mereka merancang dengan penuh strategik untuk menarik sokongan kepada program mereka. Sepatutnya kita sebagai anggota jemaah perlu menggandakan usaha kita tanpa penat dan jemu, kerana kita adalah Ansarullah. Perlu diingat walaupun perjuangan kita benar tetapi jika kita tidak berkerja dengan penuh ketekunan maka usaha ini akan gagal. Sebagaimana kata-kata Saidina Ali Karramallahuwajhah, "Kebenaran tanpa penyusunan akan ditewaskan oleh kebatilan yang mempunyai penyusunan yang rapi".

Thiqah Dengan Kebijaksanaan Pemimpin

Hidup berjemaah inilah sifat yang mesti disuburkan. Apa makna dia seorang pemimpin jika kita sendiri tidak thiqah kepadanya. Menganggap pemimpin semua bodoh, kita sahaja yang cerdik adalah suatu perkara yang salah. Suatu masa nanti apabila kita menjadi pemimpin, Allah akan balas balik kepada kita iaitu pengikut kita pula anggap kita pula bodoh. Masing-masing ada tanggungjawab yang telah diatur oleh perlembagaan parti. Pemimpin membuat cadangan, perancangan dan mengatur gerak kerja yang difikirkan sesuai dan munasabah untuk mencapai matlamat. Hal ini akan berubah dari semasa ke semasa menurut ijtihad kepimpinan.

Dasar sahaja tidak berubah, iaitu Islam. Tetapi bagaimana cara kita mahu melaksanakan gerak kerja kita sentiasa berubah. Perubahan kadang-kadang besar, kadang-kadang kecil, contohnya Tahaluf Siyasi. Mereka yang tidak belajar Feqah Politik, mengatakan PAS sudah menyeleweng. Pada hal keputusan yang kita buat masih lagi berkisar kepada nas syarak. Kepercayaan kepada kebijaksanaan kepimpinan adalah amat mustahak, khususnya di dalam dunia politik yang bergerak pantas. Jika jemaah gagal membuat keputusan yang cepat untuk menghadapi suasana kita akan ketinggalan zaman. Jika keputusan hendak dibincang dahulu daripada semua peringkat hingga ke cawangan, maka sudah tentu kita ketinggalan dan jemaah tidak maju. Pemimpin PAS tidak rela untuk diri mereka dimamah neraka kerana mengkianati perjuangan PAS dan ahli.

Menjaga Rahsia Parti

Rahsia parti bukan sahaja kepada orang lain, malahan dengan anak isteri tidak boleh diberi tahu. Menunjukkan bukan semua perkara yang dibincang oleh parti mesti diketahui oleh orang lain. Seorang itu dianggap biadab dengan jemaah apabila mendedahkan apa yang berlaku di dalam mesyuarat. Lebih parah lagi yang disebar keluar ialah perjalanan mesyuarat untuk membuat keputusan, bukannya keputusan mesyuarat. Beliau menceritakan orang ini setuju, orang ini bangkang. Rahsia parti dan strategi parti tidak boleh dibincang di dalam forum yang terbuka seperti Face book, Twitter yang bukan ahlinya. 

Lebih kurang ajar lagi minta pandangan dan komen daripada mereka yang bukan ahlinya mengenai perjalanan parti. Biarlah kita menyusahkan musuh mendapat maklumat, jangan kita memberi maklumat secara percuma tanpa mereka bersusah payah. Sebenarnya di dalam keadaan kita menjaga rahsia ini pun masih terlepas, telahan pula kita sendiri yang mendedahkan. Peringatan untuk diri saya, hendak bercakap mengenai rahsia parti kena berhati-hati. Kebimbangan kita dengan alat komunikasi yang canggih akan merakam perbualan kita. Oleh itu, perhatikan dengan siapa yang kita berbicara. Zaman dahulu berpandang-pandang sebelum bercakap, sekarang agak sukar kerana alat perakam di dalam telefon sudah cukup menjadi alat untuk merakam perbualan kita dan di dedahkan keluar.

MEMANG BETUL KATA TUN M..MELAYU MUDAH DAN CEPAT LUPA..

BALING terus melakar nama dengan berlakunya peristiwa Memali pada 19 November 1985. Peristiwa pembunuhan yang tragis, tanpa mendapat keadilan daripada sistem perundangan yang ada, darah yang tumpah seolah darah kerbau tanpa nilai.

Memali berlaku di tengah gejolak kebangkitan Islam yang sedang menyerbu dunia Islam termasuk Malaysia.
Angin kebangkitan Islam menyeruak dinding kejahilan umat, anak-anak muda menjadi peserta barisan hadapan yang mengumandangkan keperluan untuk kembali menghayati Islam sebaga cara hidup.
Tragedi Memali hampir sama dengan apa yang berlaku di Tanjung Periuk, Indonesia pada awal dekad 80-an. Pembunuhan orang awam yang disyaki pengganas oleh pihak keselamatan di zaman Order Baru, bahkan menahan ramai yang lain selepas peristiwa itu termasuk tokoh pemuda Islam Indonesia, A. M. Fatwa yang ditahan apabila berkhutbah selepas peristiwa tersebut.
Gerakan usrah pemuda dan kampus universiti dianggap menggugat pemerintah Indonesia. Gerakan tarbiah seperti yang digerakkan oleh Kiai Rahmat Abdullah diintai oleh unit perisikan regim kerana bimbang mengancam hegemoni daulah, malah ada yang terperosok dalam penjara seperti Abdul Kadir Jelani.
Peristiwa berdarah Memali juga hampir menyerupai peristiwa berdarah Masjid Merah (Lal Mosque) di Pakistan. Sebuah pusat pengajian agama yang dikelilingi kediaman pelajar digempur oleh pasukan keselamatan Pakistan yang pro-Amerika di bawah regim Pervev Musharraf sehingga mengorban nyawa dan mencederakan pelajar.
Muntahan peluru memamah jasad guru dan para pelajar tanpa mengenal ampun. Guru dan pelajar di Lal Mosque ini kononnya penyokong Taliban dan menentang kerajaan dan harganya amat mahal, mereka meregang nyawa di hujung senjata api yang dibekalkan Amerika kepada pihak keselamatan Pakistan.
Sebelum peristiwa ini, pelajar-pelajar di madrasah ini sangat aktif mencegah maksiat termasuk para pelajar wanita yang berburqa yang berani turun ke tempat maksiat dengan rotan di tangan mereka. Media yang sekular menggambarkan pelajar ini diresapi pemujaan terhadap Taliban dan menentang kerajaan.
Perjalanan kisah Tanjung Periuk, peristiwa Talangsari, tragedi Takbai, pembunuhan di Masjid Merah Pakistan, pembantaian di Hamah Syria adalah hampir sama koreografinya, walaupun dalam jangka waktu yang berbeza. Sketsa berdarah merah mewarnai kanvas putih orang beriman, mereka disakiti kerana akidah.
Tuduhlah mereka sebagai pengganas untuk menghalalkan darah yang tumpah. Memali dan peristiwa seumpamanya akan terus berlaku sepanjang zaman di mana-mana sahaja belahan dunia selagi mana dunia belum berakhir.
Memali terus dibohongi sejarahnya oleh regim,termasuk di Muzium Polis di mana mereka tetap digambarkan sebagai penjenayah dan pengganas. Namun kabut hitam sejarah ini mula terungkai satu persatu.
Kini dengan pendedahan Dato Musa Hitam berkaitan Dr Mahathir yang berada dalam negara pada tanggal 19 November 1985 sangat menarik. Mahathir masih menghirup udara ini dan beliau wajib diadili akibat pembantaian Memali yang kejam itu.
Bersihkan sejarah Memali dan Ustaz Ibrahim Mahmud bersama pengikutnya, padamkan noda sejarah versi tirani walau hampir 30 tahun tragedi ini telah berlalu.
Tragedi ini wajib diluruskan sejarahnya dan keadilan wajar berteleku disinggahsananya.

MH370 : KELUARGA MAHUKAN BUKTI KIRANYA BENAR PESAWAT BERAKHIR DI LAUTAN HINDI..

Mahu bukti MH370 berakhir di Lautan Hindi
PETALING JAYA - Kerajaan Malaysia diminta mengadakan satu sesi taklimat bagi menjelaskan kepada semua anggota keluarga penumpang terutamanya dari China bukti pesawat Malaysia Airlines MH370 berakhir di Lautan Hindi.
  
Tuntutan tersebut disuarakan oleh kira-kira 30 anggota keluarga penumpang yang tiba dari China hari ini.  



Mereka berharap taklimat tersebut dapat diadakan secepat mungkin dengan bantuan Kedutaan Besar China di Malaysia.
  
Wakil daripada anggota keluarga penumpang, yang hanya mahu dikenali sebagai Jiang Hui, berkata walaupun pelbagai taklimat serta penjelasan telah diadakan di China, namun mereka masih tidak jelas dan mahukan data lengkap terutamanya daripada pakar.
  
"Selama 22 hari menunggu, jawapan yang kami dapat daripada pihak MAS di sana (China) adalah terhad...Semuanya perlu dirujuk terlebih dahulu kepada kerajaan Malaysia untuk membuat sebarang kenyataan kepada kami.
  
"Oleh itu kami membuat keputusan datang ke Malaysia untuk mendapat lebih banyak maklumat mengenai insiden ini, terutamanya daripada pakar penerbangan seperti Rolls Royce dan Syarikat Boeing, selain daripada kerajaan Malaysia dan MAS," kata lelaki itu kepada pemberita.
  
Bercakap dalam bahasa Mandarin, beliau berkata pihaknya juga menuntut kerajaan Malaysia memohon maaf atas kelewatan penyebaran maklumat mengenai pesawat itu.
  
Jiang berkata pihaknya berharap agar kerajaan Malaysia dapat menunjukkan keikhlasan membantu mereka dari segi membekalkan maklumat sahih.
  
"Kami tidak akan meninggalkan Malaysia sehinggalah kami berpuas hati dengan penjelasan mengenai pesawat itu," katanya.
  
Difahamkan, kumpulan ini ditempatkan di Holiday Villa Subang pada pukul 10 pagi tadi dengan disambut oleh Duta Khas Perdana Menteri ke China Tan Sri Ong Ka Ting, Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun, dan kira-kira 40 orang anggota Crisis Relief Squad of MCA (CRSM).
  
Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang termasuk 152 warga China dan 12 kru, hilang pada pagi 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam.
  
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.   

Najib kemudian mengumumkan pada 24 Mac, tujuh belas hari selepas pesawat itu hilang bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". - Bernam
a

Sabtu, 29 Mac 2014

Khamis, 27 Mac 2014

KECAM DAN BANTAH KEKEJAMAN REGIM KUDETA MESIR : PEMUDA PAS

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengadakan himpunan solidariti umat Islam membantah kekejaman pemerintahan rejim Abdul Fattah As Sisi yang telah menjatuhkan hukuman mati ke atas Mursyidul Am Ikhwan Dr Mohammad Badie serta 529 anggota Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Himpunan aman ini akan berlangsung selepas solat Jumaat, 28 Mac ini bertempat di hadapan Kedutaan Mesir, Jalan Ampang dekat sini.
Sehubungan itu, para peserta himpunan diminta bersolat Jumaat di Surau Nurul Hikmah, Hotel De Palma, Ampang (dan bukannya di Masjid Tabung Haji) sebelum berarak ke kedutaan Mesir selepas solat Jumaat.

“Himpunan ini akan dihadiri bersama pemimpin Pemuda Pakatan Rakyat, badan bukan kerajaan (NGO) Islam, tokoh tempatan dan antarabangsa. Umat Islam seluruh dunia akan turut sama berarak dan berhimpun di negara masing-masing pada hari Jumaat ini dengan tujuan yang sama,” ujar Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat.

Beliau mengajak umat Islam dan rakyat Malaysia seluruhnya agar hadir beramai-ramai bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan zalim regim kudeta Mesir.



“Rakyat Mesir yang bangkit membela pemerintahan yang digulingkan secara kudeta, Dr Mohammad Morsi dibantai dan dibunuh sesuka hati. Mereka yang ditangkap pula ada yang diseksa, dan sebilangan mereka pula terpenjara dan ada yang dihukum mati seperti 529 orang Ikhwan Muslimin ini.
“Tidak mungkin umat Islam yang mengaku bersaudara akan duduk diam membiarkan kezaliman bermaharajalela di bumi para Anbiya’ itu tanpa tekanan, bantahan mahupun kecaman,” tegas beliau.
Suhaizan menggalakkan para peserta himpunan supaya membawa poster dan sepanduk yang membawa mesej mengecam dan mengutuk kezaliman Abdul Fattah As Sisi serta mendesak pembebasan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin dan kesemua mereka yang dizalimi regim tentera Mesir.
“ Apa yang diharapkan adalah pemimpin negara Islam lainnya juga akan turut sama bangkit membantah dan mengutuk keputusan mahkamah ini supaya rejim As Sisi tunduk kepada tekanan antarabangsa.
“Pemuda PAS juga mendesak kerajaan Malaysia segera bertindak tegas dalam memberi tekanan kepada Mesir untuk menghentikan kezaliman ke atas rakyatnya sendiri,” katanya.
Kedutaan Mesir, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Selasa, 25 Mac 2014

PESAN DUPP : TERUSKAN PERJUANGAN SEKALIPUN DIHUKUM GANTUNG !

KUALA LUMPUR: “Teruskan perjuangan yang suci ini dengan dipandu keberkatan dari Allah sekalipun kalian dibunuh, dipenjara atau dihukum gantung,” tegas pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Datuk Ahmad Yakob. 

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada keputusan mahkamah di Mesir yang menjatuhkan hukuman mati kepada 529 pendukung Ikhwan Muslimin, semalam.

Beliau berkata, Dewan Ulamak PAS Pusat mengikuti peristiwa-peristiwa yang berlaku di Mesir secara dekat dan sentiasa bersama perjuangan mereka serta memberi sokongan padu terhadap ketegasan dan keberanian para pendukung Ikhwan Muslimin. 

Berikut kenyataan penuh beliau.

Kepada saudara-saudara seperjuangan yang dijatuhkan hukuman gantung di Mesir.

Kami memberi penghormatan dan amat kagum terhadap perjuangan kalian dan dunia telah menyaksikannya serta kami bertambah teguh bersolidariti dengan ketetapan kalian yang amat berani terhadap puak pengkhianat dan pembunuh yang tidak sedikitpun takut kepada azab Allah dan mereka tetap melakukan kerosakan diatas muka bumi ini.

Di kesempatan ini, kami mengingatkan kalian dengan firman Allah yang bermaksud (dan jangan kamu sangka Allah lalai terhadap apa yang dilakukan oleh orang-orang zalim akan tetapi sesungguhnya Allah ingin tangguhkan (azab) kepada mereka pada hari yang pada waktu itu mata mereka terbeliak). 

Kami mengikuti peristiwa-peristiwa yang berlaku di Mesir secara dekat dan sentiasa bersama perjuangan kalian serta memberi sokongan padu terhadap ketegasan dan keberanian kalian. 

Teruskan perjuangan yang suci ini dengan dipandu keberkatan dari Allah sekalipun kalian dibunuh, dipenjara atau dihukum gantung. 


Jangan kalian sangka mereka yang gugur di jalan Allah itu telah mati bahkan mereka sebenarnya hidup dan diberi rezeki yang melimpah di sisi Allah.

Kami mengutuk dan mengkritik keras keputusan mahkamah yang cetek lagi rakus yang telah diadili oleh barisan hakim perampas kuasa ke atas Mursyidul Am Ikhwan Muslimin Dr Mohammad Badie dan Presiden Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) Dr Katatni dengan hukuman gantung sampai mati. 

Di sini, kami sertakan penghormatan tinggi terhadap ketabahan para singa Allah di zaman yang diseliputi kezaliman dan sesungguhnya kezaliman pasti akan berakhir walau apa keadaan sekalipun. 

Allah pasti bersama kalian serta tidak sekali-kali akan mengurangkan pahala segala amalan dan usaha kalian dan Allah berkuasa terhadap segala urusan-Nya.

Bersabarlah wahai seluruh keluarga Ikhwan Muslimin, maka sesungguhnya kemenangan itu semakin hampir dan insya Allah, Allah menjanjikan syurga-syurga-Nya kepada kalian.

Ya Allah, anugerahlah kemenangan kepada pejuang agama-Mu di Mesir.

HIMPUNAN BANTAH DAN KECAM OLEH PEMUDA PAS TERHADAP KUDETA MESIR JUMAAT INI...

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia akan mengadakan demonstrasi aman di hadapan Kedutaan Mesir pada Jumaat ini bagi membantah tindakan kerajaan kudeta negara itu yang menjatuhkan hukum mati terhadap 529 pendukung Ikhwan Muslimin.

Himpunan itu akan dianjurkan bersama NGO Islam, rakan-rakan Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysi yang prihatin.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat berkata, demonstrasi itu akan diadakan sejurus selepas solat Jumaat di Masjid Tabung Haji dan akan berarak ke kedutaan Mesir.

Mahkamah Mesir semalam menjatuhkan hukuman mati ke atas 529 ahli-ahli Ikhwanul Muslimin termasuklah terhadap Mursyid Am Ikhwan, Dr Mohammad Badie atas pelbagai tuduhan yang direka cipta. 

Kes ini dilihat dibuat melalui perbicaraan paling pantas dalam sejarah kehakiman moden dengan skala tertuduh sebegitu ramai bagi pertuduhan bunuh. 

Ianya dibuat selepas langkah pertama iaitu mengharamkan penubuhan Ikhwan Muslimin beberapa bulan sebelum ini.


Dalam pada itu, Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut mengecam keputusan itu.

Beliau turut menggesa badan kerjasama antarabangsa seperti PBB, Liga Arab dan OIC mencontohi tindakan Afrika yang menggantung keahlian Mesir sebagai anggota kesatuan Afrika kerana menceroboh demokrasi dan secara jelas membunuh rakyatnya sendiri.

"PAS mengutuk perancangan terlaknat ini. Walaupun berlainan geografi, namun kita tetap bersolidariti dengan saudara-saudara seangkatan kita di Mesir. 

"Inilah realiti cabaran kita, gerakan Islam akhirnya pasti menjadi sasaran utama golongan pengkhianat," kata beliau.

MESIR : PAS KECAM HUKUMAN MATI 529 AHLI IKHWANUL MUSLIMIN OLEH MAHKAMAH TENTERA MESIR.


PAS MENGECAM HUKUMAN MATI TERHADAP 529 AHLI IKHWANUL MUSLIMIN


Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengecam dengan sekeras-kerasnya keputusan sebuah mahkamah Mesir yang menjatuhkan hukuman mati ke atas 529 ahli-ahli Ikhwanul Muslimin termasuklah terhadap Mursyid Am Ikhwan Dr Mohammad Badie atas pelbagai tuduhan yang di reka cipta. Ini dilihat sebagai salah satu tindakan mendadak secara keras ke atas pergerakan Ikhwanul Muslimin.

Kes ini melibatkan perbicaraan paling pantas dalam sejarah kehakiman moden dengan skala tertuduh sebegitu ramai bagi pertuduhan bunuh. Apa yang berlaku menunjukkan tatacara perbicaraan mahkamah dan peraturan undang-undang tidak dipatuhi.
Kami menggesa agar demokrasi dan keamanan dipulihkan dengan menarik balik pengharaman Ikhwan Muslimin, sebuah organisasi politik yang telah mendokong dan menyertai piliharanya dalam sistem demokrasi di Mesir.

Kami menggesa badan kerjasama antarabangsa seperti PBB, Liga Arab dan OIC mencontohi tindakan Afrika yang menggantung keahlian Mesir sebagai anggota kesatuan Afrika kerana menceroboh demokrasi dan secara jelas membunuh rakyatnya sendiri.

PAS mengutuk perancangan terlaknat ini. Walaupun berlainan geografi, namun kita tetap bersolidariti dengan saudara-saudara seangkatan kita di Mesir. Inilah realiti cabaran kita, gerakan Islam akhirnya pasti menjadi sasaran utama golongan pengkhianat.

Insiden ini jika tidak ditangani dengan sewajarnya boleh berkembang menjadi krisis yang lebih besar dan berterusan termasuk ke peringkat antarabangsa kerana Terusan Suez di Mesir merupakan antara laluan utama perkapalan dunia. Jika krisis dalaman yang boleh mengganggu perjalanan kapal sudah tentu keperluan utama seperti makanan dan minyak akan tersekat dan memberikan impak terhdap pasaran dunia.

Abdul Hadi Awang
Presiden
Parti Islam SeMalaysia (PAS)
25 Mac 2014

MH370 : PM SAHKAN PESAWAT TERHEMPAS DI SELATAN LAUTAN HINDI.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi mengumumkan bahawa kedudukan terakhir pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia dikesan di tengah Lautan Hindi di sebelah barat Perth, Australia.

Maklumat berhubung lokasi terakhir pesawat yang hilang sejak 17 hari lalu itu diterima menerusi data Immarsat dan Bahagian Penyiasatan Nahas Udara United Kingdom (AAIB) yang mengesahkan pesawat Boeing 777-200 itu terbang ke jalur selatan isyarat terakhir yang dikesan daripada pesawat itu, umum Najib.

"Ini kawasan yang terpencil, jauh daripada mana-mana tapak pendaratan yang munasabah. Oleh itu, dengan rasa penuh dukacita dan kesal, saya memaklumkan bahawa, berdasarkan kepada data baru ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib.

Sehubungan itu, operasi mencari kini ditumpukan di koridor selatan, lokasi pesawat itu dipercayai terhempas.

 
Sidang media bagi menjelaskan penemuan itu akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) esok.
Tiada sesi soal jawab media diadakan sebaik Najib selesai membaca kenyataan ringkas.
Pesawat penerbangan MH370 membawa 239 orang, termasuk 38 penumpang dan 12 anak kapal warga Malaysia. Operasi mengesan pesawat ini digerakkan sejak ia hilang pada awal pagi 8 Mac lalu dan disertai oleh lebih 20 buah negara.
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Australia, China dan Perancis memaklumkan mengesan objek dipercayai cebisan pesawat MH730 yang menguatkan lagi keyakinan bahawa ia jatuh terhempas di lautan Hindi. 

Isnin, 24 Mac 2014

PRK KAJANG : TAHNIAH DARIPADA MURSYIDUL AM, TG. NIK ABDUL AZIZ NIK MAT.

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS menyifatkan rakyat Dun Kajang faham perkembangan semasa politik sesuai dengan kewujudan banyak institusi pengajian tinggi di sana.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, apabila ada banyak banyak universiti atau institusi pengajian tinggi serta bank ia menggambarkan penduduk di kawasan golongan cerdik.

“Terima kasih pengudi Kajang biar pun mereka berdepan kempen Umno dengan menggula-gulakan pelbagai projek dan bantuan namun mereka lebih matang.

“Syukur di atas keupayaan Pakatan Rakyat mempertahankan Dun Kajang. Saya ucapkan terima kasih kepada pengundi,” katanya sebagai reaksi di atas kemenangan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada PRK Dun Kajang yang diumumkan malam tadi.

Presiden PKR itu menang dengan majoriti 5,379 undi. Beliau mengatasi Datuk Seri Chew Mei Fun yang mendapat 11,362 undi.

Pada pilihan raya kecil Dun Kajang semalam, Pakatan juga berjaya merobek kubu Umno di peti undi Sekamat dan Taman Delima.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, mengundi merupakan perkara baru kerana pada zaman lampau tidak ada proses pengundian, di mana pemerintah hanya diwarisi.

Menurutnya, sejak kerajaan Islam pertama diwujudkan di Madinah oleh Nabi Muhammad SAW sehingga Khalifah Othmaniah di Turki, tidak ada proses pilihan raya seperti sekarang.

“Perkara agak baru dalam kalangan orang Islam, namun masih ada yang tidak berapa faham keperluan mengundi dalam Islam,” ujarnya.

PRK KAJANG : RAKYAT BUKTIKAN TOLAK UMNO/BN SOKONG PR !

KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang semalam menunjukkan terjemahan sebenar sokongan rakyat Malaysia terhadap Pakatan Rakyat.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan undi popular terhadap PKR hampir mencecah 60 peratus, ianya satu kejayaan yang sangat membanggakan.

Malah kata Anwar, lebih mengujakan apabila Pakatan Rakyat melalui calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memenangi undi Melayu pada PRK tersebut.

"Kami mempertaruhkan calon Melayu, yang memakai tudung, dan masih menang dengan undi popular bagi semua kaum.

"Sekarang dengan 60 peratus undi popular, ini satu breakthrough yang menunjukkan kekuatan sebenar kami (Pakatan Rakyat)," kata ketua pembangkang itu.


Beliau juga mendakwa, keputusan kali ini juga memberi penanda aras kepada MCA sama ada masih releven atau sebaliknya dalam politik negara.

"Pilihan raya ini juga medan menguji survival MCA. MCA yang mengatakan mewakili Cina di Malaysia, hanya dapat 25 peratus (undi) Cina sahaja, dan di kawasan Melayu mereka harap kepada Umno rasis berkempen, dan Alhamdulillah kita menang undi Melayu," kata beliau.

Turut ditanya wartawan berhubung isu jawatan Menteri Besar Selangor.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan sekadar berkata, isu itu biar Selangor bincang dahulu.

Pada PRK semalam, Dr Wan Azizah memenangi kerusi Dun Kajang dengan majoriti 5,379 undi setelah memperoleh 16,741 undi manakala calon BN mendapat 11,362.

Peratusan keluar mengundi pada PRK Dun Kajang merosot kepada 72.1 peratus atau 28,314 pengundi berbanding 88.4 peratus atau 34,290 pada PRU13 lalu.

Selasa, 18 Mac 2014

TARBIYYAH : CIRI-CIRI NAQIB YANG BERKALIBER ..

Kejayaan satu usrah bergantung kepada kewibawaan naqib yang memenuhi ciri-ciri seorang naqib. Kegagalan usrah berpunca daripada naqib yang tidak memenuhi kriteria naqib. Naqib tidak boleh ditangkap muat begitu sahaja, walaupun dia seorang ustaz, belum tentu dia mampu meletakkan dirinya seorang naqib yang berjaya.



Ciri-Ciri Naqib

1. Berilmu
Naqib mesti mempunyai ilmu, jika naqib kosong kepala, macam mana beliau hendak menjelaskan kepada anak buah usrahnya. Sebagaimana pepatah Arab menyebut " Orang yang fakir macam mana beliau hendak memberi". Mereka yang ada ilmu akan menarik minat ahli usrahnya. Jika naqib tidak memiliki ilmu dan pengetahuan yang luas bagaimana ia hendak meyakinkan orang lain untuk memahami perjuangan. Naqib mesti bersedia untuk menimba pengetahuan tanpa jemu-jemu. Tidak ada istilah pencen untuk seorang naqib mendapat ilmu. Bukan sahaja mereka menguasai ilmu agama, malahan juga ilmu dunia, isu semasa dan isu-isu orgnisasi. Usrah sentiasa segar jika naqib memiliki mutiara-mutiara yang berharga untuk dibawa balik setelah menghadiri usrah. Mahu tidak mahu, naqib mesti memaksa dirinya untuk membaca dan membuat persediaan yang rapi sebelum memulakan usrah. 

2. Yakin Dengan Perjuangan
Naqib mesti yakin dengan perjuangan PAS yang berteraskan Islam. Landasan ini akan dipegang sama ada sewaktu kalah atau menang. Beliau mesti yakin inilah akidah perjuangan yang tidak pernah luntur daripada batang tubuh perjuangan PAS. Islam membawa rahmat kepada semua. Beliau tidak boleh menjadi orang yang musta'jilun (gopoh) untuk cepat menang sehingga mengenepikan soal prinsip perjuangan. Keyakinan ini yang ditanam di dalam diri ahli usrahnya. 

3.Pernah Ikut Tarbiah
Hendak menjadi naqib usrah ia perlu juga mengikuti usrah baru ia boleh membawa usrah. Jika beliau tidak memahami usrah bagaimana beliau hendak membawa usrah kepada ahli usrah. Usrah mempunyai seni yang tersendiri, ia bukan ceramah umum, ia bukan kuliah maghrib. Tetapi ia adalah majlis meyakinkan fikrah perjuangan, membina peribadi ahli PAS, dan meniupkan semangat perjuangan. Lebih banyak muhasabah diri dan muhasabah dalaman, kurang mengkritik orang lain. Naqib yang biasa mengikuti program usrah sahaja yang mampu membawa usrah. Barulah akan lahir satu natijah kemanisan berusrah dalam kalangan ahli usrah. Program usrah dinanti-nanti kerana ia majlis yang menyeronokkan, bukan yang membosankan. Kenapa majlis usrah seronok? Jawabnya kerana naqib berpengalaman dan naqib berpengalaman di dalam usrah.

4. Suri Teladan Yang Baik
Naqib akan menjadi qudwah hasanah kepada anak buahnya. Izzahnya mesti dijaga pada pandangan mata ahli. Jangan hilang thiqah ahli kepada naqib, apabila mereka melihat akhlak naqib tidak menepati piawai seorang yang berakhlak mulia. Naqib mesti bercakap serupa dengan perbuatan. Istilah, lihat apa yang saya cakap, bukan siapa yang bercakap tidak boleh digunakan oleh seorang naqib kepada ahli usrah. Peribadi naqib, isteri naqib, anak naqib, keluarga naqib semuanya menjadi perhatian di kalangan ahli usrah. Kesan yang mendalam akan dirasai oleh ahli usrah apabila memerhati peribadi naqib yang membuat apa yang dia cakap. Jika naqib sendiri tidak berjihad, macam mana ahli usrah hendak berjihad. Jika naqib kedekut macam mana ahli usrah hendak bersifat pemurah. Jika anak isterinya sendiri tidak terlibat dengan PAS macam mana orang lain bersemangat dengan PAS. Jika ahli keluarga naqib tidak menutup aurat macam mana anak buah hendak hormat dengan naqib. Semuanya tepat sepert kata-kata hukama' "Lisanul Hal lebih berkesan daripada kata-kata". Ahli psikollogi berkata manusia lebih senang memahami bahasa mata daripada bahasa lidah.

5. Mesti Terlibat Dengan PAS
Usrah bukan hanya memindah ilmu kepada pendengarnya, tetapi ia hendak membina fikrah ahli dan pembinaan parti. Macam mana naqib hendak membina parti jika beliau sendiri tidak melibatkan diri dengn PAS. Beliau sendiri tidak memahami struktur perjalanan parti. Jika ini berlaku untuk jangka panjang ia akan bertentangan dengan fikrah perjuangan parti. Lama kelamaan ia akan mewujudkan jemaah dalam jemaah. Naqib akan membawa fikrah peribadi, bukan fikrah jemaah. Segala keputusan parti tidak selari dengan apa yang beliau sampaikan dalam usrah. Misalnya dia tidak memahami Tahaluf Siasi yang sudah diputuskan oleh Majlis Syura, tetapi beliau membuat pendekatan yang tersendiri, akhirnya menimbulkan masalah kepada parti.

6. Kesungguhan
Pepatah Arab bermaksud "Siapa yang bersungguh-sungguh dia akan dapat ". Kunci kejayaan segala amalan ialah sifat kesungguhan dalam kalangan naqib. Tanpa kesungguhan, usrah tidak akan berjaya. Biasalah, kadang-kadang kita sebagai naqib datang anak buah tidak datang. Kerana usrah di dalam PAS perlu ada kesungguhan. Tempatnya jauh, penalaman terutama ahli PAS di kampung-kampung. Orang yang mempunyai kesungguhan sahaja yang boleh melaksanakan usrah.

7. Sabar
Di dalam perjuangan perlu kesabaran, begitu juga sebagai naqib perlu ada kesabaran.  Bukan senang untuk memahamkan akidah perjuangan kepada ahli usrah. Penekanan kepada ahli usrah mengenai akidah perjuangan perlu kepada kesabaran. Penekanan diberi kepada ahli usrah ialah perkara sam'iyat, dosa dan pahala bukan perkara yang dapat dilihat. Perlu ada kesabaran untuk meyakinkan ahli usrah.

MH370 HILANG : HIKMAH UNTUK UMAT MANUSIA BERSATU - PRESIDEN PAS

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan insiden kehilangan pesawat MAS MH370 pada 8 Mac lalu telah menyatukan seluruh umat manusia tidak kira agama, bangsa dan negara.

Ahli Parlimen Marang itu ketika membahaskan Titah Yang di-Pertuan Agong berkata, hikmah kehilangan pesawat itu telah membuat manusia bergantung kepada Tuhan tidak kira Islam ataupun bukan Islam.

"Sama ada yang percaya atau tidak kepada agama sama-sama berusaha untuk memohon kepada Allah, atas satu matlamat iaitu selamatkan kru kabin dan penumpang MH370.

"Pada zaman Rasulullah kemarau yang dahsyat menyebabkan binatang mati, ada hamba yang jahil tetapi berdoa kepada Allah untuk selamatkan binatang yang hampir mati. Akhirnya Allah terima doa dia dan turunkan hujan, rumput pun tumbuh," katanya yang juga Presiden PAS.

Tambahnya, insiden yang berlaku ini juga turut mendedahkan bahawa banyak kelemahan dalam mengesan pesawat MAS itu dan ianya perlu dikaji oleh kerajaan.

"Kita perlu siasat kenapa kita lemah dalam perkara ini. Jangan sombong dengan kelemahan kita yang dipertikaikan banyak pihak," katanya.



Namun katanya, sekiranya kehilangan MH370 hari ini disebabkan ada unsur-unsur keganasan maka semua pihak wajar mengutuk perbuatan itu kerana ia melibatkan nyawa manusia termasuklah wanita dan kanak-kanak.

"Kalau ada unsur ini seluruh dunia perlu berkerjasama tidak kira siapa, kita kena kutuk perbuatan itu," katanya.

Isnin, 17 Mac 2014

TOK MOH BERAHIM MAT ZAIN BALIK KAMPUNG TEROPONG MENARA CONDONG TELUK INTAN ?

KUALA LUMPUR: Setelah mengugut untuk menampar Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin kerana menempelak ritual yang dilakukannya di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bomoh Ibrahim Mat Zain, 80 muncul pula di perkarangan  menara condong Teluk  Intan untuk melakukan ritual yang hampir sama.

Menggunakan teropong batang buluh, beliau dilihat meneropong ke arah puncak menara condong di tengah-tengah bandar Teluk Intan dengan ditemani seorang pembantu.
Gelagat beliau dirakam para pengunjung dan orang ramai yang berada di kawasan tumpuan pelancong itu.
Gambar-gambar aksi pelik Ibrahim mula beredar di laman sosial sejak semalam.
'Raja Bomoh' yang menarik perhatian media antarabangsa kerana ritual yang dilakukan di KLIA  yang kononnya untuk membantu usaha mengesan kehilangan pesawat MH370, bakal dikenakan tindakan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata tindakan itu akan dikenakan ke atas Ibrahim jika siasatan Jais mendapati perbuatannya menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.
"Jais menerima banyak aduan daripada orang ramai, termasuk melalui laman sesawang dan Facebook JAIS, berhubung perbuatannya.
"Merujuk kepada aduan itu, JAIS sedang meneliti dan menyiasat kejadian itu mengikut Seksyen 7(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor," katanya kepada Bernama.
Pada 12 Mac lalu, Ibrahim dilapor melakukan ritual ala-ala 'tikar terbang' dengan disertai beberapa lelaki memegang dua biji kelapa dan bakul yang tidak diketahui fungsinya.
Dua hari sebelum itu, Ibrahim turut muncul di KLIA melakukan ritual menggunakan bubu mata pancing.
Beliau juga memberitahu pernah terserempak dengan makhluk hitam di udara ketika menaiki pesawat daripada "Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan singgah di Tawau".
    
Mengulas lanjut, Ahmad Zaharin berkata pihaknya juga masih melakukan pemantauan di KLIA bagi mengekang kegiatan itu daripada berulang.

Ibrahim (gambar kiri) menggunakan teropong buluh semasa ritual terbarunya dirakam di menara Condong Teluk Intan.

Sabtu, 15 Mac 2014

NAK KENA TAMPAR : KJ JAWAB PASAL UGUTAN RAJA BOMOH...

KJ jawab Tok Moh isu tampar 'kokedai'
  • Khairy JamaluddinKhairy Jamaluddin

    • SHAH ALAM - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin secara berseloroh berkata, "satu Malaysia" mahu menampar Raja Bomoh, Ibrahim Mat Zin ekoran perbuatannya yang "memalukan" negara. 
       
      Kata-kata itu lahir dari mulut menteri muda ini sebagai respon kepada Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP yang mahu menamparnya seperti buaya. 
       
      KJ sebelum itu menyifatkan perbuatan Ibrahim sesuatu yang menjatuhkan maruah dan mencalar imej negara.
       
      "Dia sorang yang nak tampar saya...tapi saya rasa satu Malaysia nak tampar dia sebab malukan negara.
       
      "Perbuatan dia syirik, khurafat...saya tak nak layan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui sebuah portal. 
       
      Baru-baru ini, KJ telah menyelar Ibrahim menerusi laman mikro Twitter miliknya.
       
      KJ dalam Tweetnya menggesa pihak berwajib untuk menangkap dan menahan bomoh berkenaan.
       
      Isnin lalu, Ibrahim muncul di tengah kesibukan Kuala Lumpur International Airport (KLIA) dan melakukan ritual menggunakan bubu mata pancing dan batang buluh.
       
      Keesokan harinya Raja Bomoh berkenaan menggemparkan KLIA sekali lagi dengan menjalankan ritual menggunakan tikar, bakul mengkuang dan dua biji kelapa dalam misi mencari pesawat MH370 yang gagal dikesan sehingga kini. 
       
      Menurut Ibrahim, apa yang dilakukannya berniat baik untuk membantu kerajaan mengesan lokasi pesawat MH370.


       
      Upacara ritual yang dijalankannya bersama dua lagi pengikutnya itu mendapat kritikan meluas di media-media sosial selain dijadikan parodi.

      jambori amal kuala kangsar 2008