KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN BAGAN
DATOH
Tarikh : 29
Oktober 2015 / Khamis
“ PEMUDA PAS
KAWASAN BAGAN DATOH TERUS BERISTIQAMAH BERSAMA PERJUANGAN DAN KEPIMPINAN PARTI
”
1-Perkembangan politik yang berlaku ketika
ini khususnya bagi Parti Islam SeMalaysia ( PAS ) telah merubah sedikit
sebanyak landskap politik di negara ini. Sehubungan itu, ianya juga memberi
beberapa kesan baik dan buruk kepada pengurusan dan pentadbiran parti.
2-Namun bagi Dewan Pemuda PAS Kawasan
Bagan Datoh, disini ingin menyatakan pendirian kami iaitu akan terus
beristiqamah bersama pimpinan parti yang telahpun dipilih secara sah oleh
perwakilan melalui Muktamar Agung PAS yang lalu. Maka tiada sebab dan alasan untuk
kami menolak apatah lagi menjatuhkan kepimpinan parti yang ada pada hari ini.
3-Kami juga secara jelas dan teguh
berpendirian akan terus menyokong penuh Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Hj.
Abdul Hadi Awang serta seluruh saff kepimpinan PAS Pusat. Selain itu, kami
menyatakan keyakinan kepimpinan Presiden PAS hari ini mampu untuk menjaga
keaslian dasar perjuangan parti.
4-Pihak Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan
Datoh turut berjanji akan menjadi pendokong kuat untuk bersama-sama kepimpinan
parti dalam gerak kerja dan usaha memenangkan PAS di persada dakwah, tarbiyah
dan politik negara.
5-Berkenaan penubuhan parti baharu
serpihan daripada PAS, iaitu Parti Amanah Negara ( AMANAH ), pihak kami hanya
boleh menyatakan bahawa perkara tersebut adalah menjadi hak mereka. Namun,
pihak kami masih mengharapkan kepada bekas pimpinan dan ahli PAS yang telah mengisytiharkan
keluar parti untuk bersama parti baharu itu untuk memikirkan semula tindakan
mereka. Adakah ianya hanya untuk kepentingan diri sendiri atau untuk Islam ?
6-Justeru itu, pihak kami menolak sekeras-kerasnya
sebarang usaha perpecahan dan pengkhianatan dalam perjuangan PAS. Demikian itu,
pihak Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh menyokong keputusan PAS Perak yang
meminta Ahli Parlimen ( MP ) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) daripada
PAS yang telahpun keluar parti dan telah bersama-sama parti baharunya iaitu
AMANAH untuk meletakan jawatan tersebut. Ianya adalah bertepatan sebagaimana
bai’ah ( sumpah ) yang telah dilafazkan oleh setiap mereka yang menjadi calon
dan bertanding dalam pilihanraya atas nama PAS mestilah meletakkan jawatan
sekiranya telah meninggalkan PAS.
7-Manakala daripada sokongan serta
keyakinan ahli dan rakyat kepada PAS, pihak kami berkeyakinan bahawa PAS masih
lagi relevan dan utuh walaupun diuji dengan pelbagai cara dan pihak. Antara
buktinya ialah kehadiran peserta di Himpunan Fastaqim yang telah berlangsung di
Kota Bharu dihadiri lebih daripada sasarannya iaitu melebihi 60 ribu orang.
Selain itu, kemasukan daftar ahli baharu juga semakin meningkat daripada semasa
ke semasa.
8-Akhirnya, sekali lagi pihak Dewan Pemuda
PAS Kawasan Bagan Datoh menegaskan akan terus memberi sokongan dan dokongan
penuh kepada kepimpinan parti serta beristiqamah dalam perjuangan ini. Kami
juga menolak sebarang usaha merosakkan parti seperti perpecahan dan
pengkhianatan
" BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN "
Oleh :
USTAZ AMIR HAMZAH BIN IBRAHIM
Ketua,
DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN BAGAN DATOH