pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Selasa, 28 Julai 2015

CATATAN DHUHA SEMINGGU : YB. USTAZ IDRIS AHMAD, NAIB PRESIDEN PAS.

CATATAN DHUHA SEMINGGU BERSAMA YB. USTAZ IDRIS AHMAD
( 4 Syawal - 10 Syawal 1436 bersamaan 
20 Julai - 26 Julai 2015 ) 


Catatan Dhuha
Semoga Allah beri saya istiqamah bersama Pas. Apa orang hendak kata terpulang. Sudah lama orang yang tidak suka kepada Pas kata dekat Pas. Ekstrim, Syiah, Wahabi, pelampau, takfir, jumud, tidak faham waqi', jahil politik, tidak faham maqasid, fikiran tertutup, hendak buat revolusi, parti ceramah, pemimpin tidak ada tarbiah, sistem tarbiah lemah, Pas parti pak lebai dan lain-lain lagi. InsyaAllah Pas terus evergreen.Ust Idris Hj Ahmad 4 Syawal 1436. 20 Julai 2015 Isnin.

Catatan Dhuha
Apabila kita marah orang melebel dengan gelaran yang buruk kepada mana-mana individu. Tiba-tiba kita pula terlupa, ketika kita menasihat dan menulis untuk memberi teguran kepada orang lain yang tidak sehaluan dengan kita, dengan bermacam-macam lebel. Peringatan untuk diri saya sama. . Ust Idris Hj Ahmad 5 Syawal 1436. 21 Julai 2015 Selasa.

Catatan Dhuha
Semenjak sekolah rendah saya kenal Pas. Semasa di Universiti walau pun di sana ada Abim, IRC, Tabligh, Arqam, Abim Perlis, Pas tetap menjadi pilihan walau pun Pas dianggap dagang ketika itu. Sewaktu menjadi pensyarah ITM saya memegang jawatan Exco Pemuda Pas Malaysia. Sekarang umur pun sudah 52 tahun, dekat lubang kubur. Semoga Allah kekal saya bersama dengan Pas. Biarlah menjadi motivasi anak cucu saya untuk meneruskan wadah perjuangan Pas. Ust Idris Hj Ahmad 6 Syawal 1436. 22 Julai 2015 Rabu.

Catatan Dhuha
Pas mentarbiah saya erti hidup dan perjuangan. Memahamkan saya Islam yang syumul. Mendidik saya untuk cintakan ilmu dan membetulkan akhlak yang buruk. Mendidik saya untuk cakna kepada orang miskin dan golongan mustad'afin. Memperkenalkan saya tentang tingkah laku masyarakat. Memberi peluang kepada saya mendekati berbagai lapisan masyarakat yang jahil, cerdik, fasiq, dan wara'. Ust Idris Hj Ahmad 7 Syawal 1436. 23 Julai 2015 Khamis.

Catatan Dhuha
Pas sebagai Universiti kedua saya, peluang keemasan yang tidak dimiliki di Universiti pertama saya. Kerana ia merupakan medan praktikal, bukan teori. Berapa ramai di kalangan mereka yang tidak berpeluang untuk memasuki Universiti, tetapi berjaya membina keterampilan diri hasil daripada penglibatan mereka di dalam Pas. Ust Idris Hj Ahmad 8 Syawal 1436. 24 Julai 2015 Jumaat.

Catatan Dhuha
Daripada dahulu lagi, saya selalu menyebut kepada orang yang mencerita kelemahan Pas menyebabkan mereka tidak berminat dengan Pas. Saya menjawab, jika saudara boleh menulis 50 halaman kelemahan Pas, saya boleh menulis 500 halaman kelemahan Pas. Mana ada pertubuhan yang tidak ada masalah. Bukan senang hendak menguruskan parti yang berada di padang demokrasi yang tidak rata. Namun Pas tetap segar dan memperbaiki kelemahan dan melakukan tajdid dalam berbagai sudut. Ust Idris Hj Ahmad 9 Syawal 1436. 25 Julai 2015 Sabtu.

Catatan Dhuha
Kita perlu kesabaran ketika kita mengendalikan Pas. Tidak boleh gopoh hendak memaksa idea kita diterima oleh parti. Mungkin idea kita tidak boleh diterima hari ini. InsyaAllah akan menjadi realiti pada masa akan datang. Contohnya Profesor Zulkifli Mohammad yang mencadangkan ahli bersekutu tahun 60an ditolak dan tuduh sebagai pengkianat. Akhirnya setelah 50 tahun baru Pas laksanakan. Beliau sabar dan istiqamah dalam Pas. Ust Idris Hj Ahmad 10 Syawal 1436. 26 Julai 2015 Ahad.

SKANDAL MARA : RAKYAT WAJIB TAHU HASIL SIASATAN

Pertukaran Pengerusi MARA : Rakyat Wajib Tahu Hasil Siasatan


Rakyat masih lagi tertanya-tanya berhubung skandal pembeliah hartanah milik Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Melbourne, Australia yang dikatakan telah membayar RM13.7 juta lebih tinggi dari harga pasaran yang sebenar. Pembelian tersebut didakwa oleh akhbar Australia, The Age melibatkan kos keseluruhan RM65 juta untuk sebuah blok apartmen di Melbourne.

Sekalipun bekas Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa mendakwa bahawa pembelian tersebut berlaku sebelum beliau dilantik sebagai pengerusi, namun ia bukannya satu jawapan terhadap tanda tanya yang sedang menjadi persoalan di kalangan rakyat. Nyata sekali, kerajaan UMNO / Barisan Nasional tidak pernah serius di dalam mengendalikan perbelanjaan wang milik rakyat sehingga menyebabkan berlakunya ketirisan yang melibatkan jutaan ringgit.

Terbaru apabila Tan Sri Annuar Musa tidak disambung perkhidmatan sebagai Pengerusi MARA walaupun baru dua tahun memegang jawatan tersebut, rakyat semakin melihat bahawa ada sesuatu yang disembunyikan oleh kerajaan. Sekalipu Annuar bukanlah individu pertama yang memegang jawatan tersebut untuk tempoh dua tahun namun ia agak janggal jika dibandingkan dengan dua penyandang jawatan tersebut sebelum ini.

Untuk rekod, bekas Pengerusi MARA sebelum Annuar, Dato Seri Idris Jusoh memegang jawatan tersebut selama 5 tahun bermula 2008 – 2013 manakala sebelumnya Dato Seri Abdul Hamid Zainal Abidin pula selama 4 tahun bermula 2004 – 2008. Justeru, menamatkan khidmat Annuar Musa yang hanya diberikan kepercayaan selama dua tahun sahaja seolah-olah mengesahkan tanggapan rakyat bahawa terdapat kelemahan yang ketara di dalam pengurusan kewangan MARA dan proses jual beli hartanah sebelum ini.

Rakyat sedang menanti-nanti jawapan terhadap isu ini. Penjenayah sebenar wajib dihadapkan ke muka pengadilan tanpa sebarang pengecualian. Tiada maaf kepada mana-mana pihak yang memperalatkan amanah rakyat demi kepentingan poket peribadi.

AHMAD FADHLI BIN SHAARI
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.
27 Julai 2015

ARAHAN KHAS DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA : YB. USTAZ NIK ABDUH

ARAHAN KHAS
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
9 SYAWAL 1436H / 25 JULAI 2015

Dewan Pemuda PAS kini bersiap sedia mengerahkan jenteranya di seluruh negara bagi memulakan gerak kerja kepemudaannya yang lebih menyeluruh sebaik selesai program Ramadhan yang telah berakhir dengan sambutan Hari Raya Idil Fitri minggu lepas.

Justeru saya mengingatkan dan mengarahkan seluruh jentera pemuda PAS untuk menumpukan 5 peratus daripada kekuatannya untuk menjawab persoalan-persoalan yang berkait kekalutan dalaman yang tercetus pasca muktamar PAS baru-baru ini.

Begitu juga, 15 peratus daripada kekuatan pemuda PAS hendaklah ditumpukan kepada program pemerkasaan semula jentera pemuda akibat krisis yang melanda Pakatan Rakyat yang berakhir dengan terbatalnya hubungan tahaluf siyasi dengan DAP.

Manakala 80 peratus daripada kekuatan jentera Dewan Pemuda PAS di seluruh negara hendaklah digembeling dan dikerah untuk terus melaksanakan gerak kerja 'core business' pemuda PAS membina Malaysia melalui santunan terhadap isu-isu rakyat dan negara.

Saya berharap sehingga hujung 2015 nanti, Dewan Pemuda PAS sudah mampu menyerap segala isu dalamannya dan mengerahkan 100 peratus kekuatannya untuk berdenyut nadi bersama rakyat dan anak muda negara.

Dewan Pemuda PAS sedar betapa anak muda negara hari ini memerlukan suntikan semangat dan jati diri yang kental bagi menghadapi cabaran semasa kehidupan dan masa depan mereka sebagai generasi pewaris negara. Mereka mestilah disedarkan dan dibimbing dengan benar dan betul bagi berhadapan isu-isu politik, ekonomi, pekerjaan, sosial, keselamatan, alam sekitar dan segala kebejatan dalam pelbagai sektor akibat kerosakan yang melanda negara sepanjang pemerintahan puluhan tahun BN.

Sebagai langkah pertama sempena bulan kemerdekaan tahun ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia akan menganjurkan jelajah 'Wacana Kemerdekaan' yang melibatkan 100 buah bandar dan pekan di seluruh negara bagi menjelaskan isu-isu rakyat dan anak muda. Lebih 40 pemimpin anak muda Pemuda PAS telah bersedia untuk turun padang bermula pertengahan Ogos nanti.

Nantikan kehadiran kami. Selamat membina Malaysia yang lebih baik.

Terima Kasih.

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Isnin, 20 Julai 2015

SEMINGGU CATATAN DHUHA OLEH YB. USTAZ IDRIS AHMAD, NAIB PRESIDEN PAS

CATATAN DHUHA SEMINGGU BERSAMA USTAZ IDRIS AHMAD


Catatan Dhuha
Ahli Pas hendaklah memahami dasar yang jelas dan tegas pada perkara prinsip. Soal dosa dan pahala, syurga dan neraka merupakan satu motivasi untuk kita bekerja dan bersama dengan jamaah. Penglibatan kita bukan kerana tujuan duniawi atau kerana individu yang tertentu. Apabila dasar tidak faham maka ia akan goyang dalam sebarang tindakan dan larut dengan suasana. Ust Idris Hj Ahmad 26 Ramadhan 1436. 13 Julai 2015 Isnin.

Catatan Dhuha
Saya memohon mereka yang membaca catatan dhuha saya, agar berdoa kepada Allah supaya Allah memberi kekuatan kepada saya untuk beramal apa yang saya tulis. Saya takut, saya tidak beramal dengan apa yang saya tulis. Memang tulis dan cakap amat mudah. Tetapi apabila diuji, baru kita tahu diri kita sebenarnya. Ust Idris Hj Ahmad 27 Ramadhan 1436. 14 Julai 2015 Selasa.

Catatan Dhuha
Inilah lafaz Bai'ah setiap calon Pas sebelum bertanding di dalam pilihanraya. "Wallahi, Wabillahi, Watallahi, bahawa saya (nama calon) yang diamanahkan oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) untuk bertanding bagi (nama pilihanraya dan kerusi) bersumpah dengan nama Allah, sama ada saya menang atau kalah dalam pilihanraya ini, saya tidak akan mengkhianati parti dan perjuangan parti ini. Jika saya mengkhianati parti dan perjuangan parti ini, maka saya akan dilaknati Allah, para Malaikat dan sekalian para pelaknat". Pengalaman saya memang menggerunkan apabila lafaz ini dibaca. Ya Allah engkau peliharalah hati aku. Ust Idris Hj Ahmad 28 Ramadhan 1436. 15 Julai 2015 Rabu.

Catatan Dhuha
Ya Allah pantasnya masa bergerak. Hari ini sudah 29 Ramadhan. Tanda dunia sudah hendak qiamat. Bagaimana puasa kita, tilawah dan Tadarus al-Quran kita, sedekah kita, Qiam kita. Jikalau Ok alhamdulillah. Jika tidak Ok, segera mohon keampunan kepada Allah dan berdoa agar sempat bertemu lagi pada tahun hadapan. Ust Idris Hj Ahmad 29 Ramadhan 1436. 16 Julai 2015 Khamis.

Orang yang tuduh TG Presiden hendak masuk Umno dan Pas hendak bergabung dengan Umno, cuba tengok adik beradik, Ibu bapa, mertua, menantu, ipar, rakan niaga tak ada Umno ka. Sudah berdakwah ka. Apa usaha yang telah dibuat. Kalau keluarga terdekat pun tidak pernah diajak, jangan pula tuduh orang lain teringin dengan Umno. Nanti orang kata keluarga awak pun ramai Umno, apa yang telah awak usahakan. Nabi SAW berusaha dakwah keluarga yang terdekat dahulu. Cerminkan diri dahulu sebelum tuduh orang lain. Jangan kuman seberang laut nampak, gajah terbeliak depan mata tidak nampak. Setakat yang saya tahu TG Presiden dan anak menantunya dan keluarga terdekat tak adalah dari kalangan Umno. Renungan akhir Ramadan. Ust Hj. Idris Ahmad. 29 Ramadhan 1436/ 16 Julai 2015

Catatan Dhuha
Semoga Ramadhan telah mendidik kita menjadi hamba yang soleh dan taat kepada Allah di dalam apa keadaan sekali pun. Bekalan yang menjadi pemangkin untuk terus istiqamah sehingga kemenangan samaada di dunia atau kemenangan dijauhkan daripada api neraka Allah SWT. Ust Idris Hj Ahmad 2 Syawal 1436. 18 Julai 2015 Sabtu

Catatan Dhuha
Oleh itu Islam hendaklah diletakkan lebih utama daripada nyawa, akal, keturunan dan harta. Walaupun perkara ini penting , namun Islam lebih penting daripada segala-galanya. Tidak ada makna tanpa Islam, kerana segala kepentingan yang dipelihara tanpa Islam tidak pernah membawa kebaikan kepada manusia. Ust Idris Hj Ahmad 3 Syawal 1436. 19. Julai 2015 Ahad.

Isnin, 13 Julai 2015

IHYA RAMADHAN : DPPK DAN AMAL BAGAN DATOH TERUS HULUR SUMBANGAN TENAGA

DPPK DAN AMAL BAGAN DATOH TERUS LAKUKAN KERJA AMAL SEMPENA RAMADHAN AL-MUBARAK

Dewan Pemuda PAS Kawasan ( DPPK ) Bagan Datoh dan Jabatan Amal ( AMAL ) Bagan Datoh Terus Sumbang Tenaga Hulur Sumbangan Bubur Lambok di Pekan Bagan Datoh.

 
BAGAN DATOH : Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh terus membantu PAS Kawasan Bagan Datoh dalam program baharu-baharu ini iaitu edaran bubur lambok di sekitar kawasan pekan Bagan Datoh. Kira-kira tenaga seramai 10 orang telah turun bersama YDP PAS Kawasan Bagan Datoh dalam menyampaikan sumbangan tersebut kepada para pengunjung pasar malam di sini.

Ketuanya, Ustaz Amir Hamzah Ibrahim menyatakan bahawa sebagai sayap kanan perjuangan pasti dan jemaah pastinya pihak pemuda sentiasa bersedia untuk membantu.

Dalam program tersebut, kira-kira 200 bungkus bubur lambok dapat diedarkan yang bermula jam 6 petang dan berakhir jam 7 malam. Sambutan yang baik daripada pengunjung membuktikan bahawa PAS masih relevan untuk diterima rakyat dan masyarakat.

Selain mengedarkan bubur lambok, pihak YDP dan Ketua Pemuda PAS Kawasan mengambil peluang dan ruang tersebut untuk beramah mesra bersama pengunjung dan peniaga.









 

MENJELANG SYAWAL, PASTI BAGAN DATOH HULUR " DUIT RAYA " KEPADA GURU PASTI

PASTI KAWASAN BAGAN DATOH BAGI DUIT RAYA KEPADA GURU PASTI

Sempena Hampirnya Menjelang Hari Raya Aidilfitri, Jabatan Pendidikan PASTI Kawasan Bagan Datoh Hulur Sumbangan Duit Raya Kepada Guru PASTI.

BAGAN DATOH, SELEKOH : Jabatan Pendidikan PASTI Kawasan Bagan Datoh ( PASTI ) telah menyampaikan sumbangan duit raya khas buat guru-guru PASTI kawasan tersebut dalam sebuah majlis ringkas di sini.

 
Penyerahan tersebut telah disampaikan sendiri oleh Pengerusi PASTI Kawasan, Ustaz Hasnezam Hj. Hasani yang juga merupakan Timbalan Pengarah 4 Jabatan Pendidikan PASTI Negeri Perak.

Antara guru-guru yang menerima sumbangan tersebut adalah Pn. Hjh. Rahimah Samuri ( PASTI Al-Huda, Sg. Tiang Darat ), Pn. Paridah Sarpan ( PASTI Al-Amin, Sg. Tiang Baroh ), Pn. Rosilawati Mahyuddin ( PASTI Al-Kamaliyyah, Sg. Balai Darat ), Pn. Naemah Mokhlas ( PASTI Al-Ikhwan, Selekoh ) dan Pn. Siti Hajar ( PASTI Al-Hidayah, Sg. Batang ).

Para guru melahirkan rasa terima kasih dan syukur atas sumbangan tersebut walaupun tidak sebanyak mana namun sekurang-kurangnya ianya sebagai tanda penghargaan pihak PASTI Kawasan kepada guru-guru yang telah banyak menyumbang dan membantu operasi PASTI kawasan.



 

SEMINGGU BERSAMA CATATAN DHUHA USTAZ IDRIS AHMAD, NAIB PRESIDEN PAS

CATATAN DHUHA SEMINGGU BERSAMA YB. USTAZ IDRIS AHMAD

 
Catatan Dhuha
Apa yang dibicarakan di dalam Al Quran akan berulang kembali di sepanjang zaman. Cuma watak dan nama sahaja yang berbeza. Kita mesti berusaha untuk memastikan ciri-ciri orang yang beriman seperti apa yang dilakar di dalam Al Quran akan terpancar di dalam diri kita. Mesti minta Allah melindungi kita daripada ciri-ciri orang yang mengingkari perintah Allah SWT. Ust Idris Hj Ahmad 19 Ramadhan 1436. 6 Julai 2015 Isnin.

Catatan Dhuha
Manusia tidak boleh berlakon lama dan menyembunyikan apa yang tersirat di dalam hatinya. Lama kelamaan ia akan terserlah juga apabila sampai waktu dan ketika. Sebab itulah Saidina Umar pernah menyatakan, jika kamu hendak mengetahui hati budi seseorang kamu perlu musafir dengannya. Ust Idris Hj Ahmad 20 Ramadhan 1436. 7 Julai 2015 Selasa.

Catatan Dhuha
Kita mesti mempunyai sangka baik dengan Allah SWT yang akan membantu hambanya. Jangan kita gopoh hendak cepat melihat kemenangan. Kita tidak boleh memetik hasil dengan cepat. Jangan lari daripada fitrah perjuangan Islam. Ia memerlukan kesabaran dan semangat yang kental. Ust Idris Hj Ahmad 21 Ramadhan 1436. 8 Julai 2015 Rabu.

Catatan Dhuha
Apa lagi yang kita hendak cari di dalam hidup ini selain daripada nikmat ketenangan. Berapa ramai manusia yang memiliki gedung kekayaan tetapi tidak memperolehi ketenangan. Berapa ramai yang berada di puncak kuasa, namun tidak juga memperolehi ketenangan. Semoga Allah berikan ketenangan kepada kita. Ust Idris Hj Ahmad 22 Ramadhan 1436. 9 Julai 2015 Khamis.

Catatan Dhuha
Perjuangan Islam tidak semudah ABC. Ia tidak cukup dirangka di dalam bengkel strategik yang penuh dengan teori, tetapi belum tentu boleh dilaksanakan di medan lapangan. Ia memerlukan ketekunan dan mujahadah yang tinggi di kalangan pemimpin dan pendokong. Gangguan dalaman dan luaran merupakan sunnah perjuangan. Tetapi dengan keberkatan bersama jamaah ia dapat diatasi dengan baik. Inilah Pas. Ust Idris Hj Ahmad 23 Ramadhan 1436. 10 Julai 2015 Jumaat.

Catatan Dhuha
Sudah lama musuh Pas hendak memadamkan perjuangan Pas. Tiada siapa berhak untuk menentukan hala tuju Pas. Pas ada dasar yang tidak pernah longgar samaada ketika menang atau kalah. Strategi boleh berubah berdasarkan keperluan dan waqi' semasa, tetapi dasar tidak boleh bertolak ansur. Tidak mengapa hari ini orang tolak, mungkin akan datang orang terima. Lumrah perjuangan Islam. Ust Idris Hj Ahmad 24 Ramadhan 1436. 11 Julai 2015 Sabtu.

Catatan Dhuha
Di dalam perjuangan kita tidak boleh berbangga dengan apa yang dilakukan oleh bapa kita semata-mata. Kerana perjuangan bukan lahir di kilang cetak tetapi ia mesti melalui proses yang panjang. Kita mesti membina keupayaan yang Allah berikan untuk membina kekuatan sendiri untuk menjadi hebat seperti bapa dan orang yang terdahulu daripada kita. Ust Idris Hj Ahmad 25 Ramadhan 1436. 12 Julai 2015 Ahad.

Jumaat, 10 Julai 2015

IHYA RAMADHAN : DPPK DAN AMAL BAGAN DATOH EDAR BUBUR LAMBOK DI HUTAN MELINTANG



DPPK DAN JABATAN AMAL KAWASAN BAGAN DATOH EDAR BUBUR LAMBOK SEMPENA RAMADHAN AL-MUBARAK

Sempena Ramadhan Al-Mubarak, Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh dengan kerjasama Jabatan Amal Kawasan turun padang menyampaikan sumbangan bubur lambok di sekitar kawasan pecan Hutan Melintang


HUTAN MELINTANG, Simpang Empat : Sebagaimana kawasan-kawasan lain, pihak Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh ( DPPK BD ) dengan kerjasama Jabatan Amal Malaysia Kawasan Bagan Datoh ( AMAL ) turut tidak ketinggalan untuk melakukan kerja-kerja amal sempena bulan Ramadhan dengan mengedarkan bubur lambok di sekitar kawasan pekan Simpang Empat, Hutan Melintang.

Melalui Lajnah Dakwahnya, program tersebut berjaya dilaksanakan sebagai mendekati dan memasyarakatkan Pemuda PAS dan Jabatan Amal itu sendiri. Menurut Pengarah program, Mustaid Saifuddin berkata bahawa penganjuran program tersebut adalah bertujuan memberi peluang ahli Pemuda PAS Kawasan untuk berbakti dan beramal apatah lagi di bulan Ramadhan yang mulia dan diberkati Allah SWT.

Selain itu, menurutnya lagi dengan adanya program sebegini ianya telah menjadikan sebuah pasukan pemuda yang bergerak ke dalam masyarakat seterusnya memasyarakatkan PAS itu sendiri kepada masyarakat sekeliling.

Manakala Komandan Jabatan Amal Kawasan Bagan Datoh, Norol Amin Ithnan menyatakan rasa kesyukuran atas kejayaan program tersebut. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh ahli Amal Kawasan yang telah turut bersama –sama memasak dan mngedarkan bubur lambok pada kali ini.

Program tersebut adalah bermula pada sebelah pagi dengan aktiviti memasak bubur lambok secara beramai-ramai di Markaz Tarbiyyah PAS Selekoh. Setelah itu, bubur tersebut telah dibungkus dan akhirnya diedarkan dilokasi terpilih selepas waktu asar.













Isnin, 6 Julai 2015

RAHMAT RAMADHAN : DPPK BAGAN DATOH AMBIL PELUANG IFTAR BERSAMA CAWANGAN SG. PERGAM.

RAMADHAN RAPATKAN UKHUWAH : DPPK BERBUKA PUASA BERSAMA PAS CAWANGAN SG. PERGAM

Mengambil Peluang Bulan Yang Mulia Untuk Rapatkan Ukhuwah Dengan Berbuka Puasa Bersama

BAGAN DATOH, Sg. Pergam : Pada 1 Julai bersamaan 14 Ramadhan yang lalu, Dewan Pemuda PAS Kawasan ( DPPK ) Bagan Datoh telah mengadakan ziarah dan berbuka puasa bersama wakil PAS Cawangan Sg. Pergam. 

Rombongan DPPK telah diketuai sendiri oleh Ketuanya, Ustaz Amir Hamzah Ibrahim. Turut bersama wakil DPPK ialah Timbalan Ketua, Ustaz Mohammad Khairi Abdullah, Setiausaha Ustaz Mustaid Saifuddin, dan Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan, Kemasyarakatan & Perpaduan, Sdr. Mohd Zulfa Abdul Malek.

Majlis dimulai dengan sesi taaruf dan tazkirah Ramadhan oleh Ustaz Mohamad Khairi Abdullah yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Tarbiyyah & Pengkaderan DPPK.

Seterusnya adalah majlis bacaan doa selamat dan kesyukuran. Seusai itu majlis berbuka puasa, solat jemaah fardhu Maghrib didirikan di surau Parit 7, Sg. Pergam.







SEMINGGU CATATAN DHUHA USTAZ IDRIS, MP BUKIT GANTANG.

SEMINGGU BERSAMA CATATAN DHUHA USTAZ IDRIS AHMAD.
Naib Presiden PAS.
Ahli Parlimen Bukit Gantang.

 
Catatan Dhuha
Jika di bulan Ramadhan pun perangai buruk tidak berubah maka kita perlu muhasabah apakah matlamat puasa kita tercapai atau tidak. Mungkin kita sukar untuk menjadi manusia terbaik sepanjang tahun, sekurang-kurangnya Ramadhan boleh diminimumkan akhlak buruk sebagai permulaan yang baik. Ust Idris Hj Ahmad 12 Ramadhan 1436. 29 Jun 2015 Isnin.

Catatan Dhuha
Kita berpuasa kerana kita beriman ia merupakan perintah Allah SWT walau pun sepintas lalu ia merupakan amalan yang memenatkan dan menyiksa tubuh badan. Begitulah juga dengan perjuangan Islam, dianggap kerja yang membazir masa, tenaga dan meletakkan diri ke kancah kerosakan jika kita tidak pandang dengan Iman kepada Allah SWT.Ust Idris Hj Ahmad 13 Ramadhan 1436. 30 Jun 2015 Selasa.

Catatan Dhuha
Apabila hati kotor apa sahaja orang buat semua tidak betul. Yang baik nampak buruk, yang buruk nampak baik. Patutlah pembersihan hati merupakan agenda penting di dalam tarbiah. Tanda hati seorang kotor apabila kesalahan orang lain kita nampak, kelemahan diri kita tidak nampak. Semoga Ramadhan menjadikan permulaan yang baik untuk kita melakukan perubahan. Ust Idris Hj Ahmad 14 Ramadhan 1436. 1 Julai 2015 Rabu.

Catatan Dhuha
Jangan biarkan hati kita keras akibat dosa yang kita lakukan. Dosa ibarat bom yang boleh meruntuh dinding ketaatan kepada Allah dan diganti dengan nafsu jahat sehingga tertutup pintu kebenaran. Kita boleh meneliti diri kita, jika kita berat hendak membuat ma'ruf dan suka kepada maksiat, maka kita perhatikan apakah dosa kita dengan Allah SWT. Ust Idris Hj Ahmad 15 Ramadhan 1436. 2 Julai 2015 Khamis

Catatan Dhuha
Ya Allah masa bergerak begitu pantas, sudah separuh Ramadhan kita menunaikan puasa. Terasa sekejap sahaja masa berjalan. Inilah tanda akhir zaman kerana dunia sudah hendak kiamat. Apakah kita sudah bersiap untuk menghadapi hari yang dahsyat, manusia yang bertempiaran sesama sendiri. Hanya bekal amal yang akan menyelamatkan kita bersama. InsyaAllah sama-sama kita gandakan amal kita dan pacukan perjuangan kita agar ia menjadi penyelamat. Ust Idris Hj Ahmad 16 Ramadhan 1436. 3 Julai 2015 Jumaat.

Catatan Dhuha
Al-Quran bukan sahaja untuk dibaca, tetapi untuk dijadikan panduan di dalam hidup. Malu kita, sebagai pejuang Islam, tetapi tidak membaca dan menghayati arahan Al-Quran. Arahan al-Quran sentiasa relevan dalam semua keadaan. Kita yang kena sesuai dengan Al Quran, bukan al-Quran dipaksa sesuai dengan kehendak kita.Ust Idris Hj Ahmad 17 Ramadhan 1436. 4 Julai 2015 Sabtu.

Catatan Dhuha
Manusia akan hidup di dalam keadaan meraba-raba apabila berpaling daripada Al-Quran. Hidup serba tidak kena, cakap ikut nafsu, kadang-kadang akal mendahului wahyu. Kita tidak resah di dalam hidup jika sering berdamping dengan Al-Quran kerana ia menjadi penawar yang mujarab. Semoga ruh Al-Quran menerangi kita di dalam hidup untuk terus berjuang. Ust Idris Hj Ahmad 18 Ramadhan 1436. 5 Julai 2015 Ahad.

jambori amal kuala kangsar 2008