pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Isnin, 31 Ogos 2015

PERUTUSAN KEMERDEKAAN KALI KE 58 OLEH PRESIDEN PAS



PERUTUSAN KEMERDEKAAN KALI KE-58 
PRESIDEN PAS
15 Zulkaedah 1436H / 30 Ogos 2015M

Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat kemerdekaan negara kita yang kita kecapi sejak 58 tahun yang lalu. Marilah kita semua hayati dan penuhi kemerdekaan ini dengan pengertian kemerdekaan sebenar menurut kaca mata islam yang bukanlah hanya kemenangan membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah semata-mata.

Erti Sebenar Kemerdekaan Islam
Kemenangan perjuangan Islam yang dipimpin Baginda Nabi dikenali sebagai "Al-Fath" iaitu pembukaan. Pembukaan pembebasan Kota Mekah dari kegelapan jahiliyah menggambarkan satu contoh sebuah kemerdekaan sebenar Islam. Sesuai dengan satu ungkapan yang cukup terkenal oleh seorang Pahlawan Islam iaitu Rubaei Bin Amir apabila ditanya kepada oleh Rustum, Panglima Perang Parsi. Jawab Rubaei :

“Sesungguhnya kami adalah kaum yang diutuskan oleh Allah untuk membebaskan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada menyembah yang Maha Pencipta. Daripada kesempitan dunia kepada keluasan Islam, daripada kekeliruan agama agama kepada keadilan Islam”.

Nilai Kemerdekaan Kita Hari ini
Malaysia merdeka setelah dijajah sejak awal kurun ke-16 selepas kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada 1511. Kemudian bersilih ganti dengan Belanda, British, Jepun dan British semula sehingga hampir sahaja ummat kita kehilangan identiti sebenar. Bermula di zaman British dan Belanda, Tanah Melayu dan Nusantara disusun untuk memenuhi kepentingan politik, ekonomi dan agama empayar mereka. Dengan penduduk asal di kalangan Melayu, penjajah mula membawa pekerja pekerja luar dari India dan China. Penduduk dari India dibawa untuk bekerja di estet-estet getah manakala orang-orang dari Tanah Besar Cina dibawa untuk sektor perlombongan.

Peninggalan penjajahan ini telah menjadikan demografi negara kita masyarakat majmuk yang kompleks. Di hujung era penjajahan, berlaku kebangkitan rakyat di seluruh dunia untuk keluar daripada cengkaman penjajah barat. Perjuangan kemerdekaan negara diisi oleh rantaian perjuangan yang panjang dipelopori oleh golongan ulamak seawal zaman penjajahan yang kemudiannya dikongsi bersama oleh semua kaum di Tanah Melayu. PAS sangat menghargai pengorbanan pejuang pejuang kemerdekaan negara, justeru kita sebagai golongan pewaris perlu mengisi kemerdekaan ini sebaik mungkin supaya pengorbanan mereka tidak disiakan.

DATO' SERI TUAN GURU HJ. ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS.

Ahad, 16 Ogos 2015

DPPM : 100 WACANA MERDEKA SEMPENA HARI KEMERDEKAAN NEGARA

Kenyataan Media
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia


100 WACANA MERDEKA SEMPENA SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN 2015

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke 58 pada tahun ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengadakan jelajah ke seluruh negara melalui program yang dinamakan sebagai 100 Wacana Merdeka bermula 15 Ogos 2015 sehingga akhir bulan September 2015. Ia merupakan program yang bersifat serampang dua mata di mata akan menjelaskan intipati kemerdekaan menurut aspirasi perjuangan PAS khususnya di dalam mendepani cabaran dalam politik negara pada hari ini.

Program ini diadakan berikutan suasana kemelut politik yang melanda negara yang sedang bergelumang dengan pelbagai isu yang melibatkan survival rakyat. Daripada isu 1MDB, kejatuhan nilai mata wang, cukai GST, serta dakwaan keterlibatan pimpinan negara dengan skandal penyaluran dana politik ke akaun peribadi, semuanya meletakkan rakyat berada di dalam situasi kalut ribut apatah lagi jika ia menjejaskan kehidupan sehari-hari. Justeru, dalam menyambut Hari Kemerdekaan yang sentiasa dijadikan sebagai peluang untuk memupuk rasa cinta rakyat kepada negara, Dewan Pemuda PAS Malaysia tampil ke hadapan untuk turut menjelaskan kepada rakyat berhubung isu semasa ini supaya rakyat menyedari rasa sayang mereka kepada negara harus diterjemahkan kepada langkah menyelamatkan negara ini dari terus hancur terjerumus ke dalam skandal yang berpanjangan.

Wacana yang akan menampilkan pimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia ini akan turun ke 100 kawasan di seluruh negara melalui jadual yang sedang disusun juga bermatlamatkan untuk memberikan penjelasan kepada para ahli dan penyokong berhubung situasi yang sedang melanda PAS pada hari ini. Situasi pasca Muktamar 2015 yang mencetuskan usaha untuk menubuhkan satu gerakan baru dijangka menjadi persoalan penting yang berlegar di kalangan ahli turut perlu mendapat respon dan penjelasan dari pihak pimpinan. Dewan Pemuda PAS Malaysia yang sudah tentu akan terus beristiqomah bersama-sama kepimpinan parti yang telah dipilih oleh perwakilan akan turun menjawab segala persoalan yang dibangkitkan oleh ahli dan penyokong supaya sokongan yang diberikan kepada PAS akan terus kekal bahkan dapat ditingkatkan di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

100 Wacana Merdeka ini bukan sahaja bersifat ceramah komunikasi satu hala semata-mata tetapi lebih penting ia akan bersifat dialog dan soal jawab secara terbuka. Dewan Pemuda PAS Malaysia mengharapkan segala persoalan yang timbul serta keraguan yang berlegar akan dapat diselesaikan melalui ruang soal jawab yang akan dibuka sepanjang wacana ini berlangsung.

Sekian.


NIK MOHD ABDUH BIN NIK ABDUL AZIZ,
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.


Bertarikh : 1 Zulkaedah 1436H bersamaan 16 Ogos 2015M

CATATAN DHUHA : SEMINGGU BERSAMA USTAZ IDRIS AHMAD.

CATATAN DHUHA SEMINGGU BERSAMA YB. USTAZ IDRIS AHMAD, AHLI PARLIMEN BUKIT GANTANG 
( 25 Syawal 1436 - 1 Zulkaedah 1436 )

Catatan Dhuha
Saya cukup gembira apabila menziarahi jenazah pimpinan atau ahli Pas yang meninggal dunia kerana beristiqamah di dalam perjuangan hingga akhir hayat. Mereka telah membuktikan kata-kata dengan amalan. Terlintas di hati saya, apakah saya juga mampu untuk beristiqamah sehingga akhir hayat saya. Ya Allah kepadaMu aku memohon kekuatan.Ust Idris Hj Ahmad 25 Syawal 1436. 10 Ogos 2015 Isnin.

Catatan Dhuha
Berdoalah kepada Allah tanpa jemu-jemu agar Allah meneguhkan hati yang berbolak balik di atas AgamaNya dan perjuanganya. Doa merupakan jalan yang terbaik untuk Allah memberi kita istiqamah di dalam perjuangan. Jangan pandang ringan elemen doa di dalam kehidupan kita. Seperti Sabda Rasulullah SAW "Doa merupakan senjata mu'min". Ust Idris Hj Ahmad 26 Syawal 1436. 11 Ogos 2015 Selasa.

Catatan Dhuha
Patutlah Imam Hasan Al Banna meletakkan faham sebagai rukun yang pertama dalam rukun Baiah. Beliau tidak meletakkan ikhlas terlebih dahulu daripada faham. Apabila kita melihat di dalam perjalanan jamaah, apabila ahlinya tidak faham ia akan mendatangkan masalah. Ia hanya faham bahawa Pas ini hanya parti politik semata-mata, bukan juga sebagai gerakan Islam. Ust Idris Hj Ahmad 27 Syawal 1436. 12 Ogos 2015 Rabu.

Catatan Dhuha
Fahamlah betul-betul mengenai perjuangan Pas dari segi matlamat, uslub, dan pendekatannya. Jika kita tidak memahami betul-betul ia akan membawa kesan yang mendalam kepada perjalanan jamaah. Mungkin kita mudah kecewa kerana apa yang kita harapkan tidak membuahkan hasilnya. Tetapi jika hadam dan faham, InsyaAllah kita terus istiqamah. Ust Idris Hj Ahmad 28 Syawal 1436. 13 Ogos 2015 Khamis

Catatan Dhuha
Berprinsip bukan bererti kita melampau dalam tindakan sehingga sukar untuk menerima pandangan dan tidak ada ruang untuk berbincang. Anjal bukan bermakna orang lain boleh cucuk hidung untuk ikut kehendak orang lain. Mungkin untungnya ada, tetapi akan mengalami kerugian untuk jangka panjang jika kita tidak berprinsip. Ust Idris Hj Ahmad 29 Syawal 1436. 2015 Jumaat.

Catatan Dhuha
Mulianya orang yang hidup berprinsip, hinanya hidup orang yang tidak berprinsip. Pas dihormati oleh kawan atau lawan kerana prinsip yang tidak pernah luntur daripada perjuangan samaada ketika menang atau kalah. Sebagai sebuah parti politik dan gerakan dakwah sentiasa bergerak seiring dengan perkembangan semasa. Ust Idris Hj Ahmad 30 Syawal 1436. 15 Ogos 2015 Sabtu

Catatan Dhuha
Memang sukar untuk hidup berprinsip, tetapi itulah kemanisan dalam berjuang. Semua Rasul-Rasul mengalami fenomena ini. Apa yang penting akhlak perlu dipelihara, supaya kita tidak ditempelak, berprinsip tetapi tidak berakhlak. Sabda Rasulullah SAW bermaksud "Siapa yang mencari Redha Allah, manusia akan marah,sedangkan Allah Ridha. Akhirnya manusia juga akan redha. Siapa yang mencari Redha manusia, Allah akan murka dan akhirnya manusia juga akan marah". Ust Idris Hj Ahmad 1 Zulqaedah 1436. 16 Ogos 2015 Ahad.

Rabu, 12 Ogos 2015

MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI PASTI DAN PAS KAWASAN BAGAN DATOH MERIAH.

MAJLIS SAMBUTAN & JAMUAN AIDIL FITRI 1436 H PAS KAWASAN BAGAN DATOH MERIAH

Majlis Berlangsung Dengan Kerjasama PASTI Kawasan, Turut Dihadiri Pelbagai Kaum

BAGAN DATOH : Suasana yang meriah dan penuh kemesraan dapat disaksikan di Majlis Sambutan & Jamuan Aidilfitri peringkat PAS Kawasan Bagan Datoh. Majlis telah berlangsung pada 3 Ogos 2015 dan bertempat di Dewan Kompleks Pelancongan Bagan Datoh.

Kira-kira lebih 300 orang tetamu telah hadir memeriahkan lagi majlis kali ini. Majlis penganjuran ini adalah secara bersama pihak PASTI Kawasan Bagan Datoh dan PAS Kawasan Bagan Datoh. Pada kali ini turut ada kelainan apabila majlis berjaya di adakan di tempat awam yang telah berjaya menarik perhatian masyarakat sekitar.











Antara pengisian majlis dan program ialah pertandingan mewarna dan menulis tercantik bagi murid-murid PASTI, tazkirah Syawal, persembahan anak-anak PASTI, Ucapan alu-aluan oleh Yang Dipertua PAS dan Ketua DPPK Bagan Datoh.

 

Selasa, 11 Ogos 2015

CATATAN DHUHA SEMINGGU OLEH USTAZ IDRIS AHMAD, MP BUKIT GANTANG.

CATATAN DHUHA SEMINGGU OLEH YB. USTAZ IDRIS AHMAD
( 18 Syawal -24 Syawal 1436/ 3 Ogos -9 Ogos 2015 )

 
Catatan Dhuha
Sombong salah satu sifat mazmumah, ia boleh terkena kepada sesiapa pun. Kerana ia adalah hasutan syaitan yang akan menular ke batang tubuh manusia yang leka dan lalai sebagai hamba Allah. Penyakit ini meninggalkan kesan yang paling merbahaya kepada individu dan jamaah supaya amal Islami kita rosak. Sama-samalah kita menghindar diri kita daripada bersifat demikian. Ust Idris Hj Ahmad 18 Syawal 1436. 3 Ogos 2015 Isnin.

Catatan Dhuha
Orang sombong tidak boleh pergi jauh dalam apa-apa kedudukan. Samaada di dalam jamaah atau masyarakat. Tidak ada manusia yang waras boleh menerima seorang yang sombong dan angkuh. Sikap ini meliarkan manusia untuk menghampirinya. Ust Idris Hj Ahmad 19 Syawal 1436. 4 Ogos 2015 Selasa.

Catatan Dhuha
Bagus, saudara merupakan orang yang aktif di dalam media siber. Walau bagaimana pun sebagai orang yang percaya kepada Allah dan Hari kiamat jangan lupa kepada balasan Allah yang sedang menanti jika apa yang ditulis itu tipu atau fitnah. Bahang neraka panas. Kita bukan sahaja tidak mahu masuk kedalamnya, malahan hampiri pun kita tidak mahu. Ust Idris Hj Ahmad 20 Syawal 1436. 5 Ogos 2015 Rabu.

Catatan Dhuha
Orang yang beriman merasakan dirinya kuat walaupun ditangannya tidak ada senjata. Dia menjadi orang yang bercukupan dan kaya walaupun tidak ada timbunan harta, dia menjadi mulia walaupun dibelakangnya tidak ada keluarga dan pengikut yang banyak. Dia berdiri teguh walaupun bahtera kehidupan telah bergoncang dan dikepung ombak dari segala penjuru. Ust Idris Hj Ahmad 21 Syawal 1436. 6 Ogos 2015 Khamis.

Catatan Dhuha
Salah satu cara untuk kita istiqamah mestilah dengan ilmu. Ilmu yang dibaca dengan nama Allah boleh membezakan antara hak dan batil. Ia akan mendekatkan diri kepada Allah dan akan membimbing kita ke jalan Allah. Semakin tawaduk bukan semakin angkuh dengan Allah dan makhluk. Ia akan memberi kita faham erti agama dan perjuangan. InsyaAllah buahnya ialah istiqamah . Ust Idris Hj Ahmad 22 Syawal 1436. 7 Ogos 2015 Jumaat

Catatan Dhuha
Pemimpin yang khianat kepada rakyat paling takut berada di dalam sistem yang adil. Jiwa mereka tidak tenang kerana sentiasa diburu ketakutan. Perasaan malu sudah tiada, apa yang penting nafsu serakah tercapai. Langkah mereka tempang, ucapan penuh dengan dusta. Perlakuan mereka tidak waras sehingga boleh menggugat keselamatan rakyat. . Ust Idris Hj Ahmad 23 Syawal 1436. 8 Ogos 2015 Sabtu.

Catatan Dhuha
Sifat adil adalah sifat yang unggul dan terpuji kerana ia sukar untuk dibentuk dan dibina di dalam diri manusia, terutama kepada orang lain. Ia menjadi cabaran besar di dalam kehidupan manusia. Menjadi lumrah kepada Kita sukar untuk memberi keadilan kepada orang yang kita benci. Apa sahaja yang dia lakukan kita akan menafikan kebaikannya. Ust Idris Hj Ahmad 24 Syawal 1436. 9 Ogos 2015 Ahad.

Ahad, 2 Ogos 2015

KETUA PENERANGAN DPP MALAYSIA : 6 ISU WAJIB DIFAHAMI DENGAN BETUL

ENAM ISU WAJIB DIFAHAMI DENGAN BETUL

oleh : Ahmad Fadhli bin Shaari


Saya terpanggil untuk menulis beberapa isu yang menjadi persoalan di kalangan ahli dan penyokong PAS khususnya apabila berdepan dengan beberapa dakwaan yang dilihat sengaja menyembunyikan fakta yang sebenar. Barangkali tulisan ini kurang lengkap atau mengandungi fakta yang kurang tepat, para pembaca boleh membuat penilaian dan pembetulan jika perlu. Apa yang pasti, tulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian dan pengalaan saya sendiri di dalam parti dan kerajaan. Walaupun tidak sebagai seorang yang penting, namun ia cukup untuk mengajar saya berfikir dan meneliti fakta-fakta secara adil sebelum bertindak menyatakan sokongan atau bantahan.

1. KEMENANGAN DAN KEREDHAAN ALLAH

1.1: Selaku seorang mukmin yang betul aqidahnya akan mengerti dan memahami bahawa matlamat hidup adalah untuk memperolehi keredhaan Allah. Bagi orang yang ditarbiyyah dan dididik dalam sesuatu jamaah atau gerakan Islam tentunya tidak akan mempertikaikan bahawa matlamat asas perjuangannya adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah.

1.2: Parti Islam SeMalaysia (PAS) sebagai sebuah jemaah Islam dan parti politik telah meletakkan dasarnya yang selari dengan matlamat memperolehi keredhaan Allah, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan PAS Fasal 5; Tujuan PAS ialah; “Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.”

1.3: Jika diamati dan difahami apa yang terkandung dalam fasal 5 tersebut, bagi mancapai matlamat tertegaknya hukum Islam di negeri dan negara tentunya melalui kuasa pemerintahan. Realiti di negara kita Malaysia, kuasa pemerintahan ditegakkan melalui sistem demokrasi secara pilihanraya. Oleh itu PAS terpaksa memilih saluran ini. Dari aspek hukum dan keharusan perjuangan melalui parti politik, menyertai pilihanraya dan pengundian sudah pun dibahas dan diselesaikan oleh para ulamak muktabar muta’akhhirin , dan tidak menjadi persoalan besar untuk dipolimikkan.

1.4: Dalam perjuangan untuk mencapai kemenangan, tentunya PAS selaku parti Islam terikat dengan hukum dan syariat. Kemenangan dan kejayaan adalah matlamat PAS, namun matlamat yang lebih utama ialah keredhaan Allah. Kemenangan dan kejayaan hendaklah datang seiringan dengan keredhaan Allah. Ini bermakna, sesuatu kejayaan yang dicapai tanpa keredhaan Allah tidak akan membawa makna dalam perjuangan PAS dan ia bercanggah dengan perlembagaan PAS. Jika diberi pilihan antara kejayaan yang segera tetapi tidak mendapat keredhaan Allah, dengan kejayaan yang tertangguh, namun mendapat keredhaan Allah, tentunya PAS memilih jalan yang kedua. Inlah wajah sebenar sebuah parti Islam.

1.5: Pandangan inilah yang tidak difahami dan mahu dimengerti oleh pemikiran sekular. Bagi mereka, kemenangan adalah segala-galanya tanpa mengisi dalam kamus perjuangan dengan istilah-istilah seperti “redha Allah”, “barakah”, “pertolongan Allah” dan seumpamanya. Sebab itulah mutakhir ini kedengaran cemuhan dan sindiran terhadap PAS seperti “PAS bukannya nak menang pilihanraya, dia nak keredhaan Allah sahaja”.

1.6: Bagi menjamin setiap tindakan berlaku di atas landasan syariat dan hukum, PAS mewujudkan “Majlis Syura Ulamak”. Kuasa dan peranan majlis ini ialah sebagaimana di dalam Fasal 7 (3) (b) Perlembagaan PAS;
“ Mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan itu dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan dalam PAS dan mengawasi serta memelihara supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak dalam perlembagaan ini dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS”.

2. TAHALUF SIYASI

2.1: Perjuangan untuk mencapai kemenangan melalui sistem pilihanraya hendaklah dilihat secara waqi’ oleh PAS khususnya negara ini yang mengandungi rakyat berbilang bangsa dan agama. Satu jalinan kerjasama perlu diwujudkan dengan parti-parti lain, termasuk parti bukan Islam. Namun prinsip dan hukum syariat tidak boleh ditolak ansur. Kerjasama boleh berlaku, tetapi mesti melalui kaedah-kaedah yang dibenarkan dan pernah diterokai dalam perjuangan Islam terdahulu. Dari sinilah terbitnya istilah Tahaluf Siyasi.

2.2: Menurut rekod, Majlis Syura Ulamak telah diberikan peranan dalam pembentukan Tahaluf Siyasi ini. Setelah merujuk kepada kaedah-kaedah dalam Usul al-Fiqh dan Qawa`id Fiqhiyyah, terbentuklah Tahaluf Siyasi dengan menggariskan 6 prinsip atau syarat yang perlu dipatuhi oleh pihak lain yang ingin menjalinkan kerjasama dengan PAS. Ini bermakna, selagi 6 prinsip ini tidak dicerobohi dan masih berlaku dalam ruang yang dimaafkan, Tahaluf siyasi boleh diteruskan. Maka berjalanlah persefahaman dan kerjasama PAS dengan parti-parti politik yang lain khususnya PKR dan DAP dalam satu ikatan yang dipanggil Pakatan Rakyat. 6 prinsip dalam Tahaluf Siyasi tersebut sentiasa menjadi panduan dan semakan dari masa ke masa oleh Majlis Syura Ulamak. Jika pencerohohan yang ketara dilakukan oleh rakan kerjasama terhadap PAS, sehingga tidak diharuskan oleh pandangan syarak, maka Tahaluf Siyasi akan terbatal.

2.3: Ikatan persefahaman melalui Tahaluf Siyasi ini membawa matlamat yang sama antara parti-parti pembangkang, iaitu menumbangkan parti pemerintah negara. Merombak ikatan ini tentunya mendatangkan kerugian dan merugikan PAS sendiri, namun kompromi dan tolak ansur dalam Islam ada batas hukum dan sempadan syariat. Memperolehi kemenangan, tetapi dalam masa yang sama mengundang kemurkaan Allah, tidak memberi makna bagi PAS. Inilah yang tidak difahami oleh pemikiran sekular serta golongan yang terlalu ghairah mengejar kemenangan.

Penulis sendiri secara peribadi telah diminta oleh Almarhum Ustaz Wan Jamil Wan Mahmood pada tahun 2008 untuk menulis kertas kerja bertajuk Tahaluf Siyasi ini selepas pilihanraya umum pada tahun tersebut sebagai satu bahan untuk kursus Tamrin Sahifah Madinah bagi seluruh jentera parti di negeri Kelantan.

3. BERSETUJU UNTUK TIDAK BERSETUJU

3.1: Setiap parti dalam Pakatan Rakyat mempunyai dasar, matlamat dan falsafah perjuangan masing-masing. Namun di sana ada satu tujuan yang serupa iaitu menegakkan keadilan serta menentang pelbagai penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh parti pemerintah dengan cara menumbangkannya dalam pilihanraya. Penyelarasan usaha dan kerja antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat boleh diselaraskan demi mencapai tujuan tersebut. Dalam masa yang sama parti-parti boleh menjalankan tindakan dan pelaksanaan ke arah mencapai matlamat dan misi masing-masing, yang mungkin tidak berlaku kesepakatan dan persetujuan antara satu sama lain. Bagi menyelesaikan masalah ini, sebelum PRU13, parti-parti dalam Pakatan Rakyat telah menandatangani satu dokumen setebal 20 halaman, bersetuju untuk setiap parti menegakkan visi dan misi masing-masing. Di sinilah terbitnya istilah “agree to disagree” (bersetuju untuk tidak bersetuju). Sesebuah parti dalam komponen Pakatan Rakyat boleh tidak bersetuju dengan pelaksanaan yang akan dibuat oleh rakan komponennya, tetapi tidak boleh menghalang atau membuat apa-apa tindakan ke arah menggagalkannya.
3.2: Hasil dari persetujuan “agree to disagree” PAS telah bertindak ke atas perkara atau pelaksanaan parti lain dalam Pakatan Rakyat. Contohnya;

3.2.1: Pilihanraya Kerajaan Tempatan di Pulau Pinang
Kerajaan DAP Pulau Pinang telah berusaha untuk melaksanakan Pilihanraya Kerajaan Tempatan. PAS telah membantah hasrat DAP itu atas alasan ia boleh melebarkan lagi polarisasi kaum serta sosio ekonomi di antara masyarakat bandar dan luar bandar. Namun DAP terus bertekad sehingga memfailkan satu petisyen di Mahkamah Persekutuan untuk mencari remedi undang-undang bagi mengembalikan pilihanraya Kerajaan Tempatan.

PAS membantah usaha DAP tersebut, namun tidak menghalang untuk menggagalkannya kerana mematuhi prinsip agree to disagree.

3.2.2: Langkah Kajang
Kerajaan PKR Selangor mengadakan “Langkah Kajang” dengan cara mengosongkan satu kerusi DUN di Selangor dan bercadang untuk digantikan dengan Ketua Umum PKR. Perkiraan dari segi untung-rugi politik jika diadakan pilihanraya semula di Kajang, antara PKR dan PAS tidak sama. PAS mengira langkah tersebut memberi kesan negatif, sedangkan PKR berpandangan sebaliknya.

Namun, bila kerusi Kajang dikosongkan, Ketua Umum PKR dihalang oleh perundangan dari menjadi calon pilihanraya, menyebabkan tempat tersebut diganti oleh Presiden PKR. Walau bagaimana pun bantahan PAS hanya setakat “agree to disagree” di mana PAS turut bersama dalam usaha memenangkan calon PKR dalam pilihanraya kecil Kajang.

Dalam isu perlantikan Menteri Besar Selangor, apabila PAS diminta oleh pihak Istana mencadang nama calon Menteri Besar, PAS mengemukakan tiga nama, sesuai dengan titah Istana yang mahukan lebih daripada dua nama, tidak sebagaimana PKR yang hanya mengemukakan satu nama sahaja, iaitu Presiden PKR. PAS bertindak demikian adalah disebabkan dua perkara;

i. Istana telah menolak cadangan PKR yang mengemukakan nama Presidennya sebagai calon Menteri Besar. Adalah tidak bijak jika PAS turut membuat cadangan yang sama, yang kesudahannya akan ditolak.

ii. Presiden PKR ialah seorang wanita. Setakat ini PAS, melalui pandangan Majlis Syura Ulamak hanya membenarkan wanita menduduki jawatan di tahap ولاية خاصة (wilayah khassah) seperti menteri atau EXCO Kerajaan. Sementara jawatan Menteri Besar, Ketua Menteri dan Perdana Menteri, ia merupakan jawatan di tahap ( ولاية عامة ) dan bercanggah dengan keputusan Majlis Syura Ulamak.

Percanggahan PAS dengan PKR dalam isu ini masih berlaku dalam ruang “agree to disagree”.

4. ISU HUDUD

4.1: Kerajaan PAS Kelantan telah meluluskan Rang Kanun Jenayah Syariah II (hudud) pada tahun 1993, sebelum wujudnya Pakatan Rakyat. Namun undang-undang tersebut tidak dapat dilaksanakan atas halangan kuasa Parlimen yang mengatasinya.

4.2: Selepas PRU13, Kerajaan Kelantan telah membawa satu Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 yang mengandungi hukum hudud di persidangan Dewan Negeri Kelantan dan diluluskan pada 18 Mac 2015.

4.3: Usaha Kerajaan PAS Kelantan mengkanunkan enakmen tersebut adalah sebahagian dari usaha melaksanakan dasar parti iaitu mewujudkan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah, sebagaimana terkandung dalam Fasal 5 Perlembagaan PAS.

4.4: Usaha PAS ini mendapat bantahan dari PKR dan DAP, namun PAS menganggap bantahan tersebut adalah satu kebiasaan, berlaku dalam ruang “agree to disagree”. PKR dan DAP boleh tidak bersetuju, tetapi tidak boleh bertindak menghalang dan menentang sebagaimana sikap dan tindakan PAS terhadap isu Pilihanraya Kerajaan Tempatan di Pulau Pinang dan isu Langkah Kajang.

4.5: Namun DAP bertidak melebihi sempadan apabila melihat kepada kenyataan para pemimpinnya;
i. Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo; Kata Dua Untuk Pas: Pas bukan lagi sebahagian ahli komponen PR jika bertegas bentang rang undang-undang hudud di sidang Dun Kelantan 18 Mac ini. - Sinar Harian, 23 Feb 2015.

ii. Setiausaha organisasi DAP, Anthony Loke;
Sila Keluar Pakatan; Tindakan Pas Kelantan mahu laksana hudud dianggap cabuli muafakat PR. Sekiranya Pas bertegas untuk buat keputusan dan ambil tindakan yang tidak konsensus dalam Pakatan Rakyat, maka langkah yang paling terhormat dan sewajarnya untuk Pas ialah berundur dari Pakatan Rakyat. - Sinar Harian, 26 April 2014

iii. Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Datuk Teng Chang Khim; Pas boleh meninggalkan gabungan pembangkang kerana isu hudud tidak termasuk dalam kerangka PR. - FMT News , 15 Mei 2015

4.6: Apa yang dikesali ialah sikap umat Islam termasuk segelintir ahli PAS yang tidak merasa sensitif dengan tindakan DAP, sebaliknya meletakkan kesalahan ke atas bahu pemimpin PAS yang kononnya tidak menyantuni DAP dengan sewajarnya. Tuduhan yang mengatakan PAS tidak pernah menjelaskan hasrat pelaksanaan hudud kepada DAP adalah tidak berasas. Merujuk kepada akhbar Sinar Harian bertarikh 30 April 2014 : DAP berpuas hati: DAP berpuas hati dengan penjelasan Pas dan Kerajaan Kelantan mengenai cadangan untuk melaksanakan hudud di negeri itu. Bagaimana pun Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, hudud tetap isu berasingan dan bukan agenda PR. “Walau pun isu hudud isu persendirian Pas, kami akan cuba cari persefahaman dalam perkara ini.” ujarnya selepas menyertai Mesyuarat Setiausaha Agung PR di Pejabat Agung Pas, di sini semalam. (https://www.youtube.com/watch?v=tSPM-9NVVHE)

4.7: Sesetengah ilmuan atau ahli akademik juga keliru ketika menghurai pelaksanaan hudud di Kelantan. Mereka tidak dapat membezakan antara usaha mengkanunkan enakmen dengan pelaksanaan hukum. Pendapat yang menyatakan hudud tidak dapat dilaksanakan dalam keadaan masyarakat yang tidak kondusif boleh diterima, dalam ertikata hukuman, seperti hukuman potong tangan tidak dilaksanakan di zaman Khalifah `Umar al-Khatab akibat kemarau. Barangkali inilah makna kondusif, suasana kemarau yang menyulitkan umat Islam mencari makanan dianggap sebagai suasana yang tidak kondusif. Maka Khlaifah menangguhkan hukuman tersebut. Namun undang-undang hudud masih termaktub dan dikanunkan sebagai undang-undang negara. Cuma hukumannya tidak dapat disempurnakan. Inilah yang sebenarnya diperjuangkan oleh PAS di Kelantan. Kanun Jenayah Syariah perlu diangkat sebagai undang-undang, supaya ia mempunyai kuasa untuk menghukum. Namun semasa hukuman hendak dijalankan, suasana kondusif atau tidak diambil kira. Para ulamak dalam PAS bukanlah bebal tidak berilmu, untuk menghukum pesalah secara membuta tuli tanpa membuat perkiraan sebagaimana yang disebut oleh para ilmuan dan ahli akademik itu. Seolah-olah Dewan Ulamak PAS hanya mengerti Islam secara teori, jumud, konservatif, tidak memahami waqi’ umpama lebai kampung yang hanya tahu bertahlil dan bertalqin.

4.8: Memahami realiti dan mempertimbangkan suasana kondusif inilah, PAS telah mengambil inisiatif untuk kemukakan private bill di Parlimen bagi meminda Akta 355 yang diperuntukkan kepada mahkamah syariah. Ia merupakan usaha pendahuluan atau langkah mula bagi memperkenalkan hukuman Islam kepada masyarakat. Terkandung dalam Akta 355 ini ialah kuasa Mahkamah Syariah yang boleh menjatuhkan hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun, denda tidak melebih RM5,000 dan sebatan tidak melebihi 6 kali. Jika parlimen meluluskan pindaan tersebut, sekurang-kurangnya mahkamah syariah dapat melaksanakan hukuman yang melibatkan sebatan, iaitu bagi kes zina ghair muhsan, minum arak dan qazaf. Juga boleh dilaksanakan hukuman diat dan takzir. Hukuman berupa sebatan, penjara dan denda sudah pun terlaksana di bawah bidang kuasa mahkamah syariah buat masa ini, dan tidak asing kepada masyarakat. Cuma pindaan ini akan memberi kuasa untuk menambah bilangan sebatan, jumlah denda dan penjara supaya ia dapat disesuaikan dengan kehendak hukum syarak.

Hukuman potong tangan pencuri dan rejam yang dikira asing bagi masyarakat, buat masa ini ditangguhkan, dan tidak terkandung dalam pindaan Akta 355. hukuman tersebut mengkin menjadi kejutan dan dilihat berat di sisi masyarakat Islam. Sementara menunggu saat dan ketika yang kondusif, PAS mengemukakan hukuman-hukuman yang lebih ringan dan mudah diterima melalui pindaan Akta 355 terlebih dahulu. Melakukan sesuatu yang mudah dahulu, sementara menunggu penerimaan yang lebih berat adalah berasaskan kepada kaedah;
ما لا يدرك كله لا يترك جله
“Sesuatu yang tidak diperolehi semua, jangan tinggalkan semua.

Ini menunjukkan PAS memahami aspek kondusif. Pelaksanaan hukum hudud melalui pindaan ini dikira sebagai langkah awal bagi memperkenalkan hukuman Islam kepada masyarakat, agar mereka dapat menyaksikan keindahanya. Sebagai orang mukmin, tentunya beriman dengan istilah barakah, rahmat, pertolongan Allah dan seumpamanya, yang dijanji oleh Allah bilamana orang mukmin melaksanakan perintahNya. Langkah mula pelaksanaan beberapa hukuman melalui pindaan Akta 355 ini diyakini boleh menjadi pembuka pintu ke arah memperolehi نكالا من الله (cegahan dari Allah) yang dijanjikanNya, dalam suasana jenayah dan gejala sosial yang tidak terkawal mutakhir ini di negara kita. Inilah aqidah PAS yang tidak dimengerti oleh orang-orang bukan Islam, golongan sekular dan mereka yang terbuai lena dengan janji untuk mencapai kemenangan tanpa keredhaan Allah.

5. PAS DAN DAP

5.1: Sebagaimana yang disebut terdahulu, hubungan PAS dan DAP dibina melalui kaedah Tahaluf Siyasi. Majlis Syura Ulamak PAS telah menggariskan 6 prinsip sebagai kayu pengukur dan panduan dalam setiap gerak kerja dan tindakan, agar ia tidak terkeluar dari garisan hukum syarak.

5.2: Tahaluf Siyasi terus berjalan. Di sepanjang hubungan dan kerjasama antara parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat, wujud beberapa pergeseran antara PAS dan DAP. Namun Tahaluf Siyasi masih boleh diteruskan selagi 6 prinsip tersebut tidak dilanggari secara ketara dan masih boleh dimaafkan. PAS amat menghormati perjanjian bersama dalam Pakatan Rakyat untuk agree to disagree.

5.3: PAS sentiasa memerhati tindakan dan geraklaku rakan dalam PR khususnya DAP, dan merujuk kepada Majlis Syura Ulamak untuk menentukan sama ada Tahaluf Siyasi ini masih sah atau terbatal. Kini PAS telah membuat keputusan untuk membatalkan Tahaluf Siyasi dengan DAP, apabila usul ini dikemukakan oleh Dewan Ulamak Pusat dalam muktamar ke-61, untuk dikaji dan diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak.

5.4: Tindakan membatalkan Tahaluf Siyasi adalah berdasarkan kepada beberapa faktor;

5.4.1: Sikap dan tindakan DAP yang telah melampaui batas agree to disagree sebagaimana yang disebutkan terdahulu dalam para 4.5 di atas.

5.4.2: DAP telah menunjukkan tanda-tanda awal untuk menyisihkan PAS dalam Pakatan Rakyat dan terlebih dahulu memutuskan hubungan dengan PAS.

Contohnya;

a. DAP telah memutuskan hubungan dengan Presiden PAS
b. DAP Sarawak dan Sabah memutuskan hubungan dengan PAS negeri-negeri tersebut.
c. Ucapan-ucapan pemimpin tertinggi DAP yang difahami memberi isyarat agar Presiden PAS dan golongan ulamak disingkirkan. DAP gesa PAS singkirkan ulamak kalau nak ke Putrajaya (Tranungkite, 9 Mac 2015)
d. Tindakan DAP mencampuri urusan pemilihan pimpinan PAS dan hubungannya dengan PASMA.
e. Kebimbangan PAS terhadap sikap agresif DAP yang semakin ketara dan
merbahaya dalam mencabar dan menentang pelaksanaan Islam. Contohnya

i. Pemimpin DAP Perak, Ngeh Koo Ham; DAP mahu umat Islam hormati hak untuk murtad (The Malaysian Insider; 12 Julai 2014)
ii. Ahli Parlimen DAP, Oscar Ling, Sekolah agama turut menjadi punca pemisahan kaum (Watan-Online)
iii. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; DAP memberi amaran kepada kepimpinan PR supaya bertegas untuk tidak melaksanakan hudud di negara ini jika gabungan parti pembangkang itu merampas Putrajaya pada PRU14 nanti (Sinar Harian)
iv. Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke; GHB perlu rujuk DAP dulu jika mahu teruskan agenda hudud (AntaraPos; 15 Julai 2015)

6. TOK GURU NIK AZIZ DAN PIMPINAN PAS KINI

6.1: Pihak yang tidak bersetuju dengan pembatalan Tahaluf Siyasi antara PAS dan DAP termasuk dari kalangan ahli dan pemimpin PAS sendiri telah menyalahkan pimpinan kini yang diterajui oleh presiden. Tuduhannya ialah kerana pimpinan kini terutama Presiden PAS telah gagal menyantuni DAP secara bijaksana sebagaimana yang telah dilakukan oleh Al-Marhum Tok Guru Nik Aziz, menyebabkan ikatan dengan DAP terlerai dan menggagalkan misi PR ke Putrajaya. Jika Tok Guru masih hidup tentunya DAP masih bersama PAS.

6.2: Hujah yang dikemukakan adalah berdasarkan kepada pemerhatian kepada peristiwa-peristiwa yang menunjukkan hubungan baik Tok Guru dengan para pemimpin DAP. Dikemukakan gambar-gambar Tok Guru makan sekali dengan pemimpin DAP, bersalaman, berbual mesra dan gambar Tok Guru Nik Aziz memotong kek hari jadi mendiang Karpal Singh. Tidak kurang juga dengan bukti-bukti sambutan dan orang-orang bukan Islam yang sangat menghormati dan menyayangi Tok Guru. Kesimpulannya Tok Guru Nik Aziz bijak berinteraksi dengan pimpinan DAP, tidak sepertimana Tok Guru Presiden.

6.3: Persoalan pokok yang menatijahkan terlerainya ikatan DAP dan PAS bukan masalah hubungan baik. Cuba selidiki dan perhalusi, titik pemisahnya ialah isu hudud, bila DAP menentang Rang Undang-Undang Pindaan yang dibawa dan diluluskan di Dewan Negeri Kelantan serta private bill untuk pindaan Akta 355 di bawa ke Parlimen, sebagaimana yang dibincangkan di para 4 di atas.

6.4: Dalam isu hudud, Tok Guru Nik Aziz lebih tegas dan Presiden hanya selaku penyambung hasrat dan kerja al-Marhum. Ketegasan al-Marhum Tok Guru tidak berganjak sejak beliau masih di kerusi Menteri Besar lagi. Contohnya sepertimana dilaporkan dalam Sinar Harian bertarikh 23 September 2011; Jangan Halang PAS – Nik Aziz: Tetap mahu laksana hudud sekali pun DAP mahu keluar PR.

Al-Marhum Tok Guru sudah membayangkan dari awal lagi, bahawa sampai kepada satu tahap, PAS mungkin akan berpisah dengan DAP, bila DAP bertegas menghalang perjuangan PAS. Persoalannya, adakah Tok Guru berubah haluan dan sikap selepas tidak menjadi Menteri Besar, membatalkan hasrat pelaksanaan hudud demi menjaga hati DAP?

Hasrat al-Marhum Tok Guru yang sangat inginkan hudud terlaksana di Kelantan boleh dilihat apabila bersetuju mengadakan sedikit rundingan dengan pihak Kerajaan Persekutuan. Rujuk kepada Akhbar Sinar Harian bertarikh 30 April 2014; Tok Guru setuju: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz sambut baik cadangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin menubuhkan jawatankuasa teknikal hudud di peringkat Kebangsaan.

Tetapi malangnya, apabila pimpinan PAS melanjutkan usaha atas persetujuan Tok Guru ini untuk berunding dengan pimpinan Kerajaan Persekutuan ke arah menjayakan pelaksanaan hudud dituduh usaha ke arah pembentukan UG.

Tok Guru sudah menyedari wujudnya penentangan dari rakan parti dalam Pakatan Rakyat, namun beliau sangat optimis dengan usaha Kerajaan PAS Kelantan. Sinar Harian bertarikh 12 April 2014 melaporkan; Tok Guru Yakin: Walau pun ditentang hebat rakan sekutunya, Mursyidul Am Pas yakin DAP dan PKR akan akur dengan cadangan Kerajaan Kelantan untuk laksanakan hukum hudud di negeri ini.

6.5: Selepas meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan, al-Marhum Tok Guru bertugas sebagai penasihat atau Murabbi Ummah, di Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG), berpejabat di Kompleks Kota Darulnaim, sehingga beliau kembali ke Rahmatullah. Selaku Mursyidul Am, hal ehwal politik PAS berjalan di bawah kehendak beliau. Tuan Guru Presiden dan pimpinan PAS serta pimpinan-pimpinan Kerajaan Kelantan sering mengunjungi beliau di Pejabat IPTG, melapor dan membincang permasalahan politik serta perjalanan kerajaan Kelantan termasuk usaha pelaksanaan hudud.

6.6: Menuduh pembawaan dan tindakan Tok Guru Presiden telah menyimpang dari kehendak Tok Guru Nik Aziz adalah tuduhan yang tidak berasas. Contohnya dalam isu Langkah Kajang ketika menamakan calon Menteri Besar Selangor. Sinar Harian bertarikh 19 Ogos 2014 melaporkan; Nik Aziz sokong Pas Pusat; Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz menyokong keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pas Pusat yang menamakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Mohamed Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar Selangor.

6.7: Tuduhan juga dibuat terhadap Ketua Pemuda PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, yang merupakan anak kepada Tok Guru Nik Aziz, kononnya tindakan dan kenyataan Nik Abduh bercanggah dengan kehendak ayahnya. Bagi menjawab tuduhan ini, sila rujuk kepada akhbar Sinar Harian bertarikh 9 Oktober 2014; Nik Aziz sokong pandangan anak: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong pandangan anaknya, Nik Abduh yang mengeluarkan beberapa kenyataan kontroversi termasuk isu berkaitan dalaman Pas dan PR.

6.8: Kesimpulannya, pandangan yang menyatakan bahawa pimpinan PAS kini telah menyimpang dari hasrat dan cara yang telah dibawa oleh al-Marhum Tok Guru Nik Aziz adalah tidak berasas dan berupa andaian yang mempunyai niat dan tujuan tertentu. Usaha menjarakkan al-Marhum Tok Guru dengan apa yang dibawa oleh pimpinan PAS kini khususnya Tok Guru Presiden, dipercaya satu usaha untuk menunjukkan kepada masyarakat khususnya para ahli dan penyokong PAS, bahawa pimpinan PAS kini telah membawa PAS jauh tersasar dari perjuangan sebenar dan sudah tidak relevan lagi. Akhirnya ia menghalalkan tindakan keluar dari PAS dan menubuhkan parti baru.

PENUTUP

Enam persoalan yang utama yang saya nukilkan di atas adalah merupakan kata kuncI kepada kemelut yang sedang berlaku di dalam komponen Pakatan Rakyat khususnya melibatkan hubungan di antara PAS dan DAP. Semoga ia menjadi pencerahan kepada ahli-ahli PAS dan juga para penyokong untuk mereka memahami kedudukan isu yang sebenar dan tidak terpengaruh dengan maklumat-maklumat separuh masak yang berlegar terutama yang berniat jahat dan menjatuhkan kredebiliti PAS selaku parti Islam di negara ini.

- penulis merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan

CATATAN DHUHA OLEH YB. USTAZ IDRIS AHMAD, NAIB PRESIDEN PAS.

CATATAN DHUHA SEMINGGU OLEH YB. USTAZ IDRIS AHMAD, 
MP BUKIT GANTANG
( 11 Syawal - 17 Syawal 1436 H )

Catatan Dhuha
Memang kita lupa apa yang kita nasihat kepada orang lain. Tetapi orang lain ingat apa yang kita ungkapkan. Marilah kita melatih diri kita supaya bercakap dari keluhuran hati, baru ia memberi bekas kepada diri kita dan juga kepada pendengar. Saya akur memang susah, tetapi ini satu kewajipan kepada kita.Ust Idris Hj Ahmad 11 Syawal 1436. 27 Julai 2015 Isnin.

Catatan Dhuha
Islam marah kepada orang yang melampau dalam tindakan. Islam suka kepada kesederhanaan. Sikap melampau nafasnya tidak panjang di dalam perjuangan. Apabila cita-citanya tidak tercapai akhirnya kembali kepangkuan parti yang mereka musuhi selama ini. Inilah sejarah yang tercatat di dalam Pas.Ust Idris Hj Ahmad 12 Syawal 1436. 28 Julai 2015 Selasa.

Catatan Dhuha
Jamaah kita mesti kuat dan tersusun. Ahli dan pimpinannya pula mesti berusaha untuk melengkapkan diri sebagai seorang yang berperibadi mulia dan cakna kepada permasalahan rakyat. Jika parti kita kuat, kawan dan lawan akan menghormati kita. Jika berlaku sebaliknya, kita akan hilang izzah pada pandangan masyarakat. Ust Idris Hj Ahmad 13 Syawal 1436. 29 Julai 2015 Rabu.

Catatan Dhuha
Pas tidak boleh bertahan lama jika hanya bergerak sebagai sebuah parti politik sahaja. Pas mampu bertahan sejak tahun 1951 kerana ia juga bergerak sebagai sebuah gerakan Islam yang tidak kira musim dan masa. Ia bukan bergerak pada musim pihanraya sahaja, tetapi sepanjang masa. Apabila tutup peti undi pada hari pilihanraya, Pas terus menjalankan aktiviti dakwah dan tarbiah secara berterusan. Ust Idris Hj Ahmad 14 Syawal 1436. 30 Julai 2015 Khamis.

Catatan Dhuha
Ahli Pas sanggup menghabiskan harta dan wang ringgit demi perjuangan Pas. Mereka tidak pernah bertanya apa yang Pas boleh beri kepada mereka. Tidak ada di dalam hati mereka untuk menjadi calon, menjadi ahli majlis, ketua kampung. Mereka hanya mahu Islam ditegak sebagai cara hidup yang lengkap. Jangan pula setelah menang kita kata ini hak peribadi. Kecil hati mereka. Ustaz Idris Hj Ahmad 14 Syawal 1346 /31 Julai 2015 Jumaat.

Catatan Dhuha
Manusia yang jahil dalam bidang agama atau kedunian akan menjadi penyokong tegar kepada penguasa yang zalim dan menjadi pendinding kepada pemerintah untuk menegakkan kuasa. Diumpan dengan sedikit walau pun menderita berabad lama-lamanya. Hati mereka gelap kerana disumbat dengan benda dan dijauhkan dengan ilmu. Tugas kita berdakwah. Ust Idris Hj Ahmad 16 Syawal 1436. 1 Ogos 2015 Sabtu

Catatan Dhuha
Suatu perkara yang menyelewing di dalam perjuangan , jika ada berpandangan bahawa tarbiah tidak penting. Jika ada yang berpandangan sedemikian maka ini akan merosakkan masa depan parti. Musibah akan menimpa kepada jentera parti, kerana tidak ada siapa yang rela untuk mewakafkan diri kepada jentera parti. Kerana tidak ada rasa satu kewajipan untuk menggerakkan kerja jamaah. Ust Idris Hj Ahmad 17 Syawal 1436. 2 Ogos 2015 Ahad.

KENYATAAN RASMI PAS PERAK : PENDIRIAN RASMI BPPN PERAK

KENYATAAN BADAN PERHUBUNGAN PAS PERAK
Pendirian rasmi Badan Perhubungan PAS Negeri Perak (BPPNP)





1. Perkembangan politik semasa terutama pasca muktamar PAS Pusat telah menampakkan pergolakan dalaman PAS. Namun, pergolakan ini telah memberi peluang kepada PAS untuk bangkit dengan gagah demi meneruskan agenda Dakwah,Tarbiyah dan Siasah dengan lebih berkesan.


2. Atas keyakinan perjuangan ini, PAS Perak berpendirian tidak boleh ada dua jamaah Islam dalam satu masa kerana ia bakal mengundang kerugian dan perpecahan. Maka dengan itu, kami menasihati semua pimpinan dan ahli di semua peringkat khususnya di Negeri Perak supaya terus beristiqamah dengan perjuangan PAS.

3. Selaras dengan arahan Pas Pusat, kami juga tidak membenarkan pimpinan dan ahli PAS daripada terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan Gerakan Harapan Baru (GHB). Malah, GHB tidak dibenarkan menggunakan mana-mana aset dan premis PAS untuk sebarang aktiviti mereka kerana ia melanggar etika parti serta adab-adab berjamaah. Selain itu, PAS Perak menyeru ahli-ahli PAS supaya menjaga ukhuwwah, adab-adab berhujah dan banyakkan menerang daripada menyerang tika menangani isu GHB tersebut.

4. Justeru, PAS Perak akan terus maju ke hadapan dengan lebih aktif dan efektif dengan mengamalkan pendekatan "muwajahah silmiah" iaitu pendekatan secara aman dan menghormati demokrasi berdasarkan panduan Al Quran, As Sunnah, Ijmak Ulamak dan Qias.

5. Akhir sekali, PAS Perak meminta agar semua pimpinan dan ahli PAS di semua peringkat untuk melipatgandakan usaha demi mempertahankan PAS disamping mengharap pertolongan dan keredhaan Allah.

Istiqamah Hingga Kemenangan

TUAN HAJI RAZMAN B. HAJI ZAKARIA
PESURUHJAYA PAS PERAK


14 Syawal 1436
Khamis 30 Julai 2015

Ruang Forum DPPK Bagan Datoh

jambori amal kuala kangsar 2008