pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Ahad, 17 Januari 2016

SUDUT SEJARAH : CATATAN SEJARAH DALAM PAS SEPANJANG HARI.

SUDUT SEJARAH : HARI INI DALAM SEJARAH PAS 
( 6 - 10 JANUARI )

HARI INI DALAM SEJARAH PAS
ADUAN DISIPLIN TERHADAP DATUK MOHD ASRI KERANA MEMECAHBELAHKAN PAS 
(6 JANUARI 1983)
PADA hari ini dalam tahun 1983, PAS Kelantan yang dipimpin oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah membuat aduan tatatertib terhadap bekas Yang Dipertua Agung PAS, Datuk Mohd Asri Haji Muda dan para penyokongnya kerana melakukan kegiatan memecahbelahkan PAS setelah beliau meletak jawatan pada 23 Oktober 1982.
Datuk Mohd Asri dan pengikutnya telah menyerang kepemimpinan ulamak PAS, walaupun para ulamak PAS bertegas supaya parti Islam ini mesti kekal bergerak berlandaskan al-Quran dan Sunnah. Antara tindakan pengikut Datuk Mohd Asri ialah menubuhkan organisasi haram dalam PAS bagi menimbulkan perpecahan dalam parti.
Mereka telah menubuhkan Jawatankuasa Bertindak yang diketuai oleh Datuk Nik Man Nik Mohamad, bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan selaku Pesuruhjaya Jawatankuasa Bertindak tersebut, selain Abdul Hamid Saleh (Tim. Pesuruhjaya), Mohamad Mahmud (Setiausaha), Datuk Ishak Lotfi Omar (Bendahari) dan Haji Abdul Rahman Simpol (Ketua Dewan Ulamak). Jawatankuasa Bertindak ini telah menganjurksn perhimpunan-perhimpunan untuk menyokong Datuk Mohd Asri dan mewujudkan 'parti dalam parti' yang merosakan perpaduan PAS.
Ekoran kegiatan parti dalam parti ini, PAS Kelantan telah membuat aduan tatatertib dan mengemukakan laporan penuh tentang kegiatan yang merosakan parti ini dan mencadangkan tindakan disiplin diambil. Pada 8 Januari 1983, Dewan Pemuda PAS Pusat yang dipimpin oleh Cikgu Mustafa Ali turut mengambil keputusan untuk membuat aduan yang sama.
Hasil dari Laporan Tatatertib PAS Kelantan pada 6 Januari 1983 ini, Jawatankuasa Tatatertib PAS pada 23 Januari 1983 telah mengambil tindakan tatatertib terhadap 13 orang ahli PAS di mana dua orang telah dipecat, lapan orang digantung keahlian termasuk Datuk Mohd Asri dan tiga yang lain diberi amaran. Akibat dari tindakan ini, Datuk Mohd Asri dan pengikutnya telah menubuhkan parti serpihan, Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) pada 2 Julai 1983 dan sekali gus membebaskan PAS daripada masalah dalaman.
Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
6 Januari 2016


HARI INI DALAM SEJARAH PAS
PAS BERSETUJU BERMUZAKARAH DENGAN UMNO DALAM ISU PERPADUAN NASIONAL 
(7 JANUARI 2001)
PADA hari ini dalam tahun 2001, akhbar Berita Minggu mendedahkan bahawa Lajnah Politik PAS Pusat telah bersetuju supaya parti itu mengadakan muzakarah dengan Umno dalam isu perpaduan nasional. Strategi yang dibuat oleh PAS ini adalah bagi membolehkan mereka membuat desakan yang lebih berkesan dalam menghadapi kezaliman Barisan Nasional (BN) terutama setelah pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 September 1998.
Isu Datuk Seri Anwar yang tercetus pada September 1998 telah memberi kesan buruk kepada BN apabila PAS berjaya menguasai Kelantan dan Terengganu dalam Pilihan Raya Umum 1999 melalui gabungan politik Barisan Alternatif (BA). Ekoran itu, BN telah mengenakan tekanan politik ke atas PAS secara besar-besaran seperti halangan ceramah umum, pengurangan permit penerbitan Harakah, tekanan ke atas sekolah agama rakyat (SAR), mengaitkan PAS dengan Kumpulan al-Ma'unah, rampasan royalti minyak, mengharamkan penggunaan perkataan Islam pada parti politik, mendakwa Ketua Pengarang Harakah di mahkamah dan lain-lain sehingga kegiatan politik pembangkang terjejas.
Marah terhadap kezaliman BN ini, dalam Pilihan Raya Kecil DUN Lunas pada 29 November 2000, rakyat telah menolak BN. Menyedari keadaan ini, Dr Mahathir telah mengubah strategi dengan menawarkan perundingan kepada PAS dan Parti Keadilan Nasional (PKN) pada 24 Disember 2000, dan para pemimpin PAS menunjukkan sikap yang positif terhadap tawaran Umno jika parti itu 'benar-benar ikhlas'. Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin Umno turut bersetuju dengan cadangan Dr Mahathir, tetapi PKN pada 8 Januari 2001 telah menolak pelawaan Umno.
PAS sebaliknya, pada 7 Januari 2001 telah dilaporkan oleh media massa bahawa ia telah bersetuju untuk bermuzakarah dengan Umno dalam isu perpaduan nasional. Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Noor mempertegaskan ia bukan untuk bersatu dengan Umno, tetapi untuk berdakwah kepada Umno. PAS pada 14 Februari 2001 kemudiannya menetapkan untuk memasukkan isu-isu kepincangan sistem kehakiman, pencabulan demokrasi, kemelesetan ekonomi dan peningkatan peranan Islam sebagai agenda muzakarah ini. Jawatankuasa Bersama Muzakarah PAS-Ummo bagaimanapun gagal menyelaraskan isu-isu yang dikemukakan oleh PAS kerana Umno tidak serius. Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 18 Februari 2001 telah menangguhkan muzakarah ini kerana kegagalan jawatankuasa bersama tersebut.
Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
7 Januari 2016


HARI INI DALAM SEJARAH PAS
USTAZ KHAIDIR KHATIB DILANTIK PESURUHJAYA PAS KELANTAN 
(8 JANUARI 1962)
PADA hari ini dalam tahun 1962, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah melantik Ustaz Khaidir Khatib sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan yang kedua menggantikan Mohd Asri Haji Muda yang terpilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS pada 5-6 Januari 1962. Beliau dilantik bersama pesuruhjaya-pesuruhjaya PAS negeri yang lain.
Ustaz Khaidir merupakan seorang tokoh politik Islam yang berasal dari Sumatera Barat dan mendapat pendidikan tinggi agama di sana. Beliau berhijrah ke Kelantan sebelum Perang Dunia Kedua dan pernah terlibat dengan gerakan politik Islam di sana. Di Tanah Melayu, beliau berkhidmat sebagai guru agama di Maahad Il Ihya as-Syariff, Gunung Semanggol dan terlibat aktif dalam Hizbul Muslimin pada 1948.
Beliau yang menyertai PAS pada 1954 telah dicalonkan bertanding di DUN Ulu Kelantan Barat pada 1959 dan menjadi wakil rakyat sehingga 1964. Pada awal 1962, kerana perlantikan Mohd Asri sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS sebelum dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Ustaz Khaidir telah menggantikan Mohd Asri sebagai pemimpin utama PAS Kelantan.
Antara objektif penting daripada perlantikan ini adalah untuk membolehkan konsep parti menguasai kerajaan diamalkan di Kelantan, selain mengukuhkan kedudukan Kerajaan PAS Kelantan terutama selepas Pilihan Raya Umum 1964. Ustaz Khaidir selaku Pesuruhjaya PAS Kelantan dilantik sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Mohd Asri yang baru dilantik sebagai menteri besar pada 10 Mei 1964, iaitu satu langkah penting untuk membolehkan parti menguasai kerajaan.
Antara sumbangan terbesar Ustaz Khaidir selaku pimpinan utama PAS Kelantan ialah cadangan beliau supaya Menteri Besar, anggota Exco dan ADUN-ADUN membuat potongan gaji secara tetap untuk disumbang dalam Dana Pendidikan Kelantan bagi membiayai pendidikan tinggi anak-anak Kelantan. Antara pelajar yang dibiayai dari dana ini ialah Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan) dan Datuk Daud Mohamad (Qadhi Besar Kelantan). Hari ini, dana yang pernah dipengerusikan oleh Ustaz Khaidir ini telah dikenali sebagai Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Ustaz Khaidir yang juga Ahli Jawatankuasa Agung PAS dan Yang Dipertua PAS Ulu Kelantan, terus menjadi Pesuruhjaya PAS Kelantan semenjak 8 Januari 1962 sehingga digantikan oleh pesuruhjaya ketiga, Haji Mohd Noor Yusoff (Haji Mohd Noor Machang) pada 23 April 1968.
Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
8 Januari 2016


HARI INI DALAM SEJARAH PAS
HARAKAH DIANCAM DENGAN PENGHARAMAN OLEH KDN KERANA KEJAYAAN MENGUBAH SIKAP POLITIK RAKYAT 
(9 JANUARI 2000)
PADA hari ini dalam tahun 2000, lidah rasmi PAS, Harakah telah menerima ancaman daripada Menteri Dalam Negeri (KDN) yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa akhbar ini akan diharamkan jika terbukti telah membuat laporan negatif. Tekanan ke atas Harakah ini adalah akibat dari keberkesanan lidah rasmi PAS dalammengubah minda rakyat menjelang Pilihan Raya Umum 1999, sehingga jualannya meningkat mendadak dari 70,000 naskah sebelum 1998 kepada 300,000 naskah selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 September 1998.
Sebelum itu, pada hujung Disember 1999, KDN telah merampas Harakah dan menghalangnya dari dijual kepada umum, kemudian mengarahkan PAS supaya mematuhi syarat penerbitan iaitu dijual kepada ahli PAS sahaja. Dalam masa yang sama, Harakah menerima tohmahan bahawa ia menjadi punca perpecahan orang Melayu, sehingga Harakah menerima surat tunjuk sebab pada 30 Disember 1999 tentang kenapa ia tidak boleh diharamkan.
Bagi meningkatkan tekanan ini, walaupun pimpinan PAS telah berjanji untuk mematuhi syarat-syarat penerbitannya, pada 13 Januari 2000, Pengarang Harakah, Zulkifli Sulong telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana artikel Harakah yang mempersoalkan kewibawaan badan kehakiman dalam keluaran 2 Ogos 1999. Turut didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada hari itu ialah pencetak Harakah, Chea Lim Thye atas sebab yang sama. Akibat tindakan ini, Pengarang Harakah didenda sebanyak RM5,000.00.
Di samping itu juga, KDN telah bertindak pada 1 Mac 2000 untuk mengurangkan permit pengeluaran Harakah dari 8 kali sebulan kepada 2 kali sebulan mulai Mac 2000. Usaha-usaha PAS untuk membawa keadilan kepada Harakah dengan mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat dan memfailkan saman di mahkamah juga gagal. Bahkan, percubaan PAS untuk memohon permit akhbar harian, Purnama turut ditolak. Ancaman yang dibuat oleh Menteri KDN terhadap Harakah pada 9 Januari 2000 telah menyebabkan kebebasan bersuara PAS telah terhalang.
Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
9 Januari 2016


Hari Ini Dalam Sejarah PAS: PAS Kekalkan Kerjasama Dengan Semangat 46 Dalam Isu Hubungan Dengan DAP 
(10 Januari 1990)
PADA hari ini dalam tahun 1990, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah menetapkan bahawa kerjasama PAS- Parti Semangat 46 (S46) dikekalkan dan tiada kajian semula dibuat ke atas hubungan politik tersebut, walaupun musuh-musuh politik PAS berusaha melaga-lagakan kedua-dua parti ini ekoran wujudnya kerjasama S46 dengan DAP.
Hubungan politik PAS dengan bekas Team B Umno telah terbentuk semenjak Umno berpecah pada 1988 dan PAS menganjurkan Makan Malam Pemikir Ummah pada 23 Disember 1988 yang mempertemukan pimpinan PAS dan pimpinan serpihan Umno, yang berkemuncak dengan kerjasama dalam Pilihan Raya Kecil Teluk Pasu yang dimenangi oleh calon PAS, Ustaz Harun Taib pada 25 Jun 1989.
Hubungan dengan serpihan Umno ini menjadi lebih kukuh apabila S46 telah berjaya didaftarkan pada Mei 1989, yang diikuti oleh tindakan Hamim keluar dari BN dan menyertai Angkatan Perpaduan Ummah bersama Berjasa dan S46. PAS pula membentuk kerjasama politik PAS-APU untuk mengukuhkan pembangkang Melayu Islam bagi menggantikan Umno yang telah berpecah.
Di sebalik pakatan PAS-S46 melalui APU ini, pada 9 Disember 1989, Presiden S46, Tengku Razaliegh Hamzah telah menghadiri program DAP di Kuala Lumpur dan mengesahkan hubungan politik kedua-dua parti tersebut. Ini menimbulkan reaksi negatif pimpiman PAS. Bekas Penasihat Undang-undang PAS, Suhaimi Said telah bertindak menyeru ahli-ahli PAS supaya mengundi MCA yang menentang DAP dalam Pilihan Raya Kecil Bentong pada 13 Mei 1989 atas sebab menentang kerjasama PAS dengan DAP.
Ekoran ketegangan ini, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 10 Januari 1990, setelah menerima laporan pertemuan antara Yang Dipertua PAS Pusat, Ustaz Fadzil Mohd Nor dengan Tengku Razaliegh, telah mengambil keputusan untuk meneruskan hubungan dengan S46 dan menasihati parti itu supaya tidak terlalu terbuka dalam hubungannya dengan DAP demi menjaga sensitiviti pengundi Melayu, terutama ahli-ahli PAS.
PAS bertegas bahawa kerjasama S46-DAP tiada kaitan dengan PAS, kerana hubungan PAS-S46 adalah satu kerjasama yang lain, yang S46 berhak berkawan dengan mana-mana parti politik. PAS berpendapat bahawa pakatan PAS-APU merupakan alternatif terbaik kepada BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-10.
Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
10 Januari 2016

Tiada ulasan:

jambori amal kuala kangsar 2008