pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Rabu, 24 Februari 2016

DPPK BAGAN DATOH : SERUAN BUAT ANAK MUDA KE HIMMAH

SEKALIAN ANAK MUDA DIJEMPUT HADIR KE HIMPUNAN ANAK MUDA PERAK ISTIQAMAH ( HIMMAH ) 2016

BAGAN DATOH : Dewan Pemuda PAS Kawasan ( DPPK ) Bagan Datoh mengajak serta menyeru anak muda khususnya pemuda PAS untuk bersama-sama dan beramai-beramai ke program Himpunan Anak Muda Perak Istiqamah ( HIMMAH ) yang akan berlangsung di Dataran Batu 20, Batu Kurau ,Larut.


Himpunan tersebut yang dijadualkan berlangsung pada 25 sehingga 27 Mac ini adalah merupakan suatu himpunan khas sebagai tanda membuktikan sifat istiqamah anak muda bersama perjuangan PAS.

Pelbagai acara serta pengisi terbaik dan menarik pastinya menanti buat peserta dan pengungjung ke himpunan kali ini.

Demikian itu, sekali lagi pihak DPPK Bagan Datoh menyeru serta mengajak sekalian anak muda untuk hadir dan turut serta ke HIMMAH sebagaimana telah dijadualkan. Kosongkan jadual pada tarikh tersebut untuk bersama-sama ke Larut.






" BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN "

CATATAN SEJARAH HARI INI DALAM PAS : 01 FEBRUARI - 15 FEBRUARI

HARI INI DALAM SEJARAH PAS
( 01 FEBRUARI - 15 FEBRUARI )

HARI INI DALAM SEJARAH PAS
HAJI YUSUF RAWA MELETAKKAN JAWATAN YANG DIPERTUA AGUNG PAS  (15 FEBRUARI 1989)
PADA hari ini dalam tahun 1989, Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Abdullah ar-Rawi atau lebih dikenali sebagai Pak Yusof Rawa telah meletakkan jawatan beliau sebagai pemimpin utama PAS yang dipegang sejak 23 Oktober 1982. Pengumuman perletakan jawatan yang dibuat di Pulau Pinang ini telah sekali gus membolehkan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor memangku jawatan utama PAS tersebut. Pak Yusof Rawa memaklumkan bahawa beliau bertindak demikian kerana keuzurannya, tetapi kekal sebagai Mursyidul Am PAS.

Pak Yusof Rawa yang dilahirkan di Lebuh Aceh, Pulau Pinang pada 8 Mei 1922 telah mendapat pendidikan Sekolah Melayu sebelum memasuki sekolah Inggeris, Penang Free School dan akhirnya mengikuti pengajian agama di Mekah. Beliau yang mendapat Diploma Takhasus Deeni dari Maahad al-Falah, Mekah telah turut mendapat Diploma Perniagaan dari Bennete College, Sheffield, United Kingdom. Pada peringkat awal beliau terlibat dalam perniagaan di Mekah dan Mesir, sebelum mengambil alih perniagaan ayahnya di Pulau Pinang pada 1947, selain turut memberi khidmat sebagai Pengerusi Badan Tadbir Madrasah al-Mashoor. Beliau merupakan pengasas dan Bendahari Kehormat pertama Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang pada 1952.
Pak Yusof Rawa yang telah terpengaruh dengan gerakan Ikhwanul Muslimun di Mekah telah menyertai PAS pada 1952. Pada 1959, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, selain turut menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS beberapa kali antara1956 sehingga 1979.

Ketika krisis keapemimpinan PAS tercetus pada akhir 1970-an, Pak Yusof Rawa telah dipilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS (1979-1981), sebelum dipilih pula sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung PAS (1981-1983). Ekoran perletakan jawatan Dato' Mohd Asri Haji Muda sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 23 Oktober 1982, beliau telah Pemangku jawatan tersebut. Pada 1983, beliau dipilih secara rasmi sebagai Yang Dipertua Agung PAS sehingga beliau meletakkan jawatan pada 15 Februari 1989.

Selain menjadi pemimpin utama PAS, Pak Yusof Rawa pernah mengejutkan politik Malaysia dalam Pilihan Raya Umum 1969 apabila beliau mengalah Dr Mahathir Mohamed. Pada 1974, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Utama, sebelum dihantar ke Tehran pada 1976 sebagai Duta Besar Malaysia ke Iran, Afghanistan dan Turki sehingga 1979. Beliau yang pernah menjadi Konsulat Iraq di Pulau Pinang pada 1960-an dan Ketua Delagasi Malaysia ke Taiwan pada 1972, pernah menjadi wakil Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 1973.

Pak Yusof Rawa juga terkenal kerana menerbitkan majalah reformis, al-Islah pada 1960-an dan 1970-an. Beliau juga telah menghasil Tafsir ar-Rawi Juz Amma, selain menulis buku-buku teks sekolah agama. Dengan segala pengalamannya, pada 10 November 1987 beliau dilantik sebagai Mursyidul Am PAS yang pertama sehingga 1994. Beliau yang pernah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang 1992 telah memilih untuk terus istiqamah bersama perjuangan PAS sehingga akhir hayatnya pada 28 April 2000.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
15 Februari 2016
HARI INI DALAM SEJARAH PAS
PAS TOLAK DAKWAAN TERLIBAT MERANCANG KERAJAAN DALAM BUANGAN (14 FEBRUARI 1965)
PADA hari ini dalam tahun 1965, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menolak dakwaan Naib Yang Dipertua Agungnya yang ditahan ISA, Dato' Raja Mohd Hanifah Abdul Ghani bahawa PAS terlibat merancang penubuhan kerajaan dalam buangan di luar negara. Menyesali pengakuan yang dibuat oleh Dato' Raja Mohd Hanifah pada 13 Februari 1965 ini, PAS menganggap semua pengakuan itu sebagai tindakan peribadi Naib Yang Dipertua Agungnya tanpa pengetahuan parti, sedangkan PAS tidak pernah berniat dan merancang untuk membelakangi Perlembagaan negara.
Dato' Raja Mohd Hanifah telah ditahan ISA pada 25 Januari 1965, empat hari sebelum Yang Dipertua Agung PAS, Dr Burhanuddin al-Helmy ditahan. Mereka dituduh merancang kegiatan subversif untuk menguasai negara ini secara tidak demokratik. Di sebalik penafian Dr Burhanuddin al-Helmy tentang penglibatannya, Dato' Raja Mohd Hanifah telah membuat pengakuan suka rela pada 13 Februari 1965 yang telah disiarkan di radio dan televisyen bersama Ishak Haji Mohamad (Pak Sako), pemimpin Parti Buruh.
Ketika membuat pengakuan yang turut ditayangkan di Parlimen pada 5 Mac 1965 ini, Naib Yang Dipertua Agung PAS itu telah mendakwa bahawa PAS telah menerima sejumlah wang daripada agen Indonesia untuk Pilihan Raya Umum 1964; telah menghantar enam Pemuda untuk 'berlatih' di Indonesia; dan telah merundingkan dengan Indonesia di Tokyo untuk menubuhkan sebuah kerajaan dalam buangan di luar negara. PAS yang menentang penubuhan Malaysia dan memperjuangkan Melayu Raya telah dituduh menyokong Indonesia dalam isu Konfrantasi Indonesia ketika itu.
Mengulas tentang pengakuan Dato' Raja Mohd Hanifah ini, bekas Menteri Kabinet yang juga Presiden National Convention Party (NCP), Abdul Aziz Ishak yang turut ditahan ISA, telah menjelaskan bahawa beliau diberitahu oleh Dato' Raja Mohd Hanifah yang semua kegiatan subversif itu adalah tindakan peribadi beliau tanpa pengetahuan PAS, dan beliau terpaksa membuat pengakuan sebegitu kerana dijamin akan mendapat pembebasan segera.
Memandangkan PAS tidak terlibat dalam kegiatan subversif seperti yang didakwa ini, PAS bukan sahaja menyesali tindakan Naib Yang Dipertua Agungnya ini, tetapi turut menafikannya pada 14 Februari 1965, yang disusuli oleh penjelasan Setiausaha Agung PAS, Ustaz Abdullah Zawawi Hamzah kepada semua Cawangan PAS melalui pekeliling parti pada 7 Mac 1965 tentang pengakuan tersebut.
Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
14 Februari 2016
HARI INI DALAM SEJARAH PAS
PAS DESAK ANWAR TARIK BALIK KENYATAAN IKTIRAF ISRAEL (13 FEBRUARI 2012)
PADA hari ini dalam tahun 2012, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah memaklumkan kepada media massa bahawa Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil pendirian yang PAS tidak mengiktiraf negara haram Israel dan mendesak Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim supaya menarik balik kenyataannya yang menyokong konsep penyelesaian dua negara, satu negara untuk rakyat Palestin dan satu negara untuk Yahudi Zionis, Israel. Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil pendirian ini ekoran satu berita yang disiarkan oleh Wall Street Journal (WSJ) bahawa Dato' Seri Anwar menyokong usaha penyelesaian dua negara untuk menjaga keselamatan Israel.
Ekoran laporan WSJ ini, para pemimpin Umno telah membuat kritikan dan kecaman terhadap Dato' Seri Anwar yang dilihat mengikut jejak langkah Barat dalam isu Israel ini. Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya pada 11 Februari 2012 menegaskan bahawa PAS menolak formula penyelesaian dua negara bagi menyelesaikan konflik Asia Barat. PAS berpegang bahawa haram menerima kewujudan negara haram ini. Para pemimpin Umno pula mendakwa kenyataan itu memalukan negara dan umat Islam.
Kenyataan Dato' Seri Anwar ini telah mendapat komen negatif yang meluas daripada ahli-ahli politik semenjak akhir Januari 2012 lagi, yang bukan sahaja telah memberikan kesan buruk kepada imej umat Islam dan negara, tetapi juga kepada pakatan pembangkang. Atas sebab kenyataan Dato' Seri Anwar yang kemudiannya didakwa oleh beliau sebagai dimanipulasikan, Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil pendirian untuk mendesak Dato' Seri Anwar agar menarik balik kenyataannya atau jika ia tidak benar, beliau perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ untuk membersihkan nama beliau.
PAS berpegang dengan prinsip bahawa Palestin adalah hak umat Islam dan haram menerima kewujudan negara haram Israel itu. Menurut Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz, keselamatan Israel bukan menjadi tanggungjawab umat Islam atau orag Arab, tetapi ia adalah akibat kezaliman Yahudi sendiri kerana mereka telah menubuhkan negara haram atas dasar kezaliman. "Islam lebih mementingkan hak asasi, keadilan, kemanusiaan dan hubungan baik, tetapi sesekali tidak akan berkompromi dengan kezaliman ini," kata Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz. Sebagai menunjukkan pendiriannya, PAS telah menghantar surat dari Majlis Syura Ulamak PAS kepada Dato' Seri Anwar untuk mendesak beliau menarik balik kenyataannya itu.
Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
13 Februari 2016
HARI INI DALAM SEJARAH PAS
TUAN GURU HAJI MUSTAFA DIDAKWA KERANA PENJELASAN TENTANG BATAS-BATAS IMAN (12 FEBRUARI 1981)
PADA hari ini dalam tahun 1981, Timbalan Pengerusi Jemaah Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Mustafa Abu Bakar yang juga Mudir Madrasah ad-Diiniah al-Bakriah (Pondok Pasir Tumbuh) telah didakwa di Mahkamah Syariah Besut kerana kuliah agamanya yang menjelaskan batas-batas iman dan kufur kepada masyarakat. Dalam bacaan kes pada 10 Februari 1981, beliau dikatakan memberi fatwa yang mengkafir orang Umno, dan kes ini mula dibicarakan pada 12 Februari 1981. Beliau didakwa berbuat demikian pada 4 November 1979 di Surau Salleh Mat Ali, Kampung Sebarang Sungai, Keruak,Hulu Besut.
Isu kafir-mengkafir ini timbul semula pada awal 1980-an ekoran tekanan politik berterusan Umno dalam menghadapi arus kebangkitan Islam pada permulaan abad ke-15 Hijriyah (1980). Isu yang asalnya kuliah tentangan batas iman dan kufur telah diperbesarkan sehingga timbul isu Amanat Haji Hadi pada 7 April 1981. Sebagai langkah menhhadapi tindakan Umno yang menggunakan mahkamah untuk mendakwa pemimpin PAS ini, Dewan Ulamak PAS Kelantan telah menerbitkan buku bertajuk 'Islam dan Politik: Hasil Kajian Ilmiah Ulamak PAS' pada 1980 yang diubah suai daripada kertas Kerja Tuan Guru Haji Zakaria Ismail, Tuan Guru Haji Mustafa Abu Bakar, Tuan Guru Haji Abdul Aziz Abu Bakar dan Ustaz Mohamad Daud dengan kerjasama Dewan Ulamak PAS Terengganu.

Mereka telah menjelaskan hukum murtad dalam politik berlaku kepada tiga golongan iaitu orang yang menghalalkan pemisahan agama dari politik, orang yang menolak undang-undang Allah dan menggantikan dengan undang-undang manusia serta orang yang berpendapat maslahat manusia adalah berlainan daripada yang syariat Allah. Asas inilah yang membentuk ketegangan apabila para ulamak PAS menyebut tentang tiga jenis perbuatan yang merosakan aqidah dalam politik, sehingga pemimpin parti sekular Umno merasakan ia dituju kepada mereka.
Tuan Guru Haji Mustafa adalah seorang ulamak terkenal di Kelantan yang merupakan lepasan Pondok Tok Kenali (1937-1940), Pondok Haji Ali Pulau Pisang (1940-1943), Pondok Bunut Payung (1943-1950) dan berguru di Mekah selama empat tahun (1950-1953). Pada 1954, beliau mengasaskan Pondok Pasir Tumbuh bersama adiknya, Tuan Guru Haji Abdul Aziz dan menjadi mudir pondok terbesar di Kelantan ini. Dalam PAS, beliau akrif sebagai pimpinan Dewan Ulamak PAS Kelantan, selain pernah menjadi Ahli Perhubungan PAS Kelantan dan Timbalan Pengerusi Jamaah Pesuruhjaya PAS Kelantan.
Dengan tuduhan yang menyifatkan kenyataan beliau sebagai 'fatwa' oleh Mahkamah Syariah Besut, pada 14 Februari 1981, beliau telah dikatakan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan. Kes ini kemudiannya dirayu ke Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu dan hukuman penjara ditangguhkan. Ketika kes ini masih dibicarakan, Tuan Guru Haji Mustafa telah meninggal dunia pada 19 April 1984 tanpa sempat menjalani hukuman tersebut.
Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
12 Februari 2016
HARI INI DALAM SEJARAH PAS
UMNO GELISAH APABILA PAS DEKATI ORANG CINA (11 FEBRUARI 1985)
PADA hari ini dalam tahun 1985, para pemimpin Umno di pelbagai peringkat telah memberikan respon yang bercampur-campur dan tidak kurang juga yang mengutuk tindakan PAS mendekati orang Cina sebagai strategi politik dakwahnya yang baru. Media massa sejak 12 Februari 1985 telah menyiarkan kritikan-kritikan sinis pemimpin Umno terhadap strategi baru PAS.
Antara isu yang dibangkitkan oleh pemimpin Umno ialah mengapa PAS mengadakan program di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan mendakwa bahawa tempat tersebut telah digunakan oleh orang Cina untuk program yang menghidangkan babi dan minuman keras. Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Mohd Najib Razak adalah antara yang lantang menuduh PAS tidak memperjuangkan agama, tetapi untuk kepentingan politik semata-mata.
Isu pendekatan baru PAS terhadap orang Cina ini timbul ekoran keputusan PAS pada 6 Oktober 1983 yang mahu PAS menganjurkan seminar untuk mendekati orang Cina. Strategi baru ini telah dibangkitkan dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-29 pada 30 April-1 Mei 1983. Pada 15 Oktober 1984, PAS telah menjemput MCA berdialog, tetapi gagal kerana MCA meletakkan pelbagai syarat. Ekoran itu, Lajnah Mustad'afin PAS Setapak menganjurkan simposium bertajuk 'Islam dan Perpaduan Negara' di Dewan Perhimpunan Cina Selangor pada 10 Februari 1985.
Simposium ini mengemukakan empat kertas Kerja iaitu 'Islam Sebagai Kekuatan Penyatu Politik Keadilan' oleh Ustaz Nakhaie Ahmad, 'Penyelesaian Islam Kepada Masalah Masyarakat Majmuk' oleh Dr Jomo Kwame Sundram, 'Islam Sebagai Teras Pembangunan' oleh Dr Chandra Muzaffar dan 'Penyelesaian Islam Terhadap Masalah Masyarakat Majmuk' oleh Ustaz Harun Taib. Ketika menutup simposium ini, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa orang Cina boleh menjadi pemimpin utama negara ini dengan syarat dia beragama Islam, warak dan mempunyai kelayakan sebagai pemimpin.
Bertolak dari simposium pada 10 Februari 1985 yang berjaya menjelaskan kekeliruan orang Cina terhadap Islam, maka para pemimpin Umno keesokkannya telah menyerang PAS dengan isu-isu perkauman dan agama yang sempit kerana bimbang pengaruh PAS terhadap orang bukan Melayu. Pemimpin Umno menyiarkan keterbukaan PAS menerima orang Cina sebagai pemimpin adalah tidak sesuai dengan keadaan politik negara.
PAS sendiri telah mengambil langkah mengukuhkan hubungan dengan orang Cina melalui seminar dan penerangan tentang Islam. Seminar-seminar dengan masyarakat Cina telah dibuat di Kuala Lumpur pada 5 Mei 1985, di Kota Bharu pada 26 Julai 1985 dan di Kuala Terengganu pada 14 September 1985 telah menimbulkan kritikan keras dari Umno. Akhirnya, PAS berjaya menubuhkan Majlis Perunding Cina (CCC) pada awal 1986.
Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
11 Februari 2016
DATO' ONN KEMUKA USUL MELAYU DIJADIKAN RUPA BANGSA DENGAN SOKONGAN PAS (10 FEBRUARI 1961)
PADA hari ini dalam tahun 1961, pemimpin Parti Negara (PN), Dato' Onn Jaafar yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu telah mengemukakan satu usul ke Dewan Rakyat untuk menjadikan Melayu sebagai rupa bangsa dan kebangsaan bagi negara yang baru merdeka ini. Usul ini diangkat oleh Dato' Onn dengan mendapat sokongan daripada PAS, kerana PN dan PAS telah membentuk kerjasama politik yang tidak rasmi semenjak 1959 sehingga membolehkan Dato' Onn sebagai ahli politik vateran menjadi ahli parlimen tunggal PN di Dewan Rakyat.
Sebenarnya semenjak sebelum merdeka PAS telah berpegang dengan hakikat bahawa Tanah Melayu adalah menjadi hak orang Melayu dan hak ketuanan Melayu ini mesti dipertegaskan dalam Perlembagaan Tanah Melayu merdeka, tetapi hasrat PAS tidak menjadi kenyataan kerana Umno mahukan Melayu diberikan hak-hak istimewa sahaja. Dalam Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas Alias pada 25 Disember 1955, telah dipertegaskan tentang Melayu sebagai rupa bangsa negara ini. PAS turut mengingatkan Rombongan Kemerdekaan ke London pada 18 Januari - 8 Februari 1956 supaya tidak mengabaikan persoalan ketuanan Melayu dalam rundingan kemerdekaan.
Kepada Suruhanjaya Reid, dalam memorandum pada 14 Julai 1956, sekali lagi PAS menghuraikan persoalan rupa bangsa dan ketuanan Melayu, tetapi ia gagal mengubah sikap Suruhanjaya Reid yang lebih mengutamakan pandangan Umno. Ekoran itu, pada 1 September 1958, PAS dalam kawatnya kepada Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra sekali lagi menegaskan bahawa Melayu mesti menjadi rupa bangsa dan kebangsaan bagi Tanah Melayu, tetapi pandangan ini tidak dihiraukan Umno.
Oleh kerana Umno gagal menjamin kedudukan orang Melayu ini, bekas Yang Dipertua Agung Umno, Dato' Onn Jaafar sebagai pemimpin utama PN telah membawa usul ke Dewan Rakyat pada 10 Februari 1961 bagi menjadikan Melayu sebagai rupa bangsa dan kebangsaan negara ini. Usul yang dikemukakan dengan sokongan PAS ini sebenarnya telah disepakati bersama PAS dan PN dalam Kongres Kebangsaan Melayu Kedua pada 4-7 Mei 1957 di mana dalam kongres ini wakil PN telah mengangkat usul Melayu sebagai kebangsaan tunggal bagi Tanah Melayu, manakala wakil PAS mencadangkan usul untuk menjamin ketuanan dan keistimewaan bangsa Melayu, selain kedudukan Islam dan bahasa Melayu.
Apabila usul ini diangkat ke Dewan Rakyat oleh Dato' Onn pada 10 Februari 1961, sembilan orang wakil rakyat Perikatan telah berucap menentang usul ini kerana menganggap ia akan menggugat kedudukan bangsa lain, sedangkan bagi PAS, kebangsaan Melayu bukan bermakna bangsa lain menjadi Melayu, tetapi mereka diberikan kerakyatan, manakala orang Melayu mempunyai hak yang mutlak ke atas negara ini. Empat Ahli Parlimen PAS, iaitu Dr Burhanuddin al-Helmy (Besut), Othman Abdullah (Tanah Merah), Zulkifli Mohamad (Bachok) dan Khadijah Sidek (Dungun) telah berucap menyokong usul ini pada 11 Februari 1961. Lanjutan daripada itu juga, pada 26 Mei 1967, ekoran lulusnya Akta Bahasa Kebangsaan 1967, PAS melalui Abu Bakar Hamzah (Bachok) telah sekali lagi mengemukakan usul untuk menjadikan Melayu sebagai rupa bangsa bagi Malaysia, tetapi Gagasan PAS terus dipinggirkan sehingga tercetusnya tragedi 13 Mei 1969.
Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
10 Februari 2016
PADA hari ini dalam tahun 1988, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah mempersoalkan kedudukan Kerajaan BN di seluruh negara yang telah kehilangan majoriti di Parlimen dan juga DUN-DUN ekoran pengharaman Umno oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988. Kesan daripada perpecahan Team A dan Team Umno dalam pemilihan parti sekular itu pada 24 April 1987, Team B telah membawa Umno ke mahkamah untuk mengisytiharkan pemilihan parti tidak sah kerana turut disertai oleh 30 cawangan yang tidak berdaftar. 

Hakim Harun Hashim kemudiannya mengisytiharkan Umno sebagai pertubuhan yang haram 4 Februari 1988. Dengan pengharaman Umno selaku parti utama dan terbesar BN, telah menyebabkan BN kehilangan majoriti di Parlimen dan DUN kerana wakil Rakyat Umno telah menjadi wakil Bebas, sekali gus menghilangkan kelayakan mereka menjadi parti pemerintah.
Bertindak balas terhadap keadaan ini, Team B Umno telah menubuhkan parti Umno Malaysia dengan sokongan dua bekas Presiden Umno, Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Hussein Onn. Parti baru yang cuba didaftarkan pada 8 Februari 1988 ini telah ditolak permohonan mereka oleh Pendaftar Pertubuhan, sebaliknya permohonan Team A yang dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamed untuk mendaftarkan parti Umno Baru telah diluluskan pada 13 Februari 1988.

Bertolak dari pengharaman Umno ini, PAS telah mengambil beberapa langkah politik selain mempersoalkan sehahihan  BN sebagai kerajaan, iaitu menyeru orang Islam supaya bersatu di bawah payung PAS setelah Umno diharamkan, menyusun pertemuan dengan parti-parti pembangkang dan menubuhkan Jawatankuasa Khas yang dianggotai oleh Wan Mutalib Embong, Syed Ibrahim Abdul Rahman dan Dato' Hishsmuddin Yahya untuk mengkaji tindakan lanjut dari sudut undang-undang tentang kesahihan Kerajaan BN.

Lanjutan daripada ketidaktentuan Kerajaan BN ini, walaupun Umno Baru telah berjaya ditubuhkan, tetapi rata-rata bekas wakil rakyat Umno terutama di Kelantan adalah penyokong Team B yang dipimpin oleh Tengku Razaliegh Hamzah. Maka PAS Kelantan yang menguasai 10 dari 39 kerusi DUN telah mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Tan Sri Mohamed Yaacob, Menteri Besar Kelantan. Usul yang dikemukakan oleh Adun Banggol, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman pada 12 Mac 1988 ini walau bagaimanapun tidak mendapat sokongan Adun-adun Team B yang belum mempunyai pendirian politik yang jelas ketika itu walaupun Umno telah diharamkan.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
9 Februari 2016
PADA hari ini dalam tahun 1956, Rombongan Kemerdekaan ke London yang diketuai oleh Ketua Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra telah menandatangani 'Memorandum of United Kingdom' iaitu satu memorandum yang digubal oleh British tentang ciri-ciri negara merdeka bagi Tanah Melayu. Memorandum ini adalah dokumen utama yang menentukan corak negara Tanah Melayu merdeka dan tarikh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, termasuk asas penubuhan Suruhanjaya Reid untuk menggubal Perlembagaan Tanah Melayu.

Rombongan Kemerdekaan ini berada di London antara 18 Januari hingga 8 Februari 1956 untuk merundingkan perkara kemerdekaan. Walau bagaimanapun, pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam merumuskan bahawa "Tunku Abdul Rahman dan rombongannya tidak dapat berbuat banyak untuk menegakkan kehendak mereka" sebaliknya terpaksa mengikut sahaja "panduan tentang bentuk kerajaan, kerakyatan, kewangan dan pertahanan yang dirangka (oleh British)." Menurut Ramlah Adam lagi, Tunku Abdul Rahman tidak berkesan dalam rundingan ini kerana ia dikuasai oleh British.
Sebelum Rombongan Kemerdekaan bertolak ke London, PAS telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Keempat di Kota Bharu pada 26-28 Disember 1955 yang telah mempertegaskan sikap PAS yang menyokong penuh rombongan tersebut untuk merundingkan kemerdekaan negara. Dalam Ucapan Dasarnya, Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas Alias telah menggariskan prinsip-prinsip penting rundingan tersebut iaitu:

I. Berkerajaan sendiri dengan kemerdekaan penuh yang tidak lewat dari tahun 1959;
II. Memperjuangkan kemerdekaan mengikut lunas-lunas Perlembagaan yang tidak mengikut tafsiran penjajah;
III. Kebangsaan bagi Tanah Melayu hendaklah Melayu dan bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi;
IV. Rombongan Kemerdekaan jangan mencuaikan hak dan kedaulatan Melayu dalam semua perkara;
V. Islam mestilah dijadikan panduan pentadbiran dan perjalanan negeri sehingga terbentuk pemerintahan mengikut al-Quran, Sunnah dan Ijmak yang nyata; dan
VI. Menyokong menghapuskan jawatan Penasihat British.

Walaupun Tunku Abdul Rahman gagal mencapai hasrat PAS, bahkan hasrat Perikatan sendiri dalam rundingan yang berakhir pada 8 Februari 1956 kerana kelemahan beliau seperti yang digambarkan oleh Ramlah Adam ini, namun PAS tetap memberi sokongan kerana matlamat utama perjuangan PAS adalah memerdekaan tanah air bagi ditegakkan Negara Islam.

Namun di sebalik kegagalan rundingan ini dalam menentukan corak negara, Tunku Abdul Rahman telah mengelirukan rakyat dengan hanya memaklumkan bahawa Suruhanjaya Perlembagaan "have been agreed" sebagai tanda kejayaan rundingan dan Umno telah membesarkan tarikh 31 Ogos 1957 untuk menutup kelemahan mereka dalam rundingan yang ditandatangani pada 8 Februari 1956 ini. PAS pula telah berusaha untuk mempengaruhi Suruhanjaya Reid bagi memastikan hasratnya dicapai.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
8 Februari 2016
PADA hari ini dalam tahun 1996, PAS telah dikejutkan oleh pengesahan yang dibuat Setiausaha Agung Umno, Datuk Mohamed Rahmat bahawa beberapa pemimpin utama Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) telah bertemu dengan beliau dalam rangka mencari jalan untuk parti itu kembali bersatu dengan Umno. Pengesahan Setiausaha Agung Umno ini membuktikan PMS46 telah mengkhianati kerjasama yang dibentuk dengan PAS semenjak 1988.

Hubungan PAS-PMS46 telah mulai tergugat selepas Pilihan Raya Kecil Gua Musang pada 29 Ogos 1995 yang berlangsung serentak dengan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-41 pada 25-27 Ogos 1995. Beberapa isu pentadbiran Kerajaan Kelantan yang diikuti oleh konflik dengan istana dan tindakan Timbalan Menteri Besar II, Dato' Mohd Rozali Isohak yang telah mengkritik Kerajaan Kelantan, telah menyebabkan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Nik Abdullah Arshad mencadangkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 14 Oktober 1995 supaya hubungan dengan PMS46 dibuat kajian secara menyeluruh kerana ia telah merugikan PAS.
Dalam pada itu juga, PMS46 terus memberi tekanan kepada PAS, termasuk bertindak memboikot majlis angkat sumpah Ahli Majlis MPKB pada 30 Januari 1996. Pada 5 Februari 1996, PMS46 telah menghantar wakil mereka berunding dengan Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mendesak PAS supaya sentiasa berunding dengan PMS46 dalam menyusun dasar-dasar baru kerajaan, menandatangani perjanjian rasmi dengan PMS46, mengagihkan kuota jawatan 60:40, melaksanakan hudud dan melantik mufti sebagai Exco Kerajaan.

PAS walau bagaimanapun melihat desakan PMS46 ini tidak berasas kerana mereka juga berasa dalam barisan Exco Kerajaan Kelantan yang sama-sama berunding dan memutuskan dasar-dasar kerajaan. Semua pandangan PMS46 kepada kerajaan boleh disalurkan melalui Mesyuarat Exco.

Presiden PMS46, Tengku Razaliegh Hamzah pula pada 10 Februari 1996 telah menyatakan kesediaan mereka untuk kembali kepada Umno ekoran kenyataan Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamed pada 8 Februari 1996 bahawa Umno bersedia menerima semula PMS46. Dengan pengakuan Setiausaha Agung Umno pada 7 Februari 1996 bahawa PMS46 berhasrat untuk kembali kepada Umno, Lajnah Politik dan Pilihan Raya PAS pada 12 Februari 1996 telah mengkaji semula hubungan dengan PMS46 dan memutuskan untuk mengukuhkan Kerajaan Kelantan dengan meningkatkan Perlaksanaan Islam, membuka pintu keahlian kepada ahli-ahli PMS46, menyerahkan kerjasama dengan Berjasa dan Hamim. PAS kemudiannya, pada 14 Julai 1996 memutuskan secara rasmi hubungan dengan PMS46.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
7 Februari 2016
PADA hari ini dalam tahun 1983, PAS Kelantan telah mengadakan majlis taklimat khusus kepada semua peringkat pimpinan PAS di Kelantan untuk memperjelaskan isu perletakan jawatan Dato' Mohd Asri Haji Muda sebagai Yang Dipertua Agung PAS bersama beberapa pemimpin PAS yang lain, dan juga isu tindakan disiplin yang dikenakan ke atas Dato' Mohd Asri dan 12 orang pengikutnya. Taklimat ini telah dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat merangkap Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

Taklimat ini adalah rentetan daripada perletakan jawatan Mohd Asri pada 23 Oktober 1982, diikuti oleh beberapa tindakan kumpulan pengikutnya yang merugikan kepentingan parti. Pada 23 Januari 1983, Jawatankuasa Tatatertib PAS telah memecat keahlian Dato' Ishak Lotfi Omar dan Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad, di samping menggantung keahlian lapan orang yang lain iaitu Mohd Asri, Cikgu Mohd Fakharuddin Abdullah, Haji Hassan Mohamad, Abdul Hamid Saleh, Wan Ismail Ibrahim, Mohd Zahari Awang, Shaari Awang Ali dan Solahuddin Abdullah. Tiga orang lagi diberi amaran iaitu Cikgu Mohd Zain Abdullah, Wan Ibrahim Wan Abdullah dan Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim.
Dalam taklimatnya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjelaskan sebab-sebab mereka dikenakan tindakan. Mohd Asri antaranya telah menimbulkan kemarahan ahli-ahli PAS dengan melantik pimpinan yang tidak disukai ahli, membayangkan PAS akan bekerjasama dengan DAP dan BN, membentangkan Ucapan Dasar yang bercanggah dengan hasrat parti yang membawa kepada perpecahan dalam PAS. Selain itu, faktor gerakan kumpulan haram yang dibentuk oleh penyokong Mohd Asri telah memecahkan PAS dengan menuduh adanya konspirasi bertopengkan ulamak, mendakwa PAS dipengaruhi oleh Syiah dan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak sebagai organisasi haram dalam PAS.

Sebagai langkah untuk membendung kerosakan yang lebih besar, PAS telah mengambil tindakan disiplin ke atas mereka, walaupun ada usaha-usaha penyokong Mohd Asri untuk bersemuka dengan pimpinan baru PAS, selain cubaan untuk mendamaikan kedua-dua pihak.

Taklimat yang dibuat oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada 6 Februari 1983 ini telah melegakan ahli-ahli PAS yang selama ini dikelirukan oleh dakyah-dakyah yang dibuat oleh kumpulan serpihan ini, sedangkan mereka tidak memahami mengapa PAS bertindak sedemikian. Ucapan taklimat Tuan Guru Nik Abdul Aziz ini kemudiannya telah sebarkan kepada ahli-ahli PAS dengan judul 'Kemuncup Dalam Perjuangan'.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
6 Februari 2016
HARI INI DALAM SEJARAH PAS
KERAJAAN PR PERAK DIGULINGKAN DALAM RAMPASAN KUASA YANG TIDAK DEMOKRATIK (5 FEBRUARI 2009)
PADA hari ini dalam tahun 2009, Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Perak yang dipimpin oleh PAS telah tumbang dalam satu rampasan kuasa secara tidak demokratik oleh BN dengan menculik dan membeli Adun-adun PR untuk mendapatkan kuasa seperti yang pernah dilakukan di Terengganu dan Sabah sebelum ini. Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin telah dijatuhkan dari kerusinya apabila Sultan Perak, Paduka Sri Sultan Azlan Muhibuddin Shah menerima permohonan 27 Adun BN untuk membentuk kerajaan.
Kerajaan PR Perak mula tergugat apabila dua anggota Exco dari PKR, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) telah berpihak kepada BN setelah mereka dituduh mengambil rasuah sebanyak RM180 juta di Mahkamah Sesyen pada 25 Ogos 2008. Ekoran tindakan mereka menyokong BN pada akhir Januari 2009, Speaker DUN Perak, V. Sivakumar pada 1 Februari 2009 mengisytihar dua kerusi tersebut kosong berdasarkan surat akujanji mereka, tetapi SPR pada 3 Februari 2009 mengumumkan sebaliknya.
Dalam konflik politik ini, pada 25 Januari 2009, Adun Bota dari BN, Dato' Nasharuddin Hashim telah menyertai PKR, tetapi pada 4 Februari 2009, beliau muncul bersama-sama Adun Behrang dan Adun Changkat Jering dan Adun Jelapang dari DAP, Hee Yit Fong di Kuala Lumpur bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk menyatakan sokongan kepada BN. Dengan pengkhianatan empat Adun dari PKR dan DAP ini, BN kembali mendapat majoriti mudah dan memohon kepada Sultan Perak untuk menubuhkan kerajaan.
Permohonan Mohd Nizar untuk membubarkan DUN Perak pada 5 Februari 2009 telah ditolak oleh Sultan Perak, sebaliknya Baginda menitahkan supaya Menteri Besar Perak dan exconya meletakkan jawatan pada hari tersebut atau dianggap telah meletakkan jawatan. Keesokkannya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar perak yang baru dari BN
Mohd Nizar kemudiannya membawa kes ini ke mahkamah pada 13 Februari 2009 untuk menghalang Dr Zambry menjadi Menteri Besar Perak dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 April memberi laluan kepada Nizar untuk mencabar Zambry. Dalam tempoh ini, berlaku Sidang DUN di bawah pokok pada 3 Mac 2009 dan kekecohan di DUN Perak pada 7 Mac 2009 selepas sidang dirasmikan oleh Raja Dr Nazrin Shah, Raja Muda Perak.
Pada 11 Mei 2009, Nizar diisytiharkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai Menteri Besar yang sah, tetapi Zambry mengemukakan kes ini ke Mahkamah Rayuan pada 12 Mei 2009 dan dibenarkan kekal sebagai ketua kerajaan sehingga keputusan rayuan dibuat pada 22 Mei 2009. Dalam penghakiman pada 22 Mei 2009 itu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Dr Zambry adalah Menteri Besar yang sah dan mengikut Perlembagaan.
Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Nizar telah membawa kes ini ke Mahkamah Persekutuan pada 5 November 2009 di mana Panel Lima Hakim telah mendengar penghujahan dan kes ditangguh pada 5 Februari 2010. Kes ini berakhir dengan keputusan yang memihak kepada Dr Zambry pada 9 Februari 2010.
Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
5 Februari 2016
HARI INI DALAM SEJARAH PAS
PAS TOLAK KERJASAMA DENGAN DAP WALAUPUN MEMBENTUK PAKATAN DENGAN S46 (4 FEBUARI 1990)
PADA hari ini dalam tahun 1990, Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah mempertegaskan bahawa PAS tidak terbabit dalam kerjasama politik yang dibentuk antara S46 dengan DAP menjelang Pilihan Raya Umum 1990. Tindakan S46 mengadakan hubungan serentak dengan PAS melalui Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan DAP menerusi Gagasan Rakyat (GR) adalah strategi presidennya, Tengku Razaliegh Hamzah untuk membolehkan pembangkang menguasai Malaysia dalam Pilihan Raya Umum Kesembilan.
Isu kerjasama PAS-DAP telah timbul ekoran kenyataan Tengku Razaliegh pada 9 Disember 1989 tentang hubungan antara S46 dengan DAP sehingga memungkinkan PAS memutuskan hubungan dengan S46 atas sebab perbezaan dasar, terutama DAP yang menolak Negara Islam. Ekoran itu, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin S46 dan membayangkan bahawa PAS mengkaji semula hubungan kedua-dua parti jika S46 meneruskan hasrat membentuk pakatan politik dengan DAP.
Di pihak PAS sendiri wujud tentangan hebat terhadap S46 kerana bekerjasama dengan DAP, terutama Kumpulan Islah di Kelantan, PAS Kuala Selangor dan PAS Parit Buntar di Perak. Pihak Umno pula mengambil kesempatan menuduh PAS bekerjasama dengan DAP melalui S46 semasa Pilihan Raya Kecil DUN Pantai Merdeka pada 24 Mac 1990. Bendahari PAS Pusat, Cikgu Mustafa Ali sebaliknya menyatakan bahawa PAS akan membuat kajian hukum dan implikasi politik berkait kerjasama PAS-DAP ini, kerana PAS tidak mahu dikaitkan dengan DAP.
Menyedari konflik yang timbul inilah, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 10 Januari 1990 memutuskan untuk tidak mengkaji semula hubungan dengan S46 atas alasan parti itu berhak berkawan dengan sesiapa sahaja, tetapi PAS menasihati S46 supaya tidak terlalu terbuka dalam hubungan dengan DAP demi menjaga sensitiviti orang Melayu.
Ustaz Fadzil Mohd Noor pada 4 Februari 1990 telah mempertegaskan pendirian PAS ini kepada umum bahawa PAS tiada hubungan dengan DAP, sebaliknya S46 berhak terhadap dalam hubungan tersebut. Berlanjutan daripada itu, pada 12 Mei 1990, sebuah jawatankuasa yang dibentuk oleh PAS untuk mengkaji tahaluf siasi telah merumuskan keharusan hukum untuk PAS bertahaluf dengan DAP dalam isu kemanusiaan dan memberikan fokus kepada musuh yang sama.
Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
4 Februari 2016
HARI INI DALAM SEJARAH PAS
PAS GUBAL ATURAN DAN PERATURAN PEMILIHAN CALON PAS 1982 (3 FEBRUARI 1982)
PADA hari ini dalam tahun 1982, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menggubal dan meluluskan sebuah undang-undang kecil di bawah Perlembagaan PAS (Pindaan) 1973 yang dikenali sebagai Aturan dan Peraturan Pemilihan Calon PAS 1982 yang bertujuan untuk mengawal pemilihan calon-calon PAS dalam pilihan raya, khususnya Pilihan Raya Umum Keenam yang dijangka berlangsung pada Mac atau April 1982. Aturan dan peraturan ini pada asalnya dikemukakan oleh Dewan Ulamak PAS Pusat ekoran daripada masalah disiplin calon-calon dan wakil rakyat PAS yang berbangkit semenjak 1969.
Isu disiplin wakil rakyat yang tidak menghormati tatatertib parti ini berlaku selepas Pilihan Raya Umum 1969 di mana ada wakil rakyat PAS yang melompat parti dengan menyertai parti lain selepas memenangi pilihan raya. Dalam Pilihan Raya Umum 1974, terdapat pimpinan PAS yang bertanding sebagai calon Bebas. Selepas 1974 pula, terdapat wakil rakyat PAS yang memberi walak kepada rakan pakatan PAS dalam BN. Tidak kurang juga terdapat wakil rakyat yang mengkritik parti sendiri dalam krisis politiknya Kelantan pada 1977.
Sedangkan, dalam pilihan raya 1978, terdapat pemimpin PAS yang telah digugurkan sebagai calon telah bertindak menggunakan kedudukan dalam parti dan hubungan peribadi dengan pemimpin tertentu untuk terus menjadi calon walaupun ditolak oleh parti dan juga rakyat. Di Kelantan, faktor ini dikatakan menjadi sebab utama kekalahan PAS pada 1978 sehingga kehilangan kerajaan, selain kerana perpecahan dengan Berjasa.
Bertolak daripada masalah ini, Dewan Ulamak PAS Kelantan telah membuat satu memorandum berkait masalah calon, manakala Dewan Ulamak PAS Kedah pula menyediakan satu kertas kerja berkait isu yang sama pada 1981. Kedua-dua dokumen ini menjadi asas kepada Dewan Ulamak PAS Pusat yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengangkat memorandum kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS dengan sokongan Dewan Pemuda PAS Pusat. Sesetengah pemerhati politik berpendapat bahawa isu pemilihan calon ini timbul kerana adanya usaha untuk menyekat pengaruh Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda setelah beliau membuat lantikan parti untuk sesi 1981-1983 tanpa disyurakan dengan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS.
Ekoran daripada memorandum Dewan Ulamak PAS Pusat ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 26 November 1981 telah bergeser kerana Dato' Mohd Asri tidak bersetuju dan mahu menyerahkan urusan calon kepada Cikgu Ahmad Fakharuddin Abdullah selaku Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pilihan Raya PAS Pusat. Namun begitu, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membuat keputusan untuk membentuk Jawatankuasa Kecil bagi mengkaji memorandum Dewan Ulamak PAS Pusat supaya ia dijadikan Aturan dan Peraturan Pemilihan Calon PAS.
Jawatankuasa Kecil ini dianggotai oleh Pak Yusof Rawa (Pengerusi), Ustaz Fadzil Mohd Noor (Timbalan Pengerusi), Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, Syed Ibrahim Abdul Rahman, Wan Ismail Ibrahim dan Dato' Abu Bakar Umar sebagai ahli-ahli. Setelah memorandum ini disusun semula dan digubal sebagai Aturan dan Peraturan Pemilihan Calon PAS 1982, ia telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS Pusat pada 3 Februari 1982 dan menjadi panduan pemilihan calon-calon PAS dalam Pilihan Raya Umum pada 22 April 1982. PAS meletakkan 82 calon daripada 114 kerusi Parlimen dan 223 calon daripada 278 kerusi DUN di Semenanjung.
Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
3 Februari 2016
HARI INI DALAM SEJARAH PAS
HUDUD TIDAK AKAN DILAKSANAKAN SERTA-MERTA DI KELANTAN (2 FEBRUARI 1991)
PADA hari ini dalam tahun 1991, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mempertegaskan bahawa Kelantan tidak akan melaksanakan hukum hudud secara serta-merta, sebaliknya undang-undang syariat itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjelaskan hal demikian ekoran kritikan daripada pemimpin Umno dan juga oleh sesetengah pemimpin PAS yang mengatakan bahawa Kerajaan PAS Kelantan lebih mengutamakan perkara-perkara remeh dan PAS tidak mampu mentadbir.
Beberapa pemimpin PAS seperti Cikgu Musa Saleh, Yang Dipertua PAS Pasir Puteh dan Ustaz Omar Khalid, bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Besut telah mengkritik Kerajaan PAS Kelantan yang didakwa mereka sebagai gagal melaksanakan syariat Islam dalam pentadbiran, mengutamakan hal-hal yang kecil dan tidak mampu mentadbir kerajaan. Bagi mereka perlaksanaan Undang-undang jenayah syariah mesti diberikan keutamaan berbanding perkara lain yang mereka anggap remeh.
Bertolak dari kritikan-kritikan ini, kedua-dua pemimpin PAS ini telah keluar parti di mana Ustaz Omar Khalid telah menyertai Umno, manakala Cikgu Musa Saleh pula menubuhkan parti serpihan PAS, Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) pada 1994.
Di sebalik kritikan-kritikan ini, Kerajaan PAS Kelantan telah bertindak sebagai mana yang diputuskan oleh Jawatankuasa Undang-undang dan Perlaksanaan Syariat Kelantan pada 6 April 1991, supaya syariat dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula dengan undang-undang keluarga, diikuti oleh undang-undang pusaka, kontak dan tanah sehinggalah undang-undang jenayah. Untuk maksud inilah, Kerajaan PAS Kelantan telah bertindak melarang wanita bekerja malam dan menyertai musabaqah al-Quran, mengharamkan premis judi, memanjangkan tempoh cuti bersalin untuk wanita, arahan menutup aurat, memperkenalkan pinjaman tanpa faedah untuk kakitangan kerajaan, mengharamkan makyong, menora dan wayang kulit, memindahkan wang kerajaan ke Bank Islam dan sebagainya.
Dalam masa yang sama, PAS menerusi Jawatankuasa Undang-undang dan Perlaksanaan Syariat yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menyediakan draf pindaan Perlembagaan Negeri Kelantan pada 17 Mac 1991 sebagai persiapan melaksanakan undang-undang jenayah syariah. Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor dalam Ucapan Dasarnya pada 31 Mei 1991 sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-37 telah mempertegaskan bahawa perlaksanaan syariat di Kelantan akan dibuat secara tersusun dan berperingkat-peringkat mengikut perancangan dengan tidak mengenepikan aspek pembangunan, prinsip keadilan dan program-program yang dijanjikan dalam manifesto PAS.
Untuk maksud tersebut juga, draf Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan telah diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak PAS pada 7 November 1992, sebelum ia diseminarkan dalam satu seminar anjuran Semangat 46 di Hotel Federal, Kuala Lumpur pada 17 Oktober 1993. Pada 24 November 1993 ia dibentangkan di DUN Kelantan dan diluluskan sebagai undang-undang pada 25 November 1993. Pendekatan pentadbiran dan Perlaksanaan Islam yang diamalkan di Kelantan inilah yang dimaksudkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada 2 Februari 1991 sebagai melaksanakan syariat secara berperingkat-peringkat.
Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
2 Februari 2016
HARI INI DALAM SEJARAH PAS
PAS SERAH KEPADA MAHKAMAH KES KHALWAT MOHAMAD SABU (1 FEBUARI 1995)
PADA hari ini dalam tahun 1995, PAS telah menegaskan bahawa mereka tidak akan campur tangan, bahkan akan menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan kedudukan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Nilam Puri, Mohamad Sabu. Mohamad Sabu yang terkenal sebagai Mat Sabu yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah ditangkap khalwat dengan isteri pemandunya, Norma Abdul Halim di bilik 121, Hotel Perdana, Kota Bharu, pada pagi 31 Januari 1995.
Di sebalik serangan bertubi-tubi media massa dan pemimpin BN dalam isu khalwat ini, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menyifatkan isu ini sebagai satu konspirasi politik, sedangkan Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor mempertegaskan bahawa tindakan disiplin akan diambil ke atas Mat Sabu.
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) bagaimanapun telah menafikan wujudnya konspirasi dalam isu ini, sedangkan para pemimpin Umno mempersoalkan tindakan PAS mempertahankan pemimpin mereka yang terlibat dal isu moral seperti ini.
Di pihak PAS, walaupun telah menyerahkan kes ini kepada mahkamah, tetapi pada 21 Februari 1995, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah mengambil tindakan politik dengan menerima perletakan semua jawatan parti oleh Mat Sabu sebagai mengambil tanggungjawab dalam isu ini. Bahkan, PAS Pusat telah memutuskan untuk mengambil tindakan lanjut ke atas Mat Sabu setelah mahkamah membuat keputusan.
Kes ini kemudiannya disebut dalam Mahkamah Syariah Kota Bharu pada 21 Februari 1995, sebelum didengar oleh Kadi Besar Kelantan, Dato' Daud Mohamad pada 25-28 Mac 1995. Dalam penghakimannya pada 4-6 April 1995, Kadi Besar Kelantan itu telah membebaskan Mat Sabu tanpa dipanggil membela diri setelah pihak pendakwa gagal mengemukakan prima facie ekoran percanggahan ketegangan saksi.
Selain tindakan disiplin yang diambil oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat terhadap Mat Sabu, keputusan PAS pada 1 Februari 1995 yang menyerahkan kes ini ke mahkamah telah berjaya menyelamatkan imej PAS yang cuba dicalarkan oleh musuh-musuh politiknya menjelang Pilihan Raya Umum 1995 di mana parlimen telah dibubarkan pada 5 April 1995.
Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
1 Februari 2016

Rabu, 3 Februari 2016

SUDUT ILMIAH : HARI INI DALAM SEJARAH PAS ( 26 - 31 JANUARI )


SUDUT SEJARAH : HARI INI DALAM SEJARAH PAS
( 26 - 31 JANUARI )


HARI INI DALAM SEJARAH PAS
PAS ARAH BUAT KAJIAN TELITI SEBELUM SERTAI BN 
(26 JANUARI 1974)

PADA hari ini dalam tahun 1974, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengarahkan supaya Jawatankuasa Politik dan Ekonomi PAS Pusat dan Dewan Ulamak PAS Pusat memulakan kajian terperinci mengenai penyertaan PAS dalam BN dari sudut politik dan juga hukum syarak. PAS mengarahkan kajian terperinci ini adalah untuk menjadikan tindakan politik PAS bukan sahaja menguntungkan Islam, tetapi juga bertepatan dengan syarak.

Perkara ini berbangkit kerana Mesyuarat parti-parti yang menyertai kerajaan campuran pada 11 Januari 1974 telah mencadangkan kerjasama parti-parti tersebut dalam Pilihan Raya Umum 1974. Pendirian asal PAS ialah bersetuju dengan kerjasama parti-parti tersebut, tetapi tidak bersetuju menggunakan simbol yang sama sehingga identiti PAS hilang. Sebaliknya, parti-parti lain bersetuju supaya semua parti bertanding atas nama Barisan Nasional (BN).

Dewan Ulamak PAS Pusat pada 27 Januari 1974, setelah membuat kajian teliti, telah memutuskan keharusan penyertaan PAS dalam BN dengan syarat:
I. Dengan maksud khusus untuk menjayakan perjuangan mengisi tujuan-tujuan PAS;
II. Tidak menghilangkan identiti PAS; dan
III. PAS dikenali dengan simbolnya sendiri, walaupun bersatu atas platform. 

Jawatankuasa Politik dan Ekonomi PAS Pusat pula setelah meneliti Perlembagaan BN dan mengkaji dari sudut politik, pada 16 February 1974 telah bersetuju supaya pindaan Perlembagaan BN dibuat terhadap perkara-perkara yang penting dan tidak merugikan PAS. Dengan asas yang dibina dari kajian-kajian ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju supaya PAS turut serta dalam BN yang ditubuhkan pada 1 Jun 1974.

Dengan keputusan Jawatankuasa Kuasa Kerja Agung PAS ini, PAS telah menyertai BN untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Keempat pada 24 Ogos 1974, tetapi ia telebih dahulu ia diterima dan diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-20 pada 13-15 Jun 1974. Ketegasan sikap PAS dalam membentuk pendirian politik seperti yang dibuat ketika menyertai BN ini adalah untuk mengelakkan tindakan yang bercanggah dengan syarak dan merugikan politik Islam.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
26 Januari 2016



HARI INI DALAM SEJARAH PAS
PAS MEMAKLUMKAN TENTANG USAHA PENGHARAMAN SIMBOL ISLAM DALAM PILIHAN RAYA 
(27 JANUARI 1972)

PADA hari ini dalam tahun 1972, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Abu Bakar Hamzah telah mengeluarkan pekeliling kepada jentera PAS di semua peringkat untuk memaklumkan kesan daripada pindaan Akta Pilihan Raya 1958 yang bertujuan mengharamkan penggunaan simbol mana-mana agama dalam pilihan raya. Sasaran utama mereka ialah untuk mengharamkan simbol Islam yang iaitu perkataan "Allah Muhammad" dan "Bulan Bintang" yang menjadi simbol PAS.

Sebelum itu, pada 7 Ogos 1971, Pemangku Pendaftar Pertubuhan telah memaklumkan kepada PAS tentang penggunaan nama "Parti Islam" selain simbol Bulan Bintang dan bendera yang tertulis Allah Muhammad sebagai mengelirukan orang ramai. Hal ini telah memaksa PAS mengubah unsur-unsur tersebut dari partinya.

Rentetan daripada itu, dengan berasaskan tragedi 13 Mei 1969, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato Mohamed Yaacob telah memberi tahu Dewan Rakyat pada 4 Februari 1974 ketika membentangkan Rang Undang-undang Pindaan Akta Pilihan Raya, bahawa penggunaan simbol agama adalah "lebih berbahaya daripada eksploitasi terhadap perkara-perkara perkauman" dan "boleh mendatangkan bahaya kepada keamanan dan keselamatan negara." 

Akibat dari sekatan ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 24 Julai 1972 telah menggugurkan perkataan "Allah Muhammad" pada bendera PAS dan menggantikan "Bulan Bintang" dengan bulatan putih berlatar belakang hijau sebagai simbol PAS. Pindaan ini diputuskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-18 pada 28-29 Julai 1972 dan diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 24 Februari 1973.

Pemakluman awal yang dibuat oleh Setiausaha Agung PAS pada 27 Januari 1972 ini adalah satu persiapan mental yang awal kepada seluruh jentera PAS kerana undang-undang baru ini akan menghilangkan identiti PAS sebelumnya, walaupun Kerajaan tidak pernah membuktikan bagaimanakah simbol-simbol Islam itu boleh menggugat keselamatan negara.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
27 Januari 2016




HARI INI DALAM SEJARAH PAS 
DR BURHANUDDIN AL-HELMY DITAHAN ISA 
(28 JANUARI 1956)

PADA hari ini dalam tahun 1965, Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy Mohd Noor telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas tuduhan bersubahat merancang penubuhan kerajaan dalam buangan di Karachi untuk menggulingkan Kerajaan Malaysia secara tidak demokrasi. Dr Burhanuddin telahmenafikan keterlibatannya dan juga PAS dalam kegiatan subversif ini, sebaliknya mendakwa beliau telah menjadi mangsa politik musuh-musuhnya. 

Pendirian PAS yang menolak penubuhan Malaysia dalam Mesyuarat Agung Khas PAS pada 15 Oktober 1961, sebaliknya mencadangkan penubuhan Melayu Raya telah menyebabkan PAS dituduh anti-Malaysia. Kerana isu Brunei kemudiannya, Indonesia telah melancarkan kempen Ganyang Malaysia! Konfrontasi Indonesia-Malaysia telah menyebabkan agen-agen negara jiran itu menyelusup ke Tanah Melayu. 

Menurut kertas putih kerajaan, tokoh-tokoh politik pembangkang telah terlibat menyokong Indonesia. Antara yang dituduh sebagai perancang utama termasuklah Naib Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Raja Mohd Hanifah Abdul Ghani yang ditahan ISA pada 26 Januari 1965. Dr Burhanuddin al-Helmy telah dibebaskan pada 14 Mac 1966 tetapi dikenakan pula sekatan politik sehingga 22 September 1969. Ekoran penahanan ini, pada 29 Januari 1965, Menteri Besar Kelantan yang juga Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah memangku jawatan utama PAS ini. 

Di sebaliknya penafian Dr Burhanuddin al-Helmy yang beliau terlibat dengan kegiatan subversif ini, pihak Kerajaan Perikatan yang menahan beliau tidak pernah membuktikan tuduhan tersebut di mahkamah, sebaliknya Kerajaan hanya mengeluarkan kertas putih bertajuk 'A Plot is Exposed' pada 27 Februari 1965. Akibat penahanan dan siksaan semasa berasa di bawah ISA ini, Dr Burhanuddin al-Helmy telah jatuh sakit yang membawa kepada kematian beliau pada 25 Oktober 1969. 

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
28 Januari 2016



HARI INI DALAM SEJARAH PAS 
DATO' ASRI CADANG PAS BENTUK KERJASAMA DENGAN DAP 
(29 JANUARI 1981) 

PADA hari ini dalam tahun 1981, Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah melontarkan pandangan bahawa PAS boleh bekerjasama dengan DAP dalam menghadapi pengundi bukan Melayu sebagai mana PAS pernah menyertai BN sebelumnya (1974-1977) yang turut dianggotai parti bukan Melayu seperti MCA dan MIC. Pandangan Mohd Asri ini merupakan satu strategi politik PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1982. 

Hakikat kepentingan pakatan politik dengan orang bukan Melayu telah disedari oleh PAS terutama selepas tragedi 13 Mei 1969 ekoran pertambahan mendadak rakyat bukan Melayu di negara ini selepas merdeka. PAS telah menyertai Kerajaan Campuran dengan Perikatan pada 1973 dan membentuk BN pada 1 Jun 1974 yang turut disertai oleh parti-parti bukan Melayu seperti MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak. 

Walau bagaimanapun, cadangan Mohd Asri telah mendapat kritikan keras daripada pimpinan dan ahli PAS terutama di Kelantan dan Terengganu. Yang paling lantang menentang kerjasama PAS dengan DAP ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana menganggap kerjasama dengan DAP ini boleh memesongkan aqidah ahli-ahli PAS. Dewan Pemuda PAS Pusat yang dipimpin oleh Cikgu Mustafa Ali turut menentang cadangan ini dan mendesak Mohd Asri meletakkan jawatan.

Di kalangan ahli-ahli PAS, tindak balas terhadap cadangan Mohd Asri ini bukan sahaja berlaku dalam bentuk tentangan, tetapi telah membawa kepada pencalonan Haji Yusof Rawa sebagai Yang Dipertua Agung PAS yang baru dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-27 kerana beliau berpegang bahawa PAS tidak patut bekerjasama dengan DAP. Namun, Pak Yusof Rawa hanya bertanding jawatan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS sahaja pada 1981 dan menang.

Ekoran respon negatif pimpinan dan ahli PAS ini, Mohd Asri telah mendedahkan bahawa PAS belum membuat sebarang rundingan dengan DAP dan PAS tiada niat bekerjasama dengan DAP. Pun begitu, kenyataan Yang Dipertua Agung PAS pada 29 Januari 1981 ini telah menjadi sebab Muktamar Tahunan PAS pada 17-19 April 1981 meluluskan usul supaya PAS meluaskan dakwah kepada orang Cina yang akhirnya membawa kepada penubuhan Majlis Perunding Cina (CCC) pada awal 1986. Mohd Asri sendiri dalam ucapan dasarnya telah berharap supaya PAS tidak bekerjasama dengan DAP kerana ia boleh menjadi modal politik BN. 

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
29 Januari 2016



HARI INI DALAM SEJARAH PAS 
PAS KELANTAN LUCUTKAN JAWATAN PENGGERAK KUMPULAN ISLAH (30 JANUARI 1990) 

PADA hari ini dalam tahun 1990, Badan Perhubungan PAS Kelantan telah bertindak melucutkan semua jawatan yang pegang oleh penggerak Kumpulan Islah, iaitu sekumpulan ahli PAS yang menentang kerjasama PAS dengan Semangat 46 (S46). Kumpulan Islah ini wujud pada awal 1989 setelah PAS bersetuju membentuk kerjasama politik dengan serpihan Umno. 

Sepanjang rundingan antara PAS dan S46 yang dipimpin oleh Tengku Razaliegh Hamzah, kumpulan ini telah beranggapan bahawa serpihan Umno ini sebagai kelompok yang sesat, sedangkan pemimpin PAS melihat mereka sebagai sasaran dakwah (mad'u) yang mempunyai potensi membantu PAS dalam politik. Antara tokoh utama Kumpulan Islah ialah Ustaz Mohd Nor Idris dan Ustaz Mustapha Taib yang merupakan pimpinan Dewan Ulamak PAS Pusat. Mereka berpegang bahawa kerjasama dengan S46 hanya melahirkan kemenangan tempelan, bukannya kemenangan sejati. 

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menegur sikap mereka yang mengkafirkan ahli-ahli Umno. Sedangkan Dewan Ulamak PAS membahagikan ahli Umno kepada tiga golongan. Kelompok yang menolak hukum Islam secara sedar sahaja dianggap sesat kerana perbuatan mereka, sedangkan yang lain menjadi sasaran dakwah PAS. 

Sebahagian ahli utama Kumpulan Islah adalah ahli-ahli Badan Perhubungan PAS Kelantan iaitu Ustaz Mawardi Ahmad (Timbalan Pesuruhjaya), Sabri Mohamad (Setiausaha Perhubungan), Ustaz Ismail Noh (Bendahari) serta Ustaz Mustapha Taib, Ismail Abdullah dan Wan Daud Wan Jusoh sebagai Ahli Jawatankuasa Perhubungan. Pada 26 Februari 1989, mereka telah diberikan amaran supaya menghentikan kegiatan ini atau mereka berhenti daripada Badan Perhubungan PAS Kelantan. Ekoran itu, dalam sesi 1989/1991, nama mereka telah digugurkan daripada badan tersebut. 

Oleh kerana penentangan terbuka terus berlaku oleh Kumpulan Islah terhadap kerjasama PAS-APU, pada 7 Ogos 1989, satu pertemuan telah diadakan oleh mereka dengan Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Rusila, tetapi gagal meredakan keadaan. Sebaliknya mereka terus menentang PAS dengan mengadakan majlis di Bechah Mulong, Kota Bharu pada 17 Ogos 1989. 

Setelah beberapa siri rundingan gagal, PAS Kelantan telah membuat laporan tatatertib terhadap 10 orang aktivis Kumpulan Islah iaitu Ustaz Mawardi Ahmad, Sabri Mohamad, Ustaz Ismail Noh, Ustaz Mohd Nor Idris, Ustaz Mustapha Taib, Ustaz Wan Ismail Ahmad, Ustaz Wan Daud Wan Jusoh, Ismail Abdullah, Kamarulzaman Ismail dan Mohamad Awang Mat. 

Kesemua 10 orang ahli PAS ini telah diberikan surat tunjuk oleh Jawatankuasa Tatatertib PAS pada 5 November 1989, yang diikuti oleh pemecatan tiga daripada mereka iaitu Ustaz Mohd Nor Idris, Ustaz Wan Ismail Ahmad (Wan Semail Machang) dan Ustaz Wan Daud Wan Jusoh. Untuk melicinkan perjalanan parti, PAS Kelantan pada 30 Januari 1990 telah melucutkan semua jawatan Sabri Mohamad, Ustaz Mustapha Taib dan Ustaz Ismail Noh dalam beberapa jawatankuasa peringkat Perhubungan PAS Negeri. 

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
30 Januari 2016



HARI INI DALAM SEJARAH PAS 
UMNO MAHU BERUNDING DENGAN PAS UNTUK REDAKAN KETEGANGAN POLITIK (31 JANUARI 1986) 

PADA hari ini dalam tahun 1986, Umno telah menyatakan kesediaan mereka untuk berunding dengan PAS pada bila-bila masa bagi mencari persefahaman demi kepentingan umat Islam di negara ini. Tawaran rundingan ini dibuat oleh Ketua Pemuda Umno yang juga Menteri Pendidikan, Anwar Ibrahim sebagai reaksi terhadap ketegangan politik antara PAS dan Umno ketika itu. 

Ketegangan ini berlaku sejak kegagalan Debat PAS-Umno pada akhir 1984, yang menyebabkan isu adalah Malaysia sebuah Negara Islam tidak dapat diselesaikan. Pada 22-23 September 1985, YADIM telah menganjurkan Muktamar Tentang Konsep Negara Islam yang telah merumuskan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Islam. 

Sedangkan pada 6 Oktober 1985, PAS pula menganjurkan Simposium Negara Islam. Ketika merasmikan simposium ini, Yang Dipertua Agung PAS, Pak Yusof Rawa telah mempersoalkan resolusi muktamar anjuran YADIM tersebut. Simposium ini kemudiannya menolak anggapan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Islam. 

Pada 19 November 1985, tercetus Tragedi Memali yang menimbulkan isu adakah Ustaz Ibrahim Libya syahid atau sebaliknya. Majlis Fatwa Kedah dan Majlis Fatwa Kebangsaan mengatakan tidak syahid atas alasan Malaysia adalah Negara Islam. Pimpinan PAS yang menganggap Malaysia bukan Negara Islam, berpegang sebaliknya. Manakala pemimpin Umno pula mengaitkan ketegangan ini dengan Amanat Haji Hadi, sehingga Dr Mahathir pada 30 Januari 1986 telah mengancam untuk mengambil tindakan ke atas ahli PAS. 

Di sebalik ketegangan yang tidak boleh dijawab secara ilmiah oleh Umno ini, Ketua Pemuda Umno, Anwar Ibrahim telah membuka pintu rundingan kepada PAS pada 31 Januari 1986 untuk meredakan keadaan, walaupun Dr Mahathir sendiri tidak menunjukkan sikap yang positif. Namun, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 13 Februari 1986 telah menyatakan persetujuan untuk berunding dengan Umno bagi mencari titik kebenaran dalam isu ini. 

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
31 Januari 2016

jambori amal kuala kangsar 2008