Khamis, 18 Januari 2018

MINDA PRESIDEN PAS : JATI DIRI UMAT BERSAMA BAHASANYA

Minda Presiden PAS
JATI DIRI UMAT BERSAMA BAHASANYA

Firman Allah:
وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٤ إبراهيم
“Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya), juga memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Ibrahim: 4)
Beginilah Allah meletakkan acuan membina syakhsiah atau jati diri manusia dengan ilmu dan pendidikan melalui ilmu wahyu dengan bahasa ibunda masing-masing, maka beginilah juga Allah menetapkan kepada manusia menuntut ilmu duniawi melalui akal, pengalaman dan kajian.
Bahasa bagi sesuatu bangsa menjadi alat paling memudahkan mendapat ilmu secara lisan dan tulisan, serta mengembangkannya di kalangan bangsanya, bukan sahaja sekadar hubungan perbualan biasa di kalangan meraka sahaja.
Islam di akhir zaman diwahyukan Kitab Suci Al-Quran menjadi mukjizat ilmu itu dengan Bahasa Arab yang dituturkan oleh Rasulullah S.A.W yang dilantik Allah dan generasi pertama yang diajak kepadanya dan menerima ilmunya.
Wahyu pertama ialah firman Allah:
ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ ١ خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ مِنۡ عَلَقٍ ٢ ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ ٣ ٱلَّذِي عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ ٤ عَلَّمَ ٱلۡإِنسَٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ ٥ العلق.
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Dia menciptakan manusia dari sebuku darah; (2) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3) Yang mengajar manusia melalui Qalam (alat tulisan); (4) Yang mengajar manusia apa yang manusia tidak tahu (jahil). (5)” (Surah Al-‘Alaq: 1-5)
Al-Quran dibaca dan ditulis dengan Bahasa Arab yang tinggi dari segi ilmunya. Banyak perkataan tidak mampu mencapai maksud yang sebenar kalau diterjemah dengan hanya satu perkataan sahaja dalam bahasa lain seperti kalimah Allah, ibadat, jihad, zikir, tasbih dan lain-lain. Al-Quran juga menjadi mukjizat dasar dan konsep bagi semua ilmu termasuk ilmu duniawi yang menjadi petunjuk dan menentukan sempadannya untuk memberi manfaat dan menolak mudarat.
Umat Islam diperintah oleh Rasulullah S.A.W mengambil ilmu duniawi daripada berbagai bangsa yang bertamadun, sabdanya:
الْكَلِمَةُ الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ حَيْثُمَا وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا سنن ابن ماجه
“Kebijaksanaan itu laksana barang tercicir kepunyaan orang yang beriman. Maka di mana sahaja dia menemuinya maka dialah paling berhak mengambilnya” (Sunan Ibnu Majah)
Apabila umat Islam keluar daripada Semenanjung Tanah Arab, maka bukanlah semua ilmuan Islam mempelajari bahasa asing. Apa yang dilakukan adalah gerakan penterjemahan oleh kalangan berbagai bangsa yang menganut Islam menterjemahkan ilmu daripada semua bangsa yang telah bertamadun itu ke dalam Bahasa Arab yang menjadi bahasa rasmi umat Islam, atau hanya beberapa orang penganut Islam yang mengetahui bahasa asing menterjemahkan ilmu itu mengikut bahasa penganut Islam.
Langkahnya adalah meramaikan ilmuan berbagai lapangan di kalangan umat Islam dengan mudah dan cepat melalui Bahasa Arab atau bahasa masing-masing. Maka terciptalah Hadharah Islamiyah (Tamadun Islam) melalui ilmu duniawi berprinsip dan berkonsepkan Islam, bukannya Islam Hadhari yang mahu mengheret ajaran Islam bersama tamadun yang sesat itu.
Eropah Kristian yang tertarik kepada Tamadun Islam mengutuskan beberapa orang sahaja dalam kalangan Orientalis yang mempelajari Bahasa Arab, bukan semua mereka itu mempelajari Bahasa Arab. Lalu mereka mengambil ilmu duniawinya sahaja daripada umat Islam tanpa ilmu wahyu yang menjadi petunjuk.
Kemudian mereka terjemahkan ilmu duniawi itu ke dalam bahasa masing-masing berkonsepkan sekularisma dalam masyarakatnya. Maka tercipta kemajuan sains dan teknologi yang pesat di kalangan mereka, sehingga mencetuskan Revolusi Industri yang menguatkan penjajahan dan berakhir dengan berbagai-bagai kemusnahan dan keruntuhan sehingga kini, kerana ilmunya tanpa hidayah.
Kita menyaksikan Jerman dan Jepun yang kalah dalam Perang Dunia Kedua sehingga musnah segala bangunan dan industrinya, termasuk dikenakan syarat yang ketat oleh Negara Berikat yang menang, tiba-tiba bangkit semula dengan bahasa masing-masing. Begitu juga China yang menjadi kuasa besar sekarang meletakkan acuan pelajaran dan pendidikannya ke dalam bahasa kebangsaan, hanya beberapa orang yang terpilih mempelajari bahasa asing. Semua negara itu melahirkan ramai ilmuan di kalangan mereka tanpa banyak menghabiskan masa dan tenaga rakyatnya mempelajari bahasa asing.
Selain itu juga, sejarah tamadun Islam di Nusantara menggunakan Bahasa Melayu yang bertulisan huruf Arab bersama pengaruh Islam sehingga Bahasa Melayu menjadi bahasa yang terbesar di rantau ini. Malangnya dimusnahkan selepas kedatangan penjajah melalui sistem pendidikan dan pelajaran yang sengaja dicipta untuk melumpuhkan jati diri Islam. Pada masa yang sama, diambil langkah menghapuskan pengaruh Islam atau membaratkan penganut Islam, bukan sahaja budayanya, bahkan termasuk bahasanya sama ada dimusnahkan atau menjadi bahasa rojak yang bercelaru.
UNESCO telah membuat kajian bahawa negara yang meninggalkan bahasanya sendiri gagal mencapai kemajuan yang pesat dan terus bergantung dengan pihak lain tanpa merdeka.
Generasi awal negara selepas mencapai kemerdekaan telah mengambil langkah positif untuk kembali semula memperkasakan Bahasa Melayu melalui sistem pendidikan kebangsaan dengan menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), disamping melakukan perubahan terhadap institusi pendidikan di semua peringkat supaya Bahasa Kebangsaan menjadi bahasa ilmu sehinggalah berakhir tahun 70-an.
Malangnya pada tahun 80-an dilakukan perubahan, sekali pandang ke Timur, sekali ke arah Barat, akhirnya dihanyutkan oleh ribut globalisasi berslogankan Order Baru Dunia yang ditiupkan oleh Presiden Bush iaitu Bahasa Inggeris hendaklah menjadi bahasa dunia.
Kita ikut berenang bersama arus itu, sehingga Bahasa Inggeris menjadi kebanggaan kita. Tulisan Bahasa Kebangsaan dipinggirkan sedikit demi sedikit sehingga menjadi makin halus di papan tanda perniagaan dan jalan raya.
Kita menyaksikan juga betapa para pemimpin kuasa besar berucap dengan bahasa kebangsaan masing-masing dipersidangan antarabangsa yang terbesar atau kecil seperti PBB dan majlis rasmi bersama tetamu asing. Tinggallah pemimpin dunia ketiga, sama ada yang sedang membangun atau terus terduduk tanpa bangun meninggalkan bahasanya, mereka sangat bangga berucap dengan bahasa penjajah masing-masing. Inilah kesan dan pengaruh penjajah yang masih menghantui pemikiran masing-masing.
Tanpa dinafikan perlunya mengetahui berbagai bahasa dunia itu dan penting untuk menimba ilmu sebanyak-banyaknya dariapada bangsa lain, tetapi mengilmukan rakyat dan negara masing-masiang hendaklah dengan bahasanya sendiri.
Rakyat akan mendapat ilmu dengan mudah sehingga tidak ada rakyat yang tertinggal atau terpinggir daripada pendidikan dan pelajaran termasuk yang kurang upaya. Menjadikan rakyat semuanya berperanan, bak kata orang tua:
“Yang gagah menumbuk padi, yang buta menghembus lesung dan yang tempang menghalau ayam”.
Jangan yang berpendidikan tinggi hanya segelintir, ada yang tidak pulang kerana tiada tempat di tanah air sendiri dan ada juga menjadi penganggur.
Walaupun masih ramai beranggapan bahawa peranan bahasa hanya kecil sahaja, tetapi perhatikan betapa peranannya yang dipandang sepi ini dapat mempengaruhi generasi kini yang lemah jati dirinya sedang dilanda badai media baru langit terbuka tanpa sempadan, menunjukkan angka peserta pusat serenti berlipat kali ganda daripada jumlah ke universiti, kerana kemampuan bahasa asingnya tidak mencapai ke tahap menguasai ilmu.
Lebih malang bagi Bahasa Kebangsaan kita, apabila konsep penswastaan dilaksanakan dengan meluas di lapangan institusi pendidikan yang menjadikan perniagaan adalah matlamat pendidikan, bukannya dakwah dan pembangunan insan.
Ada yang sangat gembira dengan penubuhan universiti asing dan menggunakan bahasa asing serta kedatangan pelajar-pelajar asing kerana melihat banyak duit yang datang, bukannya melihat penyakit yang diundang sehingga duit itu terpaksa dihanguskan pula untuk mencegah dan mengubati kesan negatif yang lebih besar daripada positifnya. Demikianlah perangai manusia yang disifatkan oleh Rasulullah S.A.W:
مَثَلِي وَمَثَلُكُمْ كَمَثَلِ رَجُلٍ أوْقَدَ نَاراً فَجَعَلَ الجَنَادِبُ والفَرَاشُ يَقَعْنَ فِيهَا وَهُوَ يَذُبُّهُنَّ عَنْهَا، وَأَنَا آخذٌ بحُجَزكُمْ عَنِ النَّارِ، وَأنْتُمْ تَفَلَّتونَ مِنْ يَدَيَّ )رواه مسلم(
.
“Bandingan hubungan aku dan kamu laksana seorang yang menyalakan api, menyebabkan serangga belalang dan kelkatu menjatuhkan diri ke dalamnya, sedangkan aku mahu menghalangnya, sehingga aku memegang baju dan seluar kamu supaya jangan jatuh ke dalam api itu, sedangkan kamu merentap melepaskan diri daripadaku”
Allah menciptakan berbagai bangsa dan bahasa menjadi tanda kebesarannya. Firman Allah:
وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفُ أَلۡسِنَتِكُمۡ وَأَلۡوَٰنِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّلۡعَٰلِمِينَ ٢٢ الروم
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan” (Surah Ar-Rum: 22)
Manusia tidak mungkin meminda ketetapan Allah, bahkan sepatutnya bersyukur dengan ketetapan Allah kepada diri masing-masing. Maka Islam tidak memaksa bangsa yang menganut Islam menukar bangsa, warna kulit dan bahasanya, sebagaimana tidak boleh memaksa bukan Islam menganut Islam sendiri. Bahkan ilmu agama Islam juga boleh dipelajari dengan bahasa masing-masing, namun bagi mendalaminya hanya yang terpilih mempelajari Bahasa Arab.
Ibadat sembahyang yang diwajibkan bacaannya dengan Bahasa Arab, tetapi ilmu sembahyang dipelajari dengan bahasa masing-masing. Begitulah seorang yang mahu mengerjakan haji di Makkah tidak dipaksa mempelajari Bahasa Arab sebagai rukun dan syarat hajinya, termasuk yang buta huruf sah hajinya, menjadikan jamaah haji semakin ramai. Selain itu, para ulama mengesahkan status Islam seseorang dengan Dua Kalimah Syahadah yang diucapkan terjemahan dalam bahasanya dan mereka yang tidak mampu langsung melafazkan bacaan solatnya dalam Bahasa Arab diizinkan juga dengan bahasanya.
Bangsa bukan Arab yang mengambil alih kepimpinan Negara Islam yang besar, seperti Turki, Kurdis dan Mongol kekal dengan bahasa masing-masing dan menjadi bahasa rasmi negara bersama Bahasa Arab bagi mendalami ilmu syariat secara langsung daripada Al-Quran dan Sunnah. Namun tamadun duniawinya kekal dalam bahasa kebangsaan.
Malangya ada pemimpin kita yang pernah berhasrat mewajibkan Bahasa Inggeris dalam sistem pelajaran dan pendidikan kita kononnya untuk kemajuan negara. Lebih parah lagi apabila mahu menjemput tenaga pengajar asing dan menyediakan peruntukan kewangan yang sepatutnya boleh digunakan dalam perkara yang lebih bermanfaat kepada negara dan rakyat.
Cukuplah Wawasan 2020 sudah tinggal dua tahun sahaja lagi umurnya, tetapi kemajuan kita masih bernyawa ikan yang ditangkap, bukannya ikan di air bebas. Namun Allah sentiasa membuka pintu taubatnya laksana seluas muka bumi ini daripada Timur hingga ke Barat atau sepanjang umur manusia daripada umur baligh sehingga nyawa berada di kerongkong. Jangan salahkan orang lain, salahkanlah diri sendiri.
Kata Khalifah Umar R.A.
الرجوع إلى الحق خير من التمادي في الباطل
“Sesungguhnya kembali kepada kebenaran itu lebih baik daripada berterusan di dalam kebatilan”
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 1 Jamadil Awal 1439 / 18 Januari 2018

Rabu, 17 Januari 2018

PRESIDEN PAS : KETUA EKSEKUTIF YANG MELAKSANAKAN DASAR PAS

ENSIKLOPEDIA HARIAN PAS 2018
PRESIDEN PAS: KETUA EKSEKUTIF YANG MELAKSANAKAN DASAR PAS

KETUA pentadbir atau eksekutif yang menjalankan dasar-dasar PAS dikenali sebagai Presiden PAS. Dalam organisasi PAS, terdapat dua jawatan utama dan tertinggi iaitu Mursyidul Am PAS dan Presiden PAS. Mursyidul Am adalah ketua Majlis Syura Ulamak PAS, badan pembuat dan pengawal dasar bagi PAS, sekali gus tugas utama Mursyidul Am PAS adalah untuk membuat dan mengawal dasar PAS, sedangkan Presiden PAS mengetuai Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, iaitu jawatankuasa eksekutif yang tertinggi dalam, di mana PAS mempunyai jawatankuasa eksekutif di peringkat negeri, kawasan dan cawangan, selain stuktur eksekutif yang wujud di peringkat dewan-dewan ulamak, pemuda, muslimat dan himpunan penyokong.
Sebagai pemimpin utama parti, Presiden PAS memainkan peranan terpenting sebagai penggerak, teras, sumber ilham dan ideolog, sekaligus sentiasa memberi nafas baru terhadap kemajuan dan perkembangan PAS. Antara tugas umum sebagai ketua organisasi termasuklah menjalan seluruh aktiviti parti dan memastikan jentera parti di semua peringkat bergerak, mempengerusikan semua mesyuarat jawatankuasa yang diketuainya, membuat penilaian dan perancangan dalam melaksanakan dasar-dasar PAS. Semua Presiden PAS bertanggungjawab secara umum dalam soal ini, tetapi Perlembagaan PAS sendiri telah menggariskan secara jelas apakah fungsi dan peranan Presiden PAS sebagai ketua.
Menurut Fasal 26(1) Perlembagaan PAS (Pindaan) 2011, Presiden PAS mempunyai lima peranan dan tanggungjawab utama dalam memimpin PAS, iaitu i) bertanggungjawab sebagai ketua bagi melaksanakan pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS bagi mencapai tujuan-tujuan yang termaktub dalam Perlembagaan PAS mengikut dasar yang diperuntukkannya dan diputuskan oleh mana-mana badan yang diberi kuasa oleh Perlembagaan PAS bagi menghurai, menjelas dan mentafsirkan dasar PAS serta membuat ketetapan-ketetapan mengenainya; ii) Bertanggungjawab ke atas semua kerja dan urusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat serta menyelaras tugas-tugas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Ketiga, melantik Setiausaha Agung, Penolong-penolong Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan, Ketua Pengarah Pilihan Raya, Ahli-ahli Jawatankuasa yang dilantik di peringkat Pusat serta Pesuruhjaya PAS Negeri/Wilayah Persekutuan menurut peruntukan-peruntukan Perlembagaan di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Keempat, mengambil apa-apa jua langkah yang perlu bagi menjamin perpaduan, persefahaman dan kesungguhan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dalam menjalankan tugas masing-masing; dan kelima, menetap dan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Jawatankuasa Harian PAS Pusat. Presiden PAS juga bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kewangan PAS mengikut Fasal 76(2)(a) Perlembagaan PAS (Pindaan) 2011.
Dari segi sejarah, jawatan ketua eksekutif PAS ini pada awal dikenali sebagai “Yang Dipertua PAS” sejak penubuhan PAS pada 1951, tetapi ekoran tumbuhnya Cawangan-cawangan PAS mulai 1952, di mana ketua cawangan (sekarang kawasan) juga dikenali sebagai Yang Dipertua PAS. Maka Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kedua pada 26-27 Ogos 1953 telah memutuskan bahawa jawatan ini dikenali sebagai “Yang Dipertua Agung PAS.” Pada 1971, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad pernah mencadangkan jawatan Yang Dipertua Agung PAS ditukar kepada “Ketua Pimpinan PAS,” tetapi ditolak oleh Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan PAS 1971, yang menyebabkan nama asal terus digunakan sehingga 1987. Pindaan Perlembagaan PAS pada 1987 telah mengubah nama jawatan Yang Dipertua Agung PAS kepada “Yang Dipertua PAS Pusat,” sebelum ia dikenali sebagai “Presiden PAS” mulai 1993.
Antara tokoh yang pernah menduduki jawatan ini ialah Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Dr Haji Abbas Alias (1953-1956), Prof Dr Burhanuddin al-Helmy Mohd Noor (1956-1969), Dato’ Mohd Asri Haji Muda (1969-1982), Ustaz Haji Yusof Abdullah ar-Rawi (1982-1989), Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor (1989-2002) dan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (2002 hingga sekarang). Dalam sejarah PAS juga, pernah berlaku dalam tahun 1954, sebuah jawatankuasa yang dikenali sebagai Jemaah Pemangku Yang Dipertua Agung PAS dibentuk dengan dianggotai oleh Cikgu Ahmad Awang (Setiauusaha Agung PAS), Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin (Bendahari Agung PAS) dan Tuan Guru Haji Mansur Hassan (Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS) beberapa bulan kerana Dr Haji Abbas Alias bertugas di luar negara.
Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
14 Januari 2018

AMAL SOLEH UNTUK MENGHILANGKAN KERUGIAN HIDUP

AMAL SOLEH UNTUK MENGHILANGKAN KERUGIAN HIDUP
Tuan Guru Haji Hashim Jasin
Mursyidul Am PAS

HAKIKAT bahawa seluruh manusia hidup dalam kerugian adalah tidak dapat ditolak, apabila mereka tidak mencapai tujuan penciptaannya. Sememangnya, manusia adalah dijadikan oleh Allah dengan tujuan dan sebab, bukannya secara sia-sia sahaja. Al-Quran telah menggariskan lima tujuan kejadian manusia iaitu sebagai hamba yang beribadat kepada Allah, khalifah yang menegak hukum Allah, penanggung amanah dalam menjalankan perintah Allah, pemamakmur dunia dengan agama Allah dan penerima ujian terhadap perintah, larangan dan takdir Allah.
Al-Quran menjelaskan kepada kita bahawa seluruh kemuliaan manusia sebagai makhluk terbaik akan menggelungsur jatuh ke tempat yang sehina-hinanya apabila mereka tidak mentaati perintah Allah. Allah berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah” (Surah at-Tiin: 4-5). Dalam Surah al- Asr ayat 1-2, Allah menjelaskan “Demi masa, sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian.”
Kehidupan dan perjuangan manusia yang tidak berteraskan keimanan kepada Allah dan tidak beramal dengan Islam akan menjadi sia-sia, bahkan merugikan seluruh masa, tenaga dan harta benda yang dihabiskan sepanjang hidupnya. Pada hari ini, begitu banyak kelompok dan kumpulan yang bergerak atas nama bangsa, ideologi dan agenda-agenda yang tidak menuju kepada keredhaan Allah, pasti perjuangan mereka berakhir dengan kerugian dan penyesalan. Kerana Allah sekali-kali tidak akan menerima amal yang dibangunkan selain atas nama Islam. Apabila Allah tidak mempertimbangkan seluruh amal sepanjang hidup kita di akhirat kelak, ertinya kita telah mengalami kerugian yang sangat disesalkan.
Bagaimanakah kita mengelakkan kerugian dan penyesalan ini? Hanya satu pilihan sahaja! Iaitu dengan beriman dan beramal dengan amal yang soleh. Apabila kita telah percaya terhadap ketuhanan Allah sebagai Tuhan yang selayaknya disembah oleh makhluk-Nya, ertinya kita telah membina keimanan yang benar. Tetapi ia tidak memadai sehingga kita beramal dengan Islam. Beramal dengan Islam ertinya kita melaksanakan seluruh perintah dan meninggalkan larangan yang terdapat dalam hukum syariat yang diturunkan oleh Allah. Bahkan, apabila kita hanya menerima Islam sahaja sebagai sistem hidup, sewajarnya kita menolak apa sahaja yang selain daripada Islam, barulah kita boleh dianggap telah beramal dengan Islam secara sempurna.
Amal yang dibina dalam setiap aspek kehidupan setelah seseorang itu beriman kepada Allah belum juga boleh dianggap sebagai telah mencapai darjat amal soleh sekiranya ia tidak memenuhi syarat-syarat sesuatu amal soleh. Apa jua amal kebaikan yang dilakukan oleh manusia hanya dikirakan sebagai amal soleh apabila memenuhi tiga syarat iaitu pertama, amal yang dibina di atas keimanan kepada Allah. Amal yang dibuat tanpa iman, adalah amal yang sia-sia dan tidak membawa manfaat di hari akhirat. Kedua, semua amal yang dilakukan mestilah mengikuti apa yang diajar atau ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Mengadakan sesuatu yang baharu dalam aqidah dan ibadat adalah menyesatkan. Begitu juga dalam soal kehidupan seharian, Islam telah menggariskan prinsip yang jelas untuk memandu manusia. Para ulamak berijtihad mengeluarkan hukum, termasuk hukum-hukum semasa berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Kehidupan yang tidak berpandukan apa yang ditunjukan oleh Nabi SAW akan menyebabkan manusia mengikuti hawa nafsu, lalu menyia-nyiakan amalnya.
Ketiga, amal yang dibuat di atas iman dan mengikuti petunjuk Nabi SAW mestilah dibuat semata-mata kerana Allah. Dalam kata lain, amal yang tidak diikhlaskan kepada Allah tidak boleh dikatakan sebagai amal soleh. Kebaikan yang dibuat dengan tujuan mencari nama, mendapat habuan dunia, mengharapkan puji-pujian dan seumpamanya akan menghancurkan nilai kebaikan tersebut. Gejala-gejala seperti riak, takabbur, sum’ah, ujub dan lain-lain yang menjadi penyakit hati ini, berperanan merosakkan keikhlasan amal kita. Gabungan tiga aspek inilah yang melahirkan amal soleh dalam hidup manusia. Lalu ia menjadi bekalan bagi kehidupan kita di akhirat. Inilah yang disebut oleh Allah yang bermaksud, “(Manusia menjadi hina) kecuali orang-orang yang beriman dan beramal dengan amal yang soleh” (Surah at-Tiin: 6).
Apabila kita telah dapat memandu hidup kita berdasarkan keimanan dan beramal dengan amal yang soleh ini, barulah dapat membina kehidupan yang beruntung dan berjaya di dunia dan akhirat. Seluruh keyakinan, ibadat, kehidupan dan perjuangan yang tidak dilandaskan di atas dasar ini adalah sia-sia dan merugikan. Tidak ada seorang pun dapat mencapai kemenangan di akhirat sekiranya mereka tidak menutupi ruang-ruang kerugian ini dengan amal yang soleh sesudah mereka beriman. Apalah ertinya kita berpenat lelah dalam perjuangan atau dapat mencapai tujuan perjuangan di dunia yang sementara tanpa iman dan kesolehan amal, kerana ia adalah penyesalan di hari akhirat. Inilah hakikat sebenar perjuangan PAS.

Selasa, 16 Januari 2018

PAS SOKONG GESAAN PINDA AKTA KERJA 1955 TANGANI DISKRIMINASI

Kenyataan Media Penerangan. 167/38
27 Rabiul Akhir 1439 | 15 January 2018
PAS SOKONG GESAAN PINDA AKTA KERJA 1955 TANGANI DISKRIMINASI

Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
https://m.facebook.com/kpenerangan/
1. PAS menyokong gesaan terhadap pindaan Akta Kerja 1955 (Akta 265) bagi memastikan isu diskriminasi di tempat kerja dapat ditangani dengan baik.
2. Ini berikutan susulan isu larangan pemakaian tudung di bahagian khidmat pelanggan oleh sebahagian hotel di Malaysia penghujung tahun lalu.
3. Saya telah tegaskan bahawa perkara ini bukan sahaja tidak konsisten dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menggalakkan tiada diskriminasi dikalangan warganegara termasuk melibatkan agama, malah ia juga tidak mewajahkan Islam sebagai tunjang perlembagaan seperti yang terdapat dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
4. Kita mempunyai Akta Kerja 1955 (Akta 265) dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177) tetapi kedua-duanya masih belum cukup komprehensif untuk menangani pelbagai isu-isu diskriminasi di tempat kerja.
5. Selain isu diskriminasi pemakaian tudung, isu melibatkan diskriminasi golongan wanita juga antara yang perlu diberi perhatian oleh pindaan tersebut.
6. Namun, saya mengharapkan kerajaan dapat melakukan kajian terperinci sebelum mengemukakan sebarang cadangan penambahbaikan terhadap akta berkenaan. Ini kerana isu diskriminasi perlu dilihat dari pelbagai sudut pandang.
7. Pindaan ini juga bertepatan pada masanya memandangkan Malaysia tidak mempunyai sebarang akta berhubung isu anti diskriminasi selain Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685).
8. Beberapa negara lain telah memperkenalkan akta anti diskriminasi seperti di Jepun yang memperkenalkan ‘Equal Employment Opportunity Act’ dan Austria, ‘Equality of Treatment Act’.
9. Maka, Malaysia juga perlu bergerak ke arah trend yang sama bagi memastikan keharmonian di dalam kepelbagaian ini dapat dikekalkan bersama.
Sejahtera Bersama Islam
Sekian.

Sabtu, 13 Januari 2018

ENSIKLOPEDIA HARIAN PAS - AL-IMAM: MAJALAH ISLAM PERTAMA DI NUSANTARA

ENSIKLOPEDIA HARIAN PAS 2018
AL-IMAM: MAJALAH ISLAM PERTAMA DI NUSANTARA

PERGOLAKAN politik umat Islam di seluruh dunia pada akhir abad ke-19 adalah difaktorkan oleh kemunduran berfikir setelah dijajah oleh kuasa Barat. Umat Islam bukan sahaja terkebelakang dalam dunia ilmu, tetapi juga telah mengalami kelumpuhan pengaruh politik yang menggoncang kekhalifahan. Menangani permasalahan ini, para ulamak telah mengambil langkah “membangunkan semula umat yang sedang tidur” dengan mengejutkan pemikiran mereka melalui penerbitan majalah reformis Islam. Salah sebuah majalah reformis Islam yang terpenting di Nusantara ialah al-Imam yang ditubuhkan di Singapura pada 1906.
Menurut Hamka, pengasas al-Imam, Syed Mohamad Salim al-Khalali menjelaskan tujuan ia ditubuhkan adalah kerana dirinya merasa terpanggil untuk membangunkan bangsa dan kaumnya dari lena ketiduran dan kemalasan yang telah menyerang sejak bertahun-tahun. Maka, atas asas ini, edisi pertama al-Imam menggariskan tujuannya , iatu “… bertujuan untuk mengingatkan mereka yang telah lupa, membangkitkan mereka yang sedang tertidur, membimbing mereka yang tersesat dan memberikan suara kepada mereka yang berbicara dengan kebijaksanaan (hikmah).” Atas asas untuk menggerakkan kesedaran umat inilah, maka edisi pertama al-Imam berjaya diteritkan pada Julai 1906 (Jamadil Akhir 1304), dengan dicetak oleh Matbaah Melayu Tanjung Pagar, Singapura dalam tulisan Jawi.
Tokoh utama yang membangunkan al-Imam ialah para reformer Islam iaitu Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Syed Mohamad Salim al-Khalali, Syed Mohamad bin Aqil, Sheikh Abbas Taha dan Abdullah Abdul Rahman. Syed Mohamad Salim al-Khalali bertindak sebagai mudir (director), sedang majalah al-Manar yang diterbitkan di Mesir oleh Sheikh Mohamad Abduh menjadi inspirasi utamanya. Abdullah Abdul Rahman dikatakan tokoh yang mendatangkan al-Manar ke Singapura untuk dijadikan rujukan. Sedangkan Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Sheikh Abbas Taha dan Syed Mohamad Aqil adalah penulis-penulis yang progresif di sebalik penerbitan majalah ini.
Ramai pengkaji mendakwa majalah al-Imam adalah majalah Islam yang pertama di Nusantara yang bukan sahaja berasaskan Islam, tetapi turut membawa agenda pembaharuan pemikiran rakyat. Majalah al-Imam mempunyai rangkaian wakil sehingga ke Maninjau, Padang Panjang dan Betawi, selain Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu pada peringkat awal penubuhannya. Prof William Roof menganggap kemunculan al-Imam pada 1906 adalah permulaan kesedaran nasionalisme bagi orang Melayu di negara ini. Majalah ini dikatakan metamorfosis kepada majalah Urwatul Wustqa yang diterbitkan oleh Syed Jamaluddin al-Afghani dan Sheikh Mohamad Abduh di Paris pada 1884 serta majalah al-Manar yang diterbitkan di Kaherah oleh Syed Mohamad Rashid Redha pada1897. Bahkan menurut Hamka, al-Imam mengambil haluan al-Manar dari segi kandungan dan objektif pembaharuannya.
Majalah al-Imam telah bertahan penerbitannya sehingga awal 1909, di mana penerbitannya terpaksa dihentikan atas faktor-faktor kewangan. Walaupun hayatnya tidak panjang, tetapi al-Imam selaku akhbar Islam yang pertama di Nusantara dan membawa agenda reformasi agama, ia telah berjaya menggerakkan kesedaran agama dan politik di kalangan umat Islam di seluruh Nusantara, kerana edarannya yang berkembang di Sumatera, Jawa dan Semenanjung Tanah Melayu. Selepas al-Imam terkubur pada 1909, muncul pula akhbar-akhbar baru yang mendukung pemikiran reformis seperti al-Munir (1911), al-Akhbar (1913), al-Munir al-Manar (1918) dan lain-lain di Sumatera; sedangkan di Tanah Melayu telah terbit Idaran Zaman (1925), al-Ikhwan (1926), Saudara (1928), Warta Malaya (1931), Majlis (1931) dan lain-lain.
Kesan daripada pemikiran pembaharuan Islam yang dibawa oleh al-Imam bukan sahaja membawa kepada kemunculan majalah-majalah reformis di Tanah Melayu, tetapi telah memunculkan madrasah-madrasah bermula dengan Madrasah al-Iqbal yang ditubuhkan oleh Syed Sheikh al-Hadi di Singapura pada 1908, sebelum ia berkembangan di Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang. Dari aspek yang lain, akhbar Saudara pula berjaya menubuhkan kelab pembacanya, Persatuan Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM), iaitu pertubuhan separa politik bertaraf nasional yang pertama di Malaya pada 1934. Kemunculan al-Imam pada 1906 bukan sahaja memulakan akhbar Islam di Nusantara, tetapi turut memacu pertumbuhan sistem pendidikan madrasah dan penubuhan organisasi Islam bertaraf nasional.
Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
6 Januari 2018

KONSEP TAUBAT DAN ISLAH BUKAN KITAR SEMULA : PRESIDEN PAS

Kenyataan Media Presiden PAS
KONSEP TAUBAT DAN ISLAH BUKAN KITAR SEMULA

Perkataan kitar semula disebut dalam masyarakat umum kepada barangan yang dibuang, seperti tayar terpakai, botol, kampit yang dicampak dan sebagainya untuk diguna pakai semula, tidak sepatutnya digunakan kepada makhluk manusia yang mulia kejadiannya.
Adapun manusia yang berakal disebut penerusan amal yang soleh. Kalau bersalah disebut bertaubat dan ditebuskan dosanya dengan melakukan islah (perubahan) melalui amalan yang baik dan membayar kesalahannya dengan bersopan tanpa merosakkan pula.
Peranan manusia tidak boleh disamakan seperti menukar enjin, tayar kereta dan sebagainya dengan menggunakan barang yang baru atau dikitar semula. Perbezaannya manusia itu akan dihisab amalannya di dunia selepas meninggal dunia dan masuk ke alam akhirat, berbeza dengan barangan yang akhirnya hancur dibakar menjadi abu atau menjadi tanah.
Islam menunjukkan teladan para sahabat R.A yang dipecat oleh Rasulullah S.A.W seperti Saad bin Ubadah R.A ketika melanggar disiplin dalam Peristiwa Fathu Makkah yang dicatat sejarahnya, Khalid bin Al-Walid R.A yang diturunkan kedudukannya oleh Khalifah Umar R.A dengan digantikan orang yang lebih layak, namun mereka terus beramal menjadi petugas biasa dengan ikhlas menuntut keredaan Allah.
Kalangan yang dihukum kerana kesalahannya pula menebus dosa dengan berjuang lebih gigih dan ikhlas sehingga mengorbankan diri laksana lilin yang sanggup membakar diri ditempatnya tanpa menganggu orang lain.
Allah berfirman terhadap ulama ahli kitab yang berdosa menyembunyikan kebenaran, kemudiannya sedar dan insaf:
إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُواْ وَأَصۡلَحُواْ وَبَيَّنُواْ فَأُوْلَٰٓئِكَ أَتُوبُ عَلَيۡهِمۡ وَأَنَا ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ ١٦٠ البقرة
“Kecuali mereka yang telah bertaubat dan mengadakan islah (perbaikan) dan menerangkan (kebenaran), maka terhadap mereka itu, Aku (Allah) menerima taubatnya dan Akulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang” (Surah Al-Baqarah: 160)
Ayat ini menceritakan penjelasan mereka terhadap kesalahan dan melakukan islah kerana berdosa terhadap rakyat umum yang ditipu, dibeli atau dibuli.
Selanjutnya Allah berfirman menyatakan sifat orang yang bertaqwa kalau melakukan dosa:
وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَٰحِشَةً أَوۡ ظَلَمُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ ذَكَرُواْ ٱللَّهَ فَٱسۡتَغۡفَرُواْ لِذُنُوبِهِمۡ وَمَن يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمۡ يُصِرُّواْ عَلَىٰ مَا فَعَلُواْ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ ١٣٥ أُوْلَٰٓئِكَ جَزَآؤُهُم مَّغۡفِرَةٞ مِّن رَّبِّهِمۡ وَجَنَّٰتٞ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَاۚ وَنِعۡمَ أَجۡرُ ٱلۡعَٰمِلِينَ ١٣٦ آل عمران
“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (135) Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal. (136)” (Surah Ali-Imran: 135-136)
Firman Allah:
وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ طَرَفَيِ ٱلنَّهَارِ وَزُلَفٗا مِّنَ ٱلَّيۡلِۚ إِنَّ ٱلۡحَسَنَٰتِ يُذۡهِبۡنَ ٱلسَّيِّ‍َٔاتِۚ ذَٰلِكَ ذِكۡرَىٰ لِلذَّٰكِرِينَ ١١٤ هود
“Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.” (Surah Hud: 114)
Sabda Rasulullah S.A.W.
اتق الله حيثما كنت، وأتبع السيئة الحسنة تمحها، وخالق الناس بخلق حسن “رواه الترمذي وقال حديث حسن
“Bertaqwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada, ikutilah kejahatan itu dengan kebaikan nescaya menghapuskan dosanya, dan berakhlak terhadap manusia” (Riwayat Tirmizi, Hadis Hasan)
Rasulullah S.A.W telah menjelaskan pula pendekatan islah itu tanpa merosakkan umat seluruhnya, bahkan menyelamatkan dengan sabdanya:
مثل القائم في حدود الله والواقع فيها كمثل قوم استهموا علي ىسفينة فصار بعضهم أعلاها وبعضهم أسفلها، فكان الذين في أسفلها إذااستقوا من الماء مروا على من فوقهم، فقالوا: لو أنا خرقنا فينصيبنا خرقا ولم نؤذ من فوقنا. فإن تركوهم وما أرادوا هلكوا جميعا، وإن أخذوا على أيديهم نجوا ونجوا جميعا ” رواه البخاري ” رياض الصالحين لأبي زكريا الدمشقي .
“Bandingan kalangan yang menegakkan sempadan Allah (mencegah kemungkaran) dan kalangan yang melakukan kemungkaran laksana mereka diundi kedudukannya di atas sebuah bahtera (kapal). Ada yang dipilih berada di atas dan ada yang diletakkan di bawah. Apabila kalangan yang berada di bawah memerlukan air, melalui kalangan yang berada di atas. Lalu mereka berkata: Ambilah jalan mudah, kalau ditebuk sahaja kapal ini, tidak bersusah payah terhadap kalangan yang berada di atas. Kalaulah dibiarkan mereka melakukan kemahuannya nescaya semuanya binasa tenggelam. Kalaulah dicegahnya bertindak begitu selamatlah semuanya”. (Riwayat Bukhari)
Islam menunjukkan pendekatan menyelamatkan manusia bersama Islam seberapa ramai yang mungkin, bukannya menghapuskan. Pendekatan perubahan daripada kesalahan kepada pembetulan, ditukar yang jahat kepada yang baik, bukannya ditukar kepada yang jahat juga dan lebih parah sekiranya keadaan menjadi lebih buruk dan penyakitnya bertambah parah.
Orang yang berlumuran dengan kotoran dimandikan dan dipakaikan pakaian baru atau pakaian yang dibersihkan. Kalau pakaiannya kotor, dibasuhkan. Tiada makna juga kalau hanya menukar baju baru atau baju yang dibersihkan, tetapi dipakaikan kepada jasad yang tidak mahu mandi. Adapun bertaubat itu lebih mudah, pintunya sangat luas, masanya juga panjang selagi matahari belum muncul dari arah barat. Jangan tenggelam dalam angan-angan kosong.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG 
Presiden PAS
Bertarikh: 25 Rabiul Akhir 1439 / 13 Januari 2018

Khamis, 11 Januari 2018

500K PENGANGGUR ; SEGERA BUAT PEMBETULAN, ATASI MASALAH PENGANGGURAN BELIA, SISWAZAH

Kenyataan Media
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
AJK PAS Pusat / Ahli Parlimen Kuala Nerus
Selasa 09 Januari 2018 | 21 Rabiulakhir 1439H
500K PENGANGGUR; SEGERA BUAT PEMBETULAN, ATASI MASALAH PENGANGGURAN BELIA, SISWAZAH

1. Menteri ketika menjawab soalan saya di Dewan Rakyat pada 29 November 2017 yang lalu tentang kadar pengangguran di Malaysia menjawab bahawa ia pada kadar 3.5 peratus atau seramai 504,100 orang penganggur daripada jumlah guna tenaga negara seramai 14.67 juta orang. Statistik Jabatan Imigresen Malaysia pula setakat 30 Jun lalu menunjukkan seramai 1,781,598 pekerja asing sah berada di negara ini.
2. Setinggi mana pun prestasi ekonomi negara, soalan penting yang tetap perlu dijawab oleh Kerajaan adalah sejauh mana telah berjaya mewujudkan peluang pekerjaan dan mengatasi pengangguran.
3. Buktinya, menerusi kajian yang dilakukan oleh Agensi Penyelidikan Pasaran Global (IPSOS) terhadap 2027 orang responden berumur 15 hingga 64 tahun di negara ini, isu penggangguran tersenarai pada kedudukan ke-3 tertinggi dalam “Apa yang Merisaukan Malaysia” pada 2017.
4. Kaji Selidik yang dibuat oleh Astro AWANI juga menunjukkan isu penggangguran mendapat undi sebanyak 26% (kedudukan ke-2 tertinggi) daripada 3,638 orang responden.
5. Kerisauan awam ini bukanlah suatu persepsi semata-mata. Ia mempunyai asas yang kuat. Laporan Tahunan 2016 yang diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia antaranya menyatakan :
(a) Pengangguran belia mencecah 10.7% pada tahun 2015 iaitu tiga kali lebih tinggi daripada kadar pengangguran negara sebanyak 3.1%.
(b) Pengangguran belia semakin meningkat dalam tempoh kebelakangan ini kerana kadar pengambilan pekerja yang menurun sejak akhir tahun 2014 disebabkan oleh sentimen perniagaan yang berhati-hati dan prestasi ekonomi yang makin sederhana.
(c) Kadar pengangguran dalam kalangan belia yang berpendidikan tinggi adalah lebih tinggi pada 15.3%, berbanding belia yang tidak berpendidikan tertiari iaitu 9.8%.
6. Paling menghairankan, saban tahun terutamanya semasa pembentangan Bajet, Kerajaan mengumumkan cecah puluh dan ratus ribu peluang pekerjaan baru diwujudkan. Namun, ia tetap tidak menyelesaikan isu pengangguran di negara ini, terutamanya dalam kalangan belia dan siswazah.
7. Ini menunjukkan masih terdapat masalah yang lebih asas dibiarkan tanpa pembetulan sehingga menjejaskan struktur dan ekosistem ekonomi di negara ini sehingga menatijahkan isu penggangguran ini terus berlarutan sehingga kini.
8. Oleh itu, saya menggesa Kerajaan supaya :
(a) Melihat kembali kewajaran lambakan pekerja asing sehingga menjangkau 1.7 juta orang sebagaimana stastistik yang saya kemukakan di atas termasuk yang berkemahiran tinggi.
(b) Memastikan jenis pekerjaan yang diwujudkan sepadan dengan pencapaian pendidikan tenaga kerja yang dibekalkan; termasuk dengan memberikan penempatan segera kepada golongan siswazah dalam profesion keguruan dan kedoktoran yang masih ramai menganggur sehingga kini.
(c) Menilai kembali sistem pendidikan bagi melahirkan insan berdikari dan berinovasi tinggi yang mampu “mencipta pekerjaan” selepas alam pengajian. Ia perlu menjadi sebahagian agenda pendidikan di peringkat menengah dan universiti.
(d) Menggalakkan lagi aktiviti kreatif dan inovasi sebagai sumber pertumbuhan juga merintis peluang kepada golongan belia untuk mencipta kerjaya dan pendapatan sendiri; bukan semata-mata menekankan kecekapan kos dan pergantungan pada tenaga kerja yang murah serta makan gaji.
(e ) Mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk sektor berkemahiran tinggidisamping pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana sebagai perangsang yang lebih berkesan ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara maju.
(f) Memberdayakan lagi peluang kerjaya di bidang pertanian bersifat lebih kormesial dan keusahawanan dengan menyediakan kemudahan dan pasaran yang lebih kondusif. Dengan sumber bumi yang banyak dan tanah yang subur pertanian sewajarnya diberi ruang menjadi antara kerjaya pilihan siswazah dan belia.
Apabila Allah bercerita tentang pertanian dalam surah Yaasin ayat 33 dan 34, Allah menyebut:
لِيَأْكُلُوا مِنْ ثَمَرِهِ وَمَا عَمِلَتْهُ أَيْدِيهِمْ أَفَلا يَشْكُرُونَ
“Untuk mereka makan daripada hasilnya dan apa yang dikerjakan oleh tangan mereka, justeru, tidakkah mereka bersyukur?”
(g) Menyelesaikan kemelut ekonomi rakyat yang boleh memberi kesan kepada peluang pekerjaan dengan menghapuskan sistem percukaian GST yang menjadi sebab kenaikan inflasi dan memperkukuhkan lagi nilai mata wang negara.
9. Kerajaan juga digesa agar memberikan perhatian serius terhadap apa yang disuarakan oleh Presiden PAS mengenai perkara ini dalam artikel beliau bertajuk “Peluang Pekerjaan Atasi Pengangguran”. Antaranya :
(a) Kewajipan manusia yang berbeza ilmu dan kemahiran untuk saling bantu-membantu mengusahakan sumber yang disediakan oleh Allah bagi mencukupkan keperluan semua dan menambah pesat kemajuan.
(b) Pengurusan ekonomi dan pentadbiran negara berasaskan keimanan dan ketakwaan sehingga dikurniakan keberkatan yang mendatangkan faedah bagi kehidupan di dunia dan di akhirat.
(c) Penghapusan amalan monopoli dan kronisme kerana menjadi akibat ketidakseimbangan agihan ekonomi dalam kalangan rakyat.
Sekian.
“Sejahtera Bersama Islam”

" KELANTAN MUNDUR, TOK PA TENGOK NEGERI UMNO DULU " : USTAZ IDRIS AHMAD

Kelantan Mundur, Tok Pa Tengok Negeri Umno Dulu
Hj Idris Hj Ahmad
Naib Presiden PAS
8/1/18

Datuk Mustafa Muhammad yang mengatakan Kelantan mundur di bawah PAS. Ini merupakan modal lapok Tok Pa dan pemimpin umno apabila hampir pilihanraya. Inilah modal umno untuk memburukkan Kelantan dan hendak merampas Kelantan. Apa yang pelik, beliau merupakan menteri pusat dan mewakili ahli Parlimen Jeli yang berada di Kelantan.Adakah Jeli dalam negara Thailand sehingga Tok Pa tidak boleh bawa pembangunan ke Kelantan. Adakah contoh projek yang Tok Pa cadang, kerajaan negeri Kelantan tolak. Adakah pelabur luar yang Tok Pa cadang ditolak oleh kerajaan Kelantan?. Adakah projek atau pelabur yang Tok Pa hendak bawa ke kawasan Parlimen Jeli ditolak oleh kerajaan Kelantan.
Kawasan Jeli pun tidak membangun hebat mana pun, walau pun diwakili oleh Tok Pa. Apa perjuangan Tok Pa untuk kembalikan royalti minyak di Kelantan?. Adakah Tok Pa berkongkol dengan pemimpin kerajaan Pusat yang tidak memberi royalti minyak kepada Kelantan. Kalau Tok Pa merasakan parti umno parti melayu hendak bantu melayu, kenapa tidak bantu Kelantan dengan diberi kembali royalti. Apakah majoriti rakyat Kelantan ini bukan melayu?. Berapa bilion wang negara dibazirkan oleh kerajaan pusat dengan menubuhkan Jabatan Persekutuan sejak PAS memerintah Kelantan tahun 1990.
Semua rakyat Kelantan sedar sikap kerajaan Pusat kepada Kelantan. Alhamdulillah walaupun dengan kekangan yang ada pada kerajaan PAS di Kelantan, namun ia berjaya membangunkan Kelantan kerana Allah berikan iman dan akal sehingga mampu untuk mentadbir lebih 27 tahun. Walau pun tidak sempurna tetapi mampu bersaing dengan negeri di bawah Umno BN. Alhamdulillah, tidak ada siapa yang disabitkan rasuah. Rakyat Kelantan yang cerdik menjawab kepada pemimpin umno Kelantan, sebelum hendak rampas Kelantan lebih baik jaga melayu di negeri yang umno perintah. Rakyat Kelantan tidak boleh terima pengkhianat hendak rampas Kelantan.

PRESIDEN PAS : ISLAM MENDAHULUI KONSEP PEMBAHAGIAN KUASA

Kenyataan Media Presiden PAS
ISLAM MENDAHULUI KONSEP PEMBAHAGIAN KUASA

Tun Salleh Abas, tokoh besar peristiwa kehakiman negara pernah meminta saya mencari nas asal dalam Tafsir Ibnu Kathir yang dibacanya daripada terjemahan Bahasa Inggeris yang menegaskan peristiwa kehakiman yang berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W menunjukkan bahawa Islam mendahului Eropah melaksanakan konsep pembahagian kuasa dalam sistem pemerintahan negara.
Ya! Ini dilaporkan dalam riwayat Ibnu Kathir, Musnad Imam Ahmad, Sunan Abu Daud dan Al-Nasaie yang menceritakan peristiwa Rasulullah S.A. W bersetuju membeli seekor kuda daripada seorang A’arabi (badwi). Oleh kerana berlaku dicelahnya perkara lain yang sengaja dilambatkan walaupun masih berada di tempat dan masa yang sama atau majlis yang sama, tiba-tiba si badwi itu mahu menjualnya kepada orang lain yang menawarkan harga yang lebih tinggi.
Meskipun berlakunya ketidaksopanan Badwi itu mengikut hukum agama dan adat yang sepatutnya diakui pembelian Rasulullah S.A.W, namun dalam perselisihan ini dilakukan perbicaraan kehakiman. Apabila diminta saksi, maka Khuzaimah R.A tampil menjadi saksi, akhirnya kemenangan berpihak kepada Rasulullah S.A.W.
Di sini menunjukkan betapa Rasulullah S.A.W sebagai ketua negara, bahkan seorang Rasul yang telah dilantik oleh Allah S.W.T tidak menggunakan kesempatan kuasa dan kedudukannya, tetapi menyerahkan kepada kehakiman yang sebenar tanpa gangguan, lakonan atau ada dalang di sebalik tabirnya.
Konsep ini dilaksanakan oleh kerajaan Islam selepasnya seperti peristiwa Khalifah Saidina Ali K.W.H dihakimi kerana barangnya dicuri oleh seorang rakyat bukan Islam beragama Yahudi sehingga dibela Yahudi itu apabila ketua negara tidak boleh mengadakan saksi. Berlaku juga pada zaman Khilafah Uthmaniyyah apabila Sultan Muhammad Al-Fateh dihukum kerana ketelanjurannya terhadap seorang rakyat beragama Kristian.
Pembahagian kuasa atau dalam Bahasa Arab disebut (الفصل بين السلطات) dan Bahasa Inggeris dipanggil “Separation of Powers” merupakan satu doktrin dalam pemerintahan demokrasi yang membahagikan urusan dalam pengurusan negara kepada tiga cabang utama: Pemerintah (eksekutif), Perundangan (legislatif) dan Kehakiman.
Ia bertujuan untuk mengelak atau menghindari bahaya “kezaliman” (tyranny), di mana dikatakan doktrin pembahagian kuasa atau fungsinya dapat mewujudkan dan mengekalkan kepimpinan, kebebasan sebenar dan menghindari kemaharajalelaan (despotisma) dengan cara membahagi-bahagikan kuasa untuk mewujudkan semak dan seimbang (check and balance) antara kuasa tersebut.
Sebenarnya pihak Barat hanya mengenali demokrasi, sistem pilihan raya, pentadbiran dan kehakimannya daripada sejarah Greece Purba (Yunani) sebelum Masihi yang dilakukan pembaharuan selepasnya.
Contoh awal konsep ini di Eropah adalah ditemui teorinya dalam karya-karya Aristotle. Pada tahun 1656, James Harrington dalam bukunya Oceana, telah mengemaskinikan idea tersebut dan mencadangkan sistem berdasarkan konsep ini. John Locke dalam “The Second Treatise of Civil Government” pada 1690, telah membahagikan kuasa kerajaan kepada dua iaitu eksekutif dan legislatif. Manakala, Montesquieu dalam karyanya, “The Spirit of the Laws” telah mengembangkan idea Locke, dengan menambahkan cabang kehakiman. Dikatakan orang Inggeris mewujudkan kaedah sebenar pembahagian kuasa ini dengan lebih formal, yang mereka gelar sebagai “Instrumen Kerajaan”.
Namun masih lagi dibayangi oleh kelemahan manusia tanpa hidayah yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W yang ditinggalkan, menyebabkan masih dibayangi diktatorship dan ketuhanan syirik yang belum mampu menegakkan keadilan, ketelusan dan hak yang sebenarnya, termasuklah amalan pilihan raya yang bebas dan telus belum dikenali, kerana sebelum ini mereka menegakkan negara secara revolusi yang mencetuskan perang saudara di England, Perancis, Amerika dan lain-lain negara yang memakan korban raja-raja, pemimpin dan rakyat. Perubahan sebenar berlaku setelah para Orientalis mengkaji sejarah Islam dan ilmunya yang ditulis oleh para ulama Islam.
Kononnya dunia Barat sangat tegas memberi kuasa kepada Badan kehakiman, berdalilkan Skandal Watergate (1972-1974) yang memecat Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon bagi menunjukkan amalan ini. Namun konsepnya masih tidak istiqamah (konsisten) kerana tidak ada roh aqidah beriman kepada Allah dan Hari Akhirat yang ada perhitungan dosa dan pahala.
Hari ini politik mereka boleh melantik Presiden yang bodoh disebabkan pengaruh politik wang. Media dan pengurusannya diganggu oleh pengaruh minoriti Zionis yang menguasai ekonomi dan media yang memayungi apa sahaja tindakan di bawahnya, sehingga berlakunya pemecatan Peguam Negara dan lain-lain di Amerika.
Peristiwa krisis kehakiman tahun 80-an di negara kita telah menjadi sejarah hitam, dan diikuti mata rantai selepasnya, sehingga berlaku peristiwa merempuh perjanjian Royalti Petroleum Terengganu dan kemudiannya Kelantan. Ini menunjukkan betapa hilangnya moral demokrasi dan perundangan yang adil.
Mutakhir ini, kita menyaksikan mereka yang terlibat dalam menitik hitam itu termasuk kelompok oportunis yang menjadi pengampu dan syaitan bisu, hanya mengangguk kepala tanpa mencegah kemungkaran. Mereka sama-sama dapat menyaksikan dan merasai akibatnya di dunia ini ketika kita masih hidup dan dipanjangkan umurnya.
Perjuangan PAS adalah meminta perubahan secara islah berprinsipkan Islam dan konsepnya yang sempurna, bukan sekadar menukar kerajaan seperti menukar baju daripada jasad yang masih tidak mandi untuk membersihkan diri dan jauh sama sekali berkonsepkan semata-mata menggulingkan kerajaan atau merampas kerusi sahaja tanpa menukar dasar, konsep dan pendekatan.
Jangan kita mengambil contoh daripada ahli neraka yang saling mengutuk di antara satu sama lain setelah dihumban ke dalam neraka, sebagaimana dinyatakan oleh firman Allah:
قَالَ ٱدۡخُلُواْ فِيٓ أُمَمٖ قَدۡ خَلَتۡ مِن قَبۡلِكُم مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِ فِي ٱلنَّارِۖ كُلَّمَا دَخَلَتۡ أُمَّةٞ لَّعَنَتۡ أُخۡتَهَاۖ حَتَّىٰٓ إِذَا ٱدَّارَكُواْ فِيهَا جَمِيعٗا قَالَتۡ أُخۡرَىٰهُمۡ لِأُولَىٰهُمۡ رَبَّنَا هَٰٓؤُلَآءِ أَضَلُّونَا فَ‍َٔاتِهِمۡ عَذَابٗا ضِعۡفٗا مِّنَ ٱلنَّارِۖ قَالَ لِكُلّٖ ضِعۡفٞ وَلَٰكِن لَّا تَعۡلَمُونَ ٣٨ وَقَالَتۡ أُولَىٰهُمۡ لِأُخۡرَىٰهُمۡ فَمَا كَانَ لَكُمۡ عَلَيۡنَا مِن فَضۡلٖ فَذُوقُواْ ٱلۡعَذَابَ بِمَا كُنتُمۡ تَكۡسِبُونَ ٣٩ الأعراف
“Allah berfirman: Masuklah kamu ke dalam Neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, dari jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri); hingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan yang pertama di antara mereka: Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda daripada (azab) Neraka. Allah berfirman: Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui. (38) Dan berkatalah golongan pertama (ketua-ketua), di antara mereka, kepada golongan yang akhir (pengikut-pengikutnya): (Jika demikianlah hukuman Tuhan), maka tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami. (Allah berfirman): Oleh itu rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan. (39)” (Surah Al-Aaraf: 38-39)
Demikianlah Allah menceritakan peristiwa sebenar di Hari Akhirat yang mesti berlaku kerana janji Allah itu adalah benar. Iktibarnya supaya kita bertaubat di dunia dan melakukan perubahan yang bukan sahaja mendapat fadilatnya diampunkan dosa, bahkan diberi keberkatan dan perubahan yang membawa kepada kebaikan di dunia serta diberi pahala pula di Hari Akhirat nanti.
Dalam sejarah Islam dicatatkan bahawa Khalifah Umar bin Abdul Aziz daripada Dinasti Umayyah telah melakukan perubahan islah tanpa menggulingkan kerajaannya. Begitu juga Sultan Ahmad bin Tolun di Mesir yang zalim berubah menjadi adil setelah dinasihatkan oleh Sayyidah Nafisah R.A, seorang ulama muslimat di zamannya tanpa digulingkan kerajaannya. Sejarah Sultan Qutuz daripada Dinasti Mamalik juga berubah dan berjaya.
Sultan Salahudin Al-Ayyubi daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah mengambil pendekatan awal memuji Khalifah Fatimiyyah daripada kalangan Syiah kerana menjaga perpaduan umat Islam, akhirnya berjaya melakukan perubahan dalaman umat secara damai tanpa berlakunya perpecahan dalaman negara dan umat, seterusnya menempa sejarah memimpin pembebasan Masjid Al-Aqsa daripada penjajahan Salib setelah berjaya melakukan perubahan dalaman secara islah.
Kesimpulannya bahawa tanpa pembahagian kuasa dalam pentadbiran negara bukan sahaja merosakkan kehakiman, bahkan merosakkan urusan pentadbiran, politik, ekonomi, termasuk keselamatan, keamanan dan pertahanan negara. Kita mengalu-alukan perubahan dilakukan bila-bila masa sahaja sebelum pilihan raya, bukan sahaja menunggu di tengah pilihan raya dan selepasnya.
Firman Allah:
إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ سُوٓءٗا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ ١١ الرعد
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.” (Surah Ar-Ra’d: 11)
PAS berpolitik berwawasan Akhirat dengan tetap mendahulukan mencari keredaan Allah sebelum keredaan manusia. PAS menolak budaya politik sekadar mencari pelanggan laksana penjual ubat kuat untuk tenaga nafsu binatangnya dan jauh sekali daripada politik kera mencari makan yang melompat ke pohon yang lebat buahnya, tanpa peduli rakyat menjadi mangsanya.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANGPresiden PAS

Bertarikh: 21 Rabiul Akhir 1439 / 9 Januari 2018