Isnin, 24 September 2018

ARAK DAN MALAYSIA BAHARU !

KENYATAAN MEDIA 
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 
21 September 2018 | 11 Muharam 1440

"ARAK DAN MALAYSIA BAHARU"

1. Tragedi arak beracun yang meragut 23 nyawa kelmarin harus menjadi titik tolak kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menolak penggunaan arak dalam kehidupan seharian. Terutama kepada pihak Kerajaan Malaysia Baharu, inilah masanya meminda polisi dan peraturan berkaitan yang selama ini dilihat 'mesra' arak.
2. Perkara ini bukan baharu, tragedi seumpama telah banyak dilaporkan di seluruh dunia. Antara terdekat adalah di negara tetangga kita Indonesia apabila 36 maut di Jawa Tengah tahun 2016. Malah pernah terjadi dalam masa dua minggu, seramai 90 maut di Jawa Barat dan Timur Papua akibat meminum arak tercemar.
3. Lebih dahulu, Islam sejak 1,400 tahun lampau telahpun mengharamkan arak atas pelbagai keburukan dan kerosakan berimplikasi dari pengambilannya. Maka, dengan tragedi yang berlaku perlu dilihat secara serius terhadap malapetaka arak terhadap umat manusia untuk ditangani secara komprehensif.
4. Rekod dan kajian turut membuktikan bahawa pengambilan arak telah menyebabkan punca kepada kejadian kemalangan jalan raya, pergaduhan dan pertengkaran. Negara kita juga pernah menyaksikan peristiwa hitam rusuhan kaum di Taman Medan, Petaling Jaya suatu ketika dahulu tercetus dari pengambilan arak juga.
5. Lebih menakutkan, natijah pengambilan arak hingga berpanjangan kepada jenayah pembunuhan, rogol dan cabul, serta tidak sedikit keganasan rumah tangga. Tiada yang menggembirakan melainkan ianya manifestasi kejayaan taikun-taikun dan pemegang saham industri arak antarabangsa menjana keuntungan.
6. Namun, disebalik data kemusnahan moral dan norma masyarakat ini, kerajaan kita masih berterusan dan tanpa rasa bersalah turut mengaut hasil dari industri arak. Apakah Kerajaan Malaysia Baharu tidak mahu membuat penelitian hukum kerana masih membenarkan pengimportan arak selain memberi lesen jualan dan mengambil cukai?
7. Rakyat Malaysia dilaporkan membelanja USD500 juta atau lebih kurang RM2 bilion untuk minuman keras setahun. Mungkin menjadi kebanggaan bagi pihak tertentu pula apabila pada tahun 2011 Malaysia dinobatkan sebagai 10 negara dunia yang rakyatnya mengambil alkohol dengan kadar tinggi.
8. Semua ini harus direnung dengan kaca mata iman betapa tiadanya keberkatan dari Allah untuk negara, bahkan sebaliknya mengundang laknat dari-Nya. Allah telah menegaskan dalam ayat 90 surah al-Maidah bahawa arak, judi, sembelihan korban untuk berhala dan nujum adalah kekejian dan lahir dari perbuatan syaitan.
9. Maka solusi kepada segala kefasadan ini mesti disemak kembali undang-undang berkaitan seperti Akta Eksais 1976, juga Peraturan-peraturan Eksais (Penjualan Liqour memabukkan) 1976 dan Akta Kastam 1967, Seksyen 2 (1) demi kemaslahatan bersama. Selain menggerakkan pendidikan dan kesedaran bersepadu.
10. Polemik berkaitan juga boleh segera ditamatkan seperti hidangan arak dalam penerbangan MAS, menolak penajaan syarikat arak, menghentikan iklan-iklan arak, serta menghadkan lesen jualan arak mengikut komposisi kaum penduduk. Juga melaksanakan penguatkuasaan ketat terhadap pencegahan dan larangan mengenainya.
11. Kerajaan Persekutuan harus mencontohi Kelantan dalam soal pengurusan arak. Minuman ini dilarang dijual di hotel, pasar raya dan kedai runcit biasa. Namun, Kerajaan Negeri Kelantan melalui Pihak Berkuasa Tempatan tetap mengeluarkan permit kebenaran bagi premis tertentu menyediakan kepada pelanggan bukan Islam. Kaedah mudah yang boleh dicontohi.
"Islam Memimpin" 
"Terus Mara"

NAZMAN CHE IBERAHIM 
Pengerusi
Lajnah Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar
Dewan Pemuda PAS Malaysia

DPPM : PENOLAKAN PM ADALAH KEPUTUSAN TEPAT

KENYATAAN MEDIA
Dewan Pemuda PAS Malaysia

13 Muharram 1440 | 23 September 2018
LGBT : PENOLAKAN PM ADALAH KEPUTUSAN TEPAT

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengalu-alukan kenyataan dan komitmen YAB Perdana Menteri berhubung penolakan beliau terhadap aktiviti LGBT di Malaysia. Keputusan tersebut adalah tepat kerana Malaysia tidak harus dikongkong dengan kehendak hak asasi manusia acuan barat.
Kami berharap penolakan YAB Perdana Menteri adalah satu keputusan kerajaan dan ia harus didokong oleh semangat tanggungjawab kolektif semua menteri dan pemimpin Pakatan Harapan.
Keputusan YAB PM juga mesti diambil sebagai satu point of reservation dalam konvensyen antarabangsa mengenai hak asasi manusia seperti International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) dan International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimation (ICERD).
Keabsahan legitimasi perlembagaan termasuk perundangan Syariah dan sistem nilai yang diamalkan di Malaysia mesti diutamakan berbanding deklarasi hak asasi manusia acuan barat.
DPPM juga menolak usaha mana-mana pemimpin negara yang mahu menormalisasi aktivisi songsang LGBT samada menerusi promosi dan pertahan hak mereka.
Rakyat Malaysia perlu peka dan tegas menolak pemimpin-pemimpin tersebut kerana mereka akan merosakkan nilai Islam dan budaya masyarakat Malaysia. Kebebasan yang dijamin dalam perlembagaan bukan bermaksud kebebasan mutlak, sebaliknya ia mesti dipertanggungjawab di bawah had yang sewajarnya.
"Islam Memimpin"
"Terus Mara"

YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua, Dewan Pemuda PAS Malaysia 
ADUN Batu Burok, Terengganu

TIMB. MA : BERSAMA MEREALISASIKAN ISLAM MEMIMPIN

BERSAMA MEREALISASIKAN ISLAM MEMIMPIN

Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ آوَوْا وَنَصَرُوا أُولَٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ
Maksudnya: “Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia”. [Al-Anfal: 74]
1. Alhamdulillah, Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-64 di Kuala Terengganu berlangsung dengan jayanya dengan tema ‘Islam Memimpin’. Tahniah dan syabas kepada seluruh Jawatankuasa Panitia Muktamar pada kali ini.
2. Ucapan Dasar Tuan Guru Presiden PAS menekankan tentang paksi utama PAS dalam membangun negara serta menegaskan bahawa sistem-sistem yang sedia ada masih gagal untuk memimpin ummah. Justeru, Islam mesti memimpin dan mengisi ruang tersebut dengan membuktikan kepada rakyat dan masyarakat secara praktikal dan realiti. Peluang yang diberi untuk mentadbir Negeri Kelantan dan Terengganu mesti dizahirkan sebagai negeri model kepimpinan Islam.
3. Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) mesti menjadi pegangan serta amalan kepada ahli PAS terutamanya melibatkan ketinggian akhlak sebagai ahli gerakan Islam. Hubungan di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan-Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran PAS mesti terjalin dengan harmoni dan sejahtera mengikut lunas-lunas perlembagaan.
4. PAS akan menyokong apa sahaja perkara baik yang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan. Manakala sebagai pembangkang yang berperanan sebagai agen semak dan imbang, sudah pastinya PAS akan menegur dan menasihati Kerajaan dalam perkara-perkara yang salah serta bertentangan dengan Islam dan perlembagaan negara.
5. Dalam ucapan dasar juga memberi fokus kepada beberapa fiqh yang perlu dihadami seperti Fiqh Aulawiyyat, Fiqh Muwazanat dan Fiqh Siasah yang perlu digunakan sebagai asas pertimbangan dalam menentukan hala tuju dan pendirian PAS dalam menghadapi cabaran politik semasa. Tuntasnya, setiap pimpinan dan ahli PAS harus sedar, segala keputusan yang diambil oleh parti adalah berdasarkan pertimbangan ilmu dan hikmah kebijaksanaan, bukannya diputuskan dengan sewenang-wenangnya.
6. Setiap ahli PAS mesti terus bekerja keras dalam usaha membawa dan melebarkan pengaruh perjuangan Islam di bumi Malaysia ini. Insya-Allah, dengan gerak kerja yang teratur dan sistematik serta pertolongan Allah akan membuka hati-hati rakyat untuk menerima perjuangan PAS dan merealisasikan Islam memimpin ummah dan negara.
Salam hormat.
USTAZ DATO’ HJ AHMAD YAKOB
(Dato’ Bentara Kanan)



Timbalan Mursyidul Am PAS / Menteri Besar Kelantan

Rabu, 19 September 2018

HARI MALAYSIA : PERUTUSAN PRESIDEN PAS

PERUTUSAN KHAS PRESIDEN PAS SEMPENA HARI MALAYSIA

Hari ini kita menyambut ulangtahun ke-55 pembentukan Malaysia dengan penuh aman dan damai.
Peristiwa bersejarah 16 September ini adalah amat penting untuk dihayati bagi mewujudkan suasana dan budaya Malaysia yang harmoni dalam kemajmukan kaum dan agama.
Pembentukan Malaysia berkonsepkan federalisma yang wajib dihormati, adalah makna sebenar dalam meraikan Hari Malaysia. Komitmen Kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan royalti petroleum kepada negeri pengeluar, di samping penumpuan pembangunan yang seimbang, adalah sangat positif kepada usaha untuk menghidupkan semangat federalisma.
Akhirnya saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat berbagai kaum dan bangsa, dengan mesej Islam adil untuk semua.
“Islam Memimpin”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 6 Muharram 1440 / 16 September 2018