Ahad, 17 Julai 2011

PUISI : PELUDAH WARNA



PELUDAH WARNA

KUASA gusar kini menngelegak murka,
warna kuning diisytiharkan racun berbisa.
Diragutnya baju -T segeram tenaga
dan diumumkan itulah busana bahaya.

Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panjin terindah dan tulen.
Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam kalbu.

Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.
Memanglah mereka kini peludah warna 
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.

Kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasa pun seolah menjadi hartanya.

Nukilan :
A. Samad Said
Sasterawan Negara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan