Jumaat, 22 Julai 2011

SAMAN KERAJAAN : PEMBANTU PERIBADI ANWAR

Pembantu peribadi Anwar fail saman 

KUALA LUMPUR – Pengawal peribadi kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memfailkan saman terhadap kerajaan di atas kecederaan tulang pipinya akibat terkena peluru gas pemedih mata dalam terowong Stesen Kuala Lumpur (KL) Sentral, di sini, 9 Julai lalu. 

Fayyadh Afiq Albakqry, 25, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi semalam, dengan ditemani peguamnya, N Surendran, Latheefa Koya, Fadia Nadwa Fikri dan Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah. 

Surendran, ketika ditemui berkata, laporan dibuat untuk menuntut polis menjalankan siasatan terhadap mangsa cedera teruk sehingga pecah tulang pipi kiri akibat tindakan polis yang tidak bertanggungjawab. 

Beliau berkata, ketika kejadian mangsa bertugas menjaga keselamatan Anwar yang memasuki terowong terbabit, sebelum melihat seorang anggota dari Unit Tindakan Ringan (LSF) mengacukan senapang ke arah ketua pembangkang itu. 

Menurutnya, mangsa cuba melindungi Anwar sebelum tiba-tiba berasa pedih dan sakit di pipi kirinya akibat terkena peluru gas pemedih mata yang dilepaskan. 

Menurutnya, dalam keadaan cedera parah, mangsa sempat menarik Anwar ke penghujung terowong. Bagaimanapun, terdapat satu lagi peluru gas pemedih mata terjatuh di hadapan mereka menyebabkan asap tebal dan Anwar terjatuh serta cedera di kaki dan kepalanya. 

“Polis tidak beri amaran, sebaliknya terus melepaskan peluru gas pemedih mat. tindakan tu boleh diklasifikasikan sebagai cubaan membunuh kerana menyalahi prosedur sebenar,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan