Selasa, 12 Julai 2011

TAK PUAS HATI : NAIB PRESIDEN PAS

Naib Presiden Pas tak puas hati 

KUALA LUMPUR - Dua pemimpin kanan Pas membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati ditahan di stesen KL Sentral di sini 9 Julai lalu. 

Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub. kedua-duanya naib presiden parti itu tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfield di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari ditemani dua peguam. Mereka keluar dari situ sejam kemudian. 

Mahfuz berkata, tindakan diambil kerana menganggap tangkapan polis ke atas mereka bertentangan dengan perintah mahkamah. 

Menurutnya, pada hari itu (9 Julai), beliau dan Salahuddin sedang berjalan untuk menghadiri satu sidang akhbar di sebuah hotel berdekatan ketika ditahan polis di hadapan pintu masuk KL Sentral. 

Kemudian, katanya mereka dibawa bertemu seorang lagi pegawai polis yang bertanya, “adakah kamu tahu ada perintah mahkamah melarang kamu memasuki Kuala Lumpur?”. 

“Penahanan kami adalah menyalahi undang-undang kerana KL Sentral tidak termasuk zon larangan dikeluarkan mahkamah. 

“Polis juga tidak memberi sebarang sebab lain kenapa kami ditahan, malah tidak mengambil keterangan kami sepanjang tempoh penahanan tersebut. Penahanan itu bersifat mala fide, tidak ikut perlembagaan dan melanggar hak asasi kami,” katanya. 

Mahfuz berkata, mereka berdua sudah mendapatkan nasihat peguam untuk memfailkan saman terhadap polis bagi menuntut ganti rugi sivil dan malu dalam tempoh terdekat. 

Sementara itu, Salahuddin berkata, penahanan beliau dan Mahfuz baru-baru ini tidak akan menggugat perjuangan mereka untuk meneruskan semua tuntutan dalam Bersih 2.0. 

“Kita cadangkan suruhanjaya pembaikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diwujudkan dan mereka (kerajaan) tidak boleh buat tidak tahu terhadap semua tuntutan itu,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan