Rabu, 6 Julai 2011

TAZKIRAH : BIAR MISKIN HARTA JANGAN MISKIN JIWA ( 2 )

Siri 2 :

Menceritakan :

Teringatkan satu ceramah Prof. Dr. Hamka r.h dalam satu rakaman. Beliau menceritakan bagaimana suatu hari ketika beliau menaiki kenderaan mewah dengan seorang kaya melalui sawah padi, tiba - tiba melihat seorang petani yang berehat dari kepenatan bekerja, sambil isterinya menghidangkan makan tengahari. Walaupun hidangan itu amat biasa sahaja, tetapi dimakan oleh petani tadi dengan penuh selera. Lalu orang kaya yang bersama Buya Hamka berkata: " Buya, saya ada rumah besar dan kenderaan mewah, tetapi tidak pernah berpeluang makan begitu berselera seperti petani itu."

Ya! Demikianlah Allah membahagi- bahagikan nikmat-Nya. Sesiapa yang diberikan makanan yang hebat, belum tentu dapat menikmati keenakkan itu di lidahnya. Sesiapa yang diberikan tempat tinggal yang mewah, belum tentu dikurniakan kenikmatan tinggal di dalamnya. Maka, tidak hairan jika ada orang kaya, atau yang berkuasa kurang selera makan. Atau tidak hairanlah jika ada anak si kaya yang lari meninggalkan rumah mewah bapanya. Janganlah pula hairan, jika ada orang miskin yang setiap hari menikmati suapan yang masuk ke dalam mulutnya, dan nyenyak tidurnya. Janganlah hairan jika ada perasaan yang lebih tenang di pondok usang dari banglo yang tersergam.

Sekali lagi, Islam bukan musuh harta, namun insan hendaklah tahu bersyukur atas segala kurniaan Allah SWT kepadanya. Yang miskin dan yang kaya hendaklah insaf bahawa tujuan daripada makanan dan tempat tinggal yang mewah itu adalah kesedapan dan keselesaan. Bukan semua yang memiliki kemewahan itu pula akan menikmatinya. Juga bukan semua tidak memilikinya, akan terhalang mengecapi kenikmatannya. Maha Besar Allah SWT yang membahagi - bahagikan kurniaan- Nya mengikut kehendak - Nya.

Kadang - kala apabila kita duduk di meja makan bersama orang kaya dan orang biasa. Kita lihat si kaya minum air kosong sahaja. Ditanya kenapa. Jawabnya, " Saya ada diabetis". Dia enggan makan kebanyakkan lauk -pauk yang telah dihidangkan, katanya, " Saya ada sakit jantung dan darah tinggi". Sementara yang biasa - biasa di sebelahnya, makan dengan enak tanpa sebarang pantang.

Akan bersambung pada siri akan datang.

Nantikannya...

Disediakan oleh :

Pen. Setiausaha 3
Dewan Pemuda Pas Kawasan Bagan Datoh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan