Khamis, 7 Julai 2011

TUNTUT JANJI KERAJAAN : PR

PR tuntut janji sedia stadium 


KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat (PR) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menunaikan janjinya untuk menyediakan stadium kepada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 untuk perhimpunan Sabtu ini. 

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PR tetap menyokong perhimpunan Bersih 2.0 walaupun Kabinet memberi pelbagai alasan supaya Stadium Merdeka tidak digunakan untuk perhimpunan tersebut. 

Menurutnya, maklumat akhir mendapati Kabinet dilihat sengaja memberi pelbagai alasan untuk tidak membenarkan stadium digunakan semasa perhimpunan tersebut. 

“Perdana Menteri perlu patuh pada jaminannya untuk menyediakan stadium supaya Bersih 2.0 dapat menganjurkan perhimpunan yang aman dan teratur. 

“Saya difahamkan Bersih 2.0 masih lagi merujuk kepada Perdana Menteri supaya mematuhi janji dan jaminan beliau untuk menyediakan stadium supaya perhimpunan tersebut dapat dijalankan dengan teratur dan aman sepertimana semangat ketika mengadap dengan Yang di-Pertuan Agong,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Majlis PR di sini, semalam. 

Turut hadir Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang. 

Anwar berkata, PR turut kesal dengan sikap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien yang dilihat menyimpang daripada ‘semangat rundingan’ antara Bersih 2.0 dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. 

”Kita kesal kerana Hishammuddin menyatakan seolah-olah tidak mempedulikan rundingan dengan Yang di-Pertuan Agong (dengan menggelar Bersih 2.0) masih haram seperti Yang di-Pertuan Agong panggil kumpulan haram untuk berunding,” katanya. 

Ditanya sama ada penganjur akan memohon permit polis, Anwar berkata tidak perlu kerana Yang di-Pertuan Agong dan polis telah sedia maklum dengan perhimpunan itu. 

“Yang di-Pertuan Agong dan Najib telah maklum (perhimpunan), permit apa lagi. Apa alasan untuk batal sedangkan jaminan telah diberikan dan ia telah dipersetujui Bersih 2.0.Kita juga telah rujuk Stadium Merdeka kosong pada 9 Julai ini,” katanya. 

Beliau juga menggesa polis mengambil kira semangat perundingan tersebut supaya tidak mengeruhkan keadaan termasuk melakukan penangkapan terhadap pemimpin PR yang memakai baju kuning. 

”Malah sekarang ini, digembar-gemburkan kononnya setiap kali ada tuntutan, keris dan pisau dikeluarkan oleh ejen provokasi yang sengaja diada-adakan,” katanya yang akan mengerahkan 300,000 rakyat pada perhimpunan Sabtu ini. 

Anwar juga tidak menolak kemungkinan terdapat kumpulan lain atas nama kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) DN akan mensabotaj persefahaman yang telah dicapai. 

Ditanya cara pemimpin PR untuk pergi ke stadium berkenaan dengan kemungkinan wujudnya sekatan, Anwar dengan berkata: “Kalau boleh dengan helikopter”. 

Sementara itu, Kit Siang berkata keputusan Bersih 2.0 untuk mengadakan perhimpunan di stadium merupakan “satu restu” daripada Tuanku Mizan dan persetujuan daripada Perdana Menteri. 

“Kami berharap selepas pertemuan kelmarin, KDN dan polis mengambil inisiatif untuk mengawalselia perhimpunan itu,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan