Isnin, 8 Ogos 2011

PERTAHANKAN JAIS : DEWAN ULAMA' PAS


Dewan Ulama pertahan Jais 

SHAH ALAM – Tiada gunanya kewujudan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) seandainya jabatan terbabit tidak dapat melaksanakan tanggung jawab mencegah umat Islam di negeri itu daripada melakukan perkara bertentangan dengan ajaran Islam. 

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, beliau menyokong sekiranya tindakan Jais (menyerbu gereja di Damansara Utama) berdasarkan peraturan dan undang-undang Islam kerana Jais berhak bertindak sedemikian. 

Menurutnya, sebelum berlaku insiden tidak diingini, tindakan itu adalah pencegahan awal sepatutnya dilakukan. 

“Kegiatan berkaitan dengan agama Islam adalah di bawah jabatan agama itu sendiri (Jais). Kalau Jais tidak dapat bertindak di atas maklumat yang diberikan orang ramai. Maka tidak ada guna adanya jabatan berkenaan. 

“Jais bertindak mestilah mendapat maklumat orang ramai, itu adalah peringkat pertama dalam usaha pencegahan. Hendak mendapatkan maklumat daripada polis, itu bukan kerja polis,” katanya. 

Mengulas mengenai umat Islam yang berada di gereja pada malam itu katanya, umat Islam sepatutnya memilih berada di masjid atau surau untuk bertarawih dan mengerjakan amalan dituntut Allah. 

“Mereka sepatutnya berada di rumah, masjid atau surau. Bukan di rumah ibadat orang bukan Islam kerana itu boleh mendatangkan kecurigaan dan keraguan,” katanya. 

Beliau berkata, walaupun diizinkan berbilang agama tetapi sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai agama Islam sebagai: agama rasmi. 

“Ada pihak tidak faham makna kebebasan beragama, sebab itu mengeluarkan kenyataan tidak sepatutnya. Jadi perlu diperjelaskan kepada pemimpin masyarakat dan umum mengenainya,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau juga menyokong tindakan dan kenyataan Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Datuk Hasan Ali berhubung isu itu kerana beliau berhak berbuat demikian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan