Rabu, 7 September 2011

BUKTI TELAH SAYA TUNJUK : MAT SABU

Mat Sabu tunjuk bukti 

JOHOR BAHRU - “Jangan gali kubur sendiri!” Itulah peringatan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu kepada mana-mana pihak terutama pemimpin Umno yang terus menyerangnya berhubung isu dakwaan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan.

Mat Sabu berkata, beliau bukan bercakap kosong menge­nai perkara itu, sebaliknya mem­­punyai bukti mengang­kat Mat Indera sebagai hero.

Menariknya, kata Mat Sabu, buku yang dirujuknya, ‘Pengukir Nama Johor’ diterbitkan Yayasan Warisan Johor (YWJ) yang dinaungi sendiri oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Malah Abdul Ghani turut memberi kata-kata aluan pada buku terbitan 2004 itu sekali gus, katanya, membuktikan penerbitan buku yang mengiktiraf Mat Indera itu direstui Kerajaan Negeri.

“Jadi, saya nak nasihatkan Umno supaya jangan gali kubur sendiri; (kepada ahli sejarah) jangan jadi pengampu yang cuba gelapkan sejarah. Rakyat Johor seharusnya berbangga kerana Mat Indera adalah pejuang sebenar menentang penjajah, walaupun akhirnya mati di tali gantung,” katanya semalam.

Buku ‘Pengukir Nama Johor’ yang antara lain, mempunyai potret Mat Indera turut menghiasi kulit depannya, menghimpunkan biografi tokoh-tokoh kelahiran Johor yang ditulis oleh beberapa penulis, manakala kisah Mat Indera dihasilkan Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Datuk Onn.

Selain Mat Indera, turut dikisahkan riwayat mereka dalam buku itu ialah Almarhum Sultan Ismail dan bekas Pengerusi Tetap Umno, Tun Sulaiman Ninam Shah. 

Buku itu disunting oleh Profesor Emeritus Datuk Abu Bakar A Hamid, bekas profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002.

Pada sidang media itu, Mat Sabu membaca sebahagian daripada tulisan Ismail mengenai Mat Indera, yang menurutnya, meyakinkannya bahawa Mat Indera bukan petualang tetapi pejuang: 

“Walaupun ketokohan Mat Indera masih menjadi kontroversi namun ada satu persoalan besar perlu diberi jawapan sewajarnya. Persoalan kini adakah Mat Indera seorang petualang atau pejuang? Huraian di atas cukup jelas memberikan jawapan tepat.

“Seperti Datuk Mahara­jalela, Tok Janggut, Mat Salleh, Datuk Dol Said, Rosly Dhoby dan lain-lain, Mat Indera adalah seorang berani berjuang seca­ra terbuka melibatkan jasmani, rohani, intelek dan emo­sinya demi bangsa dan negara. Dia tidak mempunyai kepentingan peribadi. Dia juga tidak mempunyai niat jahat terhadap bangsa dan negaranya. 

“Dia rela mempertaruhkan nyawanya demi memperjuangkan hak kedaulatan sebuah negara yang terbelenggu oleh rantai penjajahan. Justeru Mat Indera sewajarnya diabadikan namanya sebagai seorang pejuang dan bukan seorang petualang.”

Mat Sabu berkata, Pas menawarkan khidmat peguam kepada waris peristiwa Bukit Kepong yang ingin menuntut pampasan atas penderitaan kehilangan anggota mereka dalam peristiwa itu.

“Ada peguam, yang juga ahli Pas dan anak Johor, menawarkan diri mahu membantu waris mereka yang terlibat dengan peristiwa Bukit Kepong untuk menuntut pampasan daripada Kerajaan British. Dia sedia bantu. British bertanggungjawab ke atas pasukan mata-mata yang berkhidmat di rumah pasung (balai polis) itu. Kita sedia membawa kes supaya dipertimbangkan pampasan kepada mereka,” katanya.

Mat Indera, gerila Melayu yang berpendidikan agama dan disifatkan sebagai individu warak, mengetuai serangan bersama anggota komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan