Mat Indera adalah pejuang’
KOTA BHARU - Kunjungan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu ke Kelantan adalah sebahagian daripada jadual untuk memberi penerangan khususnya berkaitan kontroversi membabitkan tragedi Bukit Kepong.
Pada masa yang sama beliau turut mengadakan sidang media dan menjawab beberapa soalan wartawan. Pada sidang media tersebut beberapa soalan sensitif turut dibangkitkan tetapi beliau tenang dan menjawab setiap persoalan yang diajukan.
Boleh tuan ulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menggesa tuan menarik balik kenyataan berkaitan tragedi Bukit Kepong?
Mohamad Sabu: Bagi saya itu, kebebasan seseorang memberi pandangan. Saya akan bertemu dengan beliau untuk bertukar fikiran.
Tidakkah itu nanti akan menyebabkan wujudkan perpecahan dalam PR?
Mohamad Sabu: Saya fikir tak ada masalah. Sudah banyak kali ada perbezaan pandangan, boleh diselesaikan.
Bila pertemuan tersebut?
Mohamad Sabu: Bergantung kepada masa, saya tidak akan tetapkan tarikh tetapi cuba dapatkan minggu ini,
Maknanya tuan tidak akan tarik balik kenyataan sebelum ini?
Mohamad Sabu: Kenyataan apa? Itu kenyataan media, saya tidak tahu kenyataan apa.
Bagaimana dengan kenyataan yang mendakwa Muhamad Indera sebagai hero?
Mohamad Sabu: Mat Indera memang pejuang kemerdekaan, ia dicatatkan dalam sebuah akhbar 13 Disember 2010 dengan menyebut beliau adalah pejuang kemerdekaan. Umno amat takut kisah perjuangan sebenar. Itu yang mereka panik dan gusar, kisah perjuangan sejarah yang sebenar.
Apa kisah yang sebenar tuan maksudkan?
Mohamad Sabu: Hari ini kita menyambut kemerdekaan seolah-olah menyambut perayaan Umno. Sebab itu rakyat tidak menyertai. Seratus kereta nak dapat satu bendera pun susah. Kalau ada bendera pun lori yang bawa pasir atau tanah muatan lebih, barangkali nak elak dari pada polis atau JPJ. Kalau nak diletakkan Tuanku Abd Rahman dan Datuk Onn Jaafar sebagai pejuang kemerdekaan, itu okey tetapi bariskan tokoh-tokoh yang lain, (Dr) Burhanudin, Ibrahim Yakob dan lain-lain. Saya pasti rakyat akan terpanggil untuk menyambut kemerdekaan, sekarang kemerdekaan 31, Ogos dijuruskan kemerdekaan untuk Umno.
Apakah tuan mengiktiraf perjuangan Tunku Abd Rahman dan Datuk Onn?
Mohamad Sabu: Ya, kalau mereka nak senaraikan tetapi tokoh lain tak ada langsung. Tok janggut jauh sekali, rakyat semakin celik dan merasai perayaan merdeka seolah-olah tidak ada kena mengena dengan rakyat. Ini sambutan makin dingin tidak seperti sambutan 60-an.
Apakah Pas Pusat akan membincangkan isu ini?
Mohamad Sabu: Kami belum adakan mesyuarat, dan Pas pusat tidak merasakan perkara ini perlu disegerakan. Sebenarnya saya sudah memberi ceramah ini bertahun-tahun, tetapi isu ini cuba dipusingkan kerana masalah besar negara ini adalah masalah keyakinan rakyat, contohnya terbongkarnya daftar pemilih yang akhirnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedia bertemu dengan Bersih. Dunia menyaksikan pengakuan bekas tentera membuat pendedahan mereka membuat penipuan ribuan penduduk dalam pilihan raya. Ini semua membuatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam keadaan serba salah dan panik, maka ditimbulkan isu komunis supaya orang bincang hal ini sedangkan ia perkara mitos dan fantasi dan bukan berfakta,
Tuan sudah dipanggil polis untuk ambil keterangan?
Mohamad Sabu: Belum ditetapkan tarikh dan saya akan beri kerjasama, Cuma saya diberitahu disiasat di bawah seksyen 505, (Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan).
Tuan tetap bertegas dengan kenyataan sebelum ini?
Mohammad Sabu: Mat Indera adalah pejuang. Polis jangan panik, sebelum 31 Ogos, waktu itu kerajaan adalah British, selepas 31 Ogos baru kerajaan Malaya merdeka. Ini fakta. Jangan kita menganggap selepas 31 Ogos kita ada kerajaan yang sama. Tidak, bendera lain, lagu lain. Jadi kita perlu beza.
Maknanya anggota keselamatan yang mati dalam tragedi Bukit Kepong itu tiada jasa kepada negara?
Mohamad Sabu: Itu terpulang kepada tafsiran masing-masing, sebab di situ ada bendera Union Jack.
Tafsiran tuan?
Mohamad Sabu: Tafsiran saya, mereka bekerja dengan British dan polis bila-bila pun terkorban, dikorban berkorban kerana mereka mengikut dasar pemerintah pada waktu itu. Saya simpati, mungkin mereka saudara kita, kita simpati. Tetapi sejauh mana kita simpati? Tragedi Memali, kerakusan pemerintah menyebabkan polis terkorban yang tidak terkorban adalah penguasa itu, yang menguasai pasukan keselamatan.
Maksudnya, tuan mengesahkan yang meninggal itu tidak berjasa kepada negara?
Mohamad Sabu: Itu serah kepada saudara untuk mentafsirkan, saya tidak mahu membuat tafsiran seumpama itu. Apa yang jelas Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan. Jadi (macam mana) tafsiran sokongan Macam Tok Janggut, Mat Kilau mereka ini menentang pemerintahan British.
Tuan hanya menambahkan kekeliruan?
Mohamad Sabu: Saya tidak menjadikan ia keliru tetapi akhbar yang cuba mengelirukan. Senang saja, lepas merdeka pemerintahan merdeka, sebelum pemerintahan Bristish. Apa yang bermasalah yang menentang British disebut pemberontak, yang menyokong Jepun selalu disebut tali barut. Kenapa? Sepatutnya yang menyokong British juga adalah tali barut, pegawai- pegawai kerajaan yang dilatih di bawah Britsih ada yang integritinya hebat ada yang dikekalkan sehingga mereka perkhidmatan di kerajaan merdeka dan khidmat mereka cukup cemerlang. Antaranya Tan Sri Ahmad Nordin, Tan Sri Arshad Ayub, Tan Sri Haron Hasyim, Tun Saleh Abbas, ini orang yang dilatih di pentadbiran British tetapi pemimpin yang berwibawa, bila mereka pengkianat kerajaan merdeka, bukan semua yang berkhidmat dengan Bristish itu adalah sampah dan tidak berguna, memang terpelihara integriti dalam kerajaan merdeka.
Kenapa baru sekarang isu ini dibangkitkan?
Mohamad Sabu: Isu ini bukan dibangkitkan sempena kemerdekaan sahaja, ia dibangkitkan setiap tahun iaitu sambut merdeka di Malaysia ini salah. Di Indonesia hampir setiap rumah orang letak bendera, sebab di orang merasakan itu kemerdekaan dia. Di Malaysia seolah-olah Umno yang merayakan kemerdekaan, kerana tidak melibatkan pejuang kemerdekaan sebenar. Ini yang nampak makin hari makin hambar, banyak lagi perkara-perkara yang terdedah dalam teknologi baru. Kerajaan kena jawab, misalnya lagu Negaraku, itu lagu Terang Bulan, dan Terang Bulan diambil dari lagu Perancis, kita dengar muzik itu, kerajaan kena terang… Indonesia menjadikan lagu ini sebagai ejekan kepada Malaysia, kerajaan kena jawab… Sekarang (ada kaum) Tionghua, kata (lagu) 'Negarakuku', akhirnya kerajaan tidak boleh buat apa, lepas tu bagi projek kepada dia sekarang.
Tidakkah tuan merasakan isu ini boleh menyebabkan Pas kehilangan undi?
Mohamad Sabu: Tidak, saya tidak merasakan kita akan kehilangan undi, malah menambah undi. Itu hanya pendedahan media. Mereka boleh menampak penerangan balas, kita buat penerangan balas. (sebelum ini) isu lebih dahsyat lagi, isu Tok Guru kata Tuhan samseng dan sebagainya.. yang dibuat media tanpa disiar ucapan penuh. Cuma isu ini dipanjangkan dan isu ini tidak akan reda kita tidak tahu mungkin sehingga pilihan raya, rakyat semakin cari maklumat, anak muda sekarang ini mula menyebut, hidup Mat Indera, saya terkejut, mereka tak dengar ucapan saya, tetapi tengok blog dan Internet… ini rakyat semakin celik.
Berbalik kepada isu Mat Indera? Adakah Rasyid Maidin turut dianggap sebagai pejuang?
Mohamad Sabu: Ya, sebelum merdeka mereka lawan penjajah, selepas merdeka kalau mereka akan terus akan senjata itu saya tidak setuju.. sebelum merdeka mereka lawan British, kalau selepas merdeka serta menerima dasar demokrasi, maka terus angkat senjata mereka menentang British. Itu saya tidak setuju
Pandangan tuan selepas 54 tahun Malaysia merdeka?
Mohamad Sabu: Saya sifatkan belum merdeka , tiada kebebasan media, saya diserang tujuh hari tujuh malam, apa salahnya beri rancangan setengah jam untuk saya bercakap, media serang termasuk di malam raya, dijangka tidak berlaku peribadi, saya rasa etika kewartawanan tidak ada, saya kesal ini berlaku, tak pa la kecam saya, tetapi beri ruang untuk menjawab, beri saya membuat penjelasan dan kita buat pertimbangan, ini rakyat tidak boleh buat pendengaran.
Tuan setuju berdebat dengan mereka yang mengkritik?
Mohamad Sabu: Kita sedia bertemu, bukan berdebat, lebih sedap berbincang, dalam soal kemerdekaan dan sejarah, sebabnya banyak khazanah tetapi banyak berada di Eropah bukan di negara kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan