Maut hanya kerana lagu Hindi TELUK INTAN - Hanya kerana lagu Hindi yang tidak boleh dimainkan, seorang lelaki maut selepas dibelasah sekumpulan lelaki yang tidak berpuas hati dengan keadaan itu, di sebuah kelab Bandar Baru, di sini. Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, kejadian berlaku pada 31 Ogos lalu apabila mangsa yang dikenali sebagai Beh Chin Hooi, 33, cuba meleraikan pergaduhan di antara seorang lelaki dan penjaga kelab. Menurutnya, sebelum itu, seorang lelaki bersama rakannya telah meminta penjaga kelab itu memasang lagu hindi mengguna ‘pendrive’ yang diberikan mereka. “Namun begitu, ‘pendrive’ ini gagal berfungsi menyebabkan timbul salah faham di antara kedua-dua pihak. “Lelaki ini dikatakan memukul penjaga kelab itu, tetapi berjaya dileraikan oleh mangsa yang juga pemilik kolam udang,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam. Kok Liang berkata, lelaki yang tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa datang semula ke kelab itu bersama enam rakannya menyerang mangsa di hadapan kelab itu. “Salah seorang daripada kumpulan itu menyerang mangsa menggunakan senjata tajam iaitu parang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian pipi dan kepala,” katanya. Beliau berkata, mangsa mendapat rawatan awal dan menerima 12 jahitan di kepala sementara empat jahitan di sebelah mata kirinya sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk rawatan lanjut. “Setelah beberapa hari menerima rawatan di hospital, mangsa meninggal dunia awal pagi semalam,” katanya. Katanya, pihaknya telah memberkas dua lelaki berusia 28 hingga 29 tahun dan akan di reman bagi membantu siasatan. “Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat boleh dikenakan hukuman mandatori, hukuman gantung sehingga mati jika disabitkan kesalahan,” katanya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan