Isnin, 5 September 2011

PERUTUSAN HARI KEMERDEKAAN : KETUA DPPK


PERUTUSAN HARI KEMERDEKAAN KE 54
Oleh :
KETUA DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN BAGAN DATOH

( Menghayati Erti Kemerdekaan Sebenar )

Assalamualaikum WBT.
Bismillahirahmannirrahim..

"Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, Dan Kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong - bondong, Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada - Nya. Sesungguhnya dia adalah MAHA penerima taubat. ( Surah al- Nashr: 1 - 3 ) "

Sesungguhnya 31 Ogos adalah tarikh keramat bagi rakyat Malaysia. Jesteru 54 tahun lalu, jerit perit derita perjuangan sangat mahal dan tidak ternilai harganya. Entah berapa banyak darah dan air mata perjuangan mengalir untuk mempertahankan maruah bagi mendapatkan kemerdekaan. Bagi umat yang menjadikan agama sebagai dasar perjuangan, kemerdekaan adalah nikmat ilahi yang wajib disyukuri.

Nikmat kemerdekaan harus diterjemahkan dalam kehidupan yang menepati erti kemerdekaan setulennya. Merdeka berasaskan prinsip karamah insaniah. kemuliaan yang diperolehi dari Allah SWT sebenarnya sarat dengan erti kemerdekaan, kebebasan, persamaan dan sejumlah hak asasi yang tanpanya hilang kemanusiaannya.

Manusia yang merdeka tidak dapat menerima kehidupan yang tidak bermaruah, kehidupan yang tidak berakhlak, kehidupan yang cemar dengan amalan keji dan hina seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, penipuan, pemerasan, kepuraan, ampu bodek, dan melakukan kezaliman dan penindasan.

Penting bagi kita selaku Umat Islam khususnya dan seluruh rakyat Malaysia, untuk memahami makna kemerdekaan menurut Islam sebagaimana teladan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW, para sahabat, dan di zaman kegemilangan Islam.

Rasulullah saw meninggalkan kita sejarah Fathul Mekah yang berlaku di bulan Ramadhan yang juga membawa erti kemerdekaan. Walaupun yang memerintah Mekah itu merupakan anak jati Mekah, satu bangsa dan keturunan dengan Nabi, mereka hidup dengan penuh kezaliman dan penindasan.

Maka peristiwa Fathul Makkah sebenarnya merupakan kesempatan memerdekakan Makkah daripada penjajahan sesama sendiri, akibat melakukan syirik kepada Allah  dan berbuat kezaliman.

Di sini juga kita dapat membezakan di antara Islam dengan anutan lain baik agama atau ideologi- ideologi lain dalam mentakrifkan kemerdekaan dan penjajahan.

Islam tidak melakukan penjajahan , sebaliknya melakukan pembebasan dan kemerdekaan kepada penduduk sesebuah negara yang dimasuki. Bezanya dengan penjajahan, mereka masuk sesebuah negara untuk memperluaskan fahaman mereka yang syirik dan mengambil hasil bumi negara tersebut di bawa ke negara asal mereka.


Sedangkan Islam melarang hasil bumi sesebuah negara khususnya yang ditakluk dipindahkan ke negara lain selagi dalam negara tersebut masih ada lagi orang yang miskin dan memerlukan.


Jadi tidak ada mana - mana negara yang dikuasai kerajaan Islam melakukan peras atau rampasan harta yang dipindah ke negara lain. Sebaliknya, rakyat diberikan hak dan kebebasan    dan dilayan secara adil termasuklah yang bukan beragama Islam.


Umno yang menjadi teras pemerintahan negara hari ini, memenuhi syarat penjajah untuk memerintah dan mereka telah bertindak lebih setengah abad sebagai penjajah baharu di kalangan anak bangsa, yang telah menyebabkan negara menuju kepada kemelut ekonomi, politik dan sosial yang parah.


Maka kerja dan tanggungjawab  rakyat Malaysia khasnya golongan pemuda di kawasan Bagan Datoh ketika ini ialah membebaskan negara daripada kekuasaan Umno BN yang memerintah negara.


Semoga sambutan kemerdekaan ini memberi kefahaman bermakna kepada kita untuk meletakkan negara dalam keadaan bebas daripada belenggu kezaliman tersebut.


Sekian, wassalam..


Salam perjuangan.


Ikhlas daripada :
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh



Tiada ulasan:

Catat Ulasan