Isnin, 3 Oktober 2011

SUDAH TANGGUNGJAWAB KERAJAAN - PEMUDA PAS

BAGAN DATOH : Kenyataan Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid b. Hamidi terhadap PAS iaitu kononya sentiasa menentang segala apa pembangunan dan kemajuan yang cuba dirancang oleh kerajaan Umno – BN terutamanya di kawasan Bagan Datoh di sangkal Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh. Sebaliknya, Pemuda PAS dan rakyat di kawasan Bagan Datoh amat mengalu – alukan dan menyambut baik usaha dan langkah  kerajaan untuk membangunkan ekonomi di kawasan ini kerana sememangnya sudah menjadi tanggungjawab kerajaan.

“ Sesungguhnya sebagai rakyat di kawasan ini, kami sentiasa sokong segala apa yang baik untuk rakyat. Sudah jadi tanggungjawab pihak kerajaan. Tetapi biarlah ikhlas dan jujur, jangan ada kepentingan politik semata – mata.” Tegas Penolong Setiausaha 3 Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh, Ust. Mustaid bin Saifuddin.


Dewan Pemuda PAS mengharapkan projek pembangunan ekonomi di Bagan Datoh terus dilaksanakan demi kepentingan rakyat. Terbaharu, Projek Limbungan Kapal bernilai RM 240 juta oleh Syarikat NGV Tech Sdn. Bhd yang dikatakan akan mula beroperasi tidak lama lagi agar memberi manfaat kepada penduduk sekeliling.

Pelancaran Majlis Pecah Tanah projek tersebut telah disempurnakan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr. Zambry  Abd Kadir pada 30 Julai 2011. Turut hadir majlis tersebut, Ahli Parlimen Bagan Datoh juga merangkap Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Rungkup, Datuk Shaarani Mohamad. Mereka berkata projek tersebut dijangka siap sepenuhnya tiga tahun lagi akan menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 5,000 orang anak tempatan.

Projek pembinaan limbungan dan pusat penyelenggaraan kapal keluli itu dilancarkan pada upacara simbolik sempena lawatan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak ke sini pada Jun tahun lepas.

Selain projek limbungan kapal tersebut yang didakwa bakal meningkatkan ekonomi Bagan Datoh, terdapat juga projek Lebuhraya Pantai Barat Sabak Bernam- Bagan Datoh- Changkat Jering bernilai RM 60 juta yang akan dilaksanakan tidak lama lagi bakal merancakkan lagi pembangunan ekonomi kawasan ini.

Pembangunan ekonomi dan sosial amatlah penting dalam memberi keselesaan rakyat, seterusnya dapat melaksanakan segala tuntutan agama dan Negara. Mudah – mudahan apa yang dirancang kerajaan Umno- BN dapat dilihat dan dirasai rakyat bersama.


Namun begitu, rakyat seharusnya bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah SWT yang dikurniakan kepada kita. Jangan disalah ertikan pembangunan oleh kerajaan kerana bukanlah UMNO- BN yang memberi, tetapi sudah menjadi tanggungjawab kerajaan kepada rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan