Sabtu, 5 November 2011

PERUTUSAN I'EDUL ADHA 1432 - KETUA PEMUDA PAS

PERUTUSAN SAMBUTAN I'EDUL ADHA 1432
OLEH
 KETUA  DEWAN PEMUDA PAS BAGAN DATOH

Assalamu’alaikum w.b.t 
Bismillahirrahmanirrahim..
Salam Aidiladha saya ucapkan mewakili barisan saf pimpinan Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh kepada seluruh sahabat-sahabat yang sedang bercuti di kampung halaman bersama keluarga tercinta dan juga kepada semua Umat Islam seluruh di Malaysia khususnya pemuda - pemuda muslimin di Bagan Datoh. Tidak kiralah di mana pun kita berada atau apa pun situasi kita, janganlah kita terlepas daripada menyambut perayaan yang mulia ini. Gunakanlah hidayah Allah dan kelebihan kita sebagai umat Islam untuk mendekatkan diri kita kepada Allah walaupun dalam kemeriahan menyambut hari kebesaran sekalipun.
Hidup ini sendiri merupakan tarbiyyah(didikan) Allah terus kepada hamba-hamba-Nya. Oleh yang demikian, ambillah apa sahaja yang kita lihat pada alam ini dan apa sahaja yang berlaku kepada kita untuk dijadikan medium untuk menambahkan iman kita kepada Allah. Dalam konteks ini, sungguh banyak yang boleh kita pelajari daripada Aidiladha. Antara yang paling menarik untuk ana kongsikan bersama sahabat-sahabat sekalian ialah peristiwa bagaimana boleh bermulanya penyambutan Aidiladha itu sendiri.
Jelas sekali kita semua sudah mengetahui Aidiladha itu bermula dengan peristiwa Nabi Ibrahim a.s menyahut perintah Allah untuk menyembelih anaknya yakni Nabi Ismail a.s. Seperti dalam firman Allah dalam surah As-Saffat ayat ke-102 yang membawa maksud;
“Maka tatkala anaknya itu sampai ke peringkat umur yang membolehkan dia berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi, bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapat mu. Anaknya Ismail menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya-Allah ayah akan mendapati daku daripada orang-orang yang sabar.”
(Surah As-Saffat 37 : 102 )
Sempena hari suci ini semestinya kita mengambil iktibar dari peristiwa korban yang sebut dalam al-Qur’anu ‘l-Karim,  dari kecekalan dan keteguhan  hati Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. Semangat kecekalan inilah yang perlu kita hayati dalam mengharungi kegetiran perjuangan. Dan tatkala pemimpin tertinggi negara membuat ucapan-ucapan berbau perkauman amat bertepatan kalau kita teliti pengalaman menunaikan fardhu haji Malcolm X (Haji al-Malik as-Shabaz). Di Padang Arafat beliau bertemu orang putih yang paling putih dan orang hitam yang paling hitam tetapi mereka bersatu untuk mencari keredhaan Allah. Semua pula berpakaian ihram yang melambangkan persamaan tanpa mengira darjat dan pangkat. Pengalaman tersebut membuatkan Malcolm X mengikis saki baki sikap perkaumannya.

Perjuangan menuntut pengorbanan. Dan pengorbanan harus bermula dari diri sendiri dan keluarga. Inilah yang kita pelajari dari sirah Rasulullah. Inilah yang telah saya pelajari dari para ulamak dan hasil mentelaah al-Qur’an secara peribadi dan bersama rakan-rakan. Alhamdulillah ajaran ini memberikan kekuatan dan persediaan dalam menghadapi cobaan terhadap diri. Tanpa keimanan terhadap keadilan Ilahi, daya dan semangat juang saya sudah pasti telah lama  terkulai.  Telah enam bulan saya dianiaya oleh golongan  pakatan keji golongan kaya dan berkuasa. Dan tanpa keyakinan  tidak mungkin saya berdaya menghadapi fitnah yang sebegini besar, pedih dan mengaibkan.  Dalam dicengkam oleh kepedihan dan beratnya dugaan yang terpaksa digalas beberapa firman Allah datang bagai panahan hilir lintar menerangi kegelapan dan semangat saya melonjak kembali. Umpamanya, “Dan hendaklah kamu berteguh hati menghadapi apa yang menimpa dirimu” (Luqman: 17) .  Ayat-ayat seperti ini seolah-olah berbicara terus kepada diri saya.

Hidup ini adalah perjuangan. Perjuangan melawan kepalsuan, kezaliman dan kemunafikan.  Kepalsuan, kezaliman dan kemunafikan ada di mana-mana, dalam lingkungan kita, dalan negara dan di luar negara. Kesemuanya harus kita perangi. Kita harus perangi dengan jihad melawan hawa nafsu, dalam lingkungan dan negara harus kita perangi dengan melancarkan reformasi; dan di dunia luar harus kita perangi melalui forum-forum antarabangsa.  Adalah satu kemunafikan  apabila kita membebel tentang kezaliman dunia tetapi berdiam diri, apatah lagi melakukannya, di dalam masyarakat dan negeri sendiri. Maka kita menyaksikan bahawa serangan terhadap kezaliman luar negara hanya semata-mata bom asap untuk mengabui mata rakyat terhadap kezaliman yang dilakukan dalam negara sendiri.

Perjuangan semestinya menuntut pengorbanan. Tetapi  pengorbanan perlu bermula dari diri sendiri dan keluarga. Telah diriwayatkan bahawa Imam Nawawi, pengarang Matan al-Arba’in dan Riadhu ‘l-Salihin, pernah diminta oleh Sultan MalikusSaleh untuk mengeluarkan fatwa mewajibkan rakyat berkorban harta mereka untuk   membantu negara dalam perang. Imam Nawawi enggan mengeluarkan fatwa tersebut sambil menjawab bahawa Sultanlah orang yang pertama-tama patut berkorban. Andaikata Sultan bersedia mengorbankan sebahagian besar hartanya berupa khadam, kuda, permaidani indah, ketul-ketul emas, barulah boleh diminta rakyat untuk mengorbankan harta mereka.

Alangkah berbedanya prinsip pengorbanan yang diajarkan oleh tradisi Islam dan budaya luhur dengan realiti yang berlaku di Malaysia hari ini. Pemimpin tertinggi negara meminta rakyat berkorban sedangkan dia dan keluarganya lemas dalam kemewahan, mendirikan mahligai yang terbesar dalam sejarah bangsa kita, yang paling besar dalam negara-negara membangun, bahkan mengatasi besarnya kediaman pemerintah beberapa negara maju. Dan istana ini dibina dari wang cukai yang dikutip dari keringat rakyat, termasuk peladang, nelayan dan peniaga kecil. Pemimpin ini juga meminta rakyat menggunakan barang-barang keluaran tempatan tetapi istananya sendiri dihiasi dengan perabut dan perlengkapan yang diimport dari luar negeri.

Marilah kita hayati Hari Raya Aidil Adha ini dengan mengambil iktibar daripada petunjuk di atas, demi kemenangan dunia dan akhirat.
Ayuh, bersama kita memastikan agar kepimpinan negara ini di pimpin oleh orang-orang yang beriman dan soleh sekaligus melenyapkan kezaliman yang membelenggu rakyat selama ini, insyaAllah PAS dan Pakatan Rakyat akan memimpin Malaysia dan Perak selepas PRU 13 ini.
Allahhu Akhbar Allahhu Akhbar Allahhu Akhbar,

Salam perjuangan,
Ketua Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan