Jumaat, 24 Februari 2012

TAZKIRAH JUMAAT : SYUKURI NIKMAT ALLAH SWT

MENSYUKURI KURNIAAN DAN NIKMAT ALLAH

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ لَهُ مَا فِى السَّمَوَاتِ وَمَا فِى الأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِى الآخِرَةِ وَهُوَ الْحَكِيْمُ الْخَبِيْرُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Pada hari Jumaat yang penuh dengan rahmat dan keberkatan kurniaan Allah ini saya ingin mengajak diri saya dan para jamaah untuk sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah, dengan sentiasa melakukan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan berbuat demikian kita akan tergolong di kalangan hamba-Nya yang akan beroleh kebahagiaan dan kesejahteraan di dunia yang sementara ini dan berterusan hingga ke akhirat yang kekal abadi.

Salah satu amalan mulia yang terkandung di dalam syariat Islam apabila kita menerima sesuatu nikmat berbentuk kebahagiaan, kemudahan dalam hidup, rezeki yang melimpah ruah dan terlepas dari sesuatu musibah adalah dengan memperbanyakkan syukur kepada Allah. Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 7 yang berbunyi:



Bermaksud :“Dan ingatlah ketika Tuhanmu memberitahu: ”Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, ingkar, sesungguhnya Azab-Ku amatlah pedih”.

Alhamdulillah, berkuatkuasa 1 Julai ini 1.02 juta anggota perkhidmatan awam seluruh Negara akan menerima kenaikan gaji antara 7.5% hingga 35%, termasuk anggota tentera dan pasukan polis yang akan turut menerima kenaikan gaji antara 9% hingga 42%. Begitu juga Elaun Sara Hidup (COLA) telah dinaikkan 100%. Kenaikan gaji yang seumpamanya sejak 15 tahun lalu adalah satu detik yang amat dinanti-nantikan selama ini oleh anggota perkhidmatan awam. Ini bermakna kerajaan dan masyarakat telah mengiktiraf sumbangan besar yang dimainkan oleh sektor awam bagi menjana pembangunan sosio ekonomi, mengekalkan ketenteraman dan memberi perkhidmatan yang memuaskan kepada masyarakat. Apalagi kenaikan gaji ini bukan sahaja dirasai oleh pegawai perkhidmatan awam yang masih bekerja tetapi turut dinikmati oleh 557,033 pesara kerajaan yang selama ini telah berkhidmat dengan dedikasi dan penuh amanah. Sepatutnya kita sebagai anggota perkhidmatan awam bersyukur kepada Allah yang telah mengurniakan nikmat yang melimpah ruah di bumi bertuah ini. Tidak lupa juga kita mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada pemimpin negara yang sentiasa prihatin dan menghargai sumbangan dan pengorbanan pegawai kakitangan kerajaan selama ini. Cuba kita bandingkan suasana ini dengan apa yang berlaku pada rakyat di sesetengah negara lain yang sentiasa hidup dirundung ketakutan lantaran peperangan yang telah memusnahkan bukan sahaja kediaman mereka malah negara dan kehidupan mereka, sesetengah negara pula dicengkam belenggu kemiskinan mengakibatkan kebuluran dan kekurangan makanan manakala ada negara lain dilanda wabak penyakit berjangkit yang membahayakan dan memusnahkan mereka. Begitu juga ada negara lain yang sentiasa bergolak, berperang sesama sendiri yang akhirnya mereka dijajah pula oleh kuasa asing.

SIDANG JUMAAT YANG DIHORMATI SEKALIAN,
Keputusan kerajaan mengumumkan kenaikan gaji bukanlah satu perkara mudah tetapi memerlukan satu peruntukan besar bagi membayar gaji kakitangan awam. Adalah dianggarkan sebanyak RM6.8 billion setahun diperuntukkan bagi membayar gaji ekoran kenaikan tersebut. Begitu juga sebanyak RM1.2 billion diperuntukkan untuk membayar Elaun Sara Hidup (COLA) setahun. Kemampuan kerajaan bagi membayar kenaikan gaji tersebut adalah bukti yang jelas keamanan negara, politik yang stabil dan perpaduan yang kukuh di kalangan rakyat berbilang kaum yang merupakan resepi terpenting kemajuan dan pembangunan negara. Kesemua ini tidak akan berlaku melainkan dengan kerjasama dan saling memahami antara pemimpin dan rakyat, kerajaan dan anggota perkhidmatan awam.

SIDANG JUMAAT YANG DIKASIHI SEKALIAN,
Ketika pegawai kerajaan mengira-ngira berapakah habuan yang akan mereka perolehi, mimbar jumaat pada hari ini ingin mengajak sidang jamaah sekalian khususnya anggota perkhidmatan awam menghayati perkara-perkara berikut,

1.       Bekerja Lebih Gigih Bagi Mencapai Matlamat Perkhidmatan Awam Terbaik dan Bertaraf Dunia

Pernyataan syukur kepada Allah dan terima kasih kepada kerajaan tidak mencukupi melainkan setiap anggota perkhidmatan awam membalas kepercayaan dan penghargaan oleh pemimpin dan rakyat tersebut dengan meningkatkan produktiviti dan kualiti bekerja dengan lebih cekap dan gigih untuk memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan. Selain itu setiap pegawai mestilah memberi nilai tambah kepada perkhidmatan dengan mengurangkan karenah birokrasi, sikap mesra, telus, responsif dan mementingkan kehendak pelanggan. Ekoran kenaikan gaji ini tiada lagi alasan untuk melakukan perkara negatif yang boleh merosakkan imej perkhidmatan dan merugikan diri sendiri seperti sikap sambil lewa dalam kerja, terlibat dengan rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa, tabiat curi tulang, dan pelbagai lagi amalan buruk. Marilah kita menyedari bahawa kesemua tabiat buruk ini bukan sahaja merugikan diri sendiri tetapi menyebabkan kita memberikan nafkah yang tidak bersih kepada anak isteri dan keluarga kita. Ingatlah pesanan baginda Nabi S.A.W. di dalam hadis baginda:

كُلُّ لِحْمٍ نَبَتَ مِنَ الْحَرَامِ فَالنَّارُ أَوْلىَ بِهِ

Yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya”.
(hadis riwayat at-Tirmizi)

Sesungguhnya pekerjaan yang kita lakukan bukan sahaja mendapat gaji setiap bulan malah ia dikategorikan sebagai ibadah yang memperoleh pahala, ganjaran dan keberkatan di dunia dan akhirat. Sehubungan dengan itu, Dr. Yusof al-Qardhawi, dalam kitabnya al-‘Ibadah fi al-Islam, menggariskan beberapa pra syarat kerja yang kita laksanakan dinilai sebagai ibadah.
1.                Mestilah mempunyai niat bagi mencari keredhaan Allah dengan berkhidmat dengan ikhlas bagi mencari rezeki yag halal,
2.                Pekerjaan tersebut diakui oleh Islam,
3.                Sepanjang bekerja tersebut ia tidak menganiaya dan mengambil harta orang lain samada menipu, mencuri mahupun terlibat dengan rasuah,
4.                Pekerjaan tersebut dilakukan dengan kesungguhan dan penuh komitmen
5.                Ia tidak meninggalkan tuntutan ibadah khusus seperti meninggalkan solat ataupun enggan mengeluarkan zakat.

2.       Mengurus kewangan secara bijak dan berbelanja secara berhemah.
Kenaikan gaji yang agak besar ini janganlah mudah menjadikan kita rambang mata dan lupa daratan dengan berbelanja besar, yang menyebabkan hidup kita dibelenggu kesusahan akibat berhutang. Janganlah kita terpedaya dengan tawaran skim cepat kaya samada ditawarkan oleh pelabur yang menipu atau yang telahpun diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebagai haram di sisi syariat Islam. Sebaliknya kita memanfaatkannya dengan melabur dalam saham amanah yang diharuskan oleh syara’ dan simpanan untuk pendidikan atau lain-lain skim yang diluluskan oleh bank Negara demi masa depan anak-anak dan keluarga yang bukan sekadar halal tetapi dijamin pelaburannya oleh kerajaan.
                            
Selain itu bagi mempastikan kehidupan kita akan sentiasa diberkati Allah, janganlah kita lupa menyimpan untuk menunaikan ibadah Fardhu haji. Kalau sebelum ini simpanan kita hampir kering kerana keperluan lain, sekarang adalah masanya kita memulakan kembali tabungan kita disamping menambahkan sedekah yang amat digalakkan lebih-lebih lagi kepada ibubapa kita yang memerlukan dan golongan yang kurang bernasib baik. Moga-moga dengan itu kehidupan kita sentiasa diberkati Allah. Firman Allah:

t
Bermaksud: “Dan juga mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tidak pula bakhil kedekut, dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (bakhil dan kedekut) itu’’.
                             (Surah al-Furqan: 67)

Dalam masa yang sama kepada para peniaga janganlah mengambil kesempatan dengan sengaja menaikkan harga barang-barang keperluan dan makanan dan hendaklah mematuhi arahan pihak berkuasa. Golongan seperti ini adalah umpama duri dalam daging yang sentiasa mencari peluang bagi menindas dan memeras keringat orang lain serta membina kekayaan walaupun rakyat menderita. Ingatlah bahawa arahan dari pemerintah ini wajib diikuti kerana ia tidak bertentangan dengan syara’ dan barangsiapa yang ingkar adalah berdosa.
  3.  Menghindari Amalan Rasuah
Dalam mengejar kekayaan dan kemewahan hidup terdapat segolongan manusia yang terlalu rakus dan tamak dengan harta benda, sehingga sanggup mencampakkan diri mereka ke lembah kebinasaan dan kehinaan dengan melakukan jenayah rasuah yang sangat dikutuk Allah Taala. Firman-Nya:

Ÿ
Bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (mengambil) harta (orang lain) diantara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada Hakim-hakim kerana hendak menahan (mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui salahnya”.

(Surah al-Baqarah : 188)

Rasuah bukan sahaja menyebabkan pelakunya sentiasa diburu perasaan bersalah, mengambil keuntungan secara mudah tanpa berusaha tetapi ia boleh meruntuhkan sistem dalam masyarakat, merugikan negara malah boleh mengorbankan manusia yang tidak berdosa. Jalanilah hidup kita dengan gaya sederhana berdasarkan kemampuan yang ada. Janganlah kerana sikap kita sendiri yang suka menunjuk-nunjuk, berbelanja mewah, gemar berhutang akan menjerat diri kita dalam lembah maksiat yang dilarang Allah.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Marilah kita pada hari ini merealisasikan konsep kesyukuran dengan sebenar-benarnya dalam kehidupan kita. Agar kehidupan kita lebih diberkati Allah dan dikurniakan dengan nikmat yang melimpah ruah.


أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

ô
Bermaksud: “Dan sesungguhnya kami telah memberi kepada Lukman hikmah, kebijaksanaan (serta kami perintahkan kepadanya): bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmat-Nya kepadamu) dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulanglah kepada diri sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah) kerana sesungguhnya Allah Maha kaya Lagi Maha terpuji."

(surah Lukman : 12)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan