Sabtu, 31 Mac 2012

KRISIS SYRIA : ASSAD LANGGAR JANJI !

Presiden Syiria mungkir janji?
Imej yang diambil dari rakaman video amatur ini menunjukkan tentera rejim bersama kereta kebal
DAMSYIK - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kelmarin mendakwa Presiden Syria, Bashar al-Assad telah memungkiri janji kerana gagal untuk menghormati pelan damai yang dikemukakan wakil PBB dan Liga Arab berikutan tindakan tentera rejim yang berterusan menyerang kubu pemberontak di negara itu.

Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia di Syria, sekurang-kurangnya 21 terbunuh selepas tentera rejim Assad bersama kereta kebal menyerang beberapa bandar utama termasuk Qalaat al-Madiq yang menjadi kubu kuat pemberontak.

Dalam satu kenyataan, ketua hak asasi manusia PBB, Navi Pillay berkata, mereka kini mempunyai bukti yang cukup untuk mendakwa Assad atas tindakan keganasannya terhadap penduduk di negara tersebut.

“Dia akan dibicarakan atas kekejamannya dan bukan kerana kegagalan untuk menamatkan konflik yang semakin meruncing di Syria. Assad sebenarnya boleh mengeluarkan perintah untuk menghentikan pembunuhan mengikut pelan damai yang telah dipersetujui bersama Kofi Annan tetapi dia gagal untuk melaksanakannya,” menurut­nya lagi.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Syria, Jihad Makdissi menyatakan kerajaan enggan bekerjasama dan mematuhi inisiatif yang dikemukakan oleh Sidang Kemuncak Liga Arab di Baghdad, kelmarin selepas keanggotaannya digantung pada November lalu.

Sehingga kini, kira-kira 9,000 orang dilaporkan terkorban sejak negara tersebut mula bergolak sejak setahun lalu.

ISLAM DI PERANCIS : APA MOTIF SEBENARNYA ?

Perancis tahan 19 umat Islam susulan kes Mohamed Merah
Mohamed Merah
PARIS - Polis Perancis menahan 19 orang beragama Islam yang disyaki susulan serangan minggu lalu yang mengorbankan tujuh orang.
Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy berkata, beberapa serbuan telah dilakukan oleh pihak polis di sekitar bandar Toulouse, Lyon, Marseille, Paris, Nice dan Le Mans untuk memburu rakan Mohamed Merah, 23, yang ditembak mati susulan satu insiden rakyat Perancis itu menyerang sehingga menyebabkan tujuh orang terbunuh.
Polis memburu rakan-rakannya tetapi sumber berkata tiada kaitan langsung dengan serbuan yang dibuat.
Kumpulan itu dikenali sebagai kumpulan Salafist dan dibubarkan oleh Kementerian Dalam Negeri dalam penyiasatan yang awal kerana ia bersifat radikal.
Menurut sumber, dalam serbuan tersebut, polis turut menyita beberapa jenis senjata api termasuklah satu senapang jenis Kalashnikov.
Mohamed telah dikebumikan di tanah perkuburan Cornebarrieu di Toulouse, semalam.
Merah meninggal dunia dalam serangan polis di flatnya di Toulouse pada 22 Mac selepas dikepung selama 32 jam.
Merah dikatakan memberitahu polis dia melakukan jenayah terbabit kerana mahu membalas dendam di atas penganiayaan kuasa asing kepadakanak-kanak Palestin.
Abangnya, Abdelkader juga ditahan dan dikenakan tuduhan awal minggu ini.

 

KEMPEN SYIARKAN ISLAM : PAS

Pas akan terus guna kempen 'undi, syurga'

KOTA BHARU - Pas tetap dengan pendiriannya meneruskan kempen menegakkan syiar Islam dengan menekankan soal syurga apabila seseorang itu melahirkan sokongan kepada parti itu semasa pilihan raya, kata Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Berang dengan dakwaan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Nik Aziz berkata, pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu mempelajari agama terdahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Tiap-tiap orang yang bercakap soal Islam dia akan sebut soal syurga dan neraka, dia (Datuk Abd Rahman) kena ingat, bercakap ini ada soal pahala dan dosa, jangan cakap sembarangan,” kata beliau ketika ditemui selepas kuliah Jumaat di Dataran Ilmu pagi ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Abd Rahman ketika Wacana Sinar Harian ke-12 kelmarin, yang mendakwa Pas melakukan rasuah politik paling tinggi dengan menjanjikan syurga kepada pengundi.
Abdul Rahman berkata, pembangkang menuduh BN rasuah, namun mereka sendiri terlupa turut melakukan perkara sama pada setiap pilihan raya.
Nik Aziz berkata, Nabi Muhammad SAW sebagai contoh pemimpin yang sentiasa mengingatkan umatnya mengenai hal dosa dan pahala yang membawa manusia itu ke syurga atau neraka.
Dalam pada itu, Nik Aziz melahirkan rasa gembira dengan tindakan Kerajaan Pusat yang membantu dalam membangunkan Pelabuhan Tok Bali di Pasir Puteh yang dilancarkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V semalam.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau meminta projek itu dibangunkan sejak pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, namun bekas Perdana Menteri itu memberikan pelbagai alasan tidak munasabah.
Melalui projek itu katanya, beliau mengharapkan Kelantan terkenal di peringkat antarabangsa dengan menjadi persinggahan kapal-kapal dagang dari negara-negara Timur.
“Insya-Allah selepas ini kita akan mendapat persinggahan kapal-kapal dari negara Arab dan negara jiran Asia seperti China dan Kemboja.
“Kita bukan sahaja nak eksport barang kita sahaja, tetapi kita nak eksport perangai sekali, jangan menipu, berbohong dan caj keting, insya-Allah, ia jadi buah mulut, kepada masyarakat antarabangsa,” katanya.

Jumaat, 30 Mac 2012

TAZKIRAH JUMAAT :FADHILAT MALAM DAN HARI JUMAAT



Kelebihan Malam Jumaat dan Hari Jumaat serta Amalannya :


Dalam hadis-hadis yang shahih banyak dijelaskan, bahawa permulaan Rasulullah SAW mengerjakan solat Jumaat pertama kali ialah di Madinah, dimana setelah Rasulullah sampai di Quba’ dalam perjalanan ke Madinah, Rasulullah berhenti di kampung Amr Ibn ‘Auf. Baginda tinggal disitu selama beberapa hari iaitu dari hari Isnin higga hari Khamis. Dalam masa empat hari itu baginda telah membina sebuah masjid bersama dengan kaum Muslimin.kemudian pada hari Jumaat Rasulullah meneruskan perjalanannya. Ketika tiba waktu solat Jumaat baginda telah sampai ke kampung Bani Salim Ibn ‘Auf. 


Maka baginda terus mengerjakan solat Jumaat di salah satu masjid di dalam sebuah lembah. Maka itulah permulaan solat Jumaat yang dilaksanakan Rasulullah SAW di daerah Madinah. Khutbah Rasulullah yang pertama yang disampaikan ialah mengenai jumlah orang yang mengikuti solat Jumaat dan mengenai syarat jamaah dalam mendirikan solat Jumaat. Tambahan lagi, kaum muslimin wajib mengerjakan solat Jumaat di mana sahaja dia berada. Sebab dinamakan solat Jumaat diantaranya ialah dikerjakan pada hari Jumaat. Selain itu, sesetengah ulama’ berpendapat bahawa dinamakan solat Jumaat kerana pada hari itu para penduduk berkumpul atau berjamaah. Menurut Al-Allamah Muhammad Ahmad Syakir pula menegaskan bahawa jemaah itu merupakan suatu tuntutan yang berdiri sendiri yang bermaksud mereka yang tidak menghadiri solat Jumaat tanpa ada halangan atau uzur maka ia berdosa. Sementara itu menurut mazhab Imam Syafi’I berjamaah dalam mengerjakan solat Jumaat itu wajib dan termasuk dalam syarat sah mendirikan solat Jumaat. 

Seandainya seseorang meninggalkan atau tertinggal atau tidak sempat menunaikannya harus menggantinya dengan solat Zohor. Solat Jumaat ialah solat dua rakaat sesudah khutbah pada waktu Zohor di hari Jumaat. Hukumnya ialah fardu Ain, ertinya wajib keatas tiap-tiap lelaki yang dewasa, yang beragama islam, merdeka dan bermaustatin. Tidak wajib keatas perempuan, kanak-kanak, hamba sahaya dan orang yang sedang dalam perjalanan.

Firman Allah SWT; 

“Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu diseur untuk solat pada hari Jumaat, maka hendaklah kamu segera mengingat Allah dan tinggallah jual beli”. (Al-Jum’ah:9)

Kemudian Raulullah bersabda; 

“Jumaat itu hak yang wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang islam dengan berjamaah bersama-sama, kecuali empat macam, hamba sahaya, perempuan, kanak-kanak, dan orang sakit.” (HR Abu Daud dan Hakim)

Antara halangan dalam mengerjakan solat Jumaat pula ialah kerana sakit yang memudaratkan dan hujan iaitu apabila hujan itu menimbulkan kesukaran seseorang itu hendak ke masjid. Khutbah Jumaat mempunyai rukun dan syarat. Antara rukun dua khutbah Jumaat ialah mengucap puji-pujian kepada Allah, selawat keatas Rasulullah SAW, mengucap syahadah, berwasiat atau memberikan nasihat, membaca ayat Al-Qur’an pada salah satu khutbah, mendoakan untuk mukminin dan mukminat pada khutbah kedua. Antara syarat-syarat dua khutbah pula ialah hendaklah kedua-dua khutbah itu dimulai sesudah tergelincir matahari, sewaktu berkhutbah khatib hendaklah berdiri jika berkemampuan, ksatib hendaklah duduk di antara dua khutbah, hendaklah bersuara jelas mudah didengari oleh siding Jumaat, hendaklah berturut-turut(baik rukunnya atau jarak keduanya mahupun dengan solat), khatib hendaklah suci daripada hadas dan najis dan khatib harus menutup aurat. 

Hikmah mengerjakan solat Jumaat pula ialah dapat mendidik umat Islam untuk hidup bermasyarakat dengan tertib dan teratur. Selain itu, solat Jumaat mengandungi nilai-nilai rohaniah dan kemasyarakatan yang sangat tinggi disamping bertujuan menyatukan kaum muslimin dan menumbuhkan rasa kasih sayang sesama umat Islam. Tambahan lagi dapat membangun persatuan kaum muslimin yang kuat dan dapat memuhasabahkan diri.

HIKMAH HARI JUMAAT

Antara hikmah-hikmah yang terdapat dalam buku ini ialah hari yang paling utama. Disini terdapat dua hadis yang menyatakan hari Jumaat adalah hari yang paling utama. Yang pertama, Abu Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Aus bin Aus ra. Berkata , Rasulullah SAW bersabda : 

“Sesungguhnya yang utama dari hari-harimu ini ialah hari Jumaat, di dalamnya terjadi Nabi Adam as, dan pada hari itu juga beliau wafat, dan pada hari itu juga akan ditiup sangkakala, dan pada hari itu juga akan mati semua makhluk. Maka perbanyakanlah membaca selawat kepadaku, kerana selawatmu itu disampaikan kepadaku.”

Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah menjelaskan.

“Barang siapa yang pergi ke masjid untuk solat Jumaat pada waktu pertama, maka seolah-olah dia telah mengorbankan seekor unta. Dan siapa yang pergi pada saat kedua, maka seolah-olah ia telah mengorbankan seekor lembu. Siapa yang pergi pada saat ketiga, maka seolah-olah dia telah pergi mengorbankan sekor biri-biri. Siapa yang pergi ke masjid pada saat keempat, maka seolah-olah dia telah mengorbankan seekor ayam. Dan siapa yang pergi ke masjid pada waktu kelima, maka seolah-olah telah menghadiahkan sebiji telur. Kemudian apabila imam telah, maka ditutuplah pintu cacatan, diletakkan pena dan berkumpullah para malaikat di sisi mimbar untuk mendengarkan khutbah. Siapa yang datang selepas itu, maka ia hanya datang untuk hak solat sahaja , dia tidak memperoleh apa-apa keutamaan” (HR Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)

Hikmah yang kedua yang boleh diperoleh pada hari Jumaat ialah masa yang mustajab untuk berdoa. Pada hari Jumaat ini adalah masa yang paling bagus dan mustajab jika kaum Muslimin berdoa dan mengharap sesuatu daripada Allah SWT. Dari Abdurrahman bin Yazid dan Abu Lubabbah bin Abdil munzir, Rasulullah SAW bersabda: 

“Hari Jumaat besar di sisi Allah, bahkan labia besar dari Hari Aidil Fitri dan Aidil Adha, dan di dalamnya ada lima kelebihan iaitu, hari Allah menjadikan Nabi Adam as, hari Allah menurunkan Nabi Adam as ke bumi, hari wafatnya Nabi Adam as, pada hari itu ada saat mustajab, tiada seorang pun yang berdoa saat itu melainkan Allah pasti memberinya, selama tidak meminta yang haram dan pada hari itulah akan berlakunya kiamat dan tiada seorang Malaikat Muqarrab di langit atau dibumi melainkan ia merasa khuatir(sayang) pada hari Jumaat”

Mengenai masa yang mustajab memohon doa kepada Allah, Rasulullah ada menyebutkan; 

“Sesungguhnya Rasulullah membicarakan tentang hari Jumaat ia berkata. “ Padanya terdapat suatu saat yang tidak ditemui oleh seorang hamba(Allah) yang Muslim dengan ia mendirikan solat sambil memohon kepada Allah akan sesuatu, melainkan apa yang dimohonnya akan diberikan kepadanya. Ia mengisyaratkan dengan tangannya yang diangkatkan.” (HR Bukhari dan Muslim)

Yang ketiga ialah hari penambahan kurnia. Banyak hadis yang menerangkan bahawa hari Jumaat ini merupakan hari tambahan kurnia dari Allah SWT untuk para hambanya. Hikmah yang keempat ialah hari penuh keampunan dan barakah. Yang kelima ialah hari untuk umat Muhammad SAW. Allah berfirman: 

“Hai Musa, untukmu hari Sabtu, untuk Isa hari Ahad, untuk Al-Khalil Ibrahim hari Isnin, untuk Zakaria hari Selasa, untuk Yahya hari Rabu, untuk Adam hari Khamis dan untuk Muhammad SAW beserta umatnya hari Jumaat” Menurut keterangan Rasulullah SAW hari Jumaat adalah penghulu sekelian hari yang mengandungi ketinggian. Hikmah yang keenam pula ialah terpelihara dari fitnah kubur iaitu orang-orang yang matinya pada hari atau malam Jumaat, dipelihara Allah ia dari fitnah kubur. Dalam sebuah hadis ada menyatakan : “Dari Abdullah bin Amr ra. Dari Nabi SAW beliau bersabda: Tidaklah dari seseorang Muslim yang mati pada hari atau pada malam Jumaat, melainkan ia dipelihara Allah dari fitnah kubur.” (HR Tarmizi)

Hikmah yang ketujuh ialah baik untuk melangsungkan pernikahan. Telah diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra. Ia berkata, Rasulullah telah ditanya oleh orang tentang hari Jumaat, maka baginda menjawab: 

"Hari Jumaat adalah hari silaturrahim dan hari pernikahan." 

Kemudian sahabat bertanya lagi: 

"Mengapa demikian ya baginda?" 

Rasulullah pun menjawab:

Kerana para anbiya’ pada masa lalu melaksanakan pernikahan pada hari tersebut. Antaranya ialah pernikahan antara Nabi Adam as dengan Siti Hawa, Nabi Yusuf as dengan Siti Zulaikha, Nabi Musa as dengan Shafrawa, Nabi Sulaiman as dengan Puteri Balqis, Nabi Muhammad SAW dengan Siti Khadijah, Rasulullah SAW dengan Siti Aisyah dan pernikahan antara Sayyidina Ali bin Abi Talib dengan Fatimah.

AMALAN MALAM JUMAAT
Pada malam Jumaat ini banyak amalan-amalan yang mesti kita lakukan dalam usaha kita memperbanyakkan amal ibadah kepada Allah SWT dan janganlah sesekali kita mengharapkan keutamaan semata-mata sehingga kita lupa bahawa semuanya itu merupakan tanggungjawab yang mesti kita laksanakan. Di antara amalan-amalan malam Jumaat yang boleh kita lakukan ialah yang pertama membaca surah Al-Kahfi. Bahawa sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat itu, Allah mengampuni dosanya dari Jumaat ke Jumaat. Ianya diberi cahaya kesucian oleh Allah antara Jumaat ke Jumaat. Sabda Rasulullah SAW;

“Dari Abu Said Al-khudri ra dari Nabi Muhammad SAW. Baginda bersabda:Siapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka disinari Allah baginya dengan antara dua Jumaat.” (Diriwayatkan oleh Baihaqi)

Amalan yang kedua yang harus kita amalkan ialah membaca surah Yaasin. Dari Abu Hurairah ra. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda ;

“Siapa yang membaca surah Yaasin pada malam Jumaat maka pagi-pagi ia mendapat pengampunan.” 

Mengenai keutamaan surah Yaasin, Nabi Muhammad SAW telah menyebut dalam hadisnya : 

“Sesungguhnya setiap sesuatu mempunyai hati, adapun hati al_Quran adalah Yaasin. Siapa yang membaca Yaasin, maka Allah menulis baginya dengan membacanya itu seperti membaca al-Quran sepuluh kali.” (HR Tarmizi)

Selain itu, kita harus memperbanyakkan zikir, doa dan selawat. Terdapat banyak hadis-hadis yang menyebut tentang selawat kepada Nabi. Diantaranya ialah; Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat –Nya berselawat untuk Nabi. Wahai orang-orang beriman ucapkanlah selawat dan salam yang sempurna kepadanya(Nabi).” (Al-Ahzab:56)

Dari Abdullah bin Amar bin Ash ra sesungguhnya ia mendengar Rasulullah SAW bersabda: 

“Siapa yang mengucapkan selawat kepadaku, Allah berselawat(memberi rahmat) kepadanya sepuluh kali kerana selawatnya itu.” (HR Muslim)

Dari Abdullah bin Mas’ud ra bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : 

“Manusia yang paling utama bersamaku nanti pada hari Kiamat, ialah orang yang paling banyak mengucapkan selawat kepadaku.” (HR Tarmizi)

Dari Abu Hurairah ra ia berkata Rasulullah SAW bersabda: 

“Jangan kamu jadikan kuburku tempat berhari raya dan ucapkanlah selawat kepadaku, kerana selawatmu itu akan sampai kepadaku, di mana kamu berada.” (HR Abu Daud)

Amalan yang keempat yang boleh dilakukan ialah solat malam Jumaat. Iaitu solat yang didirikan di antara waktu Maghrib dan Ishak dengan 12 rakaat. Tiap dua rakaat dengan satu salam. Amalan yang lain adalah seperti berjimak iaitu bersetubuhan. Berjimak dengan isteri diberi pahala oleh Allah SWT sekiranya dilakukan dengan adab yang diajar oleh islam. 

Imam Syafie berpendapat, ada tiga malam dalam seminggu hukumnya sunat menjimak isteri. Malam-malam tersebut ialah malam Jumaat, malam Khamis dan malam Isnin. Ini kerana Nabi Muhammad SAW mendekati isteri-isteri baginda pada malam-malam tersebut.

Antara adab-adab berjimak ialah hari yang utama iaitu malam Isnin, malam Khamis dan malam Jumaat, mengucapkan salam, lakukan dengan hati yang gembira, berpakaian bersih dan wangi, nikmati kepuasan bersama-sama, berwudhuk sebelum berjimak, menggunakan selimut, membaca doa sebelum dan selepas berjimak, bersifat lemah lembut, mensyukuri nikmat, dan membersih kemaluan setelah berjimak. 

Amalan yang seterusnya ialah Qiyamulail(solat malam) iaitu bangun pada waktu malam hari untuk mengerjakan ibadah kepada Allah SWT serta bermunajat kepadaNya untuk memohon keampunan dengan mengerjakan ibadah solat seperti solat sunat tahajjud, solat sunat tasbih, solat sunat taubat, solat sunat hajat, solat sunat witir serta solat sunat yang lain. Kemudian banyakkan zikir, bertasbih, bertahmid dan bertakhbir serta memperbanyakkan permohonan dan doa kepada Allah SWT. Keutamaan Qiyamullail di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud; 

“Solat yang paling utama setelah solat wajib iaitu qiyamullail atau solat di tengah malam” (Riwayat Muttafaqun Alaih) Selain itu keutamaan solat Qiyamullail dapat menghindarkan diri daripada gangguan syaitan seterusnya mendapat nikmat kerana dapat berhubungan langsung dengan Allah SWT.

AMALAN DI SUBUH JUMAAT

Pada subuh di hari Jumaat kita masih dituntut supaya memperbanyakkan amal kepada Allah SWT walaupun pada malam hari kita sudah banyak melakukan amal ibadah kepada Allah SWT. Di antara amalan-amalan yang boleh kita lakukan pada subuh Jumaat iti ialah yang pertama doa sebelum solat subuh. 

“Aku memohon keampunan dari Allah SWT, tiada Tuhan selain Dia yang Hidup lagi yang Berdiri dengan Sendirinya, aku bertaubat kepada-Nya”

Doa ini dibaca sebanyak tiga kali. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa yang ada pada kita seterusnya diri kita terhindar dari perbuatan dosa kecil mahupun dosa besar. 

Amalan yang kedua ialah membaca surah As-Sajadah dan membaca surah Al-Insan. Surah surah ini diharapkan dapat diamalkan. 

Amalan yang ketiga ialah memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT. Setelah mengerjakan solat Jumaat atau solat-solat wajib yang lain maka usahakanlah dengan banyak mengingat Allah SWT dengan berzikir dan memuji kebesaran Allah SWT. 

Amalan yang keempat pula berselawat keatas Rasulullah SAW. Terdapat banyak selawat yang boleh kita amalkan, baik pada hari Jumaat mahupun pada hari-hari yang lain. Selawat terhadap Rasulullah SAW mempunyai keutamaan atau fadhilat. Antara selawat yang mempunyai banyak fadhilat ialah selawat yang dapat menghapuskan dosa selama 80 tahun dimana dilakukan membaca selawat setiap sesudah Ashar pada hari Jumaat sebanyak 80 kali. Selawatnya ialah; 

“Ya Allah, limpahkanlah rahmat kepada Sayidina Muhammad seorang hamba, Nabi dan utusanMu yang ummi”

Selain itu, selawat yang kedua ialah dapat mengangkat darjat dan kebaikan. Barangsiapa yang membaca selawat yang bermaksud:

“Ya Allah, wahai zat yang kekal anugerahnya kepada manusia. Wahai Zat yang membuka tangan yang luas dengan pemberian. Wahai Zat yang mempunyai pemberian-pemberian yang murni, limpahkanlah rahmat kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW iaitu sebaik-baik manusia di dalam akhlaknya. Ampunilah aku, wahai Zat yang memiliki keluhuran pada malam ini.” 

10 kali pada malam Jumaat atau siang hari Jumaat, maka Allah menetapkan baginya sejuta kebaikan, dan menghapus sejuta dosa daripadanya serta mengangkat sejuta darjat untuknya. Selawat yang mendapat fadhilat yang ketiga pula ialah selawat mohon hajat dunia dan akhirat. 

“Ya Allah, limpahkanlah rahmat kepada penghulu kami Nabi Muhammad dan kepada ahli keluarga baginda.” 

Sesiapa yang membaca selawat ini sebanyak 100 kali, maka Allah SWT akan mendatangkan kepadanya 100 hajat dimana yang 30 di dunia dan selebihnya di akhirat. Seterusnya ialah selawat mohon Husnul khatimah. Selawat yang bermaksud;

“Ya Allah limpahkanlah rahmat dan keselamtan atas junjungan kita Nabi Muhammad dan para keluarga serta sahabat baginda dengan jumlah segala sesuatu yang ditulis oleh Qalam Tuhan.” 

Keutamaan selawat ini jika dibaca 10 kali sesudah solat maghrib akan meninggal dunia (Husnul Khatimah) dengan membawa kebaikan dan keimanan. Selawat-selawat yang lain yang mempunyai keutamaan dan fadhilat ialah selawat murah rezeki dan menghindari bahaya. Keutamaannya apabila membaca selawat ini nescaya akan terhindar dari segala bahaya, serta memperoleh rezeki dengan mudah. 

Akhir sekali selawat agar mendapat keampunan Allah SWT. Dengan membaca selawat ini sebelum duduk maka dosanya sebelum duduk diampunkan begitu juga jika membaca selawat ini sebelum berdiri maka dosanya sebelum berdiri diampunkan Allah. 

Amalan di subuh hari yang seterusnya ialah memperbanyakkan doa. Pelbagai doa yang boleh kita amalkan sebagai umat Islam seperti doa memohon kebaikan di dunia dan di akhirat, doa mendapat kenikmatan (syurga ) Illahi, doa menjauhi gangguan syaitan supaya terlindung dari hasutan dan godaan syaitan, doa agar diampunkan dosa, doa agar terhindar perkara buruk seperti fitnah hidup atau fitnah mati dari tekanan hutang mahupun dari gangguan manusia, doa mohon rahmat dan ampunan Allah, doa terhindar dari segala bencana, doa meluruskan hati iaitu doa memohon petunjuk, doa memohon ampunan lahir dan batin, doa mohon perlindungan daripada kemarahan Allah dan doa memenuhi urusan dunia dan akhirat. 

Selain itu terdapat banyak lagi doa yang dapat kita amalkan yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Semua itu merupakan rendah hati seorang hamba terhadap Allah SWT, sehingga segala sesuatu yang ada didunia merupakan pemberian Allah semata-mata. Oleh itu hanya kepada Allah kita memohon dan menyerah diri serta mengadu nasib, agar segala sesuatu yang kita hajatkan dikabulkan Allah SWT.

AMALAN SIANG JUMAAT

Beberapa amalan menjelang solat Jumaat yang patut dilakukan oleh umat Islam, antaranya ialah melakukan solat sunat Dhuha. Solat sunat dhuha dilakukan ketika matahari sedang naik iaitu di antara jam 8.00 pagi sehingga jam 11.00 pagi dengan jumlah rakaat yang tidak terbatas dari dua rakaat hingga dua belas rakaat. Tiap dua rakaat dengan satu salam. Selain itu, kita harus mandi sebelum pergi solat Jumaat untuk menghalang bau yang tidak sedap di badan. Seterusnya, memakai wangi-wangian. 

Amalan yang keempat ialah bersegera ke solat Jumaat. Ini kerana, pergi ke solat Jumaat dengan segera mendapat pahala yang besar sekali. Yang kelima pula mengerat kuku dan mencukur misai. Yang keenam doa ketika pergi ke masjid supaya mendpat petunjuk daripada Allah dan mendapat cahaya keimanan. Yang ketujuh ialah berjalan kaki dan tidak terburu-buru kerana setiap langkah tanpa berkenderaan mendapat labia banyak keutamaan dari yang cepat sampai dengan berkenderaan. 

Amalan yang kelapan ialah mengamalkan doa masuk masjid pada hari Jumaat untuk memohon rahmat dan petunjuk daripada Allah SWT. 

Amalan seterusnya ialah apabila berada di dalam masjid jangan melangkah tengkuk orang lain iaitu jangan melangkahi tengkuk orang-orang yang ada di dalam masjid kerana ingin saf yang dihadapan. Yang terakhir ialah memperbanyakkan berzikir dan berdoa antaranya membaca al-Qur’an, berzikir, berdoa, dan berselawat kepada Rasulullah SAW. Sebaik-baiknya gunakan hari Jumaat dengan benar-benar kusyuk dalam beribadah dan mengharap keampunan dari Allah SWT dan hindarkan dari membicarakan tentang orang iaitu mengumpat dan menyakiti hati orang lain kerana pada hari Jumaatlah hari yang boleh kita manfaatkan untuk memenuhi ibadah selain mendapat pahala yang berlipat kali ganda berbanding hari-hari yang lain.

Selain itu juga terdapat beberapa amalan selesai solat Jumaat yang dapat diketahui dan diperaktikkan dalam mencapai kehidupan yang sempurna. Setelah selesai mengerjakan solat Jumaat, usahakanlah untuk membaca ayat-ayat al-Qur’an untuk menambah pahala yang besar dari Allah SWT. Antaranya ialah membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tujuh kali. Kemudian membaca surah Al-Falaq sebanyak tujuh kali, surah An-Nas sebanyak tujuh kali juga. Yang keempat membaca doa yang mendapat keutamaan sebanyak tiga kali dan jika bersanggupan sebaik-baiknya 70 kali. 

Doanya bermaksud; 

“Wahai Tuhanku, wahai Tuhan yang Maha Kaya lagi Maha terpuji, wahai Tuhan yang menciptakan sesuatu dari permulaannya, wahai Tuhan yang mengembalikan hidup sesuatu. Wahai Tuhan yang Maha Rahim yang Maha Penyayang, limpahkanlah kecukupan kepadaku dengan barang-barang yang halal hingga aku tidak memerlukan barang yang haram dan perkayakanlah akan daku dengan keutamaan-Mu dari segala orang yang selain-Mu.”

Amalan yang kelima ialah mengerjakan solat sunat Ba’diah Jumaat setelah selesai solat Jumaat. Setelah selesai semua yang dinyatakan diatas bolehlah bertebar mencari rezeki seperti yang dimaksudkan oleh Firman Allah SWT:

“Apabila telah ditunaikan sembahyang maka bertebarlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.”

Oleh itu janganlah menghabiskan masa dengan perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah pada hari Jumaat kerana pelbagai ibadah yang dapat kita lakukan pada hari Jumaat seperti yang telah diterangkan sebelum ini jadi penuhilah ia dengan sebaik-baiknya.

PENUTUP
Nabi Musa as seta pengikutnya memiliki hari yang paling utama iaitu hari Sabtu manakala Nabi Isa as pula pada hari Ahad. Nabi ibrahim as pula memiliki hari Isnin sebagai hari keutamaannya. Hari seterusnya iaitu hari Selasa dimiliki oleh Nabi Zakaria as. Hari Rabu dipegang oleh Nabi Yahya as sebagai hari keutmaannya. Nabi Adam as pula memiliki hari Khamis dan Allah SWT menjadikan hari Jumaat sebagai hari yang paling istimewa untuk Nabi Muhammad SAW dan umatnya iaitu umat Islam pada masa sekarang kerana pada hari ini tersimpan keutamaan, fadhilat dan hikmah.

Pada hari Jumaat Allah SWT telah meletakkan kelebihan yang tidak terhingga. Pada hari inilah terciptanya Nabi Adam as, turunnya Nabi Adam as ke bumi serta hari wafat baginda. Pada hari Jumaat juga akan terjadinya kiamat. 

Hari Jumaat adalah hari yang paling besar disisi Allah SWT, bahkan lebih besar dari Hari Raya Aidul Fitri dan Aidul Adha, kerana di antara malam dan siangnya tersimpan masa yang paling mustajab, tidak ada tabir penghalang doa insan terhadap Illahi yang berkemungkinan akan dimakbulkan selagi tidak meminta yang tidak sepatutnya. Pada hari Jumaatlah hari yang harus kita penuhi dengan sebaik-baiknya dengan beribadah kepada Allah SWT. Oleh itu, manfaatkan hari Jumaat yang akan datang dengan pelbagai amal ibadah yang boleh kita lakukan selagi kita mampu mengerjakannya.

Jazakallah Khairan.

Khamis, 29 Mac 2012

MINI SKIRT HARAM ?

Indonesia mungkin haram skirt mini
JAKARTA - Pasukan petugas antipornografi Indonnesia akan mengambil tindakan terhadap wanita yang memakai skirt di atas paras lutut kerana
menyifatkan pakaian sedemikian mempunyai unsur pornografi.

Menteri Hal Ehwal Agama, yang juga pengerusi pasukan petugas itu Suryadharma Ali, berkata definisi itu akan digunapakai di semua wilayah di negara ini, tanpa mengira latar belakang budaya pemakainya.
"Kami belum menetapkan tarif standard tentang pornografi yang akan dijadikan asas dalam menunaikan tangungjawab kami. Bagaimanapun, satu set kriteria universal perlu ada untuk menakrifkan sesuatu itu mempunyai unsur pornografi atau tidak dan antaranya ialah apabila seseorang wanita memakai skirt di atas paras lutut," kata Suryadharma yang dipetik akhbar harian berbahasa Inggeris The Jakarta Post hari ini.
Ditanya sama ada pasukan petugas itu akan bertolak ansur dengan wanita yang tinggal di wilayah bukan Islam seperti Bali dan Papua, beliau berkata pasukan petugas berkenaan akan memastikan peraturan itu dilaksanakan secara menyeluruh.
"Saya sedar sesetengah bahagian negara ini mempunyai budaya yang unik seperti Bali dan Papua. Tapi, kami rasa kami perlu menetapkan satu kriteria yang bersifat menyeluruh untuk dilaksanakan di semua bahagian kepulauan ini.
Mewajibkan wanita memakai skirt yang labuh hingga ke bawah bahagian lutut adalah antara kriterianya," kata beliau.

Cadangan itu bagaimanapun mendapat bantahan segera daripada ahli politik dan aktivis masyarakat.

Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Priyo Budi Santoso berkata, Suryadharma bersikap melampau dalam membuat takrifan tentang  pornografi.
"Ini sudah pasti akan menimbulkan kemarahan anggota dewan. Saya fikir, pasukan petugas itu tidak sepatutnya menimbulkan kekecohan mengenai skirt wanita. Saya rasa takrif mengenai pornografi perlu dibuat berasaskan prinsip bagaimana manusia sepatutnya menjaga tingkah laku masing-masing," kata beliau.
Sementara itu, Timbalan Ketua Suruhanjaya Nasional Mengenai Keganasan Terhadap Wanita Masruchah mengutuk cadangan berkenaan dan menyifatkannya sebagai tindakan yang mencabuli hak wanita.
"Norma dan etika sudahpun wujud dalam setiap komuniti. Orang sudah tahu apa yang sepatutnya mereka pakai, di mana dan bila," katanya yang dipetik akhbar harian Jakarta Globe hari ini.
Masruchah berkata kerajaan perlu menghormati kepelbagaian budaya serta agama rakyat negara ini dan menegaskan bahawa gangguan serta serangan seksual tidak mempunyai kaitan dengan kewujudan bahan pornografi atau pakaian wanita.
"Data mengenai kes rogol menunjukkan ia tiada kaitan dengan cara wanita berpakaian. Ramai juga wanita yang menjadi mangsa rogol berpakaian secara konservatif," katanya.
Pasukan petugas itu ditubuhkan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada 13 Mac lepas untuk melaksanakan Undang-undang Pornografi 2008 dan diberi mandat membanteras kegiatan pengedaran bahan pornografi. - Bernama
 

SAMAN KERAJAAN PERANCIS : BAPA MOHAMED MERAH

Bapa Mohamed Merah mahu saman kerajaan Perancis
Mohamed Merah
PARIS - Bapa kepada Mohamed Merah telah melantik seorang peguam kelahiran Algeria untuk menyaman pasukan polis khas Perancis ekoran kematian anaknya dalam satu kepungan ekoran kematian tujuh orang, minggu lalu.

Mohamed Merah, 23, dilaporkan membunuh tujuh orang termasuk tiga kanak-kanak di selatan Perancis sebelum dia ditembak mati selepas polis mengepungnya di sebuah apartmen minggu lalu.

Peguam Zahia Mokhtari dari Algeria memberitahu media Perancis bahawa  Mohamed Benalal Merah menganggap anaknya dibunuh.

Abang Mohamed Merah kini ditahan polis.

"(Mohamed Benalal) Merah datang ke pejabat kami di Algiers semalam (Selasa) untuk bertanya kami secara formal, untuk menyaman perkhidmatan keselamatan Perancis kerana tidak mengikut prosedur ketika hendak menahan Mohamed Merah dan menembak dia mati," kata Zahia dipetikAFP, sebagaimana dilaporkan oleh BBC.
Konvensyen yang ditandatangani antara Perancis dan Algeria membolehkan peguam mengendalikan kes di kedua-dua negara.
Mohamed mati ditembak di Toulouse pada 22 Mac lalu selepas dikepung selama 32 jam.
Serangan mangsa telah menyebabkan tiga askar terbunuh dalam dua kejadian berasingan, sebelum menembak mati tiga kanak-kanak dan seorang guru di sekolah Yahudi.
Mohamed, yang lahir di Perancis, dilaporkan ada memberitahu polis bahawa dia mahu membalas dendam ekoran nasib dialami kanak-kanak Palestin dan mahu menyerang tentera Perancis kerana campur tangan asing.

PROTES MINYAK NAIK !

Ribuan tunjuk perasaan protes Indonesia naikkan harga minyak
JAKARTA - Ribuan orang yang mewakili pelbagai kumpulan masyarakat semalam mengadakan demonstrasi di Jakarta dan beberapa bandar lain di seluruh Indonesia sebagai membantah rancangan kerajaan untuk menaikkan harga minyak bersubsidi sebanyak Rp1,500 (55 sen) pada bulan depan. 

Di ibu negara, demonstrasi bertumpu di tiga tempat iaitu di Bulatan Hotel Indonesia, di hadapan bangunan Parlimen dan di hadapan Istana Merdeka, iaitu Pejabat Presiden Indonesia.  

Pihak polis mengarahkan kumpulan-kumpulan penunjuk perasaan itu supaya berdemonstrasi mengikut giliran bagi mengelakkan pergaduhan dan memudahkan pasukan keselamatan mengawal ketenteraman awam. 

Kebanyakan demonstrasi berlangsung secara aman, namun ada beberapa insiden pergaduhan antara penunjuk perasaan dengan anggota polis, sehingga memaksa polis menembak gas pemedih mata untuk menyuraikan demonstrasi itu.  

Kumpulan-kumpulan yang berdemostrasi di hadapan Istana Merdeka termasuklah dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) pimpinan bekas Presiden Indonesia Megawati Soekarnoputri dan pertubuhan Hizbut Tahrir Indonesia (HTI), yang sebelumnya telah juga berdemonstrasi di Bulatan Hotel Indonesia. 

Jurucakap HTI Muhammad Ismail Yustanto berkata kenaikan harga minyak, pembatasan minyak bersubsidi serta penarikan balik subsidi minyak, akan mengungtungkan syarikat minyak asing dalam jangka masa panjang. 

"Jika tidak ada inovasi, kegiatan perniagaan Pertamina (syarikat minyak nasional) akan menjadi tidak kompetitif, sehingga Pertamina akan berpindah kepada syarikat minyak asing itu. 

"Hal ini tentu akan merugikan Pertamina," katanya.  Pada masa ini Pertamina memonopoli penjualan minyak petrol oktan 88 yang bersubsidi, dengan harga runcit Rp4,500 seliter (kira RM1.60 seliter) dan selepas kenaikan harga yang dicadangkan itu, harga baru akan menjadi Rp6,000 (kira-kira RM2.15).  - Bernama

PRU 13 BULAN JUN : SABTU HARI AKHIR JADI PENGUNDI

Sabtu hari akhir jadi pengundi jika PRU13 Jun
Tan Sri Abdul Aziz Yusof
PUTRAJAYA - Rakyat Malaysia yang mendaftar sebagai pemilih sebelum Ahad ini berpeluang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13), jika pilihan raya diadakan selepas bulan Jun tahun ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata daftar pemilih bagi suku pertama tahun ini akan berakhir pada 31 Mac dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun (DPT ST) 1/2012 dijangka diwartakan pada bulan Mei ini.

"Kalau (pemohon) tidak terlibat dengan bantahan, mereka layak mengundi," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas sama ada rakyat Malaysia yang mendaftar sebagai pengundi pada suku tahun pertama tahun ini layak untuk mengundi pada PRU-13 sekiranya pilihan raya UMUM diadakan pada bulan Jun ke atas.

Pada masa yang sama, Abdul Aziz  berkata proses pendaftaran pemilih masih diteruskan melalui Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Tahun (e-SPPST) di mana proses pendaftaran dijalankan setiap hari manakala proses semakan dan mewartakan daftar pemilih dijalankan setiap tiga bulan sekali.

Beliau berkata tempoh untuk mendaftar sebagai pemilih sehingga proses mewartakan daftar pemilih mengambil masa kira-kira empat bulan setengah.

"Secara puratanya, SPR mengendalikan antara 200,000 hingga 250,000 permohonan pendaftaran baru dan pertukaran alamat pusat mengundi  bagi setiap DPT ST," katanya.

Sehingga DPT ST 4/2011 yang berakhir pada 31 Dis tahun lepas, Abdul Aziz berkata jumlah pemilih yang berdaftar di seluruh negara ialah 12,595,268 orang manakala 3,088,540 orang atau 19.7 peratus masih tidak berdaftar sebagai pengundi.

Sehingga Februari tahun ini, beliau berkata warganegara Malaysia yang mencapai umur 21 tahun dan layak untuk mengundi ialah 15,683,808 orang.

Permohonan baru atau pertukaran alamat pusat mengundi boleh dibuat di mana-mana pejabat pos berkomputer, kaunter-kaunter bergerak SPR, kaunter ibu pejabat SPR di Putrajaya atau di kaunter-kaunter pejabat pilihan raya negeri.- Bernama

Selasa, 27 Mac 2012

PEMUDA PAS MEMIMPIN PERUBAHAN RAKYAT

SEBAHAGIAN AKTIVITI ATAU PROGRAM YANG BERJAYA DIANJURKAN OLEH DEWAN PEMUDA PAS BAGAN DATOH SEPANJANG 2011 - 2012

SEMPENA MESYUARAT TAHUNAN AGUNG DPPK BAGAN DATOH KALI 29 TAHUN 2012