Imej yang diambil dari rakaman video amatur ini menunjukkan tentera rejim bersama kereta kebal
DAMSYIK - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kelmarin mendakwa Presiden Syria, Bashar al-Assad telah memungkiri janji kerana gagal untuk menghormati pelan damai yang dikemukakan wakil PBB dan Liga Arab berikutan tindakan tentera rejim yang berterusan menyerang kubu pemberontak di negara itu.

Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia di Syria, sekurang-kurangnya 21 terbunuh selepas tentera rejim Assad bersama kereta kebal menyerang beberapa bandar utama termasuk Qalaat al-Madiq yang menjadi kubu kuat pemberontak.

Dalam satu kenyataan, ketua hak asasi manusia PBB, Navi Pillay berkata, mereka kini mempunyai bukti yang cukup untuk mendakwa Assad atas tindakan keganasannya terhadap penduduk di negara tersebut.

“Dia akan dibicarakan atas kekejamannya dan bukan kerana kegagalan untuk menamatkan konflik yang semakin meruncing di Syria. Assad sebenarnya boleh mengeluarkan perintah untuk menghentikan pembunuhan mengikut pelan damai yang telah dipersetujui bersama Kofi Annan tetapi dia gagal untuk melaksanakannya,” menurut­nya lagi.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Syria, Jihad Makdissi menyatakan kerajaan enggan bekerjasama dan mematuhi inisiatif yang dikemukakan oleh Sidang Kemuncak Liga Arab di Baghdad, kelmarin selepas keanggotaannya digantung pada November lalu.

Sehingga kini, kira-kira 9,000 orang dilaporkan terkorban sejak negara tersebut mula bergolak sejak setahun lalu.