Ahli Umno: 'Sudah terlalu lama, saya tidak ingat'
KUALA LUMPUR - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof tidak pernah mendaftar atau memohon untuk menjadi ahli Umno, walaupun tidak menolak kemungkinan namanya tersenarai dalam parti tersebut.
“Saya tidak ingat langsung bila dan di mana saya pernah menjadi ahli Umno, boleh jadi ada mana-mana pihak memasukkan nama saya selepas tamat universiti, awal 70-an dulu.
“Itu pun saya tidak dapat pastikan di kawasan mana sebab lepas tamat belajar saya tinggal di beberapa tempat, antaranya Segambut, Selayang dan Ampang. Jadi kalau ada pun yang menamakan saya, memang saya tidak tahu di mana,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau menjelaskan tidak tahu nombor keahlian, tidak pernah membayar yuran tahunan dan tidak pernah menghadiri mana-mana mesyuarat parti, jauh sekali dari memegang apa-apa jawatan parti.
“Perkara sudah terlalu lama, saya tidak ingat, hinggalah hari ini (semalam) ada pihak yang membangkitkan perkara ini dalam akhbar,” katanya mengulas berita muka depan Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, tidak adil mana-mana pihak mengambil fakta yang sudah terlalu lama dan dilupakan semata-mata untuk dijadikan isu.
“Saya ingin menegaskan kalau pun betul ada orang mendaftarkan saya sebagai ahli parti, itu tidak sama sekali menjadikan saya berat sebelah atau bias dalam mengendalikan SPR. Saya tidak pernah berasa terikat sepanjang berkhidmat di sini,” tegas beliau mengulas laporan Sinar Hariandan Sinar Harian Online semalam.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, Abdul Aziz dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar perlu menafikan mereka bukan ahli Umno bagi membuktikan benar-benar berkecuali.
Pakatan Rakyat (PR) membangkitkan perkara ini ketika desas-desus menyebut Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan diadakan dalam waktu terdekat sementara membangkitkan ketelusan SPR dalam mengendalikan pilihan raya.
Saifuddin menambah, pada dasarnya mana-mana ahli panel SPR sepatutnya tidak menganggotai parti politik supaya mereka kelihatan berkecuali dan dapat bertindak tanpa condong kepada mana-mana pihak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan