Selasa, 29 Mei 2012

JANGAN TAKSUB BERCINTA SESAMA MANUSIA - WARDINA

‘Wahai remaja , jangan taksub cint a!’
wardina safiyyah
Selebriti Wardina Safiyya, menerusi dialog “Di Mana Cinta Kita” bagi program
Bicara Cinta Anak Muda, yang berlangsung di Auditorium Kumpulan
Media Karangkraf.
wardina
Wardina Safiyya
“SELAGI kita tidak jumpa sumber dan asas cinta, jangan kita sesekali berani untuk bercinta!” Demikian kata selebriti Wardina Safiyya, dalam memberi definisi cinta menerusi dialog “Di Mana Cinta Kita” bagi program Bicara Cinta Anak Muda, yang berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, baru-baru ini.

Jelas Wardina, manusia perlu kembali ke fitrah asal, cinta manusia adalah kepada ALLAH. Maka, kita perlu kembali kepada fitrah sebenar manusia dalam mencari cinta.


Katanya, hati adalah sumber ilham dan pertimbangan, tempat lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, ketenangan dan kebimbangan.


“Hati juga sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkan, namun jika sebaliknya berlaku, ia bakal menjadi sumber bencana jika kita sendiri menodainya.


“Satu petikan hadis membuktikan, dari Abu Hurairah berkata, hati merupakan raja, sedangkan anggota badan merupakan tentera, jadi jika raja itu baik maka tentera juga akan baik, jika raja itu buruk, maka buruklah tenteranya.


“Kita sering tertanya-tanya ada apa dengan cinta? Mengapa manusia terlalu taksub mengenai cinta? Mampukah matlamat sebenar dicapai dengan wujudnya cinta? Semua persoalan ini terlalu kompleks untuk dirungkaikan makna dan penjelasan,” ujar selebriti yang bakal berusia 33 tahun, pada 5 Jun ini.


Dialog anjuran majalah i-Islam ini, turut menampilkan pelakon Irma Hasmie, penyanyi Sham Kamikaze dan Ustaz Syed Norhisyam Al-Idrus.


Pernah kecundang cinta Isteri kepada Ikhwan Johari, 36, dan ibu kepada tiga cahaya mata, Amna Nafeesa Ikhwan, 9, Azra Sareera Ikhwan, 6 dan Imran Arrazi Ikhwan, 4, ini juga turut berkongsi pengalaman cintanya.


“Saya pernah kecundang dalam cinta satu ketika dulu. Bertitik tolak daripada peristiwa itu, saya mula bangkit dan mencari kekuatan sebenar dan cinta sejati yang hakiki,” katanya membuka rahsia.


“Sejak peristiwa itu, saya mula berfikir, apa matlamat saya sebenar ketika bercinta.


“Saya merasakan percintaan yang putus di tengah jalan itu merupakan satu
wake up call. Tuhan sayangkan saya, Dia memberi hidayah dan peluang kepada saya untuk memperbaiki diri,” katanya.

Peristiwa itu membuatkannya banyak berfikir dengan kesilapan masa lalu, membuang masa dengan percintaan sia-sia tanpa objektif dan matlamat.


“Apabila diuji dengan ujian tersebut, saya kembali kepada ALLAH. Ini merupakan sumber utama kekuatan saya. Saya cari kembali semangat diri yang telah hilang,” kata bekas pengacara
Malaysia Hari Ini.

Tidak mahu terus hanyut, pelakon, pengacara dan pendakwah bebas ini, nekad berhijrah menjadi Muslimah sejati. Sejak itu, dia mula memperbaiki diri dengan menjadikan al-Quran sebagai pegangan hidup.


“Bagi saya, jika kita ditimpa musibah, jangan sesekali terfikir musibah merupakan sesuatu yang buruk. Tidak! Sesuatu musibah yang menimpa kita merupakan tanda awal yang perlu diterima dan manusia perlu berfikir hikmah yang diterima akibat musibah yang menimpa diri.


“Saya sering ingat kepada satu pepatah Cina yang mengatakan, 'apabila kita jatuh tujuh kali, kita perlu bangun lapan kali'. Justeru, kita tidak sepatutnya terus-menerus jatuh. Ini juga merupakan sumber motivasi saya dan kita sebagai khalifah di Bumi ALLAH ini perlu belajar dari kesilapan lepas,” jelas Wardina yang memulakan kerjaya seninya seawal 2001 dan popular dengan drama sitkom,
Spanar Jaya, di saluran NTV7.


Pesan Wardina


Atas tanggungjawab sesama manusia, penulis buku kanak-kanak,
Mama, Saya Lapar ini turut menyeru anak muda agar bangkit daripada terus leka dek cinta yang terpesong jauh dari agama.

Jauh di hatinya berasa sedih melihat anak-anak muda yang kini semakin hanyut tanpa cinta hakiki.


Tegas Wardina, minda remaja sering disogokkan dengan lambakan filem-filem dari Barat dan novel-novel cinta yang membuai perasaan mereka, sekali gus mendorong mereka bereksperimen dengan apa yang dilihat dan dibaca.



“Remaja sekalian, bangkitlah!


Lambakan novel yang berunsurkan cinta dan filem dari Barat tidak akan menunjukkan definisi cinta yang sebenar. “Bila minda ini sudah dari awal lagi disogokkan dengan perkara yang negatif, remaja mula lupa diri. Seolah-olah bila bercinta mesti bersentuhan bagi menunjukkan nilai cinta kepada pasangan.


Persepsi ini harus dibuang jauh dari minda kita. “Jika ingin sayangkan seseorang, kita hendaklah sayang akan diri kita terlebih dahulu dan sedia menerima kekurangan diri. Percayalah, jika seseorang lelaki itu ikhlas untuk memperisterikan seseorang wanita, dia tidak akan sesekali menyentuhnya, hatta mengusik jari sekali pun,” tegasnya.


Wardina berkata, cinta tidak akan merosakkan jika kita mampu mengawalnya. Manusia perlu kenal diri sendiri sebelum bertemu dengan cinta sejati. Malah, setiap remaja harus mencari arah sebenar dalam kehidupan.


“Kita perlukan matlamat dalam kehidupan dan jadikan ia sebagai satu cabaran. Saya sangat bersyukur kerana selama ini mendapat sokongan suami, anak-anak dan keluarga tersayang dalam mencapai kejayaan.


“Untuk berjaya di dunia, kita memerlukan ilmu, untuk berjaya di akhirat juga kita memerlukan ilmu, untuk berjaya di dunia dan di akhirat, kita amat memerlukan ilmu,” katanya yang kini bergiat aktif dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan