Tertidur di pesawat, penumpang ‘makan angin’ 18 jam
LAHORE - Gara-gara tertidur, seorang penumpang Pakistan International Airlines (PIA), yang sepatutnya turun di Paris terpaksa patah balik ke Lahore sebelum meneruskan penerbangan ke ibu negara Perancis itu.
Penumpang itu hanya tersedar dari tidur apabila pesawat hendak mendarat di Lahore, tempat dia berlepas pada hari sebelumnya.
Patrice Christine Ahmed, seorang warganegara Perancis, berlepas dari Lahore menggunakan PIA, Selasa lepas dan sepatutnya terbang ke Paris melalui Milan, Itali.
Setibanya di Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris, dia sedang tidur dan tidak dikejutkan oleh krew penerbangan semasa pesawat melakukan singgah selama dua jam.
Apabila tersedar, dia mendapati dirinya kembali ke Lahore.
Patrice, yang berkahwin dengan lelaki Pakistan, tidak memberitahu krew kabin mengenai situasinya dan kesilapan itu hanya dapat dikesan apabila pegawai imigresen mendapati visanya telah tamat setibanya di Lahore pada pagi Rabu.
Dia telah mengembara selama 18 jam dan melalui perjalanan sejauh 12,000 kilometer.
Berikutan itu, keluarga wanita tersebut merancang semula perjalanannya ke Paris tetapi menggunakan syarikat penerbangan berbeza.
Jurucakap syarikat penerbangan sedang menyiasat kejadian itu, tetapi menjadi tanggungjawab penumpang untuk mendarat di destinasi mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan