Khamis, 27 September 2012

BAJET 2013 PR: PEMUDA PAS SOKONG - NEGARA BERKEBAJIKAN


Belanjawan PR 2013 ke arah Negara Berkebajikan

Nasrudin Hassan at-Tantawi,27 Sep 2012


Dewan Pemuda PAS Malaysia mengalu-alukan pembentangan Belanjawan PR 2013 yang bertemakan "Ekonomi Rakyat Negara Berkat". Ianya dengan tepat memberi penekanan kepada tiga agenda memacu kebajikan rakyat;

a] meningkatkan pendapatan sebenar rakyat dan mengurangkan tekanan kos sara hidup,

b] membina kumpulan rakyat berkeusahawanan dengan daya saing kompetitif dan

c] mendaya masyarakat untuk mencapai keadilan dengan kemuliaan dan rasa penuh bangga.

Belanjawan PR ini menjadi satu lagi bukti kemampuan Pakatan Rakyat di dalam merangka strategi alternatif ekonomi nasional  yang amat relevan untuk diangkat sebagai tawaran yang membawa pembaharuan sebenar untuk Malaysia.

Kelak UMNO-BN dan pengampu-pengampu mereka tidak boleh lagi berhujah bahawa Pakatan Rakyat cuma pandai beretorik dan membuat omongan kosong kerana Belanjawan PR ini buat kesekian kalinya telah menjelaskan tawaran kita secara objektif, profesional dan bijaksana tanpa bersikap apologetik terhadap cabaran ekonomi yang seolah-olah cuba disembunyikan oleh pemerintah.

Belanjawan ini tidak membuaikan rakyat dengan gula-gula politik dan strategi perbelanjaan melampau seperti  Bajet kerajaan pada 2012  yang telah disifatkan oleh Tun Mahathir Mohamad sendiri sebagai suatu rasuah politik.

Sebaliknya belanjawan setebal 98 mukasurat ini menyusun program perbelanjaan konstruktif untuk membina jaringan keselamatan sosial bagi golongan miskin dan kelas ekonomi menengah secara mapan dengan penekanan terhadap aspek perumahan, belanja isirumah, pemilikan kenderaan dan pendidikan tinggi percuma tanpa bebanan dari PTPTN.

Di dalam hal ini, kita juga komited untuk merungkai monopoli UMNO-BN yang terus menerus menjerut dan menghambat potensi sebenar sistem ekonomi kita, sama ada di dalam soal bayaran tol sehinggalah amalan kolusi syarikat-syarikat besar yang menjadi penyumbang dana kepada kelangsungan politik wang pemerintah yang telah membarah.

Belanjawan ini penting sebagai bukti kepada rakyat bahawa amalan korupsi, kolusi dan nepotisme UMNO-BN ini boleh ditamatkan dengan langkah-langkah jitu dan realistik bersandarkan kemahuan politik kuat pemerintah yang cuma akan hadir melalui Pakatan Rakyat mentadbir Putrajaya pasca PRU ke13 nanti insyaallah.

Agenda-agenda besar Belanjawan PR ini juga boleh dicapai berdasarkan kepada kebijakan yang terjana hasil dari pengalaman mentadbir negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor yang pastinya berguna untuk diaplikasikan di peringkat nasional.

Rakyat telah menyaksikan prestasi kepimpinan PR yang telah berjaya mengekalkan integriti bebas rasuah di samping kompeten, telus dan berhemat di dalam urusan pentadbiran walau terus dimomok dengan pemberitaan berat sebelah dan layanan tidak adil dari kerajaan pusat.

Malah kerendahan hati dan kesederhanaan pemimpin menyantuni rakyat menjadi pembeza kepada gaya mewah pimpinan UMNO-BN dan keluarga mereka. Atas dasar ini jugalah, kita yakin dengan aspirasi untuk meningkatkan hasil mahsul negara sehingga 18% sebagai sesuatu yang realistik bersandarkan kesungguhan dan keikhlasan kepimpinan PR untuk mendepani isu ketirisan, rasuah dan kecekapan di dalam urusan negara.

Dewan Pemuda PAS melihat Belanjawan PR ini sebagai suatu lagi terjemahan kepada konsep Negara Berkebajikan yang dicadangkan oleh PAS bagi memastikan kekayaan negara tidak lagi berkisar di kalangan penguasa dan pemodal semata-mata, sedang ianya adalah  merupakan satu bentuk kezaliman.

Belanjawan ini menjadi satu manifestasi strategi untuk merakyatkan kekayaan negara secara adil dan saksama agar rezeki yang ada dirasakan cukup untuk semua orang dan semua urusan sekaligus membebaskan rakyat dari cengkaman mafia ekonomi.

Bermula dari nurani tersebut, timbul kesungguhan untuk terus berusaha mencambah kekayaan negara dan lahir pula keikhlasan dari rakyat untuk memanjat doa dan pengharapan kepada tuhan agar kebajikan dan kesejahteraan ini berpanjangan. Inilah kitaran keberkatan yang cuba dicapai, bermula dengan perbentangan strategi Belanjawan PR ini.

Aspek rububiyyah inilah yang tidak mungkin dapat difahami oleh pemerintah yang terus menerus merasakan penguasaan terhadap kekayaan negara adalah hak istimewa mereka secara tradisi.

Dewan Pemuda PAS dengan ini mengucapkan syabas dan tahniah di atas pembentangan belanjawan rakyat ini. Kita akan melangkah penuh yakin untuk ke lapangan bagi menjelaskan visi dan strategi Pakatan Rakyat membawa kemakmuran kepada rakyat.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan