Selasa, 9 Oktober 2012

LIQA' FIKRI : TARBIAH : ASAS KEKUATAN DAN KEYAKINAN DALAM MEMENANGI KEADILAN ISLAM SEBENAR.

KEYAKINAN SEBENAR HANYALAH KEPADA ISLAM SEBAGAI AKIDAH PERJUANGAN HAKIKI

Matlamat untuk mencapai kejayaan dan kemenangan hakikatnya hanyalah kepada pencapaian tuntutan Islam

BAGAN DATOH ( Selekoh ) : Sebagai sebuah gerakan Islam yang memperjuangkan agama Allah SWT di negara ini, PAS menekankan kepada seluruh ahlinya agar mendalami ilmu agama terutamanya ilmu asas berkaitan akidah, ibadah dan akhlak. Selain itu, ahli PAS juga dituntut memahami ilmu siasah ( politik ) dan ilmu fardhu kifayah yang lain sebagai kekuatan ahli jemaah dalam melakukan gerak kerja dakwah dan politik.


Ustaz Syed Abdul Kadir ketika memulakan pembentangan kertas kerjanya.

Bertempat di Markaz Tarbiyyah PAS Selekoh malam semalam, telah berlangsungnya kuliah agama bersama AF. Ustaz Syed Abdul Kadir Al Joofre yang membentangkan kertas kerja berjudul Kemenangan Islam: Faktor Penentu dan Pembantu. Dalam pembentangan tersebut, beliau amat mengingatkan kepada seluruh ahli PAS sebagai pejuang Islam perlu mendekatkan diri kepada Allah SWT. 

Katanya, tiada makna sekiranya kemenangan Islam itu dicapai dengan tidak disertakan dan diisi kefahaman agama dan akhlak Islamiah yang lengkap. Ini adalah saranan ajaran Islam sendiri sebagaimana banyak dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Al -Quran dan hadis Rasulullah SAW.



Namun realitinya, pejuang Islam perlu menanam keyakinan yang sepenuhnya dan tinggi kepada Allah SWT yang menentukan kejayaan sesuatu matlamat. Dakwa beliau lagi, hari ini ramai umat Islam yang lebih yakin dengan usahanya sendiri serta manusia berbanding Islam itu. Ini merupakan satu perkara bahaya terutamanya bagi pejuang Islam di dalam PAS.


Kelihatan Ustaz Misbahul Munir, YDP PAS Kawasan Bagan Datoh turut hadir majlis tersebut.

Tidak mahu kemenangan Islam dicapai dengan hanya sia -sia, Allah SWT dan  Islam mestilah diletakkan di atas sekali sebagai tempat keyakinan dan bergantungan. Jelas Ustaz Syed Kadir lagi, hari ini ramai manusia lebih yakin di atas usaha sendiri serta bantuan manusia. Ramai ahli PAS juga taksub dan kagum dengan contoh luar yang lebih dianggap hebat dan diyakini.

Agama Islam bukanlah satu ideologi atau satu pemikiran berdasarkan dan mengikut akal manusia semata- mata. Sebaliknya, segala berkaitan Islam mestilah berdasarkan wahyu iaitu Al - Quran dan Hadis Rasulullah SAW. Begitu juga dalam perjuangan di jalan Allah SWT. Sebagai langkah menegakkan agama suci Islam di muka bumi maka perlunya landasan wahyu yang datangnya daripada Allah SWT.



Beliau turut mengingatkan kepada semua ahli PAS dan pejuang Islam, perlulah tanamkan akhlak yang mulia sebagaimana contoh dibawa Nabi Muhammad SAW. Selain itu, amalan harian seperti ibadah wajib dan sunat perlulah dijadikan kebiasan hidup. Antaranya solat berjemaah, membaca Al - Quran, berzikir dan mengikuti majlis-majlis ilmu sebagai pemantapan rohani seorang pejuang di jalan Allah SWT.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan