Rabu, 9 Januari 2013

12 JAN : AKAN TERCIPTA SEJARAH KEBANGKITAN RAKYAT MALAYSIA!


Detik bersejarah negara akan tercipta 12 Jan ini

Harakahdaily,09 Jan 2013
KUALA LUMPUR: “Saya yakin rakyat menyambut komitmen KPN dengan kehadiran yang luar biasa melangkaui himpunan sebelum ini,” kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia Riduan Mohd Nor.

Beliau berkata, bersejarahnya himpunan 12 Januari nanti kerana jutaan rakyat Malaysia menyatakan sokongan bagi membina sebuah negara baru yang lebih bertamadun, menghormati hak asasi manusia, lebih demokrasi, adil, amanah, menjaga kebajikan rakyat, serta menolak pemimpin rasuah, korupsi, tidak amanah, tiada moral, bermewah-mewahan dengan duit rakyat, dan yang mementingkan kroni.

Riduan menyatakan demikian sebagai respons kepada komitmen Ketua Polis Negara yang telah memberi jaminan untuk memberikan kerjasama terhadap penganjuran Himpunan Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari 2013 dan polis akan bertindak sebagai pemudahcara pada perhimpunan tersebut.

KPN juga memberi komitmen menjadikan perhimpunan HKR sebagai “detik bersejarah” selepas “belajar dari kekurangan” yang berlaku semasa perhimpunan sebelum ini.

“Saya menyambut kenyataan ini dengan perasaan gembira, bersyukur dan bangga. Bangga kerana pihak PDRM sudah mula belajar dari kesilapan menguruskan proses demokrasi yang dianjurkan oleh rakyat sebelum ini,” ujar Riduan dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Bagimnya, PDRM sudah mula belajar bahawa jika himpunan diuruskan secara aman, rakyat pasti gembira.

Tambahnya, tiada insiden yang memalukan mahupun yang menyayat hati berlaku ke atas rakyat dan kesudahannya akan menyusahkan PDRM dan kerajaan di kemudian hari.

“Lihatlah bagaimana episod kesudahan terhadap Himpunan Bersih 1, 2 dan 3 yang berakhir dengan Malaysia menjadi bual bicara yang memalukan masyarakat antarabangsa selama berbulan lamanya,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, bukan sukar sebenarnya menguruskan himpunan dalam sebuah negara demokrasi.

Katanya, apa yang penting kerjasama yang erat antara pasukan keselamatan dengan penganjur himpunan.

Jelasnya, penganjur bukannya mahu melakukan jenayah, mereka hanya mahu menegakkan hak mereka yang termaktub dalam perlembagaan.

Selama ini pun, kata beliau tidak pernah berlaku insiden keganasan dicipta oleh peserta himpunan melainkan apabila mereka diprovokasi, diganasi, diugut dan lain-lain tindakan yang diluar kewarasan pemikiran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan