Sabtu, 30 Mac 2013

ANAK JARANG BALIK KAMPUNG SEBAB MINYAK MAHAL : USTAZ MISBAH


RAKYAT MENANGGUNG BEBANAN YANG TINGGI GARA-GARA KEGAGALAN KERAJAAN ATASI HARGA BARANGAN DAN PENGURUSAN EKONOMI

PAS melihat sudah tiba masa yang selanyaknya rakyat untuk mengubah kerajaan melalui PRU 13 kali ini atas kegagalan Umno-BN sebagai kerajaan yang baik.

BAGAN DATOH : Merasai tekanan serta bebanan yang ditanggung rakyat, PAS Kawasan Bagan Datoh menyeru kepada seluruh rakyat khususnya di kawasan tersebut membuat perubahan melalui Pilihanraya Umum yang akan dating ini. Demikian seruan ajakan yang dilakukan oleh Yang Dipertuanya, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki ketika menyampaikan ceramahnya dalam siri penerangan PAS kawasan di sini kelmarin.


Turut bersama beliau menyampaikan ceramah pada majlis tersebut ialah Mazlan Aliman, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Dr. Muhaimin Sulam, Setiausaha PAS Perak bertempat di perkarangan rumah Saudara Zaini Said, Kg. Sg. Nipah Baroh. Kira-kira 300 orang yang telah hadir untuk mendengar penjelasan isu-isu semasa tersebut.

Yang Dipertua PAS kawasan, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki menekankan beberapa isu tempatan dan nasional supaya rakyat melihat bagaimana penindasan dan kezaliman yang dilakukan oleh Umno-BN setelah hampir 50 tahun lebih sebagai kerajaan. Beliau menegaskan pendedahan tersebut bukan sekadar sebagai meraih undi dan simpati ketika mana kian dekatnya tempoh PRU 13, namun yang paling penting ialah mempertahankan hak-hak rakyat selama ini yang cuba dinafikan oleh Umno-BN.

Antara isu dan perkara yang amat dirasai oleh seluruh rakyat khususnya yang berpendapatan rendah ialah harga barangan keperluan. Pelbagai rungutan serta suara rakyat yang menyatakan harga barangan terlalu tinggi serta tidak seimbang dengan pendapatan mereka. Oleh itu, rakyat terpaksa menanggung bebanan tersebut sehingga sukar untuk memastikan kestabilan ekonomi keluarga masing-masing.

Selain harga barangan berupa makanan  yang membebankan rakyat, paling menjadi tumpuan ialah harga minyak yang menjadi isu utama harga barangan lain naik. Maka jelas Ustaz Misbahul Munir lagi , tawaran serta janji Pakatan Rakyat adalah untuk menurunkan harga minyak sebagai mengurangkan bebanan tersebut.  Tegasnya lagi, ianya ( turun harga minyak ) adalah relevan dan masuk akal berdasarkan pendapatan hasil bahan mentah negara yang tinggi.

Beliau juga menjawab dakwaan Umno-BN yang menyatakan bahawa negara ini akan bankrap sekiranya Pakatan Rakyat melakukan perkara sebagaimana janjinya untuk menurunkan harga minyak, menghapuskan tol serta pendidikan percuma kepada rakyat. Ustaz Misbahul Munir yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Perak yakin bahawasanya rakyat tidak akan mudah tertipu dengan dakwaan Umno-BN itu. Ini kerana, Pakatan Rakyat melihat ekonomi negara akan sentiasa dalam keadaan stabil dan baik sekiranya diurus serta ditadbir dengan betul dan jujur.

“ Masalahnya kalau pemerintah tidak jujur, mengamalkan rasuah dan berkroni maka itulah yang menjadikan negara akan bankrap. Harga minyak turun, pendidikan percuma adalah tidak akan merugikan negara kerana sumber hasil negara adalah tinggi. Rakyat berhak untuk merasai bersama bukannya untuk kroni-kroni tertentu.” Tegasnya lagi ketika mengakhiri ucapannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan