Selasa, 10 September 2013

SAMBUTAN EIDULFITRI PR BAGAN DATOH MERIAH !

SAMBUTAN EIDULFITRI : MERIAH DAN HARMONI SERTA KEHADIRAN PIMPINAN TERUS MEMBANGKITKAN SEMANGAT UNTUK BERHADAPAN BN

Kira-kira 500 tetamu hadiri majlis sambutan Eidulfitri anjuran Pakatan Rakyat Bagan Datoh di Parit 1 bersama pimpinan utama PR negeri.

BAGAN DATOH, Sg. Sumun- 01 Sept :  Kehadiran para pimpinan utama Pakatan Rakyat Perak seperti Dato’ Seri Hj. Mohammad Nizar Jamaluddin, Dato’ Ngeh Koo Ham dan beberapa pimpinan lain ke Majlis Sambutan Eidulfitri Pakatan Rakyat Bagan Datoh telah menambahkan seri dan kemeriahan majlis tersebut.


Majlis yang berlangsung di perkarangan rumah Tn. Haji Arifin Ramlee, Parit 1 Sg. Sumun itu telah dihadiri kira-kira 500 orang yang terdiri daripada pelbagai kaum. Majlis tersebut adalah hasil kerjasama PAS dan PKR Bagan Datoh. Penganjuran bersama itu bukan sahaja sebagai langkah penjimatan kos, bahkan ianya adalah sebagai bukti kekuatan kerjasama antara parti kompenan dalam Pakatan Rakyat khasnya di Bagan Datoh.

Selain bermatlamatkan menyambut perayaan Eidulfitri di peringkat kawasan, ianya juga adalah merupakan sambutan bagi peringkat zon selatan negeri Perak pada kali ini. Kehadiran para tetamu daripada berbilang kaum menunjukkan bahawa sokongan rakyat adalah semakin kukuh dan kuat walaupun tewas dalam pilihan raya yang lalu. Ini adalah kerana mereka percaya dan yakin bahawa Pakatan Rakyat telah memenangi pilihan raya tersebut pada hakikat apabila bilangan peratus sokongan rakyat kepada PR adalah lebih tinggi berbanding Barisan Nasional ( BN ).


Majlis yang telah berlangsung seawal jam 2.30 petang itu dihadiri para tetamu dan pimpinan PAS dan PKR kawasan Bagan Datoh  serta beberapa pimpinan negeri. Antara pimpinan yang hadir dan berucap ialah YB. S. Kesavan ( ADUN Hutan Melintang ), Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin ( ADUN Changkat Jering/ AJK PAS Pusat ), Dato’ Ngeh Khoo Ham ( ADUN Sitiawan/ Pengerusi DAP Perak ), Ustaz Misbahul Munir Masduki ( YDP PAS Kawasan Bagan Datoh/ Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak ) dan Madhi Hasan ( Ketua Cabang PKR Bagan Datoh/ Pimpinan PKR Perak ).
Sementara itu para petugas sibuk untuk menyiapkan hidangan dan tapak jamuan di majlis tersebut. Antara hidangan yang disediakan ialah sate, ketupat, rendang, lemang, kuih muih, mee goreng, dan pelbagai jenis minuman lain-lain. Terlebih dahulu sebelum itu para tetamu mendengar ucapan dan penjelasan isu-isu terkini dalam dan luar Negara oleh para pimpinan yang hadir.



Petisyen PRU 13 : Rakyat cuba ditipu mahkamah apabila alasan tidak munasabah tolak petisyen digunapakai.

Sdr. Madhi Hj. Hasan selaku Ketua Cabang PKR Bagan Datoh yang juga merupakan mantan calon PKR bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh dalam PRU 13 menyatakan kekesalan terhadap sistem kehakiman dan mahkamah Pilihan raya yang menolak petisyen yang dilakukan oleh parti-parti bertanding dengan menggunakan alasan tidak munasabah dan kejam.

Katanya dalam ucapan tersebut menyatakan perkara itu adalah amat pelik dan dianggap tidak adil sama sekali apabila pihak pemetisyen langsung tidak diberi ruang oleh pihak mahkamah untuk berhujah hanya kerana masalah teknikal yang kecil. Sekiranya perkara itu adalah permasalahan teknikal, makanya perlu pertimbangan yang adil memandangkan ianya perkara remeh .

Beliau juga percaya bahawa adalah tidak mustahil perkara itu telahpun disepakati serta dirancang terlebih dahulu oleh pihak tertentu bagi menentukan keputusan itu diguna pakai seluruh mahkamah-mahkamah pilihan raya seluruh negara. Ianya kerana adalah untuk menghalang perbicaraan pemetisyen itu berlaku dan memastikan kepincangan pilihan raya lalu dituutup.

Salah Umno/ BN : Mengapa rakyat tidak bersemangat mengibarkan bendera sempena hari kemerdekaan.

Rakyat bakal menyambut hari kemerdekaan kali ke 56 namun timbul persoalan mengapa rakyat kurang bersemangat untuk mengibarkan jalur gemilang. Itulah hakikat yang berlaku di seluruh negara apabila kelihatan fenomena tersebut dirasai sendiri oleh pemimpin kerajaan termasuk kementerian itu sendiri.

Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki, YDP PAS Kawasan Bagan Datoh menyatakan dalam ucapannya di majlis sama bahawa perkara itu berlaku adalah kerana salah pihak UMNO/ BN sebagai kerajaan selama ini. Mereka dilihat telah menjadikan sambutan hari kemerdekaan negara sebagai seolah-olah hari sambutan parti UMNO/ BN.

“ Realitinya, mereka ( UMNO/BN ) terlalu mempolitikkan sambutan tersebut sehinggakan rakyat merasakan sambutan tersebut untuk meraihkan kejayaan mereka dalam perjuangan kemerdekaan. “ ujarnya dalam ucapan beliau.

Selain itu, banyak fakta sejarah yang sebenar berkaitan perjuangan kemerdekaan cuba diseleweng serta dinafikan oleh pihak tertentu kerana demi menjaga kuasa politik mereka. Demikian itu, rakyat tidak menerima hakikat sejarah yang sebenar melalui fakta tepat yang diterima mereka. Beliau turut menyeru kepada rakyat agar memahami makna sebenar merdeka terutamanya kemerdekaan pemikiran dan jiwa sebagai umat Islam yang sejati.

Kerajaan negeri tidak bertanggungjawab: YB Hutan Melintang kecewa EXCO tidak jawab soalan di DUN Perak

Manakala dalam ucapan YB. S. Kesavan ( ADUN Hutan Melintang ) menyatakan rasa kecewanya setelah bersidang 5 hari. Bagi wakil rakyat buat penggal kedua ini, sidang DUN Perak adalah amat mengecewakan apabila banyak soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri  ( ADUN ) Pakatan Rakyat tidak dijwab oleh pihak Exco kerajaan negeri terutamanya isu-isu rakyat dan pilihan raya yang lalu.

Ianya adalah sangat tidak sihat dan baik untuk sebuah kerajaan kerana ianya berkaitan hak rakyat di negeri ini untuk menerima segala kemudahan. Beberapa persoalan bertulis dan lisan yang dibawa oleh ADUN Pakatan Rakyat kebanyakkannya tidak dijawab oleh pihak mereka.

Pengerusi DAP Perak : Jenayah meningkat angkara siapa sebenarnya

Dato’ Ngeh Khoo Ham, Pengerusi DAP Perak yang turut hadir ke majlis ini juga menyampaikan ucapannya. Dalam ucapannya, beliau menyentuh isu keselamatan dan jenayah bunuh serta samseng yang berluasa dalam negara adalah amat membimbangkan. Demikian itu, beliau mengharapkan pihak kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri untuk menyelesaikan masalah berat tersebut.

Jelasnya lagi, beliau turut mendesak pihak kerajaan hari ini untuk membuktikan kesungguhan mereka dalam menangani masalah ini.

ADUN Changkat Jering : Rakyat diminta mohon doa untuk kemenangan Pakatan Rakyat di Perak dan Malaysia

Kehadiran mantan Menteri Besar Perak, Dato Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin ke majlis kali ini memeriahkan lagi suasana sambutan. Beliau disambut mesra oleh para tetamu kerana beliau yang sememangnya terkenal sifat ramah mesranya amat disenangi rakyat.

Ketika berucap beliau menyentuh beberapa isu terkini yang sedang berlaku di sekitar dalam negeri dan negara. Beliau yang juga merupakan selaku ketua pembangkang di dalam DUN Perak menyatakan rasa hairan dan pelik dengan sikap pimpinan kerajaan negeri khas dan umumnya UMNO/ BN yang gagal menjawab persoalan daripada ADUN Pakatan Rakyat ketika bersidang.  Sedangkan persoalan itu adalah demi kepentingan rakyat di negeri ini namun kerana sifat ego dan sombong mereka telah menafikan hak suara rakyat yang di bawa oleh wakil rakyat PR.

Dato’ Seri Nizar juga menyatakan harapan untuk memenangi petisyen juga adalah dilihat  tipis kerana berlakunya komplot jahat di peringkat mahkamah. Semua petisyen yang dibawa telah ditolak bulat-bulat kerana hanya masalah teknikal yang kecil. Namun beliau tetap percaya atas usaha dan doa semua rakyat pasti dengan izin Allah SWT adalah tidak mustahil kemenangan akan dicapai.


Demikian itu, beliau berpesan kepada seluruh rakyat untuk terus berdoa dan bekerja keras bagi memastikan Pakatan Rakyat dapat semula menawan negeri ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan