IEDUL ADHA 1434 : PAS KAWASAN BAGAN
DATOH BERJAYA MELAKSANAKAN PROGRAM SEMBELIHAN IBADAH KORBAN
Sebanyak 7 ekor lembu telah
dikorbankan. Penghayatan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S
terus menjadi sumber semangat umat Islam dalam berkorban sepanjang hidup.
BAGAN DATOH, Selekoh-15 Okt : PAS Kawasan Bagan Datoh dengan melalui
Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatannya, sekali lagi pada tahun ini telah
berjaya menganjurkan Program Sembelihan Korban peringkat PAS Kawasan ini sempena
sambutan Hari Raya Aidil Adha.
Program penyembelihan yang
melibatkan sebanyak 7 ekor lembu itu telah mengambil masa kira-kira 3 jam
bermula seawal jam 10 pagi dan berakhir jam 1 tengahari. Majlis penyembelihan
telah dilakukan seusai solat Sunat Hari Aidil Adha yang bertempat di
perkarangan Markaz Tarbiyyah PAS Selekoh di sini.
Menurut pengarah program
penyembelihan korban kali ini, Ustaz Ahmed Amrozie Imani amat berpuas hati atas
kerjasama daripada semua pihak yang menjayakan program hingga akhirnya. Selain
itu, beliau juga berterima kasih kepada seluruh peserta korban kerana memberi kepercayaan
kepada pihak PAS Kawasan untuk menguruskan majlis pengorbanan binatang korban
kali ini.
Manakala dalam ucapan Yang Dipertua
PAS Kawasan di program itu, Ustaz Misbahul Munir Masduki mengingatkan bahawa
peristiwa pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S dan anaknya, Nabi
Ismail A.S merupakan satu pengajaran yang hebat serta menjadi inspirasi kepada
umat Islam untuk terus berkorban dalam menegakkan agama Islam di muka bumi ini.
Beliau juga menyatakan peristiwa
korban itu telah memberi gambaran bahawa umat Islam pada hari ini mestilah
sentiasa beringat setiap sesuatu untuk dicapai memerlukan pengorbanan yang
tinggi daripada segenap penjuru. Sirah perjuangan Rasulullah S.A.W itu sendiri
menunjukkan jihad menegakkan agama suci Islam bukannya suatu perkara yang mudah.
Ianya sangat memerlukan pengorbanan sangat tinggi seperti mengorbankan jiwa,
harta, masa, tenaga dan segalanya.
Ustaz Misbahul Munir yang juga Timbalan
Pesuruhjaya PAS Perak itu turut menyeru, umat Islam pada hari ini seharusnya
memahami konsep sebenar pengorbanan menurut ajaran Islam. Tiada pengertian dan
makna jika seseorang itu hanya berseronok menyembelih haiwan ternakan sebagai
korban sekiranya hidup masih lagi tidak mengikut akidah, syariat dan akhlak
Islam yang sebenar.
Dalam majlis penyembelihan korban
itu, Ustaz Misbahul Munir telah mengambil bahagian untuk menyembelih beberapa ekor lembu
daripada 7 ekor tersebut. Beliau juga turut bergotong-royang bersama orang
ramai sehingga selesainya pengagihan daging-daging korban dilakukan.
Turut hadir bersama menjayakan
program penyembelihan tersebut ialah Kapten ( B ) Tn. Hj. Mohamad Aris Bakri,
Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan, beberapa Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan,
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan, Ustaz Mustofa Saifuddin, Ketua Dewan Muslimat
PAS Kawasan, Pn. Hjh. Rahimah Samuri, peserta korban dan penduduk setempat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan