Khamis, 23 Januari 2014

ARTIS BERTUDUNG: KENA PANDAI DAN TAHU PILIH MAJLIS YANG SESUAI..

KUALA LUMPUR: Artis berhijab dinasihatkan lebih berhati-hati dan bijak memilih undangan membuat persembahan agar tidak menimbulkan masalah di kemudian hari. 

Pengerusi Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Rekreasi Dewan Muslimat PAS Pusat, Wan Aishah Wan Ariffin berkata, pihak penganjur juga perlu membuat pertimbangan sebelum memanggil mana-mana artis membuat persembahan di majlis mereka.

Merujuk kepada insiden membabitkan artis Marinatasha Isnariah Mustapar yang diarah membatalkan persembahan kerana bertudung, Aishah berkata, garis panduan kepada artis bertudung dalam membuat persembahan amat penting.

"Dalam kes Marinatasha, apabila keadaan sekeliling yang tidak sesuai dengan imej artis bertudung, mungkin ada baiknya dia tidak meneruskan persembahan. Pihak penganjur pun adil pilih artis yang sesuai.

"Bagi PAS, lajnah kesenian akan mesyuarat tak lama lagi dan salah satu agenda penting ialah membentuk garis panduan bagi artis-artis wanita berhijab. 

"Kita tidak mahu kes begini tidak berulang," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Aishah juga menegaskan, mana-mana pihak termasuk media tidak harus mengheret isu hijab bagi mensensasikan sesuatu isu untuk perhatian pembaca.

"Isu artis berhijab bukan baru. Yang penting adalah penambahbaikan dan wujudkan garis panduan yang terbaik dan mufti dan majlis fatwa sangan memainkan peranan penting.


"Bila ada masalah begini, masing-masing kena hormat dan selesaikan secara profesional dan adil.

"Jangan heret isu hijab untuk sensasikan satu-satu isu bagi menarik perhatian pembaca dan media juga kena bertangungjawab. Silap main isu ia jadi macam main api, membakar semua orang," katanya yang merupakan bekas calon PAS di kerusi Parlimen Jempol pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Pada sidang media semalam, Marinatasha melahirkan rasa kesal beliau dengan tindakan penganjur yang menghalang beliau dari membuat persembahan di satu majlis keramaian 18 Januari lalu atas alasan kerana berhijab.

Menurut penyanyi itu lagi, insiden tersebut adalah yang keempat bagi dirinya apabila diminta membuka tudung jika mahu membuat persembahan.

Sementara itu, syarikat penganjur Castmet Sdn Bhd menjelaskan insiden halangan itu bukan didasari sikap rasis atau diskriminasi, tetapi kerana penyanyi itu bukan artis yang dipersetujui oleh pengurusan majlis.

Ini kerana, perjanjian antara syarikatnya dengan sebuah syarikat pengurusan yang telah melantik kumpulan nyanyian malam itu tidak melibatkan penyanyi wanita bertudung kerana majlis malam itu ada menghidangkan minuman keras.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan