Ahad, 2 Februari 2014

KALAU CERITA PASAL MEMBAZIR..UMNO LEBIH AWAL LAKUKANNYA !

KOTA BHARU: “Kalau hendak dikatakan membazir, maka Umno lebih awal membazir kerana berlaku dua pilihan raya kecil (PKR) di Selangor suatu ketika dahulu di parlimen Kuala Selangor dan Dun Permatang.

“Ini bermakna bukan kali pertama ada wakil rakyat letak jawatan bagi memberi laluan pilihan raya kecil diadakan,” kata bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.
Pada 1997 Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abu Hassan Omar meletak jawatan bagi menggantikan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, sebagai Menteri Besar Selangor.
Muhammad meletak jawatan ekoran pertuduhan di mahkamah Australia berikutan kegagalannya mengisytiharkan tunai RM2.4 juta ketika meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Brisbane pada Disember 1996.
Abu Hassan meletak jawatan sebagai anggota Parlimen Kuala Selangor untuk bertanding di Dun Permatang, yang mana ketika itu disandang Datuk Jamaluddin Adnan.
Pada pilihan raya kecil 29 Mei 1997 itu Barisan Nasional mengekalkan kedua-dua kerusi dan Abu Hassan dilantik menjadi Menteri Besar 6 Jun.
Saifuddin sekarang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Global Movement of Moderates berkata, tidak ada sesuatu yang pelik apabila berlaku perletakan jawatan wakil rakyat bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil diadakan.
“Begitu juga dengan kes di Perak selepas pilihan raya umum 2008, seeloknya diadakan pilihan raya kecil apabila tiga Adun Pakatan Rakyat beralih sokongan kepada BN,” katanya pada diskusi anjuran kerajaan negeri di Dewan Konvensyen, Kelantan Trade Centre (KTC) malam tadi.
Diskusi sebagai gelanggang baru menggantikan wacana mengupas tajuk 'Demokrasi Di Malaysia' turut mengundang anggota parlimen Shah Alam, Ir Khalid Samad, manakala Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff bertindak sebagai moderator.
Khalid pula berkata, pilihan raya kecil Kajang diadakan sebagai sebahagian usaha untuk memperkukuhkan lagi Pakatan di Selangor ekoran berlaku beberapa isu sebelum ini.
Menurutnya juga Umno kini berhempas pulas mahu merampas Selangor selepas misi mereka pada pilihan raya umum lepas tidak menjadi kenyataan.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim dibawa untuk memperkukuhkan kedudukan Pakatan di Selangor. Dengan kedudukan sebagai wakil rakyat beliau boleh berperanan dengan lebih rasmi lagi.
“Sebelum ini beliau tidak boleh bertindak secara rasmi kerana tidak ada kedudukan di peringkat Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan