Jumaat, 7 Februari 2014

PRK KAJANG : PAS PERAK MAHU DUN KAJANG TERUS MILIK PR- MISBAH

IPOH: PAS Perak akan turut membantu memenangkan calon Pakatan Rakyat daripada PKR dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangannya, Ustaz Misbahul Munir Masduki berkata, kemenangan Pakatan Rakyat di Dun tersebut adalah sangat penting bagi memastikan penguasaan gabungan parti itu semakin utuh dan sukar digugat di samping menggagalkan hasrat BN untuk menambah kerusi di Dun Selangor.

"PAS Perak menyahut seruan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk menurunkan jentera bagi memastikan Pakatan Rakyat kekal di kerusi itu," katanya kepada Harakahdaily.

Kata beliau, pertembungan Dun Kajang ini boleh menjadi medan penilaian tahap sokongan rakyat ke atas Pakatan Rakyat di Selangor dengan segala kemelut yang diperbesarkan oleh media.

"Rakyat masih ada ruang dan peluang mengundi bagi memilih siapa wakil rakyat pilihan mereka dalam pilihanraya kecil nanti," jelasnya lagi.


Ujar beliau, kerajaan sedia ada tetap akan kekal kerana ianya tidak berisiko untuk mengubah landskap pemerintahan di negeri itu oleh kerana majoriti di antara kerajaan dan pembangkang sangat besar namun Pakatan Rakyat tekad untuk mempertahankan kemenangan di Dun tersebut.

PRK Kajang itu juga, kata beliau adalah peluang untuk menjelaskan isu semasa dalam kempen di samping mendekatkan pemimpin dengan rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan