Khamis, 27 Mac 2014

KECAM DAN BANTAH KEKEJAMAN REGIM KUDETA MESIR : PEMUDA PAS

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengadakan himpunan solidariti umat Islam membantah kekejaman pemerintahan rejim Abdul Fattah As Sisi yang telah menjatuhkan hukuman mati ke atas Mursyidul Am Ikhwan Dr Mohammad Badie serta 529 anggota Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Himpunan aman ini akan berlangsung selepas solat Jumaat, 28 Mac ini bertempat di hadapan Kedutaan Mesir, Jalan Ampang dekat sini.
Sehubungan itu, para peserta himpunan diminta bersolat Jumaat di Surau Nurul Hikmah, Hotel De Palma, Ampang (dan bukannya di Masjid Tabung Haji) sebelum berarak ke kedutaan Mesir selepas solat Jumaat.

“Himpunan ini akan dihadiri bersama pemimpin Pemuda Pakatan Rakyat, badan bukan kerajaan (NGO) Islam, tokoh tempatan dan antarabangsa. Umat Islam seluruh dunia akan turut sama berarak dan berhimpun di negara masing-masing pada hari Jumaat ini dengan tujuan yang sama,” ujar Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat.

Beliau mengajak umat Islam dan rakyat Malaysia seluruhnya agar hadir beramai-ramai bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan zalim regim kudeta Mesir.



“Rakyat Mesir yang bangkit membela pemerintahan yang digulingkan secara kudeta, Dr Mohammad Morsi dibantai dan dibunuh sesuka hati. Mereka yang ditangkap pula ada yang diseksa, dan sebilangan mereka pula terpenjara dan ada yang dihukum mati seperti 529 orang Ikhwan Muslimin ini.
“Tidak mungkin umat Islam yang mengaku bersaudara akan duduk diam membiarkan kezaliman bermaharajalela di bumi para Anbiya’ itu tanpa tekanan, bantahan mahupun kecaman,” tegas beliau.
Suhaizan menggalakkan para peserta himpunan supaya membawa poster dan sepanduk yang membawa mesej mengecam dan mengutuk kezaliman Abdul Fattah As Sisi serta mendesak pembebasan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin dan kesemua mereka yang dizalimi regim tentera Mesir.
“ Apa yang diharapkan adalah pemimpin negara Islam lainnya juga akan turut sama bangkit membantah dan mengutuk keputusan mahkamah ini supaya rejim As Sisi tunduk kepada tekanan antarabangsa.
“Pemuda PAS juga mendesak kerajaan Malaysia segera bertindak tegas dalam memberi tekanan kepada Mesir untuk menghentikan kezaliman ke atas rakyatnya sendiri,” katanya.
Kedutaan Mesir, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan