Isnin, 28 April 2014

KECURIAN DI RUMAH NURUL HIDAYAH AHMAD ZAHID, BAPANYA SENDIRI TELAH MENGESAHKAN..

Zahid Hamidi sahkan berlaku kecurian di rumah anaknya

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengesahkan bahawa berlaku kecurian di rumah anak sulungnya, Nurul Hidayah, di Country Heights Kajang dekat sini. 
    
Beliau bagaimanapun berkata tiada sebarang kesan pecah masuk dalam kejadian itu. 
    
"Ya (ada kecurian), barang sahaja yang hilang, tapi pintu tak pecah, tingkap juga tak pecah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) di sini.
    
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab ketika dihubungi Bernama turut mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan, dan berkata antara barang yang hilang ialah dua utas jam tangan serta wang tunai RM1,000.
    
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.
   
Nurul Hidayah, 35, yang merupakan Naib Presiden Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Perumahan Negara Berhad dan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan serta politik, juga pernah menyatakan hasrat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang pada Mac lepas, sebelum menarik diri.  
    
Diminta mengulas laporan akhbar yang mendakwa 95 peratus pembantu rumah memasuki negara ini menggunakan ejen haram, Ahmad Zahid berkata laporan itu dilihat tidak tepat. 
    
"Ada kemungkinan syarikat pengambilan pembantu rumah ini berdaftar dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Sumber Manusia, namun telah disalah ertikan sebagai ejen haram," katanya. 
    
Beliau berkata proses pengambilan pembantu rumah, sama ada melalui ejen atau individu, dan setiap permohonan termasuk Journey Performed Visa (JP Visa) yang dilakukan individu sentiasa dipantau serta perlu melalui beberapa tapisan sebelum diluluskan. - Bernama

Ahad, 27 April 2014

TIMBALAN PM KUNJUNGI MANTAN MB KELANTAN.

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menyangka Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menziarahi beliau di kediamannya di Pulau Melaka, petang tadi.

Muhyiddin yang diiringi isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman tiba di kediaman Tun Guru Nik Abdul Aziz selepas solat Asar.

Isteri Tuan Guru, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak turut berbual mesra dengan isteri pemimpin nombor dua negara itu.

Muhyiddin dalam rangka lawatan sehari ke negeri ini.


Rabu, 23 April 2014

PASTI : SEBAGAI PUSAT ASUHAN KANAK-KANAK PILIHAN LAHIRKAN GENERASI AL-QURAN

PASTI : MAMPU MELAHIRKAN GENERASI CINTAKAN ILMU DAN ISLAM SEBENAR

Masyarakat diseru memilih pusat asuah dan didikan awal anak-anak yang boleh membentuk akhlak peribadi mulia serta mencintai Allah dan rasul.

BAGAN DATOH,Sg. Tiang Darat : Sebagai langkah mengimbangkan sistem pendidikan dan pentarbiahan serta pembentukan generasi masa hadapan yang mengenal Allah dan Rasulnya disamping melahirkan umat Islam yang gergas dan sihat, pihak Jabatan Pendidikan PASTI Kawasan Bagan Datoh telah menganjurkan program Temasya Sukan Tahunan PASTI Peringkat Kawasan baru-baru ini di sini.


Temasya sukan tahunan tersebut yang berlangsung pada 6 April 2014 dan bertempat di padang Sekolah Rendah Agama Rakyat Madrasah Jami’ah Islamiah, Kg. Sg. Tiang Darat telah mendapat sambutan menggalakan oleh masyarakat setempat. Ianya menggambarkan bahawa Pusat Asuhan Tunas Islam ( PASTI ) semakin mendapat tempat di hati masyarakat terutamanya di kawasan ini. Kehadiran para ibu bapa serta masyarakat yang menggalakkan sedikit sebanyak sebagai tanda sokongan kekuatan PASTI itu sendiri.

Manakala dalam ucapan perasmian temasya sukan tahunan tersebut, Ustaz Mohd Yazid Abdul Hamid menyatakan kepentingan PASTI yang mana masyarakat seharusnya menerima kewujudannya sebagai pusat asuhan dan pendidikan awal anak-anak yang terbaik. Beliau yang merupakan Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan Bagan Datoh menjelaskan bahawasanya PASTI merupakan satu produk atau medium terbaik yang disediakan oleh PAS untuk kanak-kanak dibentuk menjadi muslim yang sejati.


Katanya lagi dalam ucapan tersebut, beliau menyarankan masyarakat melihat lebih jauh masa hadapan anak-anak kerana mereka adalah pemimpin juga penentu masa depan kehidupan. Pastinya kita mahu melihat yang terbaik buat mereka dan negara akan dating. Disamping itu, masyarakat umat Islam sepatutnya tidak melupakan peranannya dalam mendidik serta membentuk anak-anak serta generasi muda mudi masakini untuk memastikan sentiasa mengikut panduan syariat sebagaimana terkandung di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

Walaupun dalam kemeriahan temasya tersebut, Ustaz Mohd Yazid turut mengambil kesempatkan untuk menyampaikan nasihat buat anak-anak PASTI serta hadirin berkaitan kepentingan ilmu kerana iannya dapat serta memastikan umat Islam serta manusia itu terus berada di atas kebenaran. Pesanan tersebut amat menekankan bahawa ilmu dan ulamak tidak dapat dipisahkan kerana konsep tersebut jelas memainkan peranan utama dalam Islam. Beliau turut menjelaskan peranan ulamak sebagai pewaris Nabi yang meneruskan perjuangan para rasul terdahulu.


Sementara itu, beliau berkeyakinan PASTI mampu berperanan untuk melahirkan sebuah generasi Al-Quran yang jelas bertepatan kehendak Islam. Setidak-tidaknya, PASTI juga akan mampu menghasilkan barisan para alim ulamak yang akan pasti meneruskan perjuangan alim ulamak masakini yang semakin berkurangan. Ustaz Mohd Yazid juga meletakkan harapan yang tinggi kepada PASTI untuk melahirkan masyarakat yang mencintai ilmu juga alim ulamak selain mampu meneruskan perjuangan Islam di muka bumi Allah SWT ini.

Temasya sukan tahunan kali ini turut menyaksikan dan mempamerkan kehebatan murid-murid pelbagai peringkat usia daripada 5 buah PASTI seluruh kawasan Bagan Datoh. PASTI Al-Hidayah, PASTI Al-Ikhwan, PASTI Al-Amin, PASTI Al-Huda dan PASTI Al-Kamaliyyah merupakan senarai PASTI yang mengambil bahagian dalam semua acara pada kali ini. Kemeriahan pelbagai acara antaranya lari pecut sejauh 30meter, isi air dalam botol, lari berhalangan, lari sambil membawa bola ping pong dan pelbagai lagi telah menambahkan kecerian serta pelbagai gelagat anak-anak PASTI.



Selain acara sukaneka untuk murid-murid PASTI, acara sampingan untuk para ibu bapa dan remaja turut diadakan sebagai menambah kemeriah temasya tersebut. Sementara itu keputusan johan keseluruhan temasya sukan tahunan PASTI kali ini telah disandang oleh kumpulan PASTI Al-Amin yang mewakili rumah biru.


Majlis penyampaian hadiah telahpun disempurnakan oleh Ustaz Mohd Yazid selaku perasmi temasya tersebut. 

Selasa, 22 April 2014

HIMPUNAN BANTAH GST 1 MEI : TIADA PERUBAHAN TEMPAT.

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat hari ini menegaskan himpunan 1 Mei ini tetap diadakan di Dataran Merdeka seperti yang dirancang sebelum ini.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata persiapan menjelang perhimpunan itu berjalan lancar dan tiada sebarang perubahan dibuat.

"Tidak ada perubahan tentang himpunan 1 Mei, ia berjalan lancar seperti dirancang.

"Himpunan tetap di Dataran Merdeka setakat ini tidak berubah, tetap mengikut jadual," katanya kepada pemberita sejurus keluar dari  ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi.

Beliau dipanggil polis bersama Naib Presiden PKR, Tian Chua untuk membincangkan rundingan berkait himpunan itu.

Memperincikan himpunan itu beliau berkata, beberapa lokasi ditetapkan kepada peserta himpunan sebagai tempat perkumpulan awal sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.

Menurutnya, kumpulan NGO akan berhimpun di KLCC, manakala penyokong parti akan berada di sekitar Kuala Lumpur.

"Ini perhimpunan aman. tidak ada apa-apa kekacauan akan berlaku. 



"Selepas mendengar ucapan pimpinan, kita akan bersurai," sambung beliau.

Sementara itu, Tian Chua menyatakan pihak polis tidak ada sebarang halangan untuk perhimpunan tersebut.

"Mereka jemput kita untuk berbincang supaya perhimpunan tersebut berjalan dengan baik.

"Secara prinsip mereka (polis) tidak ada halangan, ada beberapa pandangan diberikan dan kita akan berbincang jika perlu kita akan ubah mengikut cadangan tersebut," katanya.

Beliau memberitahu, Pakatan Rakyat memberi komitmen akan bekerjasama dengan pihak polis dalam memastikan kelancaran penganjuran himpunan itu nanti.

Khamis, 17 April 2014

MENDIANG KARPAL SEORANG POLITIKUS BERPRINSIP : PAS PERAK

KUALA LUMPUR: Rakyat negara ini kehilangan seorang tokoh politik paling berpengalaman juga seorang peguam kanan terkemuka dengan pemergian Karpal Singh (gambar)yang meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya dekat Kampar, pagi tadi.

Dalam satu kenyataan media, Badan Perhubungan PAS Perak turut merakam penghargaan atas sumbangan dan peranan mendiang Karpal dalam mengembalikan  semangat demokrasi yang dilihat semakin pincang dan menentang segala bentuk rasuah serta salah guna kuasa.
"PAS Perak turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang Karpal Singh," kenyataan media dikeluarkan Ketua Penerangan PAS negeri, Misbahul Munir Masduki itu dipetik.
Menurut Misbah, ketokohan Karpal sebagai seorang politikus yang berprinsip sukar dicari ganti.
"Ketokohannya juga digeruni dan dihormati oleh rakan dan lawan," kata Misbah.
Beliau menyifatkan Karpal sebagai 'sangat tegas' dan berpegang teguh kepada prinsip yang terkandung dalam perlembagaan negara.

Karpal, ujarnya ialah seorang yang tidak menyembunyikan sikap dan pandangan terhadap rakan apatah lagi lawan politik bahkan berani mengkritik institusi negara yang dilihat sebagai tidak bertindak atas prinsip undang-undang dan perlembagaan.
"PAS Perak turut bersedih atas pemergiannya dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang," ujar Misbah.
Karpal, 74, yang juga Pemimpin veteran DAP maut apabila kenderaan serbaguna (MPV) yang dinaikinya dilapor merempuh sebuah lori yang cuba menukar laluan tanpa memberi isyarat di kilometer 301.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara.
Pembantunya, Michael Cornelius turut terkorban manakala anaknya Ram Karpal dilaporkan cedera parah.
Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu mati di tempat kejadian akibat cedera parah.
Mendiang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang untuk menghadiri satu kes mahkamah

THE TIGER JELUTONG, KARPAL SINGH MAUT DALAM KEMALANGAN JALAN RAYA..TAKZIAH BUAT KELUARGA MENDIANG.

KUALA LUMPUR: Pemimpin veteran DAP Karpal Singh meninggal dunia dalam satu kemalangan jalanraya di Lebuhraya Utara Selatan awal pagi tadi, lapor Roketkini.

Jurucakap polis memberitahu kenderaannya merempuh sebuah lori yang cuba menukar laluan tanpa memberi isyarat di kilometer 301.6 arah Utara. Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu mati di tempat kejadian akibat cedera parah.

Karpal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang untuk menghadiri satu kes mahkamah. Pembantunya, Michael Cornelius turut terkorban manakala anaknya Ram Karpal dilaporkan cedera parah.

Karpal, 74, dikenali dengan gelaran Harimau Jelutong kerana ketegasannya dan sikap lantang memberi hujah serta pandangan di Parlimen, selain kehandalannya sebagai seorang peguam terkenal.

Karpal baru sahaja meletakkan jawatan Pengerusi Kebangsaan DAP akibat mematuhi peruntukan Akta Pertubuhan yang menghalang beliau memegang jawatan setelah disabitkan kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 11 Mac lalu.

Beliau meninggalkan seorang balu dan lima orang anak termasuk Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Adun Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo.

Karpal dilahirkan di George Town, Pulau Pinang pada 28 Jun 1940 dan menerima pendidikan awal di St Xavier’s Institution sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS).


Beliau menyertai profesyen peguam pada tahun 1969 sebelum menyertai DAP pada tahun berikutnya. Karpal memenangi kerusi Parlimen Jelutong pada tahun 1978 dan kekal di kerusi tersebut sehingga tahun 1999. Beliau juga pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam Ops Lalang pada Oktober 1987.

Sebagai seorang peguam, Karpal telah muncul dalam banyak kes berprofil tinggi, termasuk menjadi peguambela utama kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menerusi facebooknya mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

Selasa, 15 April 2014

FAHAM & TOLAK GST : MENGAPA PAS MENENTANG GST ?

Firman Allah:

أَمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدْتُ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَاءَهُمْ مَلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا (79)الكهف.
Maksudnya:
Khadir berkata: “Adapun kapal (yang aku rosakkan) ini adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut. Aku jadikannya rosak, kerana mereka akan melalui negeri yang Rajanya merampas setiap kapal yang tiba.”

Firman Allah:
قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَى أَنْ تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا (94) قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا (95) آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ حَتَّى إِذَا سَاوَى بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ قَالَ انْفُخُوا حَتَّى إِذَا جَعَلَهُ نَارًا قَالَ آتُونِي أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا (96(الكهف.
Maksudnya :
Mereka berkata: "Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya Kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat Engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?" (94)
Dia menjawab: "(Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku kurniakan kepadaku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah aku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh." (95)
"Bawalah kepadaku ketul-ketul besi"; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu. Dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: "Tiuplah dengan alat-alat kamu."  Sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: "Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya." (96)

Al Quran memaparkan dalam satu surah, dua kisah benar di zaman silam, supaya diambil iktibar. Ianya merupakan kisah perbandingan di antara kerajaan yang zalim yang merampas setiap kapal yang lalu ke negerinya tanpa mengira pemiliknya kaya dan meskin, lalu nabi Khaidir merosakkan kapal kepunyaan orang-orang miskin bagi menyelamatkannya. Berbeza pula kerajaan yang adil, Rajanya seorang yang soleh dan bijak bernama Dzulqarnain, membantu kaum yang lemah, kerana kewangannya surplus,  sehingga menolak tawaran untuk membayar cukai bagi membantu mereka menghadapi pencerobohan kaum yang ganas.
sumber kewangan negara
Islam adalah membawa rahmat kepada seluruh manusia. Dalam konsep mengumpul sumber kewangan negara yang dilaksanakan dalam sistem ekonomi di peringkat masyarakat dan negara, nasional dan antara bangsa  dan inter negara-negara, Islam  menentang pengambilan kekayaan secara rakus tanpa mengira batas timbang rasa kemanusiaan. 

Dalam hal ini, Islam tetap menggalakkan kemajuan ekonomi sehingga berkemampuan untuk diri dan membantu pihak yang memerlukan bantuan. Islam juga tidak menyekat kekayaan yang diambil dengan cara yang baik dan membelanjakannya juga untuk kebaikan, dengan menetapkan sempadan dan kewajipan, serta menghalang kekayaan negara berpusing di kalangan orang-orang yang kaya dan pihak yang berkuasa. Batas halal dan haram dalam segala aspek, barangan, operasi dan akhlak dalam semua urusan, adalah sempadan dalam kegiatan ekonomi. Sistem ekonomi liberal kapitalis tidak mempunyai roh akhlak, halal – haram ini. Semua ini bertujuanuntuk menjaga kesaksamaannya dan keharmonian dalam kehidupan manusia yang bermasyarakat madani.
Dalam aspek sumber kewangan masyarakat dan negara, maka Islam mewajibkan sumber zakat secara ibadat yang menjadi rukun Islam kepada penganutnya. Para ulama juga mengizinkan percukaian dilaksanakan sekiranya sumber kewangan negara tidak mencukupi dengan  konsep yang adil  seperti zakat  juga.

Zakat diwajibkan keatas penganut Islam sehingga dimasukkan dalam rukun agama dan ibadat yangtidak boleh dibatalkan. Maka zakat tidak boleh dikenakan kepada penganut bukan Islam  kerana hak yang berbeza dalam prinsip ibadat dan konsepnya. Adapun cukai dikenakan kepada penganut bukan Islam dan penganut Islam juga dalam konsep bermasyarakat dan bernegara. Sekiranya kewangan negara mendesak maka cukai boleh ditambah; dikurang dan boleh pula dihapuskan sekiranya sudah ada sumber kewangannya mencukupi atau sebab-sebab yang lain.
golongan tidak diwajibkan zakat
Zakat terhadap penganut Islam diwajibkan kepada kalangan berkemampuan dan kaya sahaja, dimana kalangan miskin tidak diwajibkan zakat. Maka hukum Islam menetapkan kadar mewajibkannya yang dinamakan nisob. Dimana nisob ini juga dikira kadar lebihan daripada keperluan diri, keluarga dan pengurusan, dengandikecualikandaripada perkiraannya. Mereka yang berpendapatan tidak mencapainisob dikira miskin atau yang tegarnya dinamakan fakir dan tidak diwajibkan zakat. Pungutan zakat pula mengikut haul (tahunan) atau musim bagi hasil pertanian.

Maka cukai yang dikenakan bagi keperluan negara yang melibatkan rakyat supaya menyumbang, tanpa mengira agama hendaklah berpandukan konsep pungutan zakat dengan mengecualikan kalangan miskin daripada cukai dan juga tidak membebankan lebih daripada kemampuan, serta menghalang bebanan daripada kesannya seperti berlakunya inflasi.

Khalifah Umar bin Al Khattab r.a. dan Umar bin Abdul Aziz yang banyak memperkenalkan cukai yang dinamakan jizyah,kharaj dan usyur, daripada sumber kegiatan ekonomi, berpandukan kepada konsep yang tidak membebankan rakyat miskin dalam sistem zakat. Maka cukai tidak dikenakan terhadap kalangan rakyat yang pendapatannya tidak mencapai tahap selesa atau kalangan penganggur atau kalangan yang bergantung sumbangan daripada pihak lain seperti paderi dan sami atau yang berkhidmat kepada negara dan masyarakat.
cukai boleh dihapuskan
Cukai boleh dihapuskan kerana tidak berkait dengan ibadat, tidak seperti zakat yang diwajibkan dan tidak boleh dibatalkan kepada penganut Islam kerana ianya dimasukkan dalam perkara ibadat sepanjang masa. Sejarah membuktikan bagaimana cukai lebih rendah kadarnya dibandingkan dengan zakat. Penurunan dan sehingga penghapusan cukai pula berlaku tidak seperti zakat, apabila tujuan daripada pungutannya tidak ada lagi kerana hasil lain yang mencukupi atau pihak berkenaan tidak berfungsi menunaikan tanggung jawab terhadap pembayar.

Contohnya Abu ‘Ubaidah (pemerintah wilayah Syam) membatalkan cukai jizyah yang bertujuan menjaga keselamatan pihak yang membayar daripada kalangan bukan Islam, apabila beliau menghadapi ancaman pihak tentera Rom, sehingga tidak mampu menjaga keamanan pembayar, atau mereka yang terlibat bertugas menjaga keamanan dan keselamatan.Cukai juga dikurang bahkan ditiadakan apabila sumber yang lain telah mencukupi, contohnya  Khalifah Umar bin Al Khattab pernah menghapuskan Usyur (cukai perniagaan) yang dikenakan kepada barangan asasi keperluan harian rakyat di tahun kemelesetan ekonomi bagi menurunkan harganya. Adanya kalangan negara Arab yang mempunyai sumber petroleum yang banyak membatalkan beberapa cukai kerana mewarisi kesan pemerintahan Islam.

Khalifah Umar bin Al Khattab dan Umar bin Abdul Aziz adalah contoh yang paling ideal kerana memerintah di zaman paling majmuk, wilayah yang luas dan mencabar. Di antara arahan mereka adalah melarang sekeras-kerasnya mengenakan cukai tanpa kemampuan pembayarnya. Mereka menggalakkan pengurusan yang menambahkan sumber yang ada tanpa membebankan rakyat bahkan mengancam untuk memecat sesiapa sahaja yang menaikkan cukai tanpa berlaku adil dan menunjukkan tidak berkemampuan mengendalikan urusan kewangan wilayahnya yang diberi autonomi.
krisis kewangan
Terkini negara kita sedang menghadapi krisis kewangan walaupun pihak kerajaan sentiasa  menafikannya. Maka dilakukan kenaikan cukai yang telah sedia ada dan mengadakan cukai baru. Terakhir pula diperkenalkan GST, cukai  terhadap barangan dan perkhidmatan. Alasannya supaya berlaku adil dengan melibatkan semua rakyat tanpa mengira kaya dan miskin menanggung bebanan menampung keperluan negara. Pendekatan ini adalah salah tafsir terhadap prinsip keadilan, konsep dan objektifnya.

Adil mengikut takrif Islam adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya, bukannya membebankan kepada semua tanpa mengira tahap kemampuan. Sudah pasti ada kalangan yang miskin yang terbeban dengan terlalu sedikit penambahan cukai daripada barangan keperluan dan menanggung kesan inflasi juga terhadap barangan yang kononnya tidak bercukai atau dalam kawalan. Dalam masa yang sama ada segelintir kalangan yang kaya-raya dan tidak bermasalah dalam semua keadaan, mereka inilah yang sepatutnya mengambil tanggung jawab cukai tambahan.

Sepatutnya pihak kerajaan yang diamanahkan melakukan muhasabah diri secara ikhlas, terhadap ketirisan daripada sumber yang telah sedia ada dan membetulkan kesilapan yang berlaku serta berani,tegas dan telus bertindak terhadap penyelewengan, disamping melakukan islah(reformasi) sebelum transformasi. Transfomasi tanpa Islah boleh membawa keadaan yang lebih parah.

Saya tegaskan dalam ucapan bajet, bahawa ketirisan berlaku dengan sebab projek mewah sehingga meninggalkan perkara aulawiyyat (keutamaan) bagi rakyat  menyebabkan keborosan dan pembaziran. Masih berlakunya rasuah yang mencacatkan projek yang dirancang dengan baik dan menggagalkannya. Hutang bersama riba yang terpaksa dibayar daripada peruntukan negara dan bencana alam disebabkan kesalahan manusia dan lain- lain. Kebocoran ini menyebabkan defisit yang memerlukan penampungan daripada sumber kewangan tambahan. Semuanya daripada kesalahan kerajaan, bukannya rakyat.

Penyelesaiannya bukan dengan membebankan rakyat yang lemah,dengan menaikkan cukai sedia ada, mengadakan cukai baru dan kenaikan harga barangan daripada kesannya yang tidak terkawal, termasuklah bayaran tol yang sepatutnya diturun dan akhirnya dihapuskantetapi dijadikan kesempatan mengambil duit rakyat tanpa mengira kaya dan miskin.
menyekat ketirisan
Penyelesaiannya ialah menyekat ketirisan dan menghapuskannya. Bertindak terhadap sumber dan puncanya dengan berani, ikhlas dan tegas. Menampung kekurangan sementara waktu terhadap mereka yang berkemampuan sahaja dengan menukarkan bayaran rasuah untuk segelintir manusia, digantikan kenaikan cukai untuk semua rakyat. Memayungi rakyat yang lemah supaya tidak menerima tempiasnya dengan langkah yang bijak, saperti kawalan harga barangan keperluan, penurunan dan penghapusan cukai dan subsidi dengan cara yang sistematik daripada sumber kekayaan dan keuntungan pihak tertentu.

Malangnya kerajaan mengambil jalan pintas tanpa peduli rakyat. GST adalah percukaian zalim, kalau zakat dikira nisob nya, adapun GST tanpa nisob mengambil daripada sekecil-kecil barangan dan mencakar paling miskin, sehinggalah paling mahal dan paling kaya, bahkan yang kaya lebih selesa. Kalau zakat mengikut haul (tahun) dan musim, maka GST setiap hari dan saat. Kalau cukai mengikut Islam mengambil iktibar daripada zakat, maka GST mengikut selesa tanpa iktibar. Laksana lebih daripada raja yang merampas kapal yang elok, adapun yang dirosakkan tidak dirampas. Maka jauh sekali daripada menyontohi raja yang adil, Dzulkarnain yang disanjung oleh Al Quran apabila tidak menerima cukai kerana kewangannya surplus, bahkan GST adalah menyontohi raja zalim yang merampas setiap kapal.

TEMASYA SUKAN TAHUNAN PASTI KAWASAN BAGAN DATOH 2014 : MERIAH DAN CERIA SI ANAK-ANAK PASTI !

SUASANA SUKANEKA TAHUNAN PASTI KAWASAN BAGAN DATOH 2014 
HARI : AHAD ( 06 April 2014 )
TEMPAT : Padang Sek. Ren. Agama Rakyat Jami'ah Islamiah, Kg. Sg. Tiang Darat, Selekoh.
PERASMIAN : Ustaz Mohd Yazid bin Abdul Hamid ( Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan )












Isnin, 14 April 2014

SAMAN TUAN GURU : MAHKAMAH TINGGI KETEPI PERINTAH PENGHAKIMAN INGKAR.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini mengetepikan penghakiman ingkar yang diperoleh calon PKR bagi kerusi Dun Bukit Besi terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Demikian dimaklumkan peguam Asmuni Awi ketika dihubungi sebentar tadi. 

Menurutnya, hakim memutuskan demikian dengan alasan penyerahan saman tidak teratur iaitu diserahkan kepada pihak yang tidak wujud.

Selain itu, katanya penghakiman ingkar RM2 juta yang diperolehi oleh plaintif tidak mengikut kaedah mahkamah 2012.

“Jadi mahkamah memerintahkan defendan masukkan kehadiran dalam tempoh 14 hari bermula hari ini untuk tetapkan pengurusan kes pada 18 Mei,” ujarnya.

Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 23 Februari lalu mengarahkan Presiden PAS membayar saman RM2 juta berikutan penghakiman ingkar yang diperoleh bekas calon PKR itu, Mohd. Shamsul Mat Amin. 


Berikutan itu, Asmuni telah memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah itu di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada keesokan hari.

Ahad, 13 April 2014

AL- FATIHAH DAN TAKZIAH BUAT ALLAHYARHAM PAK HAMID DAN JUGA KELUARGA..

KUALA LUMPUR: Salah seorang jurulatih pasukan Jabatan Amal Malaysia, Abd Hamid A Kadir meninggal dunia pagi ini ketika sedang melatih kawad kepada anggota Unit Amal Malaysia.

Beliau terlibat menjadi jurulatih sempena Kursus Kepimpinan Amal Malaysia yang diadakan bermula 11 hingga 13 April di sebuah resort di Seoang.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan lengkap berunifom merah Unit Amal.

 
Difahamkan, Pak Hamid sebelum itu dibawa ke Klinik Sg Pelek, Bagan Lalang yang berhampiran tempat latihan mereka kerana keadaanya tidak stabil.

Menurut anggota unit amal, ketika melatih kawad pagi tadi, beliau sempat berkata "benarlah janji Allah".

(Gambar: Pak Hamid ketika mengajar kawad kepada anggota unit Amal pagi tadi)

Pemergian beliau satu kehilangan besar bukan sahaja kepada anggota Amal keseluruhannya, malah juga kepada PAS di segenap peringkat.

Jabatan Amal PAS yang terkenal dengan jolokan 'tentera merah', sentiasa mengharumkan nama baik PAS dalam misi kemanusiaan yang sertai mereka.

Berkerja dengan tema 'beramal kerana Allah', tanpa mengharapkan balasan dunia, pasukan ini menjadi kebanggan parti dan salah satu aset besar kepada PAS bukan sahaja dalam aspek menghulur bantuan, tetapi juga duta PAS mendekati masyarakat.

Khamis, 10 April 2014

ADAKAH CUKAI DALAM ISLAM ?


MUQADDIMAH

“Isk! Haram! Dalam Islam, mana ada cukai…”

Demikianlah mungkin gambaran kasar mengenai kefahaman umum umat Islam terhadap cukai. Benarkah demikian? Apakah status sebenar cukai di sisi Islam? Apakah dalam Islam memang tiada system cukai yang diaplikasikan? Apakah pada zaman dahulu, khususnya zaman Rasulullah SAW dan khulafak ar-Rasyidin memang tiada perlaksanaan sebarang system percukaian ini?

Hakikatnya, isu ini sering menjadi bahan perdebatan yang agak panas dalam kalangan masyarakat awam, justeru umumnya umat Islam memang menyatakan bahawa Islam memang tidak meraikan cukai untuk dikenakan ke atas orang-orang Islam. Pandangan ini bukanlah sebuah omongan kosong, justeru memang disebutkan di dalam hadis Nabi SAW, misalnya sebuah hadis daripada Imam Ahmad di dalam musnadnya yang menyatakan: “Pengutip cukai berada di dalam neraka.”

Mafhum daripada hadis ini, menurut fuqaha jelas mengindikasi dan menunjukkan bahawa cukai itu adalah HARAM hukumnya di sisi Islam, kerana hanya dengan melakukan perkara yang haram sahajalah maka seseorang itu bisa terjebak ke dalam neraka. Maka, pastilah mengutip dan membayar cukai adalah haram di sisi Islam.

DEFINISI CUKAI

Cukai disebut dalam bahasa arab antaranya dharibah, yang pada asasnya bermakna ‘beban’ atau ‘yang ditimpakan.’ Allah SWT menyatakan kalimah ini pada ayat 61 surah al-Baqarah yang maksudnya: “Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah.”

Dalam definisi yang dikehendaki oleh pemakaian sehari-hari: “Bayaran (bea, sumbangan) yang dikenakan oleh kerajaan terhadap orang perseorangan (perbadanan, syarikat, barang-barang, dll) utk perbelanjaan negara dll.” (Kamus Dewan Edisi 4)

Mudahnya cukai bermaksud: ‘Sejumlah bayaran yang perlu diserahkan kepada pihak kerajaan atas perintah kerajaan untuk kegunaan negara.’

BAGAIMANA APLIKASI CUKAI ZAMAN RASULULLAH SAW DAN SAHABAT?

Hakikatnya, Nabi Muhammad SAW telah pun menerima sistem cukai ini, iaitu jizyah (cukai individu) dan kharaj (cukai tanah) yang berbentuk cukai yang dikenakan kepada golongan bukan Islam yang mendapat perlindungan di dalam negara Islam (disebut kafir zimmi). Namun begitu, zaman dahulu segala cukai ini tidak dikenakan kepada orang-orang Islam, sebaliknya ia hanya dikenakan kepada golongan non-muslim, sama ada mereka termasuk golongan kafir zimmi mahu pun mereka yang tunduk kepada kekuasaan Islam.

Kenapa demikian? Hal ini kerana, bagi orang Islam sudah ada sistem zakat yang bersifat perintah tetap. Zakat dikenakan kepada orang-orang kaya berdasarkan harta-harta tertentu dengan jumlah atau kadar yang tertentu. Manakala bagi non muslim, mereka tidak diwajibkan membayar zakat; namun mereka hakikatnya mendapat pelbagai kebaikan kerana berada di dalam naungan Islam. Maka, mereka diminta menunaikan cukai.

Cukai-cukai ini sebenarnya, menjadi sebahagian daripada mekanisme menambah pendapatan negara demi kebaikan seluruh rakyat. Zaman dahulu, semua sumber harta yang diperoleh oleh kerajaan akan dimasukkan ke dalam Baitul Mal dan kemudiannya akan diagih-agihkan kembali untuk kegunaan negara. Cukai ini hakikatnya seiring dengan zakat yang dikenakan ke atas umat Islam. Kadarnya juga tidak banyak bezanya dengan zakat (namun ia tidak tetap), yakni tidak sampai membebankan.

Di dalam kitab Al-Amwal oleh Abu Ubaid, beliau meriwayatkan daripada az-Zuhri yang mengatakan: “Rasulullah SAW menerima jizyah daripada orang Majusi Bahrain.” Az-Zuhri menambah lagi: “Siapa sahaja di antara mereka yang memeluk Islam, maka keislamannya diterima, dan keselamatan diri dan hartanya akan dilindungi melainkan tanah. Kerana tanah tersebut adalah tanah fai’ (rampasan) bagi kaum muslimin, kerana orang itu tidak menyerah diri sejak awal, sehinggalah dia terlindungi.” Maksudnya sehingga mereka di lindungi oleh kaum Muslimin.

BEBERAPA JENIS CUKAI DALAM KERAJAAN ISLAM

1. JIZYAH
- Bermakna cukai ke atas individu (atau cukai per orang) bagi setiap individu non-muslim yang mendiami negara Islam. Mulai diperkenalkan semasa nabi SAW masih ada. Penduduk Tabuh pernah membayar jizyah satu dinar seorang pada setiap tahun kepada Rasulullah SAW.

2. KHARAJ
- Bermakna cukai ke atas tanah yang dimiliki oleh Negara Islam dan diusahakan oleh non-muslim. Ia juga diperkenalkan semasa Nabi SAW masih ada. Kadarnya sekitar 5 peratus dan boleh berubah mengikut pertimbangan pemerintah.

3. USYUR
- Bermaka cukai ke atas kapal-kapal yang dimiliki oleh pedagang non-muslim yang datang berlabuh dan menjalankan perdagangan di Negara Islam. Ia mulai diperkenalkan pada zaman pemerintah Umar al-Khattab RA. Kadarnya pula 10 peratus bagi negara musuh yang berdagang dan 5 peratus bagi kafir zimmi.

4. DHARIBAH
- Bermakna sejenis cukai yang dikenakan oleh pemerintah Islam kepada umat Islam yang kaya saat negara berada dalam keadaan gawat (darurat) dan pada ketika itu sumber di Baitul Mal juga sudah kering, hukumnya wajib bagi rakyat menunaikannya. Kadarnya pula ditetapkan oleh pihak kerajaan sesuai dengan keperluan.

ADAKAH ZAKAT JUGA SATU BENTUK CUKAI?

Zakat adalah rukun Islam. Ia adalah ketetapan yang mutlak (qatie). Cukai pula perkara baharu, ia mendatang sifatnya dan hanya bersifat ijtihadi. Zaman dahulu, umat Islam hanya diwajibkan menunaikan zakat, tidak diwajibkan membayar cukai. Manakala, orang-orang bukan Islam, mereka tidak diwajibkan membayar zakat; maka mereka dikenakan cukai.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (al-Baqarah: 277)

Oleh itu, interaksi umat Islam dan zakat adalah amat intim perkaitannya. Tidak sempurna keislaman seseorang tanpa menerima adanya zakat. Menolak zakat sebagai elemen syariat, membawa kepada kekufuran di sisi Allah SWT. Orang yang kufur atau murtad, wajib kembali kepada Islam, menerima kefarduan zakat dan tunduk patuh kepada hukum-hakam yang telah ditetapkan Allah SWT.

Di samping itu, tindakan segelintir manusia yang menyamakan zakat sebagai elemen cukai dalam Islam juga merupakan suatu kesalahan. Zaman silam, seperti mana pernah dikupas di dalam kitab tafsir, ada orang Islam yang telah menyamakan zakat sebagai cukai dan akibatnya mereka dimurkai oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Maka, keimanan seseorang muslim itu tertakluk kepada keimanannya kepada zakat. Zakat mesti diyakini, difahami dan diamalkan. Tanpa zakat, seluruh keimanannya akan tertolak. Inilah ketinggian zakat di sisi umat Islam.

Atas nama menjaga ketinggian itu jugalah, Abu Bakar as-Siddiq pernah bertegas dalam hal ini saat mendepani sikap segelintir umat Islam yang enggan menyerahkan zakat kepadanya setelah kewafatan Rasulullah. Kata Abu Bakar: “Akan aku perangi orang-orang yang enggan menyerahkan zakatnya kepadaku, sebagaimana dahulunya mereka menyerahkan zakat kepada Rasulullah SAW.”

APAKAH HUKUM MENGAMBIL CUKAI DARIPADA ORANG ISLAM?

Asasnya dalam Islam, mengambil harta mestilah dengan izin, sesuai dengan sabda Nabi SAW di saat haji wada’: “Wahai orang ramai, sesungguhnya orang yang beriman adalah saudara, tidak halal bagi seseorangpun (mengambil) harta saudaranya melainkan dengan kerelaannya.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Maka, fuqaha menyatakan tidak boleh mengambil harta umat Islam, melainkan di sana adanya satu keperluan yang mendesak sahaja. Itulah yang disebutkan sebagai dharibah di sisi Islam.

Fuqaha seperti al-Qurtubi, al-Ghazzali dan al-Suaitibi menyatakan, hanya dharibah yang boleh dikenakan kepada orang Islam, selain daripada itu tidak dibenarkan.

BAGAIMANA ZAKAT DAN CUKAI BERINTERAKSI PADA HARI INI?

Mutakhir ini, umat Islam di Malaysia dikenakan kedua-duanya, sama ada zakat mahupun cukai pendapatan; juga zakat perniagaan mahu pun cukai perniagaan. Maka, bijaksanalah dalam meraikan kedua-dua keperluan ini. Misalnya, manfaatkanlah rebat cukai pendapatan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan, dengan menunaikan zakat (sama ada zakat harta mahu pun zakat fitrah) dan selepas itu, cukai pendapatan dapat dikurangkan.

Manakala bagi para peniaga, potongan masih diberikan walaupun hanya sebatas 2.5 peratus atas pendapatan agregat syarikat yang dizakatkan, namun ia masih memberikan sedikit kelegaan. Mudah-mudahan, pihak kerajaan boleh memikirkan untuk meninggikan lagi jumlah rebat zakat perniagaan ke atas cukai perniagaan, kerana kondisinya agak membebankan umat Islam.

Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Seksyen 6A (3): Individu muslim yang menunaikan bayaran yang wajib di sisi agama termasuklah zakat fitrah berhak mendapat rebat ke atas setiap pembayaran berkenaan ke atas cukai pendapatannya, dengan mengemukakan resit yang sah yang dikeluarkan oleh badan agama yang sah di sisi undang-undang pada tahun taksiran semasa.

Pelarasan PCB – SPG (Pekeliling Kerajaan 1 Jan 2001), kaedah-kaedah Cukai Pendapatan juga wajar dijadikan kesempatan yang bermanfaat untuk umat Islam menangani isu cukai.

KESIMPULAN

Rasionalnya, zakat tidak boleh dikenakan kepada golongan bukan Islam kerana mereka tidak mempunyai cukup syarat, iaitu mesti beragama Islam untuk menunaikan zakat. Namun, mereka tetap perlu memberikan sumbangan kepada negara melalui jizyah atau kharaj kepada pemerintah negara. Menurut Mohammad Assad di dalam bukunya ‘Islam at the Crossroads’, konsep zakat dan jizyah ini adalah sama, iaitu sebagai sumbangan kepada negara.

Perkembangan Negara Islam, khususnya pasca kewafatan Rasulullah SAW dan Abu Bakar as-Siddiq, amat memberangsangkan. Umar al-Khattab RA telah berjaya mengembangkan Islam sehingga ke luar perbatasan sempadan tanah Semenanjung Arab, dan menyaksikan banyak juga negara yang menerima ketuanan dan mengiktiraf Islam; tetapi mereka masih enggan memeluk Islam.

Maka, lahirlah beberapa jenis cukai lain dan pemerintah Islam meraikan perkembangan itu. Misalnya, cukai usyur telah diperkenalkan bagi mengutip cukai ke atas kapal-kapal milik pedagang bukan Islam yang menjalankan perniagaan di Negara Islam. Begitu juga dengan cukai kharaj yang dikenakan oleh pemerintah Islam kepada orang-orang bukan Islam yang mengerjakan tanah atau pertanian, ia semakin meluas dilaksanakan.

Sekali imbas, pemerintah Islam yang bersifat adil itu mengenakan segala jenis cukai ini bukanlah dengan maksud untuk menekan golongan bukan Islam; sebaliknya untuk mengiktiraf sumbangan mereka dan pada masa yang sama, agar wujud keadilan di antara orang-orang Islam dan non-Muslim di dalam bernegara.

Cukai jizyah boleh dianggap seperti zakat pendapatan ke atas muslim, cukai usyur pula seperti zakat perniagaan dan cukai kharaj pula seakan-akan zakat pertanian. Mungkin dari aspek kadar yang dikenakan ada sedikit perbezaan; namun ia masih tidak membebankan.

Yang jelas, legasi dan kemampuan zakat ke atas umat Islam dan cukai kepada non-muslim dalam menjana negara dan umat sudah terbukti dalam lipatan sejarah Islam. Ia menjadi alat terpenting di dalam pembinaan sebuah negara, seperti mana kemakmuran Madinah dari zaman Rasulullah SAW sehinggalah ke zaman Turki Uthmaniyyah ribuan tahun lamanya. 

*Artikel ini telah dibentangkan di Persidangan Zakat dan Cukai Kebangsaan, anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dan Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), pada 31 Disember 2013, Kuala Lumpur.

http://www.hamizul.com/

PANGGIL MUSA HITAM JELASKAN DEPADA AHLI DEWAN RAKYAT : MAHFUZ OMAR

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat hari ini menolak usul yang dikemukakan PAS agar kertas putih peristiwa Memali 1986 ditarik balik dan ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat semula insiden itu.


Speaker membuat penolakan itu dalam kamar atas alasan usul yang yang dikemukakan oleh Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) hanya merujuk kepada forum dan keratan akhbar.

Dalam pada itu usul yang dikemukakan  Mahfuz di bawah peraturan mesyuarat 18(1) dan 18(2), merujuk kepada pendedahan dan pengakuan terbaru yang dibuat bekas Menteri Dalam Negeri Tun Musa Hitam dalam satu forum di Kota Bharu pada 4 April lalu.


Mahfuz ketika membacakan usul itu di Dewan Rakyat hari ini berkata , Musa dalam forum bertajuk "Politik Malaysia: Dahulu dan Sekarang" seperti dilapor media mendedahkan bahawa pada hari kejadian 19 November 1985, Perdana Menteri waktu itu Tun Dr Mahathir Mohamad masih berada dalam negeri dan bukan berada di China seperti yang dihebahkan kepada umum.

Selain itu Mahfuz berhujah, Musa yang ketika itu juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau bukanlah pemangku Perdana Menteri pada hari kejadian itu berlaku.

Musa juga berkata, beliau selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas peristiwa itu dan bersedia untuk mendedahkan fakta sebenar peristiwa Memali itu.

Selepas dari forum itu, Musa sekali lagi secara konsisten mengeluarkan kenyataan serupa melalui satu kenyataan kepada media.

"Maknanya kertas putih yang ditandatangan oleh Tun Musa Hitam yang lalu bukan fakta sebenar.

"Seolah-olah menggambarkan kertas putih ini dirangka dan dipaksa untuk dibentangkan oleh Musa. Kena tarik balik," kata Mahfuz pada sidang media selepas itu.

Mengulas lanjut Mahfuz berkata, paling tidak pun, Musa harus dipanggil semula menjelaskan fakta sebenar kepada anggota Dewan Rakyat.

Jika berpuas hati dengan penjelas Musa itu kata beliau, barulah satu usul dibuat bagi menarik balik kertas putih yang lalu itu.

"Perdana Menteri Datuk Najib jangan takut untuk membetulkan pembohongan oleh Tun Mahathir.

"Kita minta bercakap benar sahaja," katanya.