Rabu, 23 April 2014

PASTI : SEBAGAI PUSAT ASUHAN KANAK-KANAK PILIHAN LAHIRKAN GENERASI AL-QURAN

PASTI : MAMPU MELAHIRKAN GENERASI CINTAKAN ILMU DAN ISLAM SEBENAR

Masyarakat diseru memilih pusat asuah dan didikan awal anak-anak yang boleh membentuk akhlak peribadi mulia serta mencintai Allah dan rasul.

BAGAN DATOH,Sg. Tiang Darat : Sebagai langkah mengimbangkan sistem pendidikan dan pentarbiahan serta pembentukan generasi masa hadapan yang mengenal Allah dan Rasulnya disamping melahirkan umat Islam yang gergas dan sihat, pihak Jabatan Pendidikan PASTI Kawasan Bagan Datoh telah menganjurkan program Temasya Sukan Tahunan PASTI Peringkat Kawasan baru-baru ini di sini.


Temasya sukan tahunan tersebut yang berlangsung pada 6 April 2014 dan bertempat di padang Sekolah Rendah Agama Rakyat Madrasah Jami’ah Islamiah, Kg. Sg. Tiang Darat telah mendapat sambutan menggalakan oleh masyarakat setempat. Ianya menggambarkan bahawa Pusat Asuhan Tunas Islam ( PASTI ) semakin mendapat tempat di hati masyarakat terutamanya di kawasan ini. Kehadiran para ibu bapa serta masyarakat yang menggalakkan sedikit sebanyak sebagai tanda sokongan kekuatan PASTI itu sendiri.

Manakala dalam ucapan perasmian temasya sukan tahunan tersebut, Ustaz Mohd Yazid Abdul Hamid menyatakan kepentingan PASTI yang mana masyarakat seharusnya menerima kewujudannya sebagai pusat asuhan dan pendidikan awal anak-anak yang terbaik. Beliau yang merupakan Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan Bagan Datoh menjelaskan bahawasanya PASTI merupakan satu produk atau medium terbaik yang disediakan oleh PAS untuk kanak-kanak dibentuk menjadi muslim yang sejati.


Katanya lagi dalam ucapan tersebut, beliau menyarankan masyarakat melihat lebih jauh masa hadapan anak-anak kerana mereka adalah pemimpin juga penentu masa depan kehidupan. Pastinya kita mahu melihat yang terbaik buat mereka dan negara akan dating. Disamping itu, masyarakat umat Islam sepatutnya tidak melupakan peranannya dalam mendidik serta membentuk anak-anak serta generasi muda mudi masakini untuk memastikan sentiasa mengikut panduan syariat sebagaimana terkandung di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

Walaupun dalam kemeriahan temasya tersebut, Ustaz Mohd Yazid turut mengambil kesempatkan untuk menyampaikan nasihat buat anak-anak PASTI serta hadirin berkaitan kepentingan ilmu kerana iannya dapat serta memastikan umat Islam serta manusia itu terus berada di atas kebenaran. Pesanan tersebut amat menekankan bahawa ilmu dan ulamak tidak dapat dipisahkan kerana konsep tersebut jelas memainkan peranan utama dalam Islam. Beliau turut menjelaskan peranan ulamak sebagai pewaris Nabi yang meneruskan perjuangan para rasul terdahulu.


Sementara itu, beliau berkeyakinan PASTI mampu berperanan untuk melahirkan sebuah generasi Al-Quran yang jelas bertepatan kehendak Islam. Setidak-tidaknya, PASTI juga akan mampu menghasilkan barisan para alim ulamak yang akan pasti meneruskan perjuangan alim ulamak masakini yang semakin berkurangan. Ustaz Mohd Yazid juga meletakkan harapan yang tinggi kepada PASTI untuk melahirkan masyarakat yang mencintai ilmu juga alim ulamak selain mampu meneruskan perjuangan Islam di muka bumi Allah SWT ini.

Temasya sukan tahunan kali ini turut menyaksikan dan mempamerkan kehebatan murid-murid pelbagai peringkat usia daripada 5 buah PASTI seluruh kawasan Bagan Datoh. PASTI Al-Hidayah, PASTI Al-Ikhwan, PASTI Al-Amin, PASTI Al-Huda dan PASTI Al-Kamaliyyah merupakan senarai PASTI yang mengambil bahagian dalam semua acara pada kali ini. Kemeriahan pelbagai acara antaranya lari pecut sejauh 30meter, isi air dalam botol, lari berhalangan, lari sambil membawa bola ping pong dan pelbagai lagi telah menambahkan kecerian serta pelbagai gelagat anak-anak PASTI.



Selain acara sukaneka untuk murid-murid PASTI, acara sampingan untuk para ibu bapa dan remaja turut diadakan sebagai menambah kemeriah temasya tersebut. Sementara itu keputusan johan keseluruhan temasya sukan tahunan PASTI kali ini telah disandang oleh kumpulan PASTI Al-Amin yang mewakili rumah biru.


Majlis penyampaian hadiah telahpun disempurnakan oleh Ustaz Mohd Yazid selaku perasmi temasya tersebut. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan