Sabtu, 30 Ogos 2014

PERUTUSAN MERDEKA : " MALAYSIA..MINDA MERDEKA, ISLAM DI DAULAUTKAN,,"


Salam merdeka buat anak bangsa,

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T, Tuhan pecipta sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, pembawa rahmat sekalian alam.

Saudara yang dikasihi sekalian,
Marilah sama-sama kita mentaati perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya sebagai pembuktian kepada dakwaan bahawa kita sebagai orang yang bertaqwa. Kedegilan kita dari mentaati perintah Allah akan memberi kesan bukan sahaja kepada diri kita sebagai individu, bahkan ia memberi kesan terhadap keamanan dan kesejahteraan Negara ini.

Allah SWT telah mengingatkan kepada kita semua agar sentiasa untuk mentaati segala perintahNya sebagaimana dalam Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka , umat yang lain?”
( Surah al an’aam ayat 6).

31 Ogos, Tarikh Keramat Buat Rakyat Malaysia.

Buat anak muda sekalian,
Alhamdulillah, sekali lagi pada tahun ini kita sama-sama masih diberi kesempatan dan peluang oleh Allah S.W.T untuk bertemu serta menyaksikan satu tarikh keramat buat seluruh rakyat Malaysia iaitu 31 Ogos. Seluruh rakyat maklum dan pastinya tidak akan melupainya, bahawa tarikh tersebut adalah sangat penting dan amat bermakna kerana pada tarikh itulah Negara ini telah diisytiharkan sebagai sebuah Negara yang merdeka daripada kuasa penjajahan asing.

Kini, sudah 57 tahun berlalu peristiwa ketika mana saat laungan keramat “ Merdeka “ pertama kali bergaung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Laungan oleh YM. Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj selaku Perdana Menteri Malaysia pertama menggamatkan jiwa seluruh rakyat di Tanah Melayu di saat tersebut. Hanya perasaan gembira dan terharu disusuli rasa kesyukuran tidak terhingga oleh setiap rakyat atas anugerah keamanan setelah sekian lama dijajah.

Usahlah Dilupai Jasa Pengorbanan Jiwa Pejuang Tanah Air Terdahulu.

Beringatlah wahai anak muda,
Kemerdekaan dan keamanan Negara ini bukanlah diperolehi secara percuma dan mudah. Demikianlah, seharusnya kita tidak melupai jasa serta pengorbanan yang tinggi oleh para pejuang tanah air yang terdahulu. Khususnya sebagai anak muda dan generasi masakini janganlah sesekali kita lupa akan jasa perjuangan nenek moyang terdahulu dalam usaha memerdekaan Negara tercinta ini.

Pastinya menjelang tarikh 31 Ogos, nama-nama seperti Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Dato’ Maharajalela, Dol Said, Antanom, Mat Salleh, Tok Bahaman dan ramai lagi yang disemadikan sebagai pejuang Melayu yang menentang penjajahan British pada suatu ketika dahulu. Jangan pula dilupakan nama tokoh-tokoh lain seperti Dr. Burhanuddin Helmi dan yang lain-lain lagi. Perjuangan rakyat daripada segenap lapisan khususnya para alim ulamak tanah air adalah merupakan satu jasa yang seharusnya tidak dilupai oleh anak muda hari ini.

Sambut Kemerdekaan dan Pengisian Penuh Bermakna.

Wahai teman-teman anak muda sekalian,
Kemerdekaan yang dikecapi ini adalah anugerah Allah S.W.T. Demikian itu, ianya satu nikmat yang wajib disyukuri, di isi dan dipertahankan. Islam pada hakikatnya adalah agama pembebasan dan kemerdekaan. Kemerdekaan sebenar ialah apabila kita sebagai individu mahupun secara bernegara mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna dan apabila syariat Islam dapat dilaksanakan. Islam satu agama yang memerdekakan manusia dari perhambaan kepada sistem-sistem manusia kepada hanya hidup dalam sistem Allah. Memerdekakan manusia daripada syirik kepada hanya mengesakan Allah. Memerdekakan manusia daripada menjadi tawanan hawa nafsu kepada pengabdian kepada Allah SWT.

Kemerdekaan Negara yang kita nikmati ini adalah anugerah Allah yang wajib disyukuri dan wajib dipelihara dengan penuh rasa cemburu. Cemburu dengan usaha-usaha gigih pihak yang tidak suka Islam mewarnai kehidupan individu, berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara. Perjuangan kemerdekaan sebenarnya tidak berakhir dengan mengenyahkan penjajah dari bumi pertiwi. Negara masih belum cukup aman dari bahaya penjajahan. Sementara usaha membangun semula, memulihkan dari kerosakan-kerosakan yang berlanjutan beratus tahun selama era penjajahan belum diselesaikan secara tuntas, kini kita dihadapkan pula dengan jebakan penjajahan bentuk baru : penjajahan budaya, penjajahan ekonomi, dominasi, globalisasi dan fahaman-fahaman yang sekilas seperti membawa kemajuan, namun telah meminggirkan fungsi Allah dalam mengatur kehidupan seperti liberalism, pluralism dan anti syariah.

Jangan Salah Ertikan Makna Kemerdekaan dan Kebebasan Ini

Ayuh anak muda,
Fahmi Huwaidy mengungkapkan satu fenomena baru yang lebih buruk daripada penjajahan iaitu iaitu perhambaan terselubung. Jika penjajahan lebih berupa perompakan kekayaan sesuatu bangsa tetapi perhambaan pula lebih berupa penguasaan terhadap diri sesuatu golongan. Ia juga dikenali sebagai “berjiwa hamba” tetapi bukan hamba kepada Allah ataupun mempunyai minda tawanan .

Jika zaman dahulu bentuk perhambaan ialah pemerasan tenaga fizikal demi kepentingan tuannya maka perhambaan bentuk baru ini apabila yang diperas adalah otaknya dan pemikirannya.

Maka lahirlah golongan rakyat yang hidup di Negara merdeka tetapi mempunyai jiwa hamba dan mempunyai minda yang masih tertawan. Tandanya ialah rakyat muslim yang tidak merasa Izzah (mulia) dengan Islam. Tidak merasa mulia jika Negara ini dikaitkan dengan Islam bahkan bersungguh-sungguh menyetujui gagasan sekularnya Negara ini. Dia tidak sedar bahawa sekali kita menyetujui gagasan sekularnya Negara ini, selama-lamanya kita tiada punya lagi landasan untuk menuntut syariah dilaksanakan dalam kehidupan.

Seruan untuk anak muda sekalian,
Dalam bergembira kita meraikan serta menyambut ulang tahun kemerdekaan Negara yang tercinta ini, marilah bersama kita isikan nikmat yang dianugerah Allah SWT ini kepada kita dengan melaksanakan segala tuntutan syariat dan hukum hakam Islam dalam kehidupan.

Semoga ulang tahun kemerdekaan kali ini menjadikan kita sebagai seorang hamba kepada Allah SWT yang bersyukur, taat dan bertaqwa kepada Allah SWT. Juga jadikanlah kemerdekaan ini bukan sahaja daripada segi fizikal, bahkan minda perlulah bebas daripada anasir serta cara hidup sesat untuk menuju cara hidup Islam yang sebenar.

“ Malaysiaku…Minda Merdeka “

Ustaz Amir Hamzah bin Ibrahim
Pemangku Ketua

Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan