KHUTBAH JUMAAT - 2 RAMADHAN 1436 / 19 JUN 2015
KEBURUKAN MEROKOK
Khutbah Pertama
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي زَيَّنَ الْأَرْضَ
وَجَعَلَهَا لِمَخْلُوْقَاتِهِ،
وَفَضَّلَ النَّاسَ عَلَى كَثِيرٍ مِنْ مَخْلُوْقَاتِهِ، أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ
وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا
مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ
وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا
اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Dari atas mimbar di rumah Allah yang mulia ini, saya berseru kepada diri
saya sendiri dan para jamaah sekalian agar bertakwalah kepada Allah,
kerana sesungguhnya insan yang paling mulia di sisi Allah adalah orang
yang paling tinggi ketakwaan kepada Tuhannya iaitu dengan beribadat
kepada-Nya, melakukan segala yang disuruh dan menjauhi segala yang
ditegah.
Kita dituntut agar menjauhi segala yang ditegah kerana hikmah tegahan
dan larangan Allah SWT itu kembali kepada kebaikan dan manfaat untuk
hamba-Nya jua. Justeru khutbah Jumaat pada minggu ini akan membicarakan
tajuk, "Keburukan Merokok" bersempena dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak
yang penuh berkah ini.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Tabiat merokok merupakan suatu fenomena masyarakat yang kewujudannya
boleh ditafsirkan dari pelbagai aspek. Antaranya adalah aspek hubungan
sosial, persekitaran, risiko kebergantungan, serta risiko kesihatan.
Kita dapat melihat orang merokok di merata tempat samada di kampung atau
bandar.
Dari aspek sosio budaya, masyarakat menjadikan kelakuan merokok sebagai
satu cara hidup, iaitu merokok dijadikan ukuran status kedewasaan,
kematangan dan kesediaan memikul tanggungjawab khususnya dalam kalangan
orang lelaki. Samada mahu atau tidak, suka atau tidak, persoalan ini
perlu kita bincangkan dengan dada yang lapang dan hati yang terbuka.
Khatib mengharapkan agar di penghujung khutbah ini nanti lahir secebis
ilmu, berputik setangkai keinsafan untuk membuktikan cinta kepada Allah
SWT melebihi cinta kita kepada segala apa yang ada di dunia ini termasuk
cinta kepada rokok.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Di Malaysia, 4.6 juta penduduk Malaysia adalah perokok. Perangkaan
menunjukkan kes penyakit paru-paru di Malaysia bertambah 17 % setahun
dan setiap tahun 10,000 orang rakyat Malaysia mati akibat penyakit yang
berpunca daripada merokok. Dalamkajian yang dijalankan oleh Kementerian
Kesihatan Malaysia, 14.7 % remaja merokok dan kadar perokok di luar
bandar adalah 18.4 % berbanding 12.3 % di bandar.
Tembakau dari satu batang rokok mengandungi lebih 4,000 bahan kimia dan
kebanyakannya adalah beracun. Nikotin menambahkan tekanan darah, memaksa
jantung bekerja lebih keras. Karbon Monoksida menjadikan jantung
bergerak lebih cepat dan mengambil alih Oksigen dalam darah. Tar di
dalam rokok mengandungi berpuluh kimia yang mengakibatkan barah. Merokok
boleh menyebabkan saluran jantung tersumbat yang membawa kepada
serangan jantung. Perokok mempunyai 70 % risiko kematian akibat sakit
jantung berbanding dengan yang tidak merokok.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Banyak kajian yang dilakukan membuktikan tabiat merokok akan menyumbang
kepada penagihan dadah. Kajian di Malaysia menunjukkan 99 % penagih
dadah yang ditahan di pusat-pusat Serenti mengamalkan tabiat merokok
pada usia yang muda dan 95 % penagih dadah yang telah dibebaskan masih
mengamalkan tabiat merokok.
Justeru adalah diharapkan agar golongan remaja dan pelajar khasnya tidak
mudah terpedaya dengan tabiat dan sogokan rokok yang akhirnya akan
menjerumuskan mereka ke kancah najis dadah. Jika begitulah kenyataannya,
membanyakkan kita merujuk kepada amaran Allah SWT yang dinyatakan di
dalam Surah Al-Baqarah Ayat 195:
وَأَنفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا
بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
﴿١٩٥﴾
"Dan belanja (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama
Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam
kebinasaan (dengan sikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baiknya
segala usaha dan perbuatan kamu) kerana sesungguhnya Allah mengasihi
orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya."
Rasulullah SAW juga berpesan kepada umatnya agar menghindari kerosakan
dan kemudaratan. Ibnu Majah meriwayatkan dari Abu Said Al-Khudri RA
bahawa Rasulullah SAW bersabda yang berbunyi:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
"Tiada kemudaratan (dibenarkan dalam Islam) dan tidak juga perlakuan yang memudaratkan."
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Islam adalah agama fitrah yang begitu serius memandang kepada
kesejahteraan dan keselamatan umatnya. Berdasarkan kepada Ayat Al-Quran
dan Hadis yang dikemukakan, jelas menyatakan bahawa Islam menegah kita
menjerumuskan diri ke lembah kebinasaan dan kehancuran. Malahan tiada
kemudaratan dan perlakuan ke arah itu diizinkan dalam Islam.
Ingatlah bahawa jasad yang ada pada kita adalah pinjaman belaka, selaku
peminjam, kita sewajarnya memelihara kurniaan ini dengan penuh waspada.
Menjadi amat tidak wajar dan biadab sekali seseorang diberi sesuatu
pinjaman, merosak dan memusnahkan apa yang dipinjamkan kepadanya.
Begitulah hakikatnya seorang perokok yang sedar bahawa setiap sedutan
membawa padah kepada tubuhnya di hadapan Tuhan yang mengurniakan tubuh
badannya untu dia hidup sebagai manusia.
Sesungguhnya rokok hanya mengandung kemudaratan dan keburukan kepada
manusia. Bukan hanya kepada perokok bahkan bahananya jua terbias
mengenai orang ramai yang berada di sekitar mereka yang terhidu hembusan
asap rokok dari mulut perokok tersebut.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Jumhur ulamak sependapat di atas pengharaman rokok. Keburukan rokok yang menguatkan pengharaman ini adalah:
Pertama: Rokok boleh membawa maut. Sedangkan membunuh diri itu amat ditegah dalam Islam. Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa Ayat 29:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا
أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ
مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا
﴿٢٩﴾
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan)
harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan
sebagainya) kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka
sama suka di antara kamu. Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama
sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Mengasihani kamu."
Kedua: Merokok adalah satu pembaziran dan pemborosan. Tiada
sebarang manfaat dapat diperolehi daripada rokok melainkan sedikit
keseronokan yang membinasakan. Allah dengan tegas melarang pembaziran
melalui Firman-Nya di dalam Surah Al-Israk Ayat 27:
إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ
ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا ﴿٢٧﴾
"Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan,
sedangkan syaitan itu pula makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."
Ketiga: Kajian para pakar perubatan mendapati bahawa Nikotin yang
terdapat dalam tembakau menyebabkan ketagihan. Ia bertindak menambah
tekanan darah dan kadar denyutan jantung daripada kadar normal. Risiko
kematian akibat penyakit jantung bagi perokok adalah tiga kali ganda
lebih besar daripada orang yang tidak merokok.
Antara kesan lain tabiat merokok adalah penyakit lelah, barah paru-paru,
gangguan pada benih lelaki, kerosakan saluran darah, lemah ingatan,
mengganggu pertumbuhan janin dalam kandungan, menggugat sistem
pernafasan bayi dan anak kecil serta penyebab kepada pelbagai jenis
penyakit barah.
Di samping itu, Muzakarah Majlis JawatanKuasa Fatwa Kebangsaan bagi
hal-ehwal Agama Islam Malaysia kali ke 37 yang bersidang pada 23 Mac
1995 telah membincangkan hukum merokok dari pandangan Islam. Muzakarah
telah memutuskan bahawa rokok adalah haram dari pandangan Islam kerana
padanya terdapat kemudaratan.
بَارَكَ اللهُ لِيْ
وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ
الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ
إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ
وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ
وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ
التَّائِبِيْنَ
Khutbah Kedua
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ
آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ
لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣﴾
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa
sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu,
supaya kamu bertakwa."
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Di atas kefahaman dan kesedaran ini, marilah kita membina azam dan
langkah mula meninggalkan rokok. Insaflah segala kesilapan dan
kembalilah mencari keredhaan-Nya. Berusahalah mencari jalan keluar
daripada masalah ketagihan merokok ini dengan bersungguh-sungguh. Temui
rakan-rakan yang telah berjaya meninggalkan rokok dan minta panduan
daripada mereka. Minta nasihat dan bantuan daripada pakar-pakar
perubatan serta anggota kesihatan di klinik kesihatan yang berhampiran
dengan kita, agar kita mampu memisahkan rokok daripada kehidupan kita.
Sempena bulan Ramadhan Al-Mubarak yang mulia ini, marilah kita sama-sama
mengambilsatu keputusan yang bijak dengan meninggalkan tabiat merokok
sebagai permulaan yang baru dan hijrah hidup kita lebih sejahtera dan
sempurna, terhindar dari dosa merokok.
Kajian mendapati 95 % perokok yang beragama Islam menyatakan lebih mudah
berhenti merokok dalam bulan Ramadhan. Kita berpuasa 14 jam sehari dan
selama itulah kita mampu mengawal diri dari merokok. Apa salahnya
selepas berbuka diteruskan tanpa merokok. Jika amalan ini diamalakna
untuk hari-hari seterusnya nescaya tabiat merokok dapat dihakis
sepanjang hayat kita. Jadikanlah bulan Ramadhan ini sebagai permulaan
hidup kita bebas dari tabiat merokok.
Bagi mereka yang insaf dan ingin berhenti merokok, kunjuungilah klinik
berhenti merokok yang terdapat di klinik kesihatan berhampiran. Di
klinik ini klinik kita akan diberi khidmat nasihat dan terapi yang
bersesuaian untuk membantu menghentikan tabiat merokok. Insya Allah
usaha yang murni kita akan diberkati Allah SWT hendaknya, insya Allah.
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ
والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ
وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى
مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.اَللَّهُمَّ أَعِزَّ
اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ
اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللهُمَّ
انْصُرِ الْإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِينَ فِي بِلاَدِنَا هَذَا وَفِي
الْعِرَاقِ وَفِي فَلَسْطِيْنِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانْ.
اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ
أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ . اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ
يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ وَيُقَاتِلُوْنَ
أَوْلِيَائَكَ.
اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ
جَمْعَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ
اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ اْلكِتَابِ وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَيَا هَازِمَ
الأَحْزَابِ إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا
رَبَّ الْعَالَمِينَ.
Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufik dan hidayah-Mu terhadap Raja kami,
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan
Nazrin Mu'izzuddin Shah Ibnu Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah
Al-Maghfurulah dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul
Ridzuan Tuanku Zara Salim serta seluruh kerabat DiRaja sekalian.
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى
الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى
الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ،
وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ
وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ
وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ
الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ
مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا
تَصْنَعُونَ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan