Khamis, 18 Jun 2015

PERUTUSAN RAMADHAN 1436 H KP DPPN PERAK : RAMADHAN BULAN TARBIYYAH.


Perutusan Ketua Pemuda PAS Perak sempena Ramadhan Al-Mubarak 1436.

Bersyukur di atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kerana mentakdirkan kita bersua dengan Ramadhan pada tahun ini . Sesungguhnya nikmat pentabiyyahan Ramadhan mampu menatijahkan impak yang terbaik dalam jiwa pemuda Islam .

Pemuda Islam sekalian ,
Sirah lampau membuktikan kepada kita , semangat pejuang Islam tidak pernah luntur untuk mempertahankan Islam biarpun dalam lapar dan dahaga. Kehebatan pahlawan Islam dalam Perang Badar Al-Kubra menjadi saksi kualiti tarbiyyah Ramadhan terbaik.


Sesungguhnya Ramadhan mampu melahirkan pemuda Islam dengan beberapa pengisian didalamnya . 

Antara pengisiannya adalah seperti berikut :

1. Madrasah at Tadhribiyyah ar Ruuhiyyah [ Latih tubi Spiritual ] untuk mendidik dan mengkaderkan ummah agar lahir generasi yang beriman dan bertaqwa.

2. Sentiasa berusaha dengan komited demi meningkatkan prestasi pengabdian diri kepada Allah SWT dengan menambah koleksi ibadah khusus , justeru ia adalah asas kekuatan dalaman bagi seorang pejuang sebelum ia mendepani cabaran dan halangan sukar di sepanjang jalan dakwah ini.

3. Menjalani kehidupan dalam suasana ubudiyatillah [ pengabdian diri kepada Allah ] dalam Madrasah Ramadhan ini memudahkan kita mencapai prestasi tertinggi sebagai hamba yang taat dan bertaqwa.

Pemuda Perak harapan ummah ,

Indikator tarbiyyah Ramadhan telah dinyatakan oleh Allah SWT secara jelas melalui firmannya dalam Surah Al-Baqarah :

(يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُون)
183. Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.
Nilai taqwa yang dinyatakan Allah SWT ini memberikan gambaran kualiti sebenar . Pejuang yang taat dan bertaqwa mempunyai kedudukan yang hampir dengan Allah swt. Sementara kedudukannya yang hampir itu membuatkan doanya mustajab [ diterima Allah swt ] dan munajatnya maqbul .

Carilah sebanyak mana peluang dan kelebihan dikurniakan Allah SWT sempena Ramadhan Al Mubarak ini terutama penghayatan Ruuhul Jihad sehingga semangat Jihad Fi Sabilillah menjadi sebati dalam jiwa pemuda sebagai perisai ummah. 

Bukan hanya menahan lapar dan dahaga sahaja bahkan lebih daripada itu mendidik pancaindera dan hati kita akan sentiasa subur cinta dan kasih kepada Allah SWT serta utusan mulia Rasululah SAW.

Anak muda Perak yang dikasihi ,

Perjuangan Islam begitu memerlukan pemuda yang hebat dan mantap spiritual disamping memiliki kekuatan peribadi dan ketinggian akhlak .

Perjuangan Islam mendambakan pemuda-pemuda yang dapat bersatu hati, bersatu pemikran dan bersatu dalam tindakan.

Semoga Ramadhan kali ini juga dapat memantapkan lagi jalinan ukhuwwah dari kalangan kita semua. Hindarilah perpecahan, sayangilah persaudaraan yang telah dibina sejak sekian lama.

Saya mewakili kepimpinan Dewan Pemuda PAS Perak mengucapkan “ Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak 1436H dengan penuh kehambaan kepada Allah SWT” Semoga pertarbiyyah Ramadhan kali ini , dapat memperolehi kekuatan untuk istiqamah dalam perjuangan sehingga kemenangan . 

Jangan biarkan ia berlalu tanpa dimanfaatkan oleh anak muda sebaliknya ia menjadi aspirasi untuk kita lebih sedia untuk ditarbiyyah dan mentarbiyyah diri untuk kemenangan Islam .

"ISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"

Akmal Haji Kamarudin
Ketua Pemuda PAS Perak
30 Sha'ban 1436
17 Jun 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan