Selasa, 2 Jun 2015

SIAPAKAH TRIO PEMUDA PALING TEPAT SEBAGAI YANG MEMPERTAHANKAN DASAR PERJUANGAN INI ?

TRIO KEPIMPINAN PEMUDA JAMINAN DASAR DIPERTAHANKAN

Mutakhir ini gerakan Islam di seluruh dunia diserang dari pelbagai sudut samada dari luar mahupun dalaman. Jika diteliti, ia adalah sebagai suatu cara untuk Barat menghancurkan dan mematikan kebangkitan Islam termasuk di Malaysia.

Oleh itu jika dilihat di Malaysia, PAS sebagai sebuah gerakan Islam tertua dan yang memainkan peranan penting dalam memastikan kebangkitan Islam di Asia Tenggara khususnya dan seluruh dunia amnya, diasak dengan begitu hebat. 

Diusahakan pelbagai cara untuk menjadikan PAS gelincir daripada landasan sebenar ataupun menjadikan ia semakin lunak dengan Barat. Sebagaimana yang pernah diceritakan sebelum ini oleh Tuan Guru Presiden berkenaan sebuah gerakan Islam di Morocco iaitu Parti Istiqlal yang diasaskan oleh seorang ulamak, Syeikh Allal Al-Faasi tetapi akhirnya menjadi sebuah parti liberal sekular.

Ia adalah rentetan daripada penguasaan pemimpin yang befikiran Liberal dalam tampuk kepimpinan tersebut. Oleh yang demikian, PAS perlu mengambil iktibar daripada lakaran sejarah ini. PAS sebagaimana sedia maklum merupakan gerakan Islam yang diasaskan oleh para alim ulamak bagi memastikan tertegaknya sebuah negara Islam di tanah air kita. Maka suatu kewajipan untuk mempertahankan dasar ini.

Tambahan pula, dalam konteks sekarang PAS mengadakan tahaaluf siyasiy bersama PKR dan DAP, ia tidak sepatutnya mempengaruhi dasar perjuangan PAS. Maka, pemilihan kepimpinan pada kali ini sangat penting bagi PAS terus teguh dengan dasar asalnya dalam masa yang sama terus maju melakukan islah dan juga tajdid bagi menggantikan UMNO dan BN.

Oleh itu bagi saya, selain tampuk Presiden dan juga Timb Presiden berserta Naib-naib, pemilihan kepimpinan pemuda juga merupakan antara terpenting bagi membantu kepimpinan memastikan dasar terus dipertahankan.

Trio kepimpinan yang baru perlu dikehadapankan berbanding yang sebelum ini kerana imej pemuda dibawah kepimpinan Suhaizan Kayat agak merungsingkan akar umbi. Sudah pasti pemuda mampu untuk kembali agresif seperti zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu terutamanya era bermulanya kepimpinan ulamak 1982.

Pemuda ketika itu dilihat aktor penting dalam memastikan landasan perjuangan PAS tidak tericir. Saya yakin dibawah kepimpinan YB Ustaz Nik Abduh sebagai ketua dibantu oleh Ustaz Khalil Abd Hadi dan juga naib, Ir Khairil mampu memastikan pemuda kembali menjadi aktor penting.

Tambahan pula mutiara berharga al-Marhum TG Nik Abdul Aziz Nik Mat ini memiliki watak yang mampu untuk menyatukan kembali saf kepimpinan pemuda yang dilihat bekecamuk dibawah kepimpinan Saudara Suhaizan. Beliau yang dilihat bersahaja tetapi memiliki idea dan pandangan yang sangat tajam. 

Tidak memerlukan pelbagai slogan dan pengistilahan untuk melambangkan pembawakan beliau untuk pemuda, kerana pada tubuh badannya telah membayangkan hasrat akar umbi PAS kepada pemuda. Begitu juga dengan kepimpinan Ustaz Khalil Abd Hadi yang latar belakangnya yang belajar di tiga benua dengan tiga bahasa. Membolehkan beliau menguasai empat bahasa, termasuk Bahasa Inggeris.

Ketika zaman beliaulah, manual tarbiyah untuk ahli-ahli pemuda dilancarkan bagi memastikan fikrah perjuangan akar umbi sentiasa diasah dengan ilmu dan kefahaman. Keyakinan akar umbi sudah pasti akan kembali bersinar jika sekiranya trio kepimpinan pemuda ini dipilih oleh para perwakilan pada muktamar tidak lama lagi.

Kita sudah pasti tidak perlu risau lagi siapa yang akan menjadi sayap penting bagi memastikan bahtera perjuangan PAS terus berada di atas landasan al-Quran dan juga Sunnah. InsyaAllah.

Wan Muhammad Mizan Wan Abd Latiff

Tiada ulasan:

Catat Ulasan