Selasa, 11 Ogos 2015

CATATAN DHUHA SEMINGGU OLEH USTAZ IDRIS AHMAD, MP BUKIT GANTANG.

CATATAN DHUHA SEMINGGU OLEH YB. USTAZ IDRIS AHMAD
( 18 Syawal -24 Syawal 1436/ 3 Ogos -9 Ogos 2015 )

 
Catatan Dhuha
Sombong salah satu sifat mazmumah, ia boleh terkena kepada sesiapa pun. Kerana ia adalah hasutan syaitan yang akan menular ke batang tubuh manusia yang leka dan lalai sebagai hamba Allah. Penyakit ini meninggalkan kesan yang paling merbahaya kepada individu dan jamaah supaya amal Islami kita rosak. Sama-samalah kita menghindar diri kita daripada bersifat demikian. Ust Idris Hj Ahmad 18 Syawal 1436. 3 Ogos 2015 Isnin.

Catatan Dhuha
Orang sombong tidak boleh pergi jauh dalam apa-apa kedudukan. Samaada di dalam jamaah atau masyarakat. Tidak ada manusia yang waras boleh menerima seorang yang sombong dan angkuh. Sikap ini meliarkan manusia untuk menghampirinya. Ust Idris Hj Ahmad 19 Syawal 1436. 4 Ogos 2015 Selasa.

Catatan Dhuha
Bagus, saudara merupakan orang yang aktif di dalam media siber. Walau bagaimana pun sebagai orang yang percaya kepada Allah dan Hari kiamat jangan lupa kepada balasan Allah yang sedang menanti jika apa yang ditulis itu tipu atau fitnah. Bahang neraka panas. Kita bukan sahaja tidak mahu masuk kedalamnya, malahan hampiri pun kita tidak mahu. Ust Idris Hj Ahmad 20 Syawal 1436. 5 Ogos 2015 Rabu.

Catatan Dhuha
Orang yang beriman merasakan dirinya kuat walaupun ditangannya tidak ada senjata. Dia menjadi orang yang bercukupan dan kaya walaupun tidak ada timbunan harta, dia menjadi mulia walaupun dibelakangnya tidak ada keluarga dan pengikut yang banyak. Dia berdiri teguh walaupun bahtera kehidupan telah bergoncang dan dikepung ombak dari segala penjuru. Ust Idris Hj Ahmad 21 Syawal 1436. 6 Ogos 2015 Khamis.

Catatan Dhuha
Salah satu cara untuk kita istiqamah mestilah dengan ilmu. Ilmu yang dibaca dengan nama Allah boleh membezakan antara hak dan batil. Ia akan mendekatkan diri kepada Allah dan akan membimbing kita ke jalan Allah. Semakin tawaduk bukan semakin angkuh dengan Allah dan makhluk. Ia akan memberi kita faham erti agama dan perjuangan. InsyaAllah buahnya ialah istiqamah . Ust Idris Hj Ahmad 22 Syawal 1436. 7 Ogos 2015 Jumaat

Catatan Dhuha
Pemimpin yang khianat kepada rakyat paling takut berada di dalam sistem yang adil. Jiwa mereka tidak tenang kerana sentiasa diburu ketakutan. Perasaan malu sudah tiada, apa yang penting nafsu serakah tercapai. Langkah mereka tempang, ucapan penuh dengan dusta. Perlakuan mereka tidak waras sehingga boleh menggugat keselamatan rakyat. . Ust Idris Hj Ahmad 23 Syawal 1436. 8 Ogos 2015 Sabtu.

Catatan Dhuha
Sifat adil adalah sifat yang unggul dan terpuji kerana ia sukar untuk dibentuk dan dibina di dalam diri manusia, terutama kepada orang lain. Ia menjadi cabaran besar di dalam kehidupan manusia. Menjadi lumrah kepada Kita sukar untuk memberi keadilan kepada orang yang kita benci. Apa sahaja yang dia lakukan kita akan menafikan kebaikannya. Ust Idris Hj Ahmad 24 Syawal 1436. 9 Ogos 2015 Ahad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan