TAZKIRAH : CATATAN DHUHA SEMINGGU BERSAMA YB. USTAZ IDRIS HJ. AHMAD ( NAIB PRESIDEN PAS/ MP BUKIT GANTANG )
( 28 Rabiulawal - 05 Rabiulakhir 1437H / 9 - 15 Januari 2016 )
Catatan Dhuha
Pas beruntung kerana ulamak-ulamak terkenal di tanah air bersama dengan Pas. Mereka merupakan tonggak masyarakat dan dihormati di dalam masyarakat. Mereka banyak membantu untuk mengembangkan pengaruh Pas di dalam masyarakat. Walau pun mereka tidak memegang jawatan penting di dalam parti, namun suara mereka di dengari.
Ustaz Haji Idris Hj Ahmad 28 Rabiul Awal 1437 /9 Januari 2016 Sabtu.
Catatan Dhuha
Ulamak yang tidak beramal dengan ilmunya tidak dihormati dan tidak ada pengikut yang akan mendengar arahannya. Bukan senang untuk mempengaruhi orang lain jika mereka tidak beramal dengan apa yang mereka ucap. Ulamak muttaqin tidak terkesan dengan fitnah, tuduhan, caci maki ke atas batang tubuhnya, manakala yang menghina ulamak mengalami tekanan jiwa.
Ustaz Haji Idris Hj Ahmad 29 Rabiul Awal 1437 /10 Januari 2016 Ahad.
Catatan Dhuha
Iman tidak boleh diwarisi seperti harta pusaka, begitu juga perjuangan Islam ia tidak boleh diwarisi oleh anak kita sendiri jika kita tidak mentarbiah mereka sejak daripada kecil. Kita jangan anggap anak kita akan mewarisi perjuangan kita dengan mudah, lebih-lebih lagi mereka hidup di zaman yang mencabar ini.
Ustaz Haji Idris Hj Ahmad 30 Rabiul Awal 1437 /10 Januari 2016 Isnin.
Catatan Dhuha
Kita hanya berusaha, kejayaan serah kepada Allah SWT. Kita hanya mentarbiah anak supaya mengikuti perjuangan kita. Mungkin berjaya, mungkin tidak. Apa yang penting usaha dan azam terlebih dahulu. Jangan daripada awal lagi kita hanya mengharapkan kun fayakun. InsyaAllah, Allah tidak mensesiakan usaha kita.
Ustaz Haji Idris Hj Ahmad 1 Rabiul Akhir 1437 /12 Januari 2016 Selasa.
Catatan Dhuha
Bawa baliklah perjuangan ke rumah, jangan tinggal perjuangan di markaz atau di pejabat Pas. Biar anak isteri dan ahli keluarga kita turut sama berkongsi dengan kita, dan mereka faham apa yang kita lakukan. Jika tidak, anak isteri kita akan memusuhi perjuangan kita dan mereka tidak mahu berjuang semacam kita kerana hidup mereka terabai. Sekiranya mereka faham kerja buat kita, maka mereka juga akan memberi motivasi kepada kita.
Ustaz Idris Hj Ahmad 2 Rabiul Akhir 1437 /13 Januari 2016 Rabu.
Catatan Dhuha
Banyak orang mampu mentarbiah orang lain, tetapi gagal untuk tarbiah anak isteri dan keluarga. Inilah cabaran kepada kami sebagai pemimpin. Walau bagaimana pun apa yang penting usaha dan ikhtiar kita. Mungkin Inilah ujian dan memberi peluang untuk kita membuat muhasabah terhadap diri kita kenapa berlaku begini.
Ustaz Idris Hj Ahmad 3 Rabiul Akhir 1437 /14 Januari 2016 Khamis.
Catatan Dhuha
Kita selalu meminta kepada Allah SWT tutuplah keaiban kita daripada diketahui oleh orang lain. Maklumlah kita manusia biasa yang tidak sunyi daripada kecacatan. Oleh itu jangan kita menzahirkan perangai yang buruk kepada orang ramai, sedangkan ia boleh disembunyikan daripada diketahui oleh orang lain samaada melalui tulisan, percakapan dan tindakan.
Ustaz Idris Hj Ahmad 5 Rabiul Akhir 1437 /15 Januari 2016 Jumaat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan